Isnin, 14 September 2009

Bab 33. Berita 2.

Musuh dan rakan sering berkaitrapat membantu mengecewakan hati anda; seorang mengeluarkan kata-kata kesat manakala seorang lagi menyampaikan kata-kata tersebut ke telinga anda sendiri ~ Mark Twain.







Pagi itu bukan pagi yang menggembirakan bagi Datin Rohana. Sewaktu dia sedang mencari barang dapur di pasaraya tadi, dia secara tidak sengaja telah terserempak dengan seorang rakan wanita dari kelab komuniti yang pernah dianggotainya satu ketika dahulu.

Ada dua perkara yang membuatkan Datin Rohana tidak senang dengan pertemuan yang tidak dijangka itu.

Pertama, walaupun dari luaran mereka kelihatan tidak ubah seperti rakan lama yang lain, yang sering bertepuk tampar dan bertanya khabar apabila sudah sekian lama tidak bersua muka, tetapi hakikatnya masing-masing sejak dahulu masih lagi menyimpan perasaan iri di dalam diri masing-masing.

Dan yang kedua, berita yang baru disogokkan ke telinganya oleh rakan wanitanya itu pagi tadi telah berjaya membuatkan anggota tubuhnya lumpuh serta merta.

Setiba saja di rumah, fikirannya tidak habis-habis kembali menerawang pada kenangan sewaktu kali pertama mereka berdua bertemu dahulu.

Ianya bermula ketika dia baru saja menganggotai kelab komuniti yang ditubuhkan oleh arwah Datuk Johari. Waktu itu mereka berdua belum berumahtangga dan kelab yang baru ditubuhkan itu dikelolakan sendiri oleh Puan Khatijah, isteri Datuk Johari waktu itu.

Datin Rohana dan rakan wanita tadi memegang jawatan yang sama. Mereka berdua ditugaskan untuk membawa masuk projek-projek baru selain mencari dana bagi menampung kos-kos yang bakal dikeluarkan.

Ketika berita Datuk Johari dan Puan Khatijah berpisah, keadaan di dalam kelab menjadi agak kucar kacir sedikit terutamanya apabila arwah Datuk mengambil keputusan untuk mengambil Datin Rohana pula menjadi isteri yang baru.

Sebaik saja bergelar isteri, Datin Rohana telah mengambil alih jawatan Puan Khatijah tadi sementara rakan wanitanya tadi, yang sewaktu itu sering menjadi orang kuat Puan Khatijah, merasa dirinya dipinggirkan walaupun dia di antara ahli yang telah lama berkhidmat di situ.

Pelbagai kata-kata tohmahan dan caci maki yang dihidangkan ke halwa telinga datgin Rohana sehinggakan pada satu hari, dia telah membuat keputusan untuk menarik diri dari terus menyandang jawatan tersebut.

Semenjak dari saat itu, mereka berdua hanya bertemu di majlis-majlis tertentu saja. Seingat Datin Rohana, kali terakhir mereka berdua bertemu muka sebelum ini ialah pada hari pengebumian arwah Dato Johari sendiri.

Kedatangannya waktu itu disertai oleh rakan-rakan dari kelab yang pernah dianggotainya dahulu. Diketuai pula oleh Puan Khatijah dengan anak tunggalnya, Syafiq.

Mungkin tekaannya silap, tetapi Datin Rohana merasakan kedatangan mereka semua ke situ bukannya untuk memberi penghormatan terakhir kepada arwah suami tetapi semata-mata hanya untuk mentertawakan dirinya yang waktu itu terkontang-kanting sendirian.

Setelah lama peristiwa itu berlaku, tadi sekali lagi dia bertemu dengan rakan wanita itu. Pada Datin Rohana perjumpaan yang terjadi itu hanya sekadar ingin menyampaikan satu berita yang langsung tidak ingin didengarinya.

Berita yang datang dari Puan Khatijah sendiri. Berita yang menyatakan minggu hadapan dia bakal menghantar satu rombongan pertunangan untuk anak tunggalnya Syafiq.

Datin Rohana mengibaratkan berita yang baru diterimanya itu merupakan satu tamparan yang hebat. Berita yang secara tidak langsung menyatakan bahawa wang sejuta ringgit milik arwah suami telahpun makin hampir jatuh ke tangan orang lain.









Berbeza dengan Datin Rohana, Puan Khatijah menerima berita yang didengari dari Syafiq tadi dengan rasa berbesar hati. Makin dekat dengan hari pertunangan, makin gatal terasa tangan kanannya. Kata orang tua-tua, itu tanda bakal menerima rezeki. Kata hatinya pula, itu tanda bakal menerima wang yang ditinggalkan oleh arwah bekas suami sendiri.

Hari bersejarah itu dijadualkan akan berlangsung pada minggu hadapan. Semalam dia sudah menempah tujuh dulang di salah satu salun andaman berdekatan untuk dijadikan barang hantaran.

Antaranya, tepak sirih, sirih junjung, pulut kuning, sebiji kek, senaskah Al Quran, dua bentuk cicin dan gelang, dan buah-buahan sebagai pemanis mulut. Katanya, angka tujuh itu angka bertuah. Harapannya juga agar tujuh dulang yang dihulur bakal memberikan tuah kepada anaknya dan keluarga baru mereka nanti.

Menurut kata Faireen di dalam perbualan mereka di telefon semalam, majlis pertunangan bakal diadakan secara kecil-kecilan saja di rumahnya memandangkan keluarganya masih lagi bermurung dengan apa yang berlaku baru-baru ini.

Puan Khatijah agak keliru. Antara ingin menundakan saja majlis yang bakal dibuat atau meneruskan seperti mana yang sudah dirancang. Hatinya sudah tidak mahu menunggu terlalu lama lagi. Jika dilengahkan, wang yang bakal tersalur ke dalam akaun cucunya itu berkemungkinan akan dirampas oleh Datin Rohana dan anak-anaknya pula nanti.

Syafiq dengan kasar menuduhnya berdarah sejuk. Tidak langsung memikirkan hati dan perasaan orang lain semata-mata kerana wang ringgit. Dia hanya mampu tersenyum.

Balasnya, wang ringgit itulah yang bakal memberikan kesenangan kepada mereka sekeluarga nanti. Pesannya lagi, anggap saja perkahwinan itu sebagai satu kontrak. Kontrak yang perlu diikat sehingga kelahiran cucu pertama.

Selepas itu, jika Syafiq merasakan bahawa segala apa yang telah berlaku ini hanya sekadar satu permainan semata-mata, dia tidak akan membantah jika anaknya itu mengambil keputusan untuk menceraikan isterinya itu.

Cucu. Itu yang penting. Wasiat yang ditinggalkan bukan untuk isteri. Ataupun tunang. Ataupun Faireen. Wasiat itu untuk cucu pertama.









"Cucu?" Soal Balqis pada anaknya Faireen yang sedang tekun membelek majalah pengantin yang baru dibeli.

Dia mengangguk. "Ya, Ibu. Cucu. Itu yang Reen tanya kenapa Mak si Syafiq ni beria-ia nak kami kahwin cepat. Katanya dia dah tak sabar nak menimang cucu," jawabnya.

"Ibu bimbang kau orang ni macam terburu-buru. Jangan ikut sangat darah muda tu, Reen. Fikir masak-masak," pesan Balqis lagi. "Cucu?" Dia tertanya lagi.

"Ibu tak nak cucu?"

Balqis mengeluh."Siapa yang tak nak cucu, Reen. Nanti kau dah ada anak, kau pun nak cucu jugak. Dulu masa Ibu baru-baru kahwin dengan ayah kau pun, nenek kau minta kami cepat-cepat dapat anak supaya dia pun cepat-cepat dapat cucu jugak. Katanya anak cucu itu pengikat kasih sayang suami isteri…"

"Tapi ada tak nenek kata bila anak cucu tu dah besar panjang, ikatan kasih sayang suami isteri tu boleh terlerai?"

Balqis terdiam. Tajam sindiran yang keluar dari mulut anaknya itu. Dia mula bermain dengan jari. Kepalanya tertunduk terkenangkan saat-saat pertunangannya bersama Iqram dahulu.

Ingatannya merantau jauh kembali ke era tujuh puluhan. Hari pertunangannya hari itu merupakan sebuah majlis yang serba sederhana. Dia hanya mengenakan baju kebaya ketat warna putih dan kain songket warna perak serta selendang jarang halus untuk menutup sedikit sanggul yang melintang.

Namun begitu, hari itu dia merasakan dirinya sungguh anggun sekali.

Bibir Kak Yah tidak putus-putus memuji. Sepanjang majlis, dia sibuk menemani Balqis di dalam bilik. Sesekali mereka berdua mengintip, memasang telinga tentang apa yang dibualkan oleh orang tua kedua-dua belah pihak.

Pinta ibu bapa Iqram, pertunangan hendaklah diikat sekurang-kurangnya setahun. Setidak-tidaknya mereka dapat meluangkan masa untuk mengenali hati budi masing-masing terlebih dahulu. Ibu bapa Balqis setuju. Kebetulan pula, ayahnya berpendapatan rendah. Dia sendiri perlu bekerja lebih masa untuk mengumpulkan wang bagi mengahwinkan anak daranya.

Setahun kemudian, mereka terikat sebagai sepasang suami isteri. Meriah juga hari perkahwinannya hari itu. Pelamin warna kuning diraja tersergam indah di laman rumah. Manakala pasangan raja sehari pula sengaja memilih songket warna biji kundang sebagai baju persalinan.

Itu warna kegemaran mereka berdua. Janji Iqram padanya waktu itu, biarpun apa jua yang terjadi sekalipun, ikatan yang termeterai di antara mereka berdua tetap akan kekal sepanjang hayat.

Balqis tersenyum kecil.

"Apa yang mencuit hati sangat tu, Bu?" Tegur Faireen mematikan lamunan.

"Ayah kau janji pada Ibu masa hari kahwin kami dulu yang dia akan jaga ikatan ni sampai ke akhir hayat," jawabnya dengan tersenyum lebar.

Faireen mengurut bahu ibunya perlahan lalu didakapnya tubuh yang hangat itu. "Lupakan je dia, Ibu. Dia dah tak penting lagi dalam hidup kita. Biarkan dia bahagia dengan bini baru dia, tu."

"Dia masih ayah kau, Faireen. Dia masih suami Ibu. Kau dah beritahu dia pasal hal ni?"

Faireen mengangguk. "SMS. Tapi dia tak reply," jawabnya.

"Call dia, suruh dia balik."

"Tapi Ibu…"

"Call dia. Suruh dia balik!" Balqis meninggikan suara. "Apa yang dia dah buat tu pandai-pandailah Ibu selesaikan nanti. Ibu mahukan kita semua berkumpul satu keluarga."

"Kalau macam tu, Ibu lah call dia dan suruh dia balik. Reen malas!"

"Inikan berita gembira, Reen. Reen! Reen!"

Faireen berlalu pergi meninggalkan ibunya sendirian di situ. Mulutnya terkumat-kamit merungutkan sesuatu.

Balqis tercengang. Sedih.









Malam tadi tidur Iqram tidak berapa lena. Dia sering didatangi oleh Bob dan Nirina di dalam mimpinya itu. Mereka berdua kelihatan tenang, hanya diam membisu tetapi seakan-akan cuba untuk memberitahu sesuatu kepadanya. Di sisi Nirina kelihatan seorang bayi lelaki.

Putih. Sihat. Tak ubah seperti Faisal sewaktu kecil. Iqram tidak pasti siapakah bayi yang didukung oleh isterinya itu. Lama kelamaan bayi itu sayup dari pandangan. Nirina juga semakin hilang sedikit demi sedikit. Bob pula berjalan perlahan-lahan meninggalkan kedua-duanya.

Iqram cuba untuk mengejar tetapi tangannya tidak dapat untuk menghalang. Makin kuat dia cuba berlari makin cepat ketiga-tiganya pergi jauh meninggalkan dirinya waktu itu. Dia menjerit. Meraung sekuat hati namun dunianya waktu itu bertukar gelap gelita. Tiada siapapun yang datang membantu. Bahkan tiada sesiapapun yang berada di situ selain dirinya seorang.

Iqram memandang sekeliling. Bunyi cengkerik dan burung-burung liar yang pulang ke sarang memecah kesunyian. Akhirnya dia kepenatan. Terduduk, termenung lalu terus mendongak ke langit apabila kedengaran satu suara berkata, "sabarlah… Sabarlah…"

Tin! Tin! Bunyi hon dari kenderaan belakang membuka matanya yang hampir kemerahan. Iqram teraba-raba gear kereta untuk memulakan semula enjinnya yang sudah mati di tengah jalan. "Sabarlah!" Jeritnya pada pemandu belakang yang semakin tidak sabar menunggu.

Dia kembali mencelah di tengah-tengah kesesakan jalanraya untuk pulang ke Kuala Lumpur. Sesekali keretanya terhenti apabila dia dihimpit kenderaan lain yang tidak bertimbangrasa. Dia kebosanan. Panas terik di luar seakan-akan membakar tubuhnya kini. Suhu penghawa dingin ditambah. Radio dinyalakan. Lagu Indonesia, Hingga Akhir Waktu dari kumpulan Nineball sedang bermain waktu itu.



takkan pernah ada yang lain di sisi

segenap jiwa hanya untukmu

dan takkan mungkin ada yang lain di sisi

ku ingin kau di sini tepiskan sepiku bersamamu

hingga akhir waktu



Sejuk juga hatinya melayan lagu cinta itu. Telefon bimbit dicapai. Niatnya hendak menghubungi Nirina terhenti apabila melihat satu pesanan yang diterima dari anaknya.



AYAH, NEXT WEEK REEN NAK BERTUNANG. KALAU ADA MASA DATANGLAH. KALAU BUSY DENGAN WIFE BARU, TAK APA. KAMI SEKELUARGA FAHAM.



Walaupun pedas kata-kata dalam mesej itu, tetapi dia tetap gembira. Baginya ini merupakan berita gembira kedua selepas dia mendapat tahu minyak pemberian Abang Uda terbukti berkesan sebaik saja dia terjaga dari tidur awal pagi tadi.

"Hidup! Hidup Kak Yah! Hidup!" Jeritnya kuat pada Kak Yah yang ketika itu sedang sibuk menyediakan sarapan di dapur.

"Aku memanglah masih hidup! Aku belum mati lagi! Mengigau ke apa orang tua ni?" Tanya Kak Yah semula.

"Pucuk, Kak Yah. Dia dah hidup!"

Kak Yah ketawa besar melihat Iqram terlompat keriangan seolah-olah seperti anak bujang yang baru masuk jawi. "Kau nak ke mana pulak tu? Sarapan dah siap ni!" Soalnya lagi.

"Saya nak mandi lepas tu nak sembahyang kesyukuran," jawabnya.

Kak Yah menyindir, "hai lah Iqram… kenal ke tidak dengan sejadah tu?" Dan terus ketawa besar.

Selesai solat, Iqram sudah mula memasang cita-cita. Setibanya di rumah nanti, dia akan memastikan segala apa yang masih tertunggak di antara dirinya dan isteri akan dilangsaikan dengan segera. Dia gembira, dengan bantuan Abang Uda akhirnya tanggungjawab batinnnya sebagai suami bakal dilaksanakan juga sebentar nanti.

Fikirannya mula berwarna-warni. Dari putih bersih kini bertukar kepada biru kekuningan. Jam di tangan ditenung. Semakin tinggi matahari meningkat naik, semakin tidak sabar rasanya dia ingin tiba ke destinasi.

Tepat jam empat petang dia tiba di depan pintu kondo yang didiami. Darahnya berderau melihat keadaan rumahnya waktu itu. Pintu utama terbuka sedikit. Apabila kakinya melangkah masuk ke dalam, didapati ruang tamunya berselerak. Barang perhiasan yang tersusun di atas meja dan rak TV habis bergelimpangan di lantai.

Di dapur pula, segala pinggan mangkuknya pecah berderai. Fikirannya terus teringatkan Nirina. Dia terus berlari ke bilik utama. Tiada sesiapa di situ. Berlari ke bilik kedua, ketiga, dan ke empat. Kesemuanya kosong.

Iqram mula ketakutan. Dia melangkah masuk pula ke dalam bilik air. Kakinya tiba-tiba kaku apabila terpijak lantai yang melekit.

Tubuhnya bagaikan tidak bermaya lagi. Nirina dan Bob dilihat terlentang tidak berpakaian dengan berlumuran darah di dalam tab mandi. Dia termuntah. Tidak lama kemudian pandangannya menjadi gelap dengan tiba-tiba.

4 ulasan: