** guys, utk mempercepatkan masa... jejaka anggun ada masukkan few bab in a day. so mana2 bab yg terlepas tuh, cariklah kat label PUCUK eh.... kalo x jumpe, cube carik kat masjid india. musim2 raya nih manalah tau ada bab yg dijual di sana.....
*** thx to Karl yg promote blog yg x seberapa nih. terharu tau!!!
Bab 34. Mati.
Terlalu ramai manusia memikirkan tentang keselamatan dari kesempatan. Nampaknya mereka terlalu takut dengan hidup dari mati ~ James F. Bymes
Kematian. Satu-satunya perkara yang ditakuti dalam hidup manusia. Ketika menghampiri saat-saat kematian itu tentu ramai yang tertanya, apa yang sudah kita kecapi selama hidup ini? Apakah sudah cukup bekalan di dunia ini yang akan kita bawa bersama ke akhirat?
Apa pula yang bakal kita tinggalkan di dunia untuk menyokong amalan kita menuju ke pintu syurga nanti? Bagaimana dengan roh kita sendiri, akan sepikah roh kita itu apabila bersendirian di alam barzakh?
Dapatkah kita menjawab segala soalan yang dihulur oleh Munkar dan Nakir? Apakah benar azab kubur yang diturunkan oleh Allah itu? Dan bagaimana rasanya mati itu sendiri?
Iqram mengurut dada. Bacaan talkin yang sedang dibaca di hadapan kubur isteri didengar dengan tekun.
Siapakah Tuhan kamu?
Siapakah Nabi kamu?
Apakah agama kamu?
Apakah kiblat kamu?
Siapakah saudara kamu?
Apakah pegangan iktikad kamu?
Dan apakah kalimah yang kamu bawa bersama-sama kamu?
Airmatanya jatuh bercucuran bagaikan air yang tidak putus-putus mengalir. Dia termenung mengenangkan amalan yang terlalu cetek di dalam diri. Aku sudah lama menduakan Allah. Aku lupa Muhammad itu pesuruhNya. Islam dalam diri aku hanya sekadar pada nama saja. Arah kiblat tidak langsung aku ketahui. Al Quran juga sudah lama tidak aku sentuh. Saudara Islam mana yang mahu mengaku aku saudara mereka nanti? Mengucap? Ya Allah…
La ila ha illallah Muhammaddur rasulullah… Iqram mengucap panjang. Aku berdosa, ya Allah. Dia memohon ampun. Tangannya tinggi memanjat doa. Arwah Nirina yang baru dikahwini sudahpun kembali ke rahmatullah. Dia membawa bersama bayi yang belumpun sempat untuk mengenal betapa hodohnya dunia ini.
Dia berdosa. Bayi yang terlalu kecil itu juga telah pergi membawa bersama dosa yang ditinggalkan oleh bapanya. Bodoh! Bodoh! Bodoh! Hatinya menjerit-jerit memarahkan diri sendiri. Jika bukan kerana dia yang terlalu mengikut hati meninggalkan isteri sendirian di rumah tempohari, kemungkinan besar perkara buruk ini dapat dielakkan.
Kata jiran, malam itu mereka ada terdengar pergelutan yang berlaku tapi sangkaan mereka hanya sekadar pergaduhan kecil di dalam keluarga. Iqram mengerti. Memang sudah lumrah hidup berjiran di bandar besar, kebanyakan daripada mereka jarang ingin mengambil tahu hal ehwal jiran tetangga yang lain.
Kata pihak pengurusan kondo pula, kejadian yang berlaku sememangnya di luar kawalan mereka sendiri. Kedatangan Bob ke situ bagi mereka adalah perkara biasa memandangkan arwah memang sentiasa berurusan di situ. Setelah mendapat laporan doktor, polis juga akhirnya menutup kes dengan mengklasifikasikan kejadian ini sebagai homisid yang bermotifkan cemburu semata-mata.
Iqram pasrah dengan apa yang telah terjadi. Ibu dan bapa mertua, Haji Leman dan Mak Royah dijeling dari jauh. Mereka berdua duduk bertafakur berteduhkan pohon kemboja. Sesekali kelihatan Mak Royah tersedu-sedan meratap dan memeluk sanak saudara yang hadir mengucapkan takziah.
Haji Leman lebih tenang. Wajahnya serius. Mulutnya langsung tidak berkata apa-apa. Sejak semalam dia memendam perasaan marah di dalam hati. Marah pada Iqram akibat kecuaiannya dan marah pada takdir kerana terlalu awal menjemput anaknya itu pulang.
"Sampai aku mati aku tak akan maafkan kau, Iqram!" Itu kata-kata yang terpacul dari mulut Mak Royah sewaktu hadir untuk menjemput jenazah di hospital semalam.
Iqram tidak mampu untuk berkata apa-apa selain meminta maaf atas segala yang telah terjadi waktu itu. Sempat juga dia berlari ke bilik sebelah di mana jenazah Bob diletakkan sebaik saja Balqis dan anak-anaknya tiba di situ. Kaki isterinya itu dicium sambil memohon maaf atas segala keterlanjuran yang telah dibuat.
Balqis waktu itu tidak dapat untuk berkata apa-apa. Tubuhnya menggigil akibat masih terkejut dengan segala yang terjadi. Air matanya juga bagaikan enggan mengalir. Anak-anaknya, Faisal dan Faireen hanya berdiri di satu sudut. Seperti berada di muka pengadilan, mereka ketakutan.
Di satu kampung yang lain, kelihatan talkin turut dibaca di pusara anak bongsu tersayang. Kak Yah sedari tadi tidak dapat menahan sebak di dada. Semalaman tubuhnya lemah sebaik saja menerima berita kematian Bob. Dia dipapah oleh anak-anaknya yang lain untuk mengenalpasti jenazah di Hospital Kuala Lumpur sebelum membawa arwah pulang untuk disemadikan di kampung halaman, bersebelahan kubur arwah bapanya.
Kata doktor, arwah telah membunuh diri dengan mengelar lehernya selepas dia membunuh Nirina. Juga ada beberapa kesan calar balar ditubuhnya menandakan berlakunya pergelutan di antara kedua-dua mangsa semasa kejadian.
"Kalau Bob tak gila kenapa Bob ada kat sini? Semua orang dalam ni semua gila. Lama-lama kat sini Bob pun boleh jadi gila macam dia orang! Mak saja letak Bob kat sini sebab Mak pun ingat Bob dah gila kan, Mak?"
Kata-kata itu terngiang-iang lagi di telinga. Kak Yah bagaikan sudah mendapat berita ini terlebih dahulu di dalam mimpinya malam itu.
Entah kenapa, malam itu selepas dia pulang dari rumah Abang Uda, tubuhnya terasa agak lain sedikit. Selesai menunaikan solat isyak, dia tertidur di dalam bilik. Di dalam tidurnya itu dia mengalami mimpi yang agak aneh. Mimpi tentang Bob datang bersujud dan meminta ampun kepadanya.
Di belakangnya pula, kelihatan arwah Abang Bakri berdiri lalu membawa anak bongsunya itu pergi ke satu tempat yang terasing. Satu tempat yang jauh dari pandangan mata.
Dia tidak berkata apa-apa waktu itu. Cukup hanya dengan sebuah senyuman manis yang terukir. Kak Yah menangis. Sudah lama dia menantikan senyuman manis itu.
Kata Abang Bakri, "kami tak akan lama pergi dari sini. Tunggu…" Sebelum satu cahaya terang, menarik tubuhnya hilang dari pandangan.
Kak Yah tidak mengerti dengan maksud kata-kata dari arwah bekas suaminya itu. Puas dia cuba untuk menahan kedua-duanya pergi, tetapi tangannya tidak berdaya untuk menghalang.
Apabila tersedar jam sudah menunjukkan tepat pukul tiga pagi. Tubuhnya berpeluh-peluh. Seluruh rumah waktu itu hanya bertemankan bunyi cengkerik dengan berselang-seli suara siulan pungguk yang rindukan bulan.
Dalam kegelapan itu, dia bangun ke bilik air. Mengambil wudhuk dan mula bersolat tahajud untuk mencari jawapan pada mimpi yang tersirat.
Di depan pusara itu dia masih menangis lagi. Buku yasin yang dipegang hampir lembap dengan airmatanya yang gugur. Ramai sanak saudara terdekat yang hadir untuk memberi penghormatan terakhir di situ. Termasuk Balqis dan anak-anaknya juga. Mereka sekeluarga bergegas ke hospital selepas menerima berita yang mengejutkan itu awal pagi semalam dari Maryam, anak sulung Kak Yah sendiri.
Sebaik saja tiba di sana, Kak Yah terus meraung meminta maaf di atas segala dosa-dosa yang telah dilakukannya. "Ini balasan tuhan! Balasan tuhan! Ya Allah!" Katanya berulangkali sambil bersujud di kaki adik iparnya itu.
Balqis tumpang simpati. Balasan tuhan? Karma? Dia tertanya. Ya, mungkin ini balasan tuhan terhadap apa jua yang kita telah lakukan. Mungkin juga ini sudah suratan takdir. Kita perlu pasrah kerana memang sudah tertulis di dalam bukuNya bahawa Bob akan pergi dengan cara begini.
"Sabarlah, Kak. Yang dah lepas tu, biarlah lepas. Sebaik-baiknya kita doakan dia. Semoga tuhan tempatkan dia di sisi orang-orang yang beriman," jawabnya untuk menenangkan keadaan.
Bacaan talkin dari imam masjid itu diamati.
Ketika itu hendaklah kamu menjawab soalan-soalan mereka dengan cermat dan sehabis-habis terang, tepat, dan betul. Janganlah berasa gementar atau tergopoh-gapah.
Jawablah dengan tenang dan berhati-hati.
Allah Taala Tuhanku,
Muhammad nabiku,
Islam agamaku,
Baitullah itu kiblatku,
Orang Islam itu saudaraku,
Kitab suci Al-Quran ikutanku,
Dari hidup hingga aku mati aku mengucap, La ila ha illallah Muhammaddur rasulullah.
"Inna lillah wa inna 'ilayhi raji'un," bisik Balqis perlahan ke telinga anak-anaknya. "Daripada Dia kita datang, kepada Dia juga kita kembali," sambungnya lagi.
Faireen dan Faisal menundukkan kepala. Insaf.
Lima belas minit kemudian, Pak Imam mula beransur pulang sebaik bacaan talkin habis dibaca. Kak Yah dan anak beranaknya mengambil giliran untuk menyiram air dan menabur bunga-bungaan di kubur arwah.
Sanak saudara yang lain makin lama makin berkurangan di situ. Kak Yah mencium batu nisan sebelum pergi. "Insya allah, kita jumpa di syurga ya, Nak," bisiknya lembut.
Dalam doa Pak Imam tadi ada mengatakan sebaik saja kaki-kaki mereka ini melangkah tujuh tapak meninggalkan kawasan perkuburan itu, arwah akan didatangi oleh dua malaikat yang ditugaskan oleh Allah swt. Semoga bekalannya di dunia dapat membantunya di alam barzakh nanti.
Kullu nafsin dzaikatul maut. Semua yang hidup pasti akan menemui ajal. Dunia hanyalah sementara manakala akhirat itu yang kekal abadi.
mati...bila tnya semua org ckp takot mati...
BalasPadamtpi maseh nk kejar dunia..huhu...
kita da smakin terleka...
betulla lah tuh.... life mcm tuh la. melalaikan...
BalasPadam