Ahad, 6 September 2009

Bab 25. Pengantin baru.

*** ramai org bertanya bile citer ni nak abis... x sabar nak tunggu ending ke dah busan?





Bab 25. Pengantin baru


Mengahwini lelaki itu ibarat membeli sesuatu yang anda idamkan dari jendela luar sebuah kedai. Anda mungkin meminatinya untuk membawa pulang tetapi biasanya ia jarang sesuai dengan barangan rumah yang lain ~ Jean Kerr





Sarapan sudah terhidang di atas meja. Kata orang sarapan orang bujang. Cuma teh susu panas dengan biskut mayat. Ada juga nasi goreng dan rendang ayam lebihan dari lauk kenduri semalam.

Haji Leman dan Mak Royah tiada di rumah. Seorang ke balai raya, ada mesyuarat dengan ketua kampung manakala seorang lagi ke pasar, sedang mencari barang dapur.

Nirina telah bangun seawal pagi. Selesai menyediakan sarapan tadi, dia terus mandi untuk bersiap-siap di depan suami tercinta. Sejak dari semalam, sebaik saja dia dinikahkan dengan Iqram, bibirnya tak henti-henti menguntum senyum. Air matanya juga tak putus-putus gugur tanda kesyukuran. Bersyukur setelah menempuh pelbagai rintangan, akhirnya berjaya juga mereka berdua bergelar suami isteri.

Dalam waktu yang sama, dia terkenangkan Bob. Hatinya bercamput baur. Antara sedih, kesal, dan kecewa. Pelbagai perasaan timbul apabila mindanya mula memikirkan nasib yang melanda teman rapatnya itu.

Dia terfikir, mungkin Bob kini sedang bergembira bersama perempuan lain. Mungkin juga dia masih bermurung dengan apa yang berlaku. Nyatanya, dia tidak tahu. Nirina mula gusar seandainya lelaki itu ada mengadu tentang hal yang berlaku antara mereka berdua kepada ibunya.

Bagaimana jika Kak Yah terlepas bercerita tentang pernikahannya pula nanti? Atau mulut becoknya terjaja cerita Iqram yang telah beristeri dua?

Dia takut. Benar-benar takut.

"Apa yang kau termenungkan lagi tu?" Tegur Mak Royah yang tiba-tiba muncul di muka pintu belakang rumah. "Iqram dah bangun?"

"Entahlah, Mak. Terbungkang lagi kot?" Jawabnya sambil mengambil bungkusan makanan dan barang dapur dari tangan ibunya itu. "Banyaknya. Apa yang Mak beli ni?"

"Pisang muda ni nak buat masak lemak dengan ikan. Tadi balik dari pasar singgah kat kedai Cik Nona, beli apam dengan karipap. Ayah kau suka. Iqram ada pantang apa-apa tak?"

"Tak tahu lah, Mak. Pantang lepa kot?"

"Kau ni semua tak tahu. Laki kau tu kan?"

Nirina tersenyum. Memang betul. Banyak benda yang dia masih belum tahu tentang suaminya itu. "Banyak lagi yang Rina kena belajar, Mak…"

Mak Royah menggeleng, "dia tu orang jantan, Rina. Kalau isteri tak pandai jaga, dia cari orang lain lah nanti..."

"Mak ni perli ke apa?"

"Bukan perli. Kenyataan. Walaupun kau tu bini muda jangan nak ambil ringan sangat. Madu kau tu perempuan jugak. Kau ada fikir hati dia? Kau kenal dia? Ada kau pernah jumpa dia?"

"Mak!" Tangan ibunya ditarik ke belakang. "Apa yang Mak cakap ni? Nanti Iqram dengar lah!" Bisiknya keras.

"Kalau tak kau tu dah boyot, Mak tak akan bagi kau ambil laki orang, tau!"
"Mak?!" Nirina mula meninggikan suara sedikit.

"Ingat satu benda je, Rina. Orang jantan selagi pucuk dia belum mati, dia boleh kahwin empat!"

"Assalamualaikum, Mak!"

Berderau darah Nirina melihat suaminya tiba-tiba muncul dari belakang. Dia cuba tersenyum tapi nampak sangat senyumnya sekelat teh panas yang hampir suam di atas meja itu.

"Jom breakfast!" Pelawanya menarik lengan Iqram ke meja makan.

"Jom makan sekali, Mak!"

"Kau pergilah makan, Iqram. Dah nak masuk tengahari dah. Mak makan tengahari terus," balas ibu mertuanya itu tajam.

Dari hujung dapur, dia memperhati gelagat Nirina melayan suaminya itu. Mak? Dia mencebik. Tubuhnya menggeletar sedikit. Geli melihat telatah mereka berdua.

Dalam sibuk menyiang ikan di dapur, kedengaran bunyi motor kapcai Haji Leman masuk ke laman rumah. Bunyi enjin motor yang entah sudah berapa lama tidak diservis itu benar-benar membingitkan telinga.

"Assalamualaikum!" Jeritnya dari bawah sambil memanjat satu persatu anak tangga rumah kampung itu. Dia terbatuk kecil. Mengurut dada yang kesakitan kesan asap rokok yang makin banyak ditelan sejak akhir-akhir ini.

Bibirnya yang kering terukir juga sebuah senyuman bila terlihat anak dan menantu duduk di meja menikmati sarapan yang terhidang. "Makan, Iqram?" Soalnya.

"Jemput makan sama, Bah," jawab Iqram malu-malu.

"Minum teh, Abah? Ada biskut kering dengan nasi goreng. Rendang semalam pun ada ni, ha!" Pelawa Nirina pula.

Haji Leman duduk di kerusi malas. Dalam termengah-mengah memanjat tangga tadi, ringan pula jarinya menyalakan sebatang lagi rokok di bibir. "Kau orang makan je lah. Ayah dah minum pun kat balai raya tadi. Mak kau mana?"

"Ada kat dapur. Tengah masak agaknya," jawab Nirina.

"Oi, Royah! Bawak air kosong! Haus pulak tekak ni, ha!" Jerit Haji Leman disambut dengan batuk-batuk kecil.

Mak Royah menjeling. Tangannya yang sibuk membuang isi perut ikan tadi dibasuh. Air masak yang masih berasap dari cerek hitam di atas dapur, dituang ke cawan kaca. Dia melangkah setapak demi setapak ke ruang tamu. Berat saja langkahnya. "Nah!" Hulurnya pada suami yang sibuk menghembus asap pembunuh.

"Isteri Abang buat apa kat dapur tu?" Soal Haji Leman sebelum menghirup air kosong suam yang diberi.

"Nak bagi Abang makan lah. Itu lah gunanya isteri. Bagi suami makan, jaga suami, belai suami barulah kekal bahagia sampai bila-bila. Tak gitu, Iqram?"

Iqram tersengih-sengih bagai kambing yang terperangkap di dalam kandang harimau. Nirina di sebelah yang mula kekok dengan kata-kata ibunya itu dijeling tajam.

"Betul kata Mak kau tu, Rina. Kau kena banyak belajar dari orang yang lebih berpengalaman dalam hal rumah tangga ni. Tingkah laku kena jaga. Makan pakai suami kena pastikan siap sedia. Hidup kau sekarang dah tak macam dulu. Bila dah bersuami, jangan nak liar-liar macam dulu lagi," sambung ayahnya pula berkhutbah.

"Liar apa pulak ni, Abah…"

"Kau tahu lah liar yang macamana, Rina. Perlu ke Mak ngan Abah cerita panjang-panjang?" Sampuk ibunya semula.

Iqram tersedak.

Nirina bingkas bangun dari tempat duduk. "Nak gi bilik air kejap," pintanya dengan merah padam mukanya menahan marah.

"Kamu nak honeymoon ke mana, Iqram?" Tiba-tiba Haji Leman menukar topik perbualan.

"Ke Australia, Abah. Seminggu. Esok kami pergi," jawab Iqram tanpa ragu-ragu.

"Dulu dengan bini pertama kau, kau bawa dia ke mana?" Soal Mak Royah pula.

"Dalam Malaysia je Mak. Sabah."

"Dia tau kau dah kahwin lain?" Tanya Mak Royah lagi.

Iqram menggeleng perlahan.

"Bila kau nak bagitahu?"

"Royah…" Tegur Haji Leman halus.

"Saya bukan apa. Saya ni perempuan, faham dah hati perempuan tu macamana. Sampai bila nak berselindung pun?"

"Sampai tiba masanya lah," Haji Leman menjawab.

Mak Royah mendengus, "dah lah! Saya nak sambung buat kerja kat dapur tu. Kalau tak tangan ni yang bekerja, tak makan lah satu rumah!"

Iqram turut sama berdiri.

"Kau nak ke mana pulak, Iqram?"

"Nak ke toilet jap, Bah. Minta diri dulu!" Jawab Iqram sebelum berlalu pergi.

Nirina yang sedari tadi panas hati mengurung diri di dalam bilik. Dia berbaring di atas katil. Memikirkan segala butir kata yang keluar dari bibir orangtuanya itu.

"Ingat satu benda je, Rina. Orang jantan selagi pucuk dia belum mati, dia boleh kahwin empat!" Terngiang-ngiang kata-kata itu di fikiran. Dia mendongak ke langit sambil merenung masa depan yang bakal terjalin antara dirinya dan suami.

Ada benar kata-kata ibunya itu. Jika hari ini Iqram bisa menduakan isteri pertamanya, tak mustahil satu masa nanti dia tergamak juga memperlakukan perkara yang sama sekali lagi.Waktu itu ke mana yang harus dituju? Siapa yang harus dipersalahkan? Akan bersorak gembirakah insan-insan yang pernah menangis akibat tindakan aku dulu?

Tak lama kemudian, Iqram melangkah masuk. Dia tersenyum sambil mengerutkan dahinya yang luas. "Kenapa baring kat sini? Tak sedap badan?" Soalnya.

Nirina mengesat air mata yang mengalir.

"You nangis? Kenapa?"

"Tak sedap hati," jawabnya pendek.

"Pasal kata-kata Mak tadi?"

Nirina diam. Iqram mengurut bahunya perlahan. "Alah, orang tua macam tu lah. Dia bimbangkan masa depan anaknya," sambungnya menenangkan perasaan.

"Kalau tak kerana I dah pregnant, dia tak akan setuju kita kahwin, Iqram."

"Dia tak nak you jadi second wife I ke?"

"Dia tak suka laki yang pasang dua tiga bini..."

Iqram ketawa besar, "cukup-cukuplah, Rina. Dua pun dah berat dah beban I, tau!"

"Beban sekarang. Esok esok bila dah ringan, you pasang lah satu lagi kan?"

"Ish, kenapa you cakap camtu pulak?"

"Sebab mak I cakap tu betul. Orang jantan selagi pucuk dia belum mati, dia boleh kahwin empat!"

Iqram terkedu. Tangannya menakup "pucuknya" yang sedang tidur. Mindanya mula terimbas pada peristiwa yang terjadi pada "malam pertamanya" bersama isteri barunya itu malam semalam.

Kata orang, malam pertama itu malam yang istimewa. Malam penentuan sejauh mana kekuatan suami mendayung isteri. Malam pengadilan seranum mana buah dara yang baru dipetik. Tetapi malam tadi, tubuhnya langsung tidak bermaya. Sebaik saja meletakkan tubuh ke dada katil, dia lemah longlai.

Dia sedar bahawa malam pertama bukan begitu bermakna bagi mereka berdua lagi kerana jika bukan kerana dayungnya yang telahpun membuahkan hasil, belum tentu dia akan bergelar pengantin baru sekali lagi.

Tetapi setidak-tidaknya, dia ingin juga merasa kehebatan malam pertama yang disebut-sebut orang itu. Ya, sekali lagi. Selepas tiga puluh tahun dia merasanya bersama Balqis dahulu.

"Kenapa you diam?"

"Sorry, I tak tunaikan kewajipan I pada malam pertama kita..."

"You dah banyak kali tunaikan, Iqram. Dah tak terkira dah malam pertama kita tu..."

Iqram tersenyum, "tapi itu kan malam pertama kita?"

"Malam ni pun boleh lagi, Iqram. Malam esok pun boleh, malam lusa pun boleh, bukan malam pertama je..."

"Sekarang?"

"Sekarang I nak packing. Esok kan kita nak pergi honeymoon, kan?"

Iqram mengeluh, "terlepas lagi," lalu menghempaskan tubuhnya ke katil.

Nirina tersenyum kecil.

2 ulasan: