Cinta tidak pernah melihat kesilapan, ia menerima dan memaafi, dan menariknya, ia juga belajar dari kesilapan itu sendiri ~ Seri Rulez
"Ibu mana?" Tegur Faisal pada kakaknya yang sedang sibuk memotong sayur buat makan malam di dapur.
Faireen yang kusyuk dengan kerjanya cuma mengangkat bahu.
Faisal merebahkan tubuhnya ke sofa. Matanya yang masih lesu dikesat-kesat. Fikirannya masih buntu dengan apa yang berlaku semalam. Sepanjang hari dia berkurung saja di dalam bilik. Tidak mahu bersuara. Tidak juga mahu memikirkan apa-apa.
Tapi makin lama dia mengurungkan diri, makin kerap pula peristiwa pertembungannya dengan Syafiq berlegar-legar di dalam fikiran.
Alat kawalan jauh dicapai. Butang-butang kecil dipicit-picitnya untuk mencari rancangan yang sesuai untuk ditonton.
"Kau tak cerita lagi macamana kau boleh kenal Syafiq," tiba-tiba soalan yang terpacul dari mulut Faireen kembali memeningkan kepalanya.
Dia menghela nafas panjang. "Kawan atas kawan," jawabnya ringkas.
Televisyen yang baru dibuka, kembali ditutup. Dia bingkas bangun. Memanjat anak tangga satu persatu untuk kembali ke bilik.
Faireen pelik melihat kelakuan adiknya petang itu. Sejak dari petang semalam, dia banyak menghabiskan masa di dalam bilik. Bila diajak untuk makan bersama, dia langsung tidak mahu menunjukkan wajah.
Katanya pada Ibu, dia tidak berselera untuk menjamah nasi. Kata Ibu pula, mungkin dia tidak sedap badan.
Tetapi Faireen tak rasa begitu. Faireen kira adiknya itu tak sedap hati. Mungkin ada kena mengena dengan Syafiq. Dia dapat melihat dari riak wajah Faisal semalam yang jelas terkejut apabila bertembung dengan kekasihnya itu di rumahnya.
Apabila dia cuba menghubungi Syafiq untuk bertanyakan kisah yang sebenar, taliannya tidak langsung berjawab. SMS yang dikirim juga tak satupun yang berbalas.
Faireen mula musykil dengan situasi yang berlaku. Hendak diadu kepada Ibu, Ibu pula hilang entah ke mana. Hendak ditanya kepada Ayah, Ayah tak tahu menahu langsung hal mereka anak beranak sejak akhir-akhir ini.
Akhirnya jari jemarinya gatal memicit nombor telefon teman baiknya, Rozi. Rakan sekerja, kaunter pengaduan, dan merangkap pembimbing rakan sebayanya.
Faisal di dalam bilik lebih banyak termenung. Otaknya ligat berfikir tentang kejadian yang tak diduga semalam. Dia tak punyai sesiapa untuk mengadu. Selalunya jika dia dirundung masalah berat begini, Faireen yang banyak memberi kata-kata semangat. Tetapi kali ini, masalahnya bersangkut paut dengan Faireen sendiri.
Tubuhnya lemah bila mengenangkan cinta tiga segi yang terjalin antara dia dan kakak kandungnya itu. Dia menghantuk-hantukkan kepala dengan novel tebal ditangan. Buntu. Tiada jawapan. Bodoh. Bodoh. Bodoh. Satu perkataan yang ringan saja terpacul dari bibir. Jika tidak kerana dia yang membenarkan dirinya dicintai Syafiq dahulu tiaak mungkin jiwanya akan bergelut dengan perasaan yang kusut ini.
Bodoh. Marahnya sekali lagi pada diri sendiri. Hatinya tertanya, kenapa mindanya mengambil ringan apabila Syafiq mengaku yang dia sudah punyai teman wanita dahulu? Kenapa hatinya tidak terdetik langsung dahulu bahawa kebarangkalian teman wanita Syafiq itu adalah kakaknya sendiri?
Dan yang pasti, kenapa dia perlu diingatkan sekali lagi bahawa dunia yang bulat ini sangat kecil bulatannya?
Bodoh. Dia tiada jawapan. Dihentakkan novel tebal itu tepat ke dahi sekali lagi.
Kentang yang dipotong tadi segera dimasukkan ke dalam periuk. Begitu juga daging yang baru siap direbus. Dicampurkannya sekali. Faireen menghirup sedikit kuah masak lemak yang dimasaknya. Sedap. Sambil menunggu lauk itu siap, dia kembali ke ruang tamu. Tangannya lalu mencapai gagang telefon. Nombor Rozi ditekan.
"Helo..."
"Helo," jawab Rozi dengan sayup-sayup saja terdengar suaranya.
"Kau kat mana ni?"
"Kampung. Line tak clear sangat lah kat sini. Sedih!"
"Bila kau balik?"
"Esok. Kenapa?"
"Tak ada apa-apa. Saja nak call kau. Tak apa ke?"
"Tak apa lah. Aku pun baru teringat nak call kau sebenarnya."
"Kau rindu kat aku, eh?"
"Tak lah sangat. Tapi aku ada benda nak cakap."
Faireen ketawa. "Apa benda yang kau nak cakap tu? Penting sangat ke?"
"Kau call aku nak cakap pasal apa sebenarnya?" Soal Rozi kembali.
"Alah, kau beritahu lah aku dulu!"
"Kau yang call aku, kau lah yang beritahu dulu, OK!"
Faireen mula tersenyum simpul, "OK lah. Aku bagi kau hint, kau bagi aku hint jugak. Pasal Syafiq. Kau?"
"Pasal ayah kau..."
"Ayah aku? Pasal apa dengan ayah aku?"
Tut! Tut! Tut! "Helo? Helo? Helo?" Faireen memerhati skrin di telefon. Call ended. Jari jemarinya pantas mendail semula.
"The number you have called is not in service," suara lembut dari pesanan berkomputer tiba-tiba menyentakkan perasaan. Hatinya menggaru-garu ingin tahu.
"Helo. Saya nak jumpa dengan awak sekarang. kita kena settle kan perkara ni secepat mungkin sebelum masalah ni lagi besar, lagi beranak pinak. Awak dengar tak?"
Suara Syafiq di telinga tak langsung diendahkan. Faisal memerhati remang senja dari anjung biliknya. Rokok yang sudah lama tersimpan di dalam laci kembali terselit di jari. Sedut. Hembus. Sedut. Hembus. Berkepul-kepul asap pembunuh itu menerawang di udara.
"Helo, Faisal! Awak dengar tak? Saya tahu awak ada kat situ. Tolong cakap. Jangan ignore kan saya. Saya betul-betul keliru. Saya benar-benar rasa bersalah sekarang nih!"
Faisal cuma menggeleng. Dia tak rasa Syafiq perlu dipersalahkan dalam situasi yang rumit ini.
"Faisal, please. Say something…"
"Awak nak suruh saya cakap apa, Fiq?" tiba-tiba dia berani bersuara.
"Apa saja. Jumpa saya. Kita discuss."
"Saya tak nak jumpa awak lagi. Saya malu pada diri saya sendiri."
"Sal, tolong. Saya tak nak hubungan kita berakhir macam ni. Kita mesti betulkan balik apa yang dah terjadi, kan?"
"Nak betulkan macam mana? Dah memang yang kita buat ni salah. Salah dari segi agama. Salah dari segi adat. Senang cerita, awak lupakan je saya ni..."
"Macam tu je?"
"Syafiq, dia tu kakak saya, tau! Sekarang ni pilihan di tangan awak. Awak nak jadi kekasih saya ke, abang ipar saya?"
"Tapi saya perlukan kedua-duanya..."
"Jangan jadi bodohlah. Orang tamak selalu rugi!"
Telefon bimbitnya dibaling ke atas katil. Hatinya panas. Matanya menjeling menahan geram. Sebatang lagi rokok dinyalakan. Sedut. Hembus. Sedut. Hembus. Paru-paru makin lebam terbakar. Faisal rasa sedikit tenang.
Tin! Tin! Bunyi alat penggera kereta Balqis dari depan rumah memecah kesunyian malam. Dia melangkah perlahan menjinjing ubat-ubatan pemberian Abang Uda siang tadi. Matanya yang bengkak dek menangis sepanjang perjalanan tadi cuba ditutup dengan bedak tebal di muka.
"Hai, dah makan?" Soalnya pada Faireen yang duduk termanggu di depan kaca TV. Anak daranya itu cuma menggeleng. Balqis pelik. "Faisal mana?" Soalnya sekali lagi. Faireen cuma mengangkat bahu. Muncungnya ditunjahkan ke atas. "Sudah-sudah tengok TV tu. Cepat hidangkan makanan kita makan sama-sama," arahnya.
Dia melangkah ke atas bilik. Singgah di tepi bilik Faisal, diketuknya daun pintu bilik anak bujangnya itu perlahan. "Jom makan!" Jeritnya. Tiada jawapan. Balqis meneruskan langkah dua tiga tapak ke hadapan. Masuk ke biliknya, terus dicampakkan plastik di tangan ke atas meja kecil di sebelah katil. Dia duduk. Kemudian bangun. Duduk semula. Bangun.
"Jom makan! Ibu lapar!" Jeritnya sekali lagi.
Faisal keluar dari bilik terus ke dapur. Matanya memerhati Faireen yang sibuk menghidang makan malam mereka sekeluarga. Balqis yang sudahpun bersalin ke baju todur, turun lima minit kemudian. Matanya merenung Faisal yang cuma diam membisu. Kemudian beralih pula kepada Faireen yang juga tak bersuara.
"Faisal baca doa," arahnya.
Faisal menurut.
"Faireen tolong tuangkan air Ibu," arahnya pada Faireen pula sejurus selepas doa makan dibaca.
Faireen turut tak membantah.
"Kenapa sepi je semua? Malaikat lalu ke?" Sindirnya halus namun tiada siapa yang mengendahkan sindiran halusnya itu.
"Bila Syafiq nak datang lagi, Reen?"
Mendengar soalan cepumas dari ibunya itu, Faisal terasa bagai tercekik tulang ikan di leher. Nafasnya tiba-tiba terhenti. Air kosong penuh segelas depan mata dihirupnya dengan gelojoh.
Faireen terkejut melihat adiknya sedemikian rupa. "Kau OK?" Soalnya berkerut di dahi.
"Tekak sakitlah," jawab Faisal berbohong. Dia membasuh tangan lalu berdiri.
"Kenapa tak makan habis?" Soal ibunya pula.
Jawabnya mudah, "tak ada selera, Bu. Nak pergi klinik. Sakit tekak."
Setengah jam kemudian, Faisal beredar meninggalkan ibu dan kakaknya yang masih tekun menghadap rezeki. "Bye!" Ucapnya sepatah sebelum beredar.
"Sakit tekak, ke?" Soal Faireen kembali sejurus selepas adiknya itu hilang dari mata.
"Kenapa?"
"Reen perasan, lepas dia jumpa Syafiq semalam dia terus jadi tak tentu arah. Macam dia sembunyikan sesuatu."
"Sesuatu apa?"
"Entahlah. Sesuatu yang di luar jangkauan, kot?"
Balqis tersenyum, "kalau di luar jangkauan tu susah sikit. Dalam jangkauan Ibu tau," balasnya sambil mengurut dagu. "So, bila lagi kau nak ajak Syafiq datang sini? Kata dia nak masuk meminang. Bila?"
"Entahlah, Bu. Reen pun tak tahu. Yang peliknya, macam mana Faisal boleh tahu? Reen tak cerita pun kat sesiapa. Oh wait, Reen cerita kat Rozi. Tapi tak kan lah Rozi cerita kat Faisal. Dia orang bukan kenal mesra pun!"
Balqis ketawa, "kita jangan sangka kita tahu semua, Reen. Ada benda yang kita tak agak kadang-kadang agak kerap terjadi," sambungnya penuh erti.
"Tadi Reen call Rozi. Dia kata ada benda nak cerita pasal Ayah."
"Pasal apa?"
"Entahlah. Line putus. Reen nak call dia balik kejap lagi."
Balqis mengangguk perlahan. Apa pula yang Rozi tahu pasal suami aku ni, bisiknya dalam hati. Fikirannya terus terlekat pada bungkusan plastik di dalam bilik. "Eh, Ibu nak naik sembahyang. Tolong basuh pinggan, eh?" Dia berbohong.
"Hmm..." Balas Faireen dengan mulut yang penuh.
Lima bilis minit kemudian, Faisal meletakkan keretanya betul-betul di ruang kosong di depan Klinik Anda. Dari situ dia melintas ke seberang jalan, terus menuju ke kondominium tiga puluh tingkat yang berdekatan.
Langkahnya diatur satu persatu. Lemah. Langsung tiada bermaya. Tiba di pintu masuk, dia menekan butang interkom. "Saya dah sampai," katanya.
Tit! Bunyi daun pintu kaca automatik itu terbuka. Faisal menekan butang lif. Menunggu. Pintu lif terbuka. Angka lima belas ditekan. Daun pintu tertutup. Dia menunggu lagi.
Beberapa minit selepas itu dia tiba di destinasi. Loceng di tepi pintu ditekan. Masih menunggu dengan penuh sabar. Tiba-tiba Syafiq muncul. Faisal menghulurkan salam. Syafiq membalasnya dengan dakapan erat. Dia menangis. Itu pertama kali Faisal melihat teman lelakinya itu menangis.
"Saya minta maaf, Faisal. Saya minta maaf," ucapnya berulang-ulang.
Faisal lemah dalam bab-bab begini. Dia membalas dakapan erat lelaki itu. Entah bagaimana air matanya turut mengalir juga. "Awak tak salah, Fiq. Semua salah saya. Saya tak patut..." belumpun sempat dia habiskan kata-katanya, tiba-tiba bibirnya basah dikucup Syafiq. Dia terkesima. "Syafiq?!"
"Syyy…" Balas Syafiq lembut. Bibirnya terus melekat ke bibir Faisal yang memang sudah sedia ada lembap dengan pelembap bibir itu.
"Ibu!" Jerit Faireen dari luar bilik. Lama dia mengetuk namun panggilannya tak berjawab.
Selang beberapa minit kemudian, dengan bertelekung putih Balqis membuka pintu. "Apa? Ibu tengah sembahyang lah!"
"Lamanya Ibu sembahyang? Ni apa yang bau kemenyan ni?"
"Tak ada apa-apalah!" Marah Balqis kembali. "Kenapa?"
"Reen baru cakap dengan Rozi. Ayah bukan kat Australia, Bu. Dia ada kat Perlis semalam. Menikah dengan cousin Rozi..."
"Menikah?"
Faireen mengangguk.
Balqis pucat. Daun pintu biliknya dihempas kuat. dibiarkannya Faireen tercegat berdiri di luar seorang diri. Dia terduduk. Meraung. Pisang muda yang disorokkan di celah pintu tadi terus dibaling ke bawah katil. Tangannya pantas menumbuk lantai marmar putih di bilik itu. Dia geram. Bagai digilis treler, begitulah hatinya kini. Benar-benar remuk.
hoho...kurang pahala posa nengok gambo diatas..hik3..
BalasPadama'ah kurus sikit pahala posa! apapun tak sabar tunggu ending ni ..
BalasPadamAiLing
dh mcm nk abes je ni...byk yg dh terbongkar..
BalasPadam