Jumaat, 11 September 2009

Bab 31. Marah

"Anger is one letter short of danger"









"Kak Yah, bawa saya jumpa bomoh. Saya nak berubatlah. Saya rasa saya kena buatan orang ni."

"Buatan orang? Siapa pula yang nak buatkan kau ni, Iqram?"

"Entahlah. Sejak akhir-akhir ini, saya rasa badan saya lemah-lemah. Nafsu saya hilang langsung. Kak Yah tahu tak sampai sekarang saya belum sentuh isteri saya lagi!"







Bunyi jeritan cerek di dapur menyentakkan lamunan. Kak Yah bangun mematikan api pada dapur gas yang usang itu. Air panas di dalam cerek tadi dituangkan separuh ke dalam flask sementara selebihnya dituangkan pula ke dalam jag buat minuman.

Kemudian dia menyusun mangkuk tingkat yang berselerak di atas meja satu persatu. Tingkat bawahnya diisi dengan nasi putih, kedua dengan lauk ikan masin, dan gulai pucuk manis diletak di atas sekali.

Jam di dinding diperhati. Sebentar lagi dia ke akan ke hospital. Ingin melawat Bob yang masih terlantar di sana sejak seminggu yang lalu. Kata doktor, kesihatannya makin terganggu sejak kebelakangan ini. Ada ketikanya dia akan meraung secara tiba-tiba memanggil nama perempuan yang tidak dikenali. Adakalanya pula dia akan memberontak memarahi pesakit lain.

Nasihat doktor, hari ini merupakan hari terakhir dia berada di wad psikiatri itu. Jika penyakitnya masih lagi berterusan, dia akan dipindahkan ke wad lain untuk dirawati oleh pakar psikiatri yang lebih berpengalaman pula.

Kak Yah bimbang. Malam tadi selepas berbincang dengan anak-anaknya yang lain, mereka sebulat suara bersetuju untuk membiarkan saja Bob mendapatkan rawatan susulan di situ. Kata mereka mungkin Abang Uda sudah gagal untuk menemui jalan penyelesaiannya lagi.

Abang Uda? Mengapa setiap kali hidupnya dirundung masalah, nama lelaki itu juga yang dijadikan rujukan? Kenapa tidak berserah kepada tuhan?

Kak Yah menggeleng. Tidak. Bukan dia tidak mahu meminta tuhan untuk membantunya. Sudah berbuih. Tetapi apalah erti satu permintaan itu jika tidak disusuli dengan usaha.

Bertemu dengan Abang Uda itu juga satu usaha. Meminta pertolongan dari Abang Uda itu juga satu usaha. Tuhan tidak akan membantu umatnya yang hanya tahu meminta. Tuhan mahukan umatnya berusaha.

"Ya, kau balik kampung. Nanti Kak Yah bawa kau jumpa bomoh. Kita boleh sama-sama usaha," jawabnya pada Iqram di telefon tadi. Usaha.

Kak Yah tersenyum di muka pintu. Kakinya terhenti seketika memerhati diri yang serba tidak kena. Kain tudung warna merah jambu yang tersangkut di bahu tadi masih lagi belum tersarung di kepala.

Kunci rumah yang dicampaknya di dapur sekembali dari pasar pagi tadi juga masih lagi elok terletak di situ. Begitu juga dengan beg tangan kulit tiruan warna hitam yang entah ke mana perginya kini.

Dia menggaru uban di kepala. Pening. Terlalu banyak perkara yang difikirkan sehingga ingatannya lemah sejak akhir-akhir ini. Kakinya kembali melangkah masuk ke dalam rumah untuk mencapai apa yang masih tertinggal.

Perlahan-lahan dia kemudiannya kembali ke muka pintu. Sebelum keluar, dia membaca doa.

"bismillahi tawakaltu ‘alallahi laa haula walaa quwwata illa billah.

"Dengan nama Allah, aku berserah diri kepada Allah. Tidak ada daya dan kekuatan selain dari Allah…"

Tangan yang ditadah ditakupkan ke seluruh wajah. Belumpun sempat dia menutup pagar, kakinya tiba-tiba longlai. Entah kenapa tubuhnya tiba-tiba tidak bermaya.







Iqram masih lagi tidak lena duduk sedari tadi. Kerusi empuknya terasa bagaikan menyucuk tulang belakang. Mesyuarat yang berlangsung bersama klien terpaksa dibatalkan dengan serta merta. Ini semua gara-gara perutnya tiba-tiba terasa pedih seolah-olah dihentak dengan batu yang berat.

Panggilan yang dibuat kepada Kak yah tadi sedikit sebanyak dapat juga mengurangkan kesakitan yang dialami. Dia percaya, penyakitnya itu bukan datangnya dari makanan ataupun virus kuman yang jahat. Ini penyakit hitam. Datangnya dari hati manusia yang irikan kesenangannya.

Balqis atau Bob. Dua nama yang terpacul di dalam fikiran waktu itu. Sejak kejadian tempohari, dia masih lagi belum sempat untuk bersua-muka dengan kedua-dua nama tersebut.

Kata Balqis, dia enggan untuk bertemu dengan suaminya itu selagi Nirina tidak diceraikan. Kata Kak Yah pula, Bob sudah menghilangkan diri tanpa memberitahu sesiapa.

Dia tidak sabar ingin pulang ke kampung untuk berjumpa dengan bomoh yang dimaksudkan. Dia juga ingin mencari jawapan yang sebenar. Balqis. Bob. Dua nama itu terpacul lagi.

Jika benar apa yang diduga selama ini, teruk kedua-dua itu aku kerjakan, sumpahnya dalam hati.

Dia mencapai kunci rumah. Perut yang masih memulas, ditekan-tekan. "Dawn, I balik dulu. You tolong jaga office," arahnya sebelum berlalu pergi.

Dawn mengangguk lalu membatukan diri sementara rakan kerja yang lain riuh menjerit sebaik saja dia hilang dari pandangan.










Nirina sedang terbujur di depan TV sambil mengunyah keropok kentang goreng kegemaran, ketika Iqram terkocoh-kocoh menjengah masuk. Wajah yang tenang bermain dengan kaki kecil yang menendang perutnya tadi berkerut tiba-tiba.

"Kenapa you?" Soalnya dengan terpinga-pinga.

Namun soalan itu dibiarkan saja tanpa jawapan. Dia geram lalu bingkas bangun menuju ke dalam bilik. "You nak ke mana?" Soalnya sekali lagi.

Iqram yang ketika itu sedang tergesa-gesa memasukkan pakaian ke dalam bagasi kecil masih lagi menguncikan mulut.

"You! Kenapa ni?" Bahu suaminya itu disentaknya kuat.

"I nak balik kampung. ada urusan yang belum settle dengan Kak Yah," jawab Iqram laju.

"Urusan apa yang belum settle? Habis I macam mana kat sini? You nak tinggalkan I seorang diri kat sini?"

"Kalau you nak balik rumah parents you, you pergi balik. I mungkin kat sana sehari dua."

"Iqram! I nak ikut. I ni pregnant, tau! You nak suruh I balik kampung sorang-sorang?"

Iqram mendengus, "Nirina, tolonglah. You belum nak beranak lagipun. You boleh drive, you boleh naik bas, naik keretapi, naik flight pun boleh dah sekarang. You cuba faham masalah I ni…"

"Apa masalah you pula kali ni, Iqram? You nak lari dari siapa pula ni? You nak jumpa siapa?"

"I nak jumpa Kak Yah! I nak suruh dia bawa I berubat cara kampung. I rasa I dah kena buatan orang. I dah bukan jantan lagi dengan you Rina, you tak perasan ke, ha?"

"Buatan orang? Siapa yang buatkan you?"

"I tak tahu. Bye!" Dahi Nirina dikucupnya. Kakinya pantas berlari keluar meninggalkan isterinya itu termanggu sendirian.

Nirina kembali ke ruang tamu. Darahnya seakan-akan naik ke atas dada. Tangannya pantas mencapai gagang telefon, "siapa pula yang buat laki aku tu, Kak Yah!" Jeritnya sebaik saja panggilan yang dibuat berjawab.

"Entahlah, dia syak sama ada Balqis atau Borhan," jawab Kak Yah yang masih dalam perjalanan menuju ke hospital.

"Mana Borhan?"

"Kak Yah tak tahu," bohongnya.

"Agh!" Gagang telefon dibaling ke beranda. Nirina makin tercungap-cungap menahan marah.

Buatan orang? Masih ada lagi orang yang buat orang dalam zaman moden begini? Dia memeluk tubuh mencari di mana logiknya kata-kata Iqram tadi.

Balqis? Nama madunya itu timbul di dalam kepala. Jaga kau! Dia kembali meluru ke dalam bilik.










"Assalamualaikum warahmatullah…. Assalamualaikum warahmatullah," Selesai membaca tahyat akhir, Balqis segera bangun mendapatkan tetamu yang sedari tadi sibuk memicit loceng di pintunya. Niatnya untuk membaca satu lagi juzuk Al Quran yang ditinggalkan semalam terhenti.

Perlahan-lahan kakinya menuruni anak tangga sambil menjingkit telekung putih yang masih membaluti tubuh. Setibanya di muka pintu dia terkejut apabila mendapati Nirina sedang bercekak pinggang berdiri.

"Laki kau tak ada kat sini!" Ucapnya ringkas.

"Aku datang nak jumpa kau! Bukan nak jumpa laki aku, lah!"

Dia mengangkat kening. "Aku ada ambil barang kau ke? Setahu aku kau yang rampas laki aku, kan?"

"Laki aku tu sekarang sakit! Kena buatan orang! Tak payahlah kau nak bertelekung bersujud kat tuhan kalau kau guna-gunakan laki sendiri…"

Balqis tersentak, "kau ada bukti aku guna-gunakan laki sendiri? Ada?!" Soalnya kembali.

"Walaupun tak ada tapi aku tahu tak ada kerja orang lain selain kerja kau! Kalau bukan kau pun, Borhan! Dah memang dasar keluarga suka main bomoh!"

"Kau keluar dari rumah aku ni sebelum aku panggil polis. Nanti dengan kau, kau aku bomohkan! Pergi!"

"Memang aku nak pergi sekarang. Kau tak payah halau! Tak apa lah, Kak. Tuhan tu maha adil. Hari ni kau buat kami sekeluarga macam ni, esok lusa kau terima je lah balasan kau dari tuhan!"

Balqis tertawa, "hei, perempuan hina. Kau ada terfikir tak ni balasan tuhan kat kau setelah apa yang kau buat kat keluarga aku? Ha? Ada terfikir tak?"

Nirina terdiam.

"Kau balik rumah, kau fikir. Fikir masak-masak," sambungnya sebelum menutup daun pintu semula. Dia menyelak kain langsir yang tergantung di depan tingkap sedikit. Nirina dilihatnya tergesa-gesa meninggalkan rumah itu lalu memecut laju kereta yang dipandu. Dia beristighfar namun panas hatinya belum juga reda dengan apa yang berlaku sebentar tadi.

Mana dia tahu aku yang bomohkan Iqram? Kak Yah? Tidak. Aku pergi seorang diri. Kak Yah tak tahu. Abang Uda? Ah, tak mungkin Abang Uda membocorkan rahsia mereka berdua.

Haha! Pandai dia orang meneka. Haha! Dia mula ketawa di dalam hati.








"Mak. Bob tak nak duduk sini lagi, Mak. Kenapa Bob kat sini, Mak?"

Kak Yah terdiam bila diajukan soalan itu. Baru sebentar tadi anak bungsunya itu berderai ketawa apabila doktor memaklumkan bahawa dia akan dipindahkan ke wad yang lain. Kini seminit kemudian, dia membentak pula seperti anak kecil yang tidak diberi mainan. Hatinya runsing melihat sikap Bob yang berubah-ubah itu. Ada masanya menangis, adakalanya dia riang gembira seperti manusia normal yang lain.

Tuduhan Iqram di telefon tadi kembali terngiang-iang di telinga. Kata Abang Uda dahulu, Bob telah terkena buatan orang. Jika benar Balqis telah menggunakan ilmu hitam untuk menyekatkan nafsu shahwat suaminya, tidak mustahil dia juga boleh melakukan perkara yang sama terhadap anak saudaranya sendiri. Apakah dosa anaknya itu hingga diperlakukan sebegini? Dia mula menyangka yang bukan-bukan.

"Mak! Mak tak dengar ke? Bob tak nak tinggal sini. Bob nak balik!"

"Bob kan sakit? Bob kena duduk sini sampai sihat. Mak janji bila Bob sihat nanti, Bob balik, OK?" Pujuknya lembut.

"Bob nak jumpa Nirina! Bob nak jumpa Iqram! Kenapa tak ada sesiapa pun yang lawat Bob kat sini? Bob bosan tau tak?"

Kak Yah tertunduk. Sehingga ke hari ini dia masih merahsiakan keadaan Bob yang terlantar di situ kepada sesiapa.

"Semua orang sibuk agaknya, Bob. Mak ada kan, Mak boleh lawat Bob hari-hari," jawabnya pendek.

"Bob tak nak tengok Mak lagi! Muak dah tengok muka Mak ni. Bob nak jumpa Nirina! Mak ni bodoh ke? Tak faham ke?"

"Ye lah. Esok Mak suruh dia datang. Makan nasi ni. Ada lauk ikan masin dengan gulai pucuk manis. Sedap tau…"

"Ah, Mak bohong!" Mangkuk tingkat yang dihulur, dicampaknya ke dinding. Habis bersepah nasi dan lauk pauk jatuh ke lantai. "Semalam pun cakap macam tu! Kelmarin pun cakap macam tu! Minggu lepas pun cakap macam tu! Cakap je lah tak ada sapa nak lawat Bob. Bob kan dah gila!"

Kak Yah menekup mulut terkejut. "Bob tak gila, apa yang kau cakap ni?"

"Kalau Bob tak gila kenapa Bob ada kat sini? Semua orang dalam ni semua gila. Lama-lama kat sini Bob pun boleh jadi gila macam dia orang! Mak saja letak Bob kat sini sebab Mak pun ingat Bob dah gila kan, Mak?"

"Bob…"

"Ah! Pergi berambus lah!" Dia menyentakkan lengannya. Berdiri lalu terus keluar meninggalkan ibunya terpinga-pinga di situ. Kak Yah tiba-tiba sebak. Tanpa dipaksa air matanya terus mengalir.

Lama dia teresak-esak sehingga tidak sedar waktu untuk melawat bakal tamat sebentar saja lagi. Bob ketika itu masih juga belum lagi kembali ke biliknya. Sebaik saja jururawat bertugas tiba, dia ditanya dengan satu soalan yang mengejutkan, "Makcik betul ke nak keluarkan Borhan hari ni? Dia dah sihat betul ke?"

"Tak. Dia duduk lagi kat sini. Esok pindah kat wad lain. Makcik rasa dia belum cukup sembuh. Kau tengok je lah ni. Makanan yang Makcik bawa pun dia campak ke dinding…"

"Tapi tadi saya nampak dia kat luar masa saya parking kereta. Dia kata dia dah boleh balik…"

Kak Yah tergamam. Mulutnya ternganga seakan-akan terkunci tidak dapat bersuara. Kunci rumah yang terletak di meja kecil tadi telah hilang kini. Tubuhnya tiba-tiba menggigil.

"Makcik, tak apa-apa ke?"

"Borhan dah lari! Beritahu doktor Borhan dah lari! Cepat, beritahu doktor Borhan dah lari! Ya, Allah! Borhan dah lari!" Jeritnya berulang-ulang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan