Isnin, 31 Ogos 2009

saya bangsa Malaysia


jejaka anggun ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat hari merdeka kepada semua bangsa2 malaysia di semenanjung dan selamat bercuti panjang kepada bangsa2 malaysia di borneo. dan kepada semua bangsa malaysia yg x mo mengaku dia anak malaysia, pulanglah ke pangkal jalan, nak....

ahaks!!

teringat skrip susan lankester dalam filem Mekanik;

"orang putih ker... orang hitam ker... orang biru ker... kita kan orang malaysia...."

ps: we have so many colors, but we are still 1 malaysia. keep that spirit, oke!!


** okelah aku ngantuk. mlm tadi tido kul 6 tapi kul 10am dah bangun dah so skang aku blur. aku tinggalkan korang ngan video klip yg aku curik dlm cik vivi nyer blog. ko nih mmg gile la pompuan!!!


Bab 20. Rumahtangga lagi.



Manusia tidak mengahwini manusia yang lain. Mereka sebenarnya mengahwini ilusi dan imej yang direka menepati citarasa mereka sendiri tanpa menyedari keasyikan perkahwinan itu sebenarnya datangnya dari mengenalpasti siapakah insan sebenar yang mereka kahwini itu ~ James L. Framo



Sebulan kemudian...



Hujan lebat pagi itu. Faireen yang baru tiba di pejabat, cuba membetul-betulkan baju kurungnya yang basah kuyup. Payung warna merah jambu yang dibeli dari kedai bunga di seberang jalan minggu sudah akhirnya dibuang saja ke dalam tong sampah. Tak membantu langsung, sumpahnya.


Rozi yang sibuk membelek wajah sambil menghirup teh bunga-bungaan yang dibeli dari kedai bunga yang sama tak kering gusi ketawa. "Aku ada telekung kat surau. Kau nak pinjam?" Sindirnya diikuti hilai tawa dari pekerja yang lain.


Faireen cuma menguntum senyum.


Rozi berdiri lagi. Setapak demi setapak dia menuju ke arah Faireen dengan mug besar berwarna hijau di tangan. "So, apa cerita malam tadi?" Soalnya.


Faireen mengangkat kening. Jari jemari yang sibuk menyisir rambut yang basah tadi, terhenti.

"Apa yang berlaku malam tadi?" Rozi menyoal semula.


"Kau tak ada kerja, eh? Pagi-pagi lagi dah nak sibuk hal orang?"


"Cerita je lah. Tangan yang buat kerja. Bukan telinga!" Jawabnya dengan senyuman lebar.


Faireen sambut kata-kata rakan baiknya itu dengan ketawa.

Malam tadi. Otaknya kembali berfikir. Mengulang kembali apa yang berlaku pada malam tadi.

Malam tadi hujan lebat. Memang sejak kebelakangan ini begitulah keadaannya. Kuala Lumpur sering saja ditimpa hujan siang dan malam.


Faireen waktu itu sedang sibuk menyiapkan diri sebelum dia melangkah keluar rumah. Segala-galanya harus kelihatan sempurna. Rambut panjangnya dipastikan telah lurus diseterika terlebih dahulu. Baju T warna putih ikut potongan badan pula perlu kelihatan ayu apabila dikenakan bersama seluar jeans ketat berwarna biru gelap dan minyak wangi juga sudah dipastikan tersiram ke seluruh anggota badan.


Semerbak harumnya waktu itu sudah juga dipastikan melekat ke rongga hidung. Biar mengalahkan bunga setaman ataupun bernanah hidung yang menghidu, dia tidak peduli. Biarlah, dia tak akan simpati. Yang dia mahu pastikan biar satu dunia tahu hatinya sudahpun berbunga-bunga tidak sabar untuk bertemu Syafiq malam itu.


Namun segala-gala yang sudah dipastikan itu hancur berderai sebaik saja dia tiba ke tempat yang dijanji. Angin kuat yang entah dari mana datangnya meniup payung kecil yang dibawa jauh dari tangan.


Faireen terkesima. Beberapa saat juga tubuhnya dibiarkan kematu di situ. Hujan yang menimpa dirasakan seperti batu-batu kecil yang menerjah. Dia kuyup dan kesakitan. Tanpa disedari juga, baju putih yang dipakai telah basah hingga menampakkan bentuk anak baju di dalam.


Satu dunia kini melihat hati yang berbunga-bunga sejak dari rumah tadi itu bertukar menjadi layu sebelum ianya sempat berkembang. Dia ditertawakan. Mujur Syafiq muncul sebagai penyelamat.

Dia datang membawa bersama payung hitam besar dengan jaket kulit tebal kepunyaannya sendiri.
Syafiq bersimpati. Tangan Faireen yg kesejukan, diramasnya. Sesekali dia meniup jari jemari halus itu. Faireen semakin berada diawang-awangan kini. Sedikit demi sedikit wajahnya yang suram tadi bertukar ceria kemerah-merahan. Air milo panas yang dipesan dihirup lembut. Hangat terasa tubuhnya tiba-tiba. Sehangat cintanya yang semakin mekar terhadap lelaki di depan matanya itu.


"Saya nak kahwin dengan awak," tiba-tiba Syafiq bersuara.


Seperti yang dijangka, Faireen tergamam mendengar kata-kata yang keluar dari mulut comelnya itu dan Syafiq sudah bersedia dengan apa jua tindakbalas yang akan diterima. Jika Faireen menjerit, dia akan turut sama menjerit keriangan. Jika Faireen ternganga, dia akan menutup bibir munggil yang terlopong itu dengan jari jemari jantannya.


Tetapi apabila Faireen menyemburkan semula air milo panas yang baru diteguk itu ke arah mukanya sebentar tadi, dia menggelupur kepanasan. Ilmu mengelak air milo panas ke muka belum sempat dipelajarinya lagi.

"What?!!" Jerit perempuan itu sekuat hati.


"Syyy… Tak payah lah jerit," jawab Syafiq sambil mengelap wajahnya yang melekit.


"Sorry. What?" Ulang Faireen sekali lagi dengan nada yang rendah sedikit.


Syafiq melemparkan sebuah senyuman. "Saya kata saya nak kahwin dengan awak. Awak nak kahwin dengan saya tak?"


Faireen terdiam. Biji matanya yang terjegil masih lagi tidak berkelip hiingga berair. Tangan yang hampir suam-suam kuku tadi bertukar kembali sejuk. Begitu juga hatinya yang baru ingin mengembang, telah kembali layu tidak bermaya. Dia tidak tahu apa yang harus dijawabnya waktu itu. Fikirannya tiba- tiba bercelaru.



"Kau diam?" Tanya Rozi pelik. "Orang ajak kau kahwin, kau boleh diam? Kalau boyfriend aku ajak aku kahwin, aku menjerit kuat, tau! Kau diam? Kau ni kenapa? Kenapa kau diam, ha?"


"OK, OK, Rozi. Relax! Yang kau pulak yang teruja ni kenapa? Dia ajak aku kahwin je. Bukan ajak aku pergi Paris pun," balas Faireen sambil mencekak pinggang.


"Dia tu kan boyfriend kau? Orang lelaki kalau dah ajak kita kahwin tu maknanya dia dah selesa dengan kita. Dah tiba masa dia nak settle down. Dan yang paling penting, dia pilih kita sebagai isteri. Istimewa tu!"


"Aku tahu," Faireen setuju. "Tapi..."


"Kau tak suka kat dia ke?"


"Aku suka kat dia."


"Habis tu? Tapi apa lagi?"


"Aku belum bersedialah. Aku baru je kenal dia kan? Aku tak pernah kenalkan dia dengan keluarga aku lagi. Entah mak ayah aku setuju ke tak. Nak beritahu Faisal lagi. Dia kan kaki komplen."


Rozi tersenyum lebar, "Betul juga. Tapi kau dah jumpa mak dia kan?"


"Itu lagi satu hal. Mak dia tu lain macam lah!""Lain macam, macam mana?"


"Pelik. Beria-ia suka kat aku. Aku kalau dah orang terlebih suka ni mula lah aku jadi musykil. Macam surreal. Kau tahu surreal?"


Rozi mencebik, "aku tahulah surreal tu apa. Yang orang makan buat sarapan tu kan?"


"Itu cereal. Ini surreal. Macam buat-buat. Nampak pelik. Nampak tak real."


"Maksud kau?"

Faireen mula bercerita. Tiga minggu yang lalu dia mengikut Syafiq pulang ke kampungnya. Entah mengapa kata Syafiq petang itu, ibunya sendiri yang mahu berjumpa mereka berdua di sana. Alasan ibunya, untuk melepaskan kerinduan.


Faireen mengikut. Pada fikirannya sendiri, tidak salah jika dia bertemu dengan ibu kekasihnya itu kerana mungkin satu hari nanti, perempuan yang sama itu akan menjadi ibu mertuanya juga.


Sewaktu di dalam perjalanan pulang, telefon bimbitnya tidak henti-henti berdering. Semua panggilan yang diterima datangnya dari bakal ibu mertua itu sendiri.


Mereka berbual panjang, bertanya khabar, bergurau senda, seolah-olah seperti tidak sabar untuk menunggu di rumah nanti. Sebaik saja dia menamatkan perbualan, telefon Syafiq pula minta diangkat. Masih lagi datangnya dari pemanggil yang sama.


Faireen mula rimas. Dari segan silu hendak melayan kerenah bakal ibu mertuanya itu, akhirnya dia sendiri mengambil jalan selamat untuk mengelak.


Dengan tidur.


Tiba saja di perkarangan rumah, mereka berdua disambut bagaikan pengantin baru. Tubuh Faireen dipeluk cium dengan eratnya. Dari hujung rambut hingga ke hujung kaki, Faireen dipuji. Dalam kekeliruan, dia hanya mampu tersenyum.


Kemudian perbualan mereka bersambung di meja makan. Di situ, Puan Khatijah mula mengutarakan satu topik yang benar-benar mengejutkan semua.

Topik tentang cucu, ajal, dan keluarga.

Puan Khatijah: Bila nak bawak Mak pergi jumpa mak ayah, Reen?
Faireen: (Senyum)


Syafiq: Mak ni, malu kan Reen je dengan soalan tu. Kita orang lelaki, kita lah yang datang.

Puan Khatijah: Ye lah, tak kan nak datang sergah je. Ini bukan segmen terjah kat dalam Melodi tu! Reen kenalah pelawa. Tak gitu, Reen?


Faireen: Hmmm…(senyum). Betullah tu, agaknya. Bila Mak nak datang?


Puan Khatijah: Hari ini pun boleh. Reen cakap je nak berapa dulang. Jambatan emas pun mak sanggup!


Faireen: (Tersedak)


Syafiq: (Terbatuk)



"Mak dia ingat kau ni Puteri Gunung Ledang ke?" Rozi tersenyum lebar.


"Itulah pasal. Logik tak bunyinya? Macam tak masuk akal kan? Aku tahu lah aku ni cantik tapi tak kan lah sampai nak bina jambatan emas pulak! Itu mitos lah! Lagenda!"


Rozi sengaja menjolokkan lidahnya sedikit apabila mendengar perkataan cantik itu. "Mungkin mak dia sayang sangat kat kau, tak?"
"Mungkin."


"Atau mungkin dia tak nak anak teruna dia jadi anak teruna tua?"
"Mungkin jugak."


"Atau mungkin…"


"Ish, kau ni banyak kemungkinan lah!" sampuk Remy dari belakang. "Mana report yang aku mintak tu? Dah siap?"


Rozi terkejut. Dia memalingkan wajah kepada lelaki yang tiba-tiba muncul itu. "Kau ni suka buat aku terperanjat, tau! Tu atas meja tu report kau!" Tunjuknya.


"Kau kena hantar benda ni kat department aku sebelum pukul sepuluh. Bukan aku yang kena datang sini minta kat kau, tau!" Marahnya sambil menjeling.


"Alah, exercise lah sikit. Kau kan gemuk!"


"Huh!" Remy geram. "Kalau setakat nak datang kerja untuk berborak, baik tak usah datang!" Bidasnya tajam sebelum berlalu pergi.


"Ah! Diamlah kau, Gemuk!" Balas Rozi pula.


Faireen ketawa melihat gelagat kedua-dua temannya itu. Semenjak dia mula bekerja di situ sehingga ke hari ini, Rozi dan Remi memang tidak pernah sebulu. Walau sekecil manapun sesuatu perkara itu, pasti ada saja yang ingin ditelagahkan. "Kau dengan Remy tu aku kahwinkan baru kau orang tau!"


"Ah, selisih malaikat empat puluh empat. Tak nak aku baka-baka gemuk macam tu. Anyway, sampai bila kau nak bagi abang Syafiq kau tertunggu-tunggu jawapan kau tu, Reen?"


"Entahlah. Aku cakap bagi aku masa seminggu untuk aku berfikir."


"Cukup?"


Faireen mengangkat bahu.


"Kau fikirlah betul-betul, Reen. Itu kan masa depan kau. Kau yang kahwin. Bukan orang lain."

Faireen terdiam.


"Oh ya, bercerita pasal kahwin ni, aku lupa pula nak bagitau kau. Lusa aku cuti. Parents aku ajak balik kampung pulak. Cousin aku kahwin."


"Sejak bila kau ada cousin?"


"Aku pun tak tahu. Aku bukan kenal pun dengan saudara mara aku kat kampung tu! Saja je lah mak bapak aku tu nak expose aku di mata orang kampung kan?"


"Siap lah kau! Mesti dia orang nak carikan jodoh untuk kau!"


"Agaknya lah! We'll see!" Rozi tersenyum lebar.


"We'll see," Faireen mengangkat kening sekali lagi.

Kemudian hatinya tertanya, kan bagus kalau aku juga boleh bagi jawapan yang macam itu kat Syafiq semalam? We'll see! Nak kahwin dengan you? Well, we'll see!!!


Dia menumpang dagu. "Kenapa agaknya dia beria-ia nak kan jawapan secepat mungkin?" Soalnya pada diri sendiri.


Tiada jawapan yang diterima.


Dalam sibuk otaknya berfikir itu, tiba-tiba telefonnya berdering. Datangnya dari Puan Khatijah sekali lagi. Dia menekan butang busy. Dua tiga minit kemudian, telefonnya berbunyi sekali lagi. Tetap dari pemanggil yang sama. Dia mula mengerut dahi. Jari-jemarinya mengetuk meja sambil berkira-kira sama ada perlu atau tidak menjawab panggilan yang diterima itu.


Ah, malaslah! Sekali lagi butang busy ditekan.


Tetapi apabila kali ketiga telefonnya masih menjerit juga, darahnya mula naik hingga ke atas kepala. "Ya!" Jeritnya.


"Ibu ni. Ayah kau bawa beg besar keluar dari rumah!"


Terdengar suara ibunya teresak-esak di telinga. Faireen terkejut, "Ayah keluar rumah? Pergi mana?"


"Katanya out station. Ibu tak percaya. Ibu tahu dia ada perempuan lain. Dia nak pergi jumpa perempuan, tu!"


"Ibu..." Faireen merengek. "Ibu tak ada bukti. Ibu tak ada saksi. Ibu tak tahu, jangan main tuduh sebarangan…"


"Tak!! Ibu tahu! Ibu tahu! Ibu tahu! Ibu tahu!" Jawab ibunya berulang-ulang.


Alah, mak aku ni…. Rungut Faireen dalam hati sambil memicit dahi yang makin kesakitan.


Sabtu, 29 Ogos 2009

RIP DJ AM


among celebrities n socialite in NYC ( mcm aku lah dulu2... ahaks!) mesti kenal ngan DJ nih.

aku terbaca berita dari Access Hollywood yg DJ Adam atau nama sebenarnya Adam Goldstein telah ditemui mati di kediamannya di New York City sebentar tadi.

Adam, 36 ditemui mati di tingkat 7, sebuah apartment di Lafayette Street dipercayai akibat pengambilan dadah yg berlebihan.

polis masih lagi membuat siasatan tentang sebab kematian tetapi setakat ini mereka dikatakan telah menemui dadah jenis paraphernalia dan crack pipe di sisi mendiang menemani mendiang menemui tuhannya. sian...

fakta menarik tentang DJ AM:

dlm bulan sept thn lepas, mendiang dan rakan baiknya Travis Barker ex-gitaris Blink-182 telah terselamat dari nahas pesawat peribadi yg mengorbankan pilot n passenger yg lain di South Carolina dlm perjalanan menuju ke California. mendiang waktu itu cuma mengalami kebakaran kecil dan telah menyaman pihak pesawat itu sebanyak 20 mil akibat dari kemalangan tersebut.



hmmm...... final destination ke apa nih??? Travis Barker... ko tunggu jer lah turn ko ek!

Bab 19. Rumahtangga

Rumah tangga yang rukun dan harmoni bukanlah terjadi dari cantuman pasangan yang sempurna tetapi ianya menjurus kepada pasangan yang tidak sempurna yang cuba mempelajari ketidaksempurnaan pasangan masing-masing ~ Dave Meurer







Kak Yah sebelum melangkah keluar dari rumah tadi, berkata kepada Balqis yang dia mahu ke rumah anak sulungnya malam itu. Alasannya, mahu bermalam di sana pula.

Iqram pula mendengar saja yang birasnya itu mahu keluar dari rumah, dengan segeranya menawar diri untuk menghantar. Alasannya pula, dia perlu mengikut pesanan doktor untuk mengambil angin malam di luar.

Balqis sedikitpun tidak menghalang. Tidak seperti biasa, malam itu juga dia enggan mengikut ke mana suaminya itu pergi. Alasannya lebih afdal, dia mahu meluangkan masa yang ada dengan membaca Al-Quran.

Iqram tersenyum lebar mendengar alasan itu. Kak Yah pun begitu.

Di dalam kereta, mereka berdua rancak bercerita tentang Nirina. Sesekali terselit juga ketawa-ketawa kecil yang menjengkelkan. Alasan Kak Yah untuk pulang ke rumah anaknya tadi telah terpesong ke jalan lain. Alasan Iqram untuk mengambil angin malam juga menuju ke destinasi yang telah diatur oleh mereka berdua.

Nombor Nirina dihubungi untuk mengingatkan tentang perjanjian yang telah dibuat siang tadi.

Kata Nirina, dia sudah lama menunggu di situ.

Selama dia menunggu kedatangan Iqram dan Kak Yah, hatinya tidak putus-putus berdegup kencang. Teh tarik dengan roti tisu yang dipesan langsung tidak dijamahnya. Selera makannya hilang semenjak siang tadi lagi.

Dia menggosok perut. Fikirannya terbayangkan wajah Bob. Dia bimbang jika Bob ada bercerita tentang berita kehamilannya kepada perempuan itu.

Dia sedar Kak Yah tahu siapa dirinya yang sebenar. Kak Yah dan ibunya di kampung merupakan teman akrab sewaktu mereka bekerja bersama di Kuala Lumpur dahulu. Malah sehingga kini ikatan persahabatan yang terjalin itu tidak pernah terputus.



Dua puluh minit kemudian, kereta yang dipandu Iqram berhenti di sebuah kedai mamak di tepi jalan. Nirina mengangkat tangannya sejurus selepas dia terlihat kedua-dua orang yang ditunggu itu tercari-cari di mana dia berada.

Kak Yah dari jauh sudah tergelak besar. Riak wajahnya jelas terpancar kegembiraan. "Apa khabar?" Jeritnya sambil membuka lapang dadanya ingin berpeluk.

"Baik," jawab Nirina sepatah. Membalas hangat pelukan perempuan itu. "Lama tak jumpa. Kak Yah sihat?"

"Alhamdulillah. Makin sihat," dia mengangguk lalu terus melabuhkan punggung.

Iqram yang sedari tadi tidak bersuara, merenung tepat wajah kekasihnya itu. "I pun sihat juga, Rina. Terima kasih," sindirnya halus.

Nirina tersenyum.

"Apa tunggu lagi, Iqram? Cakaplah!" Arah Kak Yah tiba-tiba.

"Saya tak tahu pula macamana nak mula," jawab Iqram malu-malu.

"Apa yang nak dimalukan, Iqram. Cakap je," celah Nirina pula. Keliru dengan makna yang tersirat.

Iqram memandang Kak Yah.

Kak Yah memandang Nirina.

Nirina semakin risau. "Apa?" Soalnya.

"Ada apa-apa plan hujung minggu ni?" Soal Iqram kembali.

Nirina menggeleng.

Iqram melepaskan nafas lega.

Kak Yah tersenyum lebar.

"Kenapa?" Soal Nirina sekali lagi.

Kak Yah bangun. "Eh, kau ni Iqram. Malu depan Kak Yah ke? Tak apa, biar Kak Yah pergi buang air kejap. Kak Yah tahu Kak Yah keluar je dari toilet nanti semua dah settle, OK?" Pesannya sebelum berlalu pergi.

"You ada kata apa-apa kat dia pasal kandungan I ke?"

"Tak. Tak ada siapa yang tahu."

"So apa yang pentingnya you bawa dia jumpa I malam ni?"

"I nak bawa dia jumpa parents you hujung minggu ni…"

"Untuk apa?"

"Untuk meminang you lah! Tak kan I nak datang seorang pulak?"



Nirina tersandar. Matanya tiba-tiba tidak mampu untuk berkelip lagi. Telinganya juga mula terasa pekak. Ayat Iqram yang baru didengarinya tadi bagaikan telah melantun keluar semula sebelum sampai ke gegendang telinga.

Dia kematu. Otaknya mula berfikir yang bukan-bukan. Membayangkan saat-saat indah di hari pertunangannya itu nanti di mana di dalam riuh rendah suara-suara wakil dari kedua belah pihak sedang berbalas pantun, tiba-tiba Bob muncul bersama ibunya. Mencanangkan kepada semua bahawa anak yang dikandung oleh anak Haji Leman itu adalah anak dari hasil benihnya sendiri.

Nirina menakup muka yang makin berpeluh. Otaknya kembali membayangkan betapa gamat suasana majlis pertunangannya itu nanti. Pasti keluarganya akan dicemuh di seluruh kampung. Pasti mereka menghina Haji Leman dan Mak Royah mempunyai anak gadis yang sudah hilang daranya. Pasti mereka mempersendakan Iqram, bakal suaminya itu juga kerana memilih wanita kotor dan busuk seperti dirinya itu.

"Astaghfirullahalazim…" Dia mengucap panjang.



"Ha! Diam lagi! Dah cakap ke belum?" Tegur Kak Yah yang tiba-tiba muncul dari belakang.

Iqram mengangguk.

"Kau, Rina? Macamana? Setuju?" soalnya pada Nirina pula.

"Tak!"

"Tak?" Serentak kedua-duanya membalas.

"Tak tahu!" Jawabnya semula membetulkan ayat. Wajah Iqram ditenung. Nampak sugul apabila mendengar jawapan yang keluar dari mulutnya itu tadi.

"Terima je lah, Rina. Sampai bila kau nak tunggu lagi? Takkan sampai tua kau nak layan laki orang? Tak nak rasa layan suami sendiri, ke?" Kak Yah cuba memberi nasihat.

"Ya, Nirina. I pun nak rasa layanan isteri baru," celah Iqram dengan senyum kambingnya.

Nirina menunduk. Kembali merenung pada perut yang berisi. Dia mengangkat kepala perlahan. "Baiklah. Tapi Kak Yah janji jangan bawa sesiapa masa datang meminang nanti. Jangan beritahu sesiapa. Anak-anak Kak Yah pun jangan, especially Bob," balasnya bersetuju dengan syarat.

"Isy, tak lah. Kami datang berdua je. Tak beritahu sesiapa pun…" Kak Yah mengangkat lima jari bersumpah.

"You gila ke, Rina. I tak kan beritahu sesiapa pun. Perkahwinan kita nanti ni hanya family you je yang tahu selain kita bertiga," sambung Iqram pula.

"Elok lah kalau macam tu… berapa lama kita nak bertunang?"

"Sebulan dua cukuplah!"

Nirina kembali mengusap perut. Bibirnya menguntum senyuman yang besar. Hatinya gembira kini mengenangkan anak yang dikandungnya itu bakal berbapa akhirnya.









Balqis masih lagi tidak dapat melelapkan mata. Lampu biliknya dibiarkan menyala terang, tidak ubah seperti menyuluh hatinya yang gelap gelita pada malam itu. Jam dinding yang terletak bertahun-tahun di sudut tepi biliknya itu ditenung lagi. Dari satu jam ke satu jam waktu berjalan, Iqram masih juga belum pulang menampakkan bayang di rumah.

Dia tidak dapat menghubungi Kak Yah memandangkan kakak iparnya itu tidak mempunyai telefon bimbitnya sendiri. Hatinya terasa ragu-ragu pula hendak menghubungi Maryam sekeluarga malam-malam buta sebegitu.

Buku telefon di tangan, ditutup.

Jiwanya makin berserabut. Dia melangkah keluar menuju ke dapur. Melangkah perlahan menuruni anak tangga satu persatu. Faireen yang sudah terlelap di atas sofa di ruang tamu, cuba dikejutkan. Namun usianya itu hanya sia-sia belaka.

Faisal pula, tidak ubah seperti bapanya sendiri. Sejak siang tadi sehingga kini masih juga tidak kelihatan. Tubuh Faireen digerak-gerakkannya lagi. Tetap sia-sia. Dia termenung.

Dua tiga minit kemudian, bunyi pintu pagar di luar rumah, dibuka. Faisal akhirnya pulang, membawa masuk keretanya perlahan-lahan. Balqis merenung jam kecil di atas meja kecil di tepi sofa. Tiga pagi. Dia bengang.

"Awalnya anak Ibu balik? Kenapa tak balik masa subuh? Boleh solat sama-sama," sindirnya sebaik saja anak bujangnya itu muncul di muka pintu.

Faisal terkejut. "Tak tidur lagi, Bu?"

"Tak. Ibu kena kerja shif malam, malam ni. Kena jaga counter front desk kat hotel ni," Sindirnya semakin sinis.

Faisal ketawa, "So macamana business zaman-zaman gawat ni? Ramai ke yang check in?"

"Boleh lah tahan cuma ada seorang VVVVIP guest yang belum check in lagi ni ha!"

"Banyaknya V? Ayah?"



Balqis mengangguk. "Siapa lagi?! Sejak dia hantar Cik Yah kau balik tadi, sampai sekarang dia tak balik-balik. Sesat agaknya orang tua tu!"

"Dah call?"

"Banyak kali. Tak jawab."

"Dia pergi kelab dangdut lah tu, Bu. Muzik kuat, bising, mana nak dengar!" Faisal mengusik sambil mencubit pipi usang ibunya itu.

"Ke dia pergi tidur rumah perempuan lain?"

"Ish, ke situ pula. Tak kan lah!"

"Ibu ni dah lama jadi bini dia, Ibu dah kenal dia luar dalam pun. Ibu tahu dia memang ada perempuan lain!"

"Ibu ada bukti?"

"Tak ada tapi Ibu dapat rasa, Sal..."

"Rasa dengan nampak depan mata lain, Bu. Tak elok tuduh sebarangan kalau tak ada bukti. Boleh timbulkan fitnah tu. Fitnah tu dosa…"

"Pandai pula nak ajar orang dosa pahala sekarang?" Balqis menjeling. "Tak apa, Ibu tahu macamana nak cari bukti. Tupai tu bukannya pandai melompat sangat, Sal. Sampai masa jatuh jugak dia ke tanah!" Tambahnya lagi.

"Bagus lah kalau macam tu, Bu. Sudahlah, jom kita pergi tidur. Ayah ada kunci rumah, kan? Tak perlu tunggu dia,"

"Faireen?"

"Biarlah dia tidur kat situ!"

"Tak apa, Ibu nak tunggu kat sini. Ibu nak tengok dia reti ke tak balik rumah!"



Faisal menggaru-garu kepala. Ibunya dibiarkan sendirian di situ. Kakinya melangkah menaiki anak tangga untuk ke atas rumah dan terus ke bilik bujangnya. Setibanya di situ, tubuhnya direbahkan pula ke atas katil. Fikirannya mula melayang pada pertemuannya bersama Syafiq sebentar tadi.



"Faisal, awak tahu apa itu hidup?"

Dia memicit dagunya yang panjang itu. Otakya mula berfikir akan jawapan pada soalan yang diberi. "Hmmm… kompleks soalan tu. Bagi saya hidup itu satu perjalanan yang cuma kita tahu ke mana kita mahu tuju tapi sampai atau tidak ke destinasi semua itu terserah kepada tuhan," jawabnya mengikut firasatnya sendiri.

Syafiq waktu itu tersenyum saja.

Dia bertanya kembali, "kenapa?"

Dan jawapan yang diterima pula penuh dengan makna yang tersirat. "Kita sudah diberi kaki untuk melangkah. Kita sudah diberi mata untuk melihat arah perjalanan itu. Kita juga diberi otak untuk berfikir, jalan mana perlu diikut, lubang mana yang perlu dielak. Jadi kenapa kita mesti ada tuhan untuk menentukan perjalanan hidup kita sendiri?"

Dengan tersenyum kecil Faisal menjawab, "Kerana kita perlu ada sesuatu untuk membimbing arah kita. Otak kadang-kadang suka berfikir yang bukan-bukan bila kaki dah lenguh atau mata dah mengantuk..."

"Ya ke?"

"Ya, En. Syafiq. Kerajaan bina R and R tepi highway itu pun untuk orang yang mengantuk berhenti berehat, kan? Jangan berjalan ikut rasa hati, nanti mati."

Syafiq menunduk. "Mak saya suruh saya kahwin, Faisal. Saya keliru. Saya tak nak tapi saya pun tak nak kecewakan hati dia. Kenapa kita tak boleh kahwin sesama lelaki, ha?!"

"Sebab berdosa besar, Fiq. Dilaknat tuhan. Masa Nabi Adam minta pasangan kat syurga dulu, tuhan tak bagi dia Ali atau Abu. Tuhan bagi dia Hawa."

"Tapi!"

"Awak cuba je dulu, Fiq. Kahwin je dengan perempuan tu. Kalau bukan sekarang, mungkin esok lusa rasa cinta itu akan timbul. Kan?" Faisal cuba memberi kata-kata semangat.

"Kalau macam batu? Terus tenggelam?"

"Tak apa. Asalkan awak dah cuba. Dan awak dah buat apa yang mak awak suruh. Jangan melawan cakap orang tua. Dosa besar juga tu!"

"Habis kalau saya kahwin, apa yang jadi kat awak?"

Faisal tersenyum kelat, "jadi macam biasa. Macam dulu. Yang dah habis manis sepah dibuang merata-rata. Nak buat macam mana dah memang nasib saya macam ni…"

"Faisal, jangan cakap macam tu…"

Wajah Syafiq yang sayu ditenung. "Jangan kisahkan tentang sayalah, Syafiq. Saya pandailah jaga diri," sambungnya.



Bunyi alat penggera kereta ayahnya menyentakkan lamunan. Faisal membuka daun pintu biliknya sedikit apabila terdengar suara ibunya mula membebel di ruang tamu.

"Dah pukul berapa ni baru awak nak balik? Awak pergi disko ke lepas hantar Kak Yah?"

"Kan saya kata saya nak ambil angin malam?"

"Ini bukan angin malam lagi ni, Bang. Ni dah nak masuk subuh dah ni! Anak-anak kita pun pandai duduk rumah, awak orang tua pulak yang pergi berembun. Apa nak jadi awak ni?"

"Yang awak ni dah tau subuh, yang pergi membebel tu buat apa? Awak nak bagi semua jiran dengar?" Iqram mula meninggikan suara.

"Biarlah semua orang dengar! Kenapa? Awak malu?"

Iqram menggeleng-gelengkan kepala. Kakinya melangkah memanjat anak tangga meninggalkan Balqis tercegat berdiri di situ.

"Bila kita tanya sikit mula lah buat muka! Awak ada perempuan lain kan?"

"Saya nak tidur. Esok saya nak pergi out-station. Malam Isnin baru balik!" jawab Iqram menyimpang jauh dari soalan yang dihulur.

Dum! Daun pintu biliknya dihempas kuat.

Faisal tergamam. Cepat-cepat dia berlari mendapatkan ibunya yang sedang menangis di ruang tamu. Faireen yang tidur nyenyak sedari tadi terpinga-pinga dengan pergaduhan yang baru terjadi.

"Kenapa Faisal? Ibu? Kenapa, Bu?" Soalnya bertalu-talu.

"Ibu kata Ayah ada perempuan lain," bisik Faisal halus.

"Siapa?" Soalnya lagi.

Faisal hanya mengangkat bahu.

open relationship


ni skrip antara aku dan seorang sahabat lama masa aku melepak di kedai mamak sebentar tadi....

aku: ko dgn partner ko ok?

dia: kitorang dah declare open relationship.

(pada sesapa yg x tau apa itu open rship, maknanya, partner ko tuh leh kuar ngan sesapa dia suke tanpa rasa sesal atau bersalah kerana telah menduakan anda. harap maklum)

aku: kenapa?

dia: sebab aku nak dia honest. aku tak marah dia nak kuar dengan sesapa pun cuma aku x suke kalo dia buhung kat belakang aku.

aku: tapi ko x rasa ker mcm dah x der feel rship ko tuh... mcm ko dah x concern ker... x jeles ker... in rship mestilah ada ups n down, kalo stagnant jer tuh dah macam mati.

dia: ah! ada aku kesah?

aku: kalo ko x kesah... perlu ker ko declare apa2? org yg x kesah... x kan decide apa2 pun.... dia x pedulik pun idup ke mati ke partner dia tuh kan?

dia: (diam).

aku: sian la kawan aku sorang ni..... apa2 pun as a fren, aku support whatever decision u made. honestly aku rasa open relationship is nonsense. its either you have a rship or you dont.

*senang kan?! betul x kawan2? ker aku yg emo?







Khamis, 27 Ogos 2009

Bab 18. Balu dan bekas.




Isteri ibarat wanita simpanan kepada lelaki muda, teman kepada lelaki dewasa, dan jururawat kepada lelaki tua ~ Francis Bacon, Sr.







Hari itu genap lima tahun pemergian Datuk Johari, bekas ADUN kampung Sungai Dua, meninggalkan balu, Datin Rohana dan bekas isteri, Puan Khatijah serta empat orang anak-anak hasil dari perkahwinannya dengan kedua-dua isteri.

Menurut peguam yang membaca wasiat yang ditinggalkan arwah dahulu, sebahagian besar harta akan dirombak selepas lima tahun arwah pergi meninggalkan dunia. Entah apa tujuannya wasiat ditulis begitu, hanya arwah Datuk Johari saja yang tahu.

Menurut peguam itu lagi, setahunya arwah pernah berpesan bahawa rombakan baru yang dibuat itu untuk memberi peluang kepada anak cucunya merasa pembahagian harta yang sama rata.

Seminggu sebelumnya, balu dan bekas isteri arwah telah dipanggil untuk hadir ke sesi pembacaan wasiat yang baru.

Tiba masa yang dijanji, Puan Khatijah masih juga tidak menampilkan diri. Berbeza pula dengan Datin Rohana, dia sudah menanti di depan pintu pejabat guaman itu bersama tiga orang anak-anaknya seawal pagi lagi.

Pagi itu dia berbaju kurung lengkap berselendang berwarna hitam. Lagak seperti berkabung, kononnya. Anak-anaknya pula, dua lelaki dan seorang perempuan, juga berpakaian dengan warna yang sama.

"Dah pukul berapa dah ni? Cuba call perempuan tu sekali lagi. I ada meeting dengan kelab tau sekejap lagi!" Marah Datin Rohana pada Fendi, peguam yang sama membaca wasiat yang ditinggalkan arwah Datuk Johari lima tahun dahulu.

Dia mengipas-ngipas kepanasan. Rimas. Diteleknya jam di dinding. Dan juga di pergelangan tangan. Rimas lagi. Sesekali dibetulkan selendang sutera yang terlucut ke bahu. Anak-anak yang duduk di sudut kecil pejabat itu ditenung tajam. Mereka kebosanan menunggu. Datin Rohana semakin geram.

"Sabar, Datin. Saya baru je call dia tadi. Katanya jem. Sekejap lagi sampai lah," jawab Fendi lembut.

"Berapa lama pula saya nak kena tunggu ni?" Datin Rohana merungut lagi. "Fendi, you businessman, you tahu masa itu emas, kan? Dia tak tau itu semua. Dia lain, dia suri rumah!"

"Sabar, Datin..." jawab Fendi pendek.

"Sabar! Sabar!" Datin Rohana mula meninggikan suara. "You bacakan dekat I dulu tak boleh ke? Sama je kan?"

"Tak boleh, Datin. Ini wasiat Datuk. Kedua-duanya mesti kena ada sama. Duduk sama-sama. Dengar wasiat ni sama-sama. Saya tak boleh simply baca, Datin..."

"Perempuan tu dah kena cerai sebelum Datuk mati lagi kenapa mesti ada nama dia pula dalam wasiat ni?"

"Syafiq tu anak dia, Datin. Dalam wasiat yang dulu pun ada tulis, selagi Syafiq masih hidup, dan selagi Puan Khatijah tidak berkahwin dengan orang lain, kedua-duanya berhak mendapat harta peninggalan arwah. Mungkin sebab itu Datuk buat rombakan yang baru ini. Kita semua tak tahu..."

Tok! Tok! Pintu bilik Fendi diketuk dari luar mematikan kata-katanya tadi. "Yes!" jeritnya kuat.

Daun pintu dibuka sedikit. "Excuse me, Fendi. Puan Khatijah dah sampai," kata Yen Li, setiausahanya.

"OK, suruh dia masuk..."



Puan Khatijah melangkah masuk dengan senyum berjela. "Sorry, Fendi. Akak terlambat sikit. Jem teruk sangat pagi ni. Ada accident," bohongnya sebelum melabuhkan punggung di kerusi betul-betul bersebelahan dengan Datin Rohana yang sedang masam mencuka waktu itu.

"Apa khabar kau, Rohana. Garang je nampak?" tegurnya pada perempuan itu.

"Panas!" Jawabnya sepatah.

"Kau tak buka air cond ke, Fendi. Sian dia kepanasan. Nak jamu air, bulan puasa," sindir Puan Khatijah kembali.

"Buka, Puan," jawab Fendi dengan tersenyum kecil sambil mencapai satu sampul surat besar di dalam laci mejanya. "Syafiq mana, Puan? Kenapa dia tak hadir sama?"

"Kan Akak dah bagitau, dia tak dapat balik. Kerja out station. Next week baru balik..."

Mendengar kata-kata Puan Khatijah itu, Datin Rohana makin meninggikan suaranya. "Sudahnya. Fendi you jangan cakap you tak boleh baca hari ni sebab anak dia tak ada. I dah lama buang masa kat sini, tau!"

"Sabar, Datin. Wasiat tu mengatakan yang Datin dan Puan Khatijah saja yang perlu hadir. Perlu turunkan tandatangan. Anak-anak tak datang pun tak apa."

"Ya, Rohana. Bawa banyak-banyak bersabar," sampuk Puan Khatijah pula dengan wajah yang jelik.

"OK. Boleh saya baca surat wasiat arwah Dato sekarang?"

"Baca lah. Tunggu apa lagi?" Arah Datin Rohana garang.

Puan Khatijah mengangguk.



Sampul surat kuning keemasan itu dibuka. Ada beberapa keping borang dan surat menyurat rasmi kepunyaan Dato untuk ditanda tangani. Di tengah-tengahnya terselit sekeping nota panjang berukuran A4.

Fendi mula membaca isi kandungannya satu persatu.











Assalamualaikum.



Apa khabar Rohana? Sihat? Anak-anak kita semua sihat? Abang harap kalian semua dalam keadaan sihat walafiat sentiasa. Sudah lima tahun Abang pergi meninggalkan kamu sekeluarga. Bagaimana kamu menjaga keluarga kita selama Abang tiada? Harapan Abang ianya makin indah dan berseri daripada dulu.



Bagaimana pelajaran Harry di Universiti? Makin cemerlang? Atau dia sudah bekerja? Abang tahu dia ulat buku. Dia tak pernah putus-putus untuk mempelajari sesuatu. Abang yakin, dia tentu akan berjaya dalam hidupnya. Haslam? Cita-citanya dulu ingin menjadi ahli sukan negara. Sudah tercapai kah? Dan Hani, anak kesayangan Ayah. Mesti sudah besar panjang kan? Secantik ibunya mungkin. Ingat, tahun ni SPM. Pesan padanya supaya jangan leka bermain saja. Perjalanan hidup anak-anak kita semua masih jauh. Jangan disia-siakan.



Abang tak lupa juga pada awak, Khatijah dan anak kita, Syafiq. Apa jua yang berlaku dalam rumah tangga kita, Abang jadikan ianya pengajaran selama Abang hidup. Terima kasih kerana awak banyak mengajar saya erti kematangan. Awak juga banyak mengajar saya bagaimana hendak mengemudi keluarga dengan lebih sempurna. Jodoh kita sudah tersurat selama yang dimahukan tuhan. Abang tahu semua itu ada hikmah di sebaliknya. Abang tak henti-henti bersyukur dan berdoa pada tuhan agar memberikan awak dan Syafiq kebahagiaan yang lebih dari awak anak beranak kecapi selama kita bersama.



Semasa hayat Abang dulu Abang ada menulis dua keping wasiat. Satunya telah dibaca lima tahun dulu. Dan abang sengaja mahukan wasiat yang kedua ini dibaca lima tahun berikutnya. Bukan maksud untuk mencetuskan misteri atau membuat wanita-wanita yang Abang cintai ini tertanya-tanya. Tidak. Cuma wasiat ini ditujukan kepada insan lain. Bukan kepada Khatijah, bukan juga pada Rohana. Tapi secara tidak langsung mungkin kepada anak-anak kita...













Fendi terhenti seketika. Matanya tajam memerhati Datin Rohana dan Puan Khatijah yang sedang kusyuk mendengar wasiat yang dibaca itu. Dia tersenyum melihat gelagat kedua-dua wanita di hadapannya itu yang tidak ubah seperti ayam kelaparan yang menanti dedak untuk dimakan. Anak-anak Datin Rohana juga begitu. Ketiga-tiganya cuma diam membisu seolah-seolah terpukau dengan suaranya.

"Kalau bukan untuk kami berdua, habis untuk siapa?" Datin Rohana mengajukan soalan.

"Saya sambung," Fendi menyelak lembaran yang kedua.











Lima tahun selepas Abang pergi, Abang yakin keluarga yang Abang tinggalkan dulu telah banyak berubah. Mungkin Khatijah sudah berumah tangga kini. Sudah menemui cinta yang baru mungkin. Mungkin juga Rohana sudah dapat pengganti. Bertemu dengan seseorang yang telah dapat merawat kerinduannya kepada Abang. Cahayamata Ayah, sudah dewasa kesemuanya. Ada yang sudah berumahtangga barangkali?



Maaf jika kata-kata Abang di bawah mengejutkan kamu berdua.



Semasa hayat, Abang ada membuat simpanan lain tanpa memberitahu kamu berdua. Tak banyak, cukup untuk menyara kehidupan satu keluarga. Angan-angan Abang untuk melihat anak cucu Abang berjaya dalam hidup masing-masing. Jika anak-anak Abang sudahpun mendapat bahagian masing-masing lima tahun dahulu, Abang kira kini tiba masa untuk cucu Abang pula menerima bahagian mereka pula.











"Cucu?" Puan Khatijah menyoal apa yang baru didengarinya.

"Cucu mana pulak ni? Anak kami, sorang pun belum kahwin lagi!" sambut Datin Rohana pula.

Fendi mengangkat bahu. Dia kembali membaca surat wasiat di tangan.











Abang tak tahu cucu mana yang bertuah itu. Abang tidak tahu pun akan kewujudannya. Tapi Abang mahu cucu itu tahu yang arwah datuknya ini sayang padanya walaupun Abang tak dapat menimang atau bermain dengannya seperti mana Abang menimang dan bermain dengan anak-anak Abang sewaktu mereka kecil dahulu. Jika ada salah seorang dari anak Abang yang sudah bercahaya mata, wasiat ini ditujukan untuk anaknya. Untuk dia sekeluarga. Tetapi jika masing-masing masih lagi belum berumahtangga, biarlah wang peninggalan Abang itu disimpan lagi. Tiba masanya nanti Abang mahu ianya diserahkan kepada cucu Abang yang pertama.



Rohana, Khatijah, kamu berdua usah bimbang. Tiada rombakan atau pembaharuan dibuat kepada wasiat yang pertama selagi kamu berdua masih lagi terikat dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan. Abang harap kamu berdua faham dengan keputusan yang dibuat. Abang cuma ingin berlaku adil. Abang juga mahu kamu berdua berdamai. Usahlah disimpan bara di dalam hati itu lama-lama. Abang pun sudah lama pergi. Doakan kesejahteraan Abang di sini. Hanya doa kalian yang dapat menyempurnakan roh Abang di sini.



Semoga kita bertemu di syurga.



Sekian. Assalamualaikum.





Dato Johari Barakbah.

5 February 1990







Wasiat dibaca oleh:











Affendi b. Yusoff

15 September 2008



Wasiat dibaca kepada:





Datin Rohana bt. Husin dan Khatijah bt Kasim

15 September 2008









"Jadi... Datin, Puan, faham dengan isi kandungan wasiat ini?" Soal Fendi mencari kepastian.

"This is not fair! Anak-anak I masih mentah lagi. Belum masa untuk dia orang nak kahwin!" Bentak Datin Rohana tiba-tiba seperti orang hilang akal.

"Kalau macam tu, duit tu jatuh ke tangan cucu aku lah. Aku kira anak aku dah bersedia nak kahwin, nak ada cahayamata," balas Puan Khatijah pula.

"Hey, kau tu dah lama kena cerai sebelum dia mati lagi tau! Kau jangan ingat kau akan dapat duit laki aku lagi! Cukup-cukup lah apa yang dia bagi selama ini!"

"Ewah, ewah. Dah rampas laki orang pandai pula nak bercakap, eh?! Duit tu bukan untuk kau lah! Bukan untuk aku juga! Kalau kau nak sangat duit tu suruh lah anak-anak kau ni cepat beranak!"

"Siapa yang rampas laki kau, ha?! Kau tu yang tak reti jaga laki, tau!"

"Apa?!" Berdesit telinga Puan Khatijah mendengar kata-kata kasar yang keluar dari mulut Datin Rohana itu.

"Puan, Datin, bawa bertenang. Malu saya tengok kamu berdua bergaduh depan anak-anak," Fendi cuba meleraikan perang mulut yang berlaku. "Arwah Datuk dah lama pergi, hari baik bulan baik ni kita patut doakan dia. Tak aman dia kat sana kalau dia tahu kamu berdua bergaduh pasal harta..."

"Bukan Akak yang mula, Fendi. Perempuan gila sebelah ni. Dah rampas laki orang, tuduh kita nak rampas harta dia pula. Malu lah sikit!" Celah Puan Khatijah.

"Oh, berani kau panggil aku perempuan gila, eh?"
"Berani!"

"Sudah! Sudah!" Fendi menumbuk meja. "Maaf, Datin! Puan! Pejabat saya ni bukan dewan rakyat. Tak perlu gaduh-gaduh. Kalau ada sesiapa yang tak puas hati, boleh jumpa di mahkamah. Buat masa sekarang ni, sila turunkan tandatangan dekat surat ni dan ambil salinan masing-masing," surat yang dibacanya tadi dihulur kepada kedua-keduanya.

Datin Rohana mencapai pen di atas meja. Dicakarnya surat itu kuat-kuat lantas dicampakkan pen dakwat basah itu ke tepi.

Puan Khatijah pula hanya mampu menggelengkan kepala melihat gelagat perempuan itu yang keanak-anakan. Selesai menurunkan tandatangan diserahkannya kembali surat itu ke tangan Fendi.

"Terima kasih. Ini salinan kamu berdua, simpan baik-baik," dua keping sampul surat berisi salinan surat wasiat diserahkan kepada kedua-dua wanita tersebut. "Sebelum Datin dan Puan balik, ada apa-apa soalan lagi yang nak ditanya?"

"Berapa banyak yang Datuk simpan untuk cucu dia tu?" Tanya Datin Rohana.

"Good question," Fendi tersenyum. "Sejuta ringgit. Itu nilai asal yang disimpan seminggu sebelum wasiat ini ditulis. Saya percaya ditambah dengan faedah, tentu nilainya sekarang sudah berlipat kali ganda..."

"Ha!!" Datin Rohana terduduk.

Puan Khatijah menekup mulut.





Cahaya matahari yang menembusi ruang jendela benar-benar tepat menyuluh mata. Puan Khatijah yang nyenyak sedari tadi tersentak dari mimpi. Dia berpeluh-peluh. Masuk hari ini sudah lima kali dia bermimpi tentang perkara yang sama. Tentang hari pembacaan wasiat yang kedua, pada lima enam bulan yang lalu.

Dia pelik. Entah mengapa sejak akhir-akhir makin kuat keinginanannya untuk melihat Syafiq untuk berumah tangga. Untuk mendapat cucu. Untuk mendapat habuan seperti yang dijanjikan oleh arwah bekas suami.

Dia menggosok mata untuk membuang tahi yang melekat di kelopak. Tubuhnya yang usang itu ditegakkan. Dia duduk di bucu katil. Kepalanya ligat memikirkan sesuatu. Jika dia mahu habuan dari arwah suaminya itu, maka dia perlu meningkat usahanya dengan lebih kuat lagi. Syafiq perlu berumah tangga. Anak tunggalnya itu perlu melahirkan cahayamata.

Sepantas itu juga otaknya teringatkan Faireen, anak gadis yang diperkenalkan kepadanya pada hari raya dahulu. Dia mengurut dagu. Seingatnya, sudah agak lama juga nama itu tidak didengari. Kakinya melangkah keluar ke ruang tamu. Lalu dia mencapai telefon di tepi TV.

"Helo, Syafiq. Mak tak sedap badan, ni. Balik jumpa Mak, ya? Bawak Faireen sekali. Mak teringin nak jumpa dengan kau orang berdua sekali lagi. Pisang kat belakang rumah tu ada rebung. Boleh Mak masak gulai pucuk rebung dengan perut kegemaran kau. Balik Fiq, ya. Mak rindu ni. Mak tak sedap badan ni," pintanya diikuti dengan batuk-batuk kasar.

Syafiq tersandar. Jam di dinding pejabat menunjukkan tepat pukul sepuluh pagi. Belumpun sempat dia memulakan kerjanya pagi itu, hatinya sudah dirunsingkan dengan permintaan ibunya. "Ya, Mak. Fiq balik," jawabnya dengan tidak berapa ikhlas.

"Bawa Faireen sekali. Mak rindu kat dia…"

"Ya lah, Mak. Fiq cuba bawa dia sekali."

Gagang telefon diletak. Khatijah tersenyum lebar. Satu ringgiiitttt… Dua ringgiiiitttt…. Tiga ringgiiiitt… Ampat ringgit!! Satuuuu Jutaaaaa Ringgiiiitttttttt!!!!!

Dia menyanyi sekuat hati kemudian diikuti dengan hilaian ketawa.

Rabu, 26 Ogos 2009

Bab 17. Kata Putus

***sehingga ari yg aku tulis nih, blog ini sudah diterjah sebanyak 10062 kali walaupun baru 6 bulan mesin kire2 penceroboh aku tuh dibina. tiang seri pun lom sempat pacak lagi dah 10,000 kali manusia menerjah blog aku yg x seberapa nih... tahniah la pada diri sendiri yer.... ai x sangka plak blog anggun ai nih glamer.... ahaks!!!



Bab 17. Kata Putus





sekecil-kecil keputusan itulah yang seringkali merubah kehidupan kita selamanya ~ Keri Russell.







"Kak Yah tak payah susah-susah datang, saya OK je, lah!" Pinta Iqram apabila dia ternampak kelibat birasnya itu muncul di depan pintu. Cepat-cepat dia bangun dari katil untuk menghulurkan salam. Kaki yang sedikit kebas tadi ditepuk-tepuknya. Baju kemeja T yang tersangkut di kepala katil pula kembali disarungkan ke badan. Sudah semalaman baju T itu terbiar di situ. Baunya pun sudah semakin hapak.

"Bob tak ikut sekali?" Soalnya lagi sambil menjeling ke arah Balqis dan Faireen yang menyusul dari belakang.

Kak Yah menggeleng-gelengkan kepalanya sambil mengesat air mata yang mengalir. Entah kenapa hatinya sebak melihat Iqram terbaring di situ. Pengat durian dengan pulut kegemaran yang dibawa dari kampung dihulur. "Nah, Kak Yah tahu doktor tak bagi kau makan pulut dengan durian tapi dah itu yang kau minat, Kak Yah bawa jer lah!"

Iqram setuju. Lebar bibirnya meleret bila ternampak barang yang dibawa. Dibukanya mangkuk pengat itu perlahan, serentak itu juga habis semerbak bau durian menyelinap ke seluruh ruang bilik yang sekangkang kera itu. Air liurnya mula meleleh.

"Buka tingkap tu, Reen. Nanti nurse kat luar tu bau!" Arahnya pada Faireen yang masih tercegat berdiri.

"Dah tau doktor tak bagi makan, yang Ayah suka benar nak langgar pantang tu, kenapa?"

"Alah, kau ni, Reen. Hidup kita ni kalau asyik nak berpantang je, silap-silap haribulan mati dek kempunan, tau!"

Makin naik darah Faireen bila mendengar kata-kata dari ibu saudaranya itu. "Orang nak bagi Ayah hidup lama, Cik Yah!" Dia melenting.

"Eh, dah lah! Korang berdua kalau berjumpa mesti nak bertelagah, lah!" Sampuk Balqis pula.

"Cik Yah ni, lah. Saja nak cari pasal. Kalau apa-apa jadi kat Ayah, biar dia yang bertanggungjawab!"

Iqram mengurut kepalanya yang semakin sakit. "Sudah lah tu! Ayah tak ada apa-apa. Hari ni dah boleh keluar pun!"

"Ha?!" mereka bertiga terkejut.

Serta merta itu juga suasana di dalam bilik bertukar.

Balqis ternganga besar. Tergamam.

Faireen tersenyum lebar. Keriangan.

Kak Yah tidak terkata apa. Terjegil.

"Apa tunggu lagi? Gi tanya nurse kat luar tu berapa kita kena bayar. Jangan lupa minta resit, senang Ayah nak claim kat office. Qis, awak letak kereta kat mana? Saya malas nak jalan jauh-jauh. Hospital ni besar!" Iqram mula mengarah.

Sepantas kilat itu juga Faireen dan Balqis beredar meninggalkan Iqram dan Kak Yah berdua di situ.

"Betul ke kau keluar hari ni?"

Iqram mengangguk.

"Nirina tahu?"

Iqram mengangguk lagi."Saya nak jumpa mak bapak dia hari minggu ni. Kak Yah tolong temankan?"

"OK!" Kak Yah setuju.






Sepanjang hari Faisal tidak dapat membuat kerjanya di pejabat. Fikirannya jauh melayang mengenangkan butir perbualannya di telefon bersama Syafiq malam tadi.



THANK YOU FOR CHATTING WITH ME TONITE. SAYA TAHU SAYA TAK BERTERUS TERANG DARI MULA TAPI SAYA HARAP AWAK FAHAM DENGAN "SITUASI" SAYA. LOOKING FORWARD TO CHAT/MEET WITH YOU AGAIN.



LUV, FIQ



SMS yang diterimanya itu sudah berpuluh kali dibacanya. Perasaannya bercampur baur. Antara marah dengan sayang. Atau geram bertemu rindu. Lama juga dia tidak melalui perasaan yang gundah gulana begitu. Makan lama ditenung pesanan yang diterima itu, makin bercelaru fikirannya.

Agaknya ini lah yang dikatakan orang penangan penyakit angau, kan? Soalnya kepada diri sendiri.

Apa yang pasti dia takut jika tersalah langkah. Sejak dari zaman sekolah dahulu hinggalah ke usianya dewasa kini, belum pernah sekalipun dia bertemu dengan seorang lelaki yang benar-benar serius dalam menjalinkan hubungan cinta bersamanya.

Betul kata Amy rakan baiknya di sekolah dulu. "Kau tak payah nak feeling-feeling lebih Kak Sally. Cinta sesama lelaki ni, dengan orang Melayu pula tu, hangat-hangat tahi ayam je. Cukup masa mak dia orang suruh kahwin, dia orang akan kahwin. Kita dapat apa? Hampeh!"

Hampeh? Betul tu Kak Amy, memang hampeh. Faisal setuju.

Ingatannya merantau pula kepada Amy yang kini berada jauh di perantauan. Sudah bahagia dengan suami Mat Salehnya di Belanda barangkali. Kali terakhir mereka bertemu apabila dia pulang ke Malaysia bersama suaminya pada dua tiga tahun yang lalu.

Katanya dia dan Yohann baru saja berkahwin di Amsterdam waktu itu. Mereka berdua singgah ke tanahair dalam perjalanan untuk berbulan madu di Bali.

Apabila ditanya jika ada di kalangan ahli keluarga yang mengetahui tentang ikatan mereka itu, Amy cuma mengangkat bahu. Tambahnya lagi, dia sudah tidak berapa ambil peduli tentang keluarganya lagi.

Alasannya, keluarganya sendiri pun sudah tidak mengambil tahu lagi tentang hidup dan matinya juga.



Faisal kembali memicit dahi yang sakit. Semakin lama dia terkenangkan Amy, semakin terngiang-ngiang pula pesanan dari rakannya itu di telinga.

"Hampeh! Hampeh! Hampeh!"

Matanya kembali tertumpu kepada pesanan yang diterima. Situasi. Walau bagaimanapun situasinya, Syafiq tetap juga akan berkahwin dengan seorang insan bernama wanita satu hari nanti. Sama ada wanita itu pilihan keluarga atau pilihannya sendiri, itu bukan satu persoalan. Persoalannya kini, dia tetap juga akan mendirikan rumah tangga.

"Cukup masa mak dia orang suruh kahwin, dia orang kahwin. Kita dapat apa?" Sekali lagi soalan Amy tadi muncul di dalam kepala.

"Hampeh?!" Jawab Faisal pada diri sendiri.






Air sejuk di atas meja sudah bergelas-gelas diteguk. Pelayan di restoran sudah dua kali datang ke mejanya menanyakan jika dia sudah bersedia untuk membuat pesanan. Bob memerhati jam di tangannya. Sudah satu jam dia menunggu di situ, waktu makan tengaharinya pun sudah hampir tamat tetapi bayang Nirina masih lagi tidak muncul-muncul.

Dia kepanasan di dalam hati. Untuk kesekian kalinya, dia membuat panggilan lagi. Seperti yang sudah-sudah, panggilan yang dibuat hanya meninggalkan deringan. Pesanan SMS yang sudah lima kali dikirim juga tidak satupun yang berbalas. Darahnya makin meninggi. Air bandung yang hampir cair susunya hanya mampu diteguk perlahan.

Tidak lama kemudian, orang yang ditunggu muncul juga akhirnya. Dia tiba dengan lemah gemalai berlenggang, tidak menampakkan rasa bersalah walau sedikitpun. Senyuman dihulurkan dari jauh. Bob tahu senyuman itu hanya plastik semata-mata, tetapi hati jantannya yang kental tadi mudah saja bertukar lembut tiba-tiba.

Nirina duduk. Dia menghela nafas panjang, berpura-pura seperti memarahkan sesuatu. "Sorry, sebelum saya keluar tadi ada call masuk dari client so saya kena check fail dia orang, and then, tunggu fax dari dia orang, and then reply fax tu. Ish, macam-macam lah. Handphone saya tinggal kat rumah so tak dapat nak call awak. Awak tak marahkan?"

Bob menggeleng-gelengkan kepalanya, pelik. "Staf kat office tu ada berapa puluh orang. Seorang satu ada telefon atas meja tak kan satu pun tak ada yang boleh pakai untuk call saya?"

"Saya cakap sorry, kan?" Nirina menundukkan kepalanya sedikit, tidak dapat memberi jawapan pada soalan yang diberi.

Bob tersenyum. "Tak kisahlah," katanya. "Ni, saya ada bawa barang untuk awak,' sambungnya lagi sambil menyerahkan sekotak hamper kecil berisi lilin warna putih yang dihias cantik dengan riben berwarna merah.

"Eh, eh, candle. Cantik. Hari jadi saya lambat lagi lah Bob," balas Nirina manja.

"Hai, kene tunggu hari jadi ke baru nak dapat hadiah?"

"Hari Krismas pun lambat lagi…"

"Saya bukan orang Kristian. Awak pun bukan orang Kristian. Kan?"

Nirina ketawa, "zaman sekarang orang Islam pun tukar-tukar hadiah masa Krismas, tau!"

Betul juga, bisik Bob dalam hati.

"Jadi kenapa awak bagi saya hadiah ni?"

Bob mengurut dada sambil merenung mata Nirina tanpa berkelip. "Saya tahu awak suka lilin, and warna putih merah kan warna kegemaran awak so saya beli lah untuk awak. Saya harap awak suka."

"Suka sangat, Bob. Tapi kenapa?"

"Salah kah?"

"Tak lah, salah. Cuma macam… entahlah," Nirina menumpang dagu. "Pelik," tambahnya sepatah.

"Pelik dapat hadiah dari saya ke, pelik dapat hadiah?"

"Pelik dapat hadiah tanpa sebab. Orang bagi hadiah mesti ada sebab. Nak minta maaf ke, terhutang budi ke, bayar ganti rugi ke..."

"Hari jadi ke, Krismas ke, eh?" Bob memotong.

Nirina ketawa, "tahu pun. So apa sebab awak?"

"Memang tak ada sebab khusus. Cuma saya rasa macam nak bagi awak sesuatu. Nak minta maaf pun ye juga."

"Minta maaf pasal apa pula nih?"

"Pasal suruh awak buang baby tuh dulu..."

Nirina terdiam. Perutnya yang bulat sedikit itu diusap lembut.

"Apa plan awak weekend ni?"

Dia menggelengkan kepala, "tak ada plan lagi, kot. Kena tengok schedule dulu. Kenapa?"

"Saya nak jumpa parents awak. Boleh?"

Gulp! Nirina menelan liur. Tergamam.

"Boleh?" Sekali lagi Bob mengajukan soalan. Kali ini wajahnya nampak berseri. Tersenyum bangga apabila melihat Nirina kelu tidak terkata.

Beep! Tiba-tiba telefon bimbit yang terselit di dalam beg tangan menjerit menerima satu pesanan masuk. Nirina yang masih lagi tergamam, dengan segera membaca pesanan yang diterima.



KAK YAH ADA KAT SINI. KITA ORANG NAK JUMPA YOU MALAM NI. NAK BERBINCANG PASAL HAL KITA. CALL/SMS ME ASAP.



"Ha?!" terjegil besar matanya membaca mesej yang diterima. Dagunya terasa seperti jatuh tersembam ke atas meja. Dia mulai pitam.

Bob juga turut sama terkesima.

"Kata handphone tertinggal kat rumah?" Soalnya dengan hati yang sakit.

Selasa, 25 Ogos 2009

Bab 16. Indah kah sepi itu?





Sepi itu adalah perbualan yang sebenar di antara dua sahabat. Bukan tutur kata yang penting tetapi hati yang tidak pernah memaksa untuk berkata-kata itu yang perlu diambil kira ~ Margaret Lee Runbeck







Faisal banyak tersenyum dalam perjalanan pulang. Kuala Lumpur malam itu terasa terlebih cahayanya. Lampu-lampu neon yang berkelipan di kiri kanan jalan ibarat meraikan rasa girang nya waktu itu.

Bibirnya makin lebar meleret bila teringatkan masa-masa yang terluang bersama Syafiq tadi. Cukup sepatah yang boleh digambarkan. Indah. Indah kerana, tadi sewaktu mereka berpisah, Syafiq mencium lembut pipinya.

Faisal gemuruh diperlakukan sebegitu apatah lagi apabila ianya dilakukan tanpa mengambil kira pandangan khalayak ramai. Tetapi Syafiq cukup selamba. Katanya dia ingin bertemu dengan Faisal sekali lagi.

Dia terhibur.

"Terhibur?" soal Faisal kembali berpura-pura tidak faham dengan apa yang didengari.

"Ya, hanya penghibur saja yang boleh menghiburkan hati saya ni, Faisal," balas Syafiq lembut.

"Hati awak sepi?"

"Ya. Saya sepi…"

Sepi? Faisal mengelamun memerhati kenderaan yang berpusu-pusu merentas kota. Manusia-manusia masih lagi ke hulu-hilir memecah malam tanpa tujuan. Lampu-lampu cerah di balik-balik pokok bersinar-sinar memandikan langit yang tidak pernah gelap. Suara-suara yang riuh rendah juga sibuk memperkatakan tentang dunia. Kuala Lumpur masih sesak. Masih juga tidak pernah lengang. Bagaimana Syafiq boleh mengatakan hidupnya sepi?

"Tapi sepi itu indah kan Syafiq?"

"Indah kah sepi itu kalau sepi itu kerana kosong? Masih tercari-cari makna? Masih gelap tanpa haluan?" Syafiq berfalsafah.

"Apa yang awak cari?"

"Cinta. Keabadian."

"Cinta pada tuhan saja yang abadi, Fiq. Cinta sesama manusia tak kekal."

"Kalau dah tahu tak kekal, kenapa manusia terus memburu cinta sesama manusia? Cinta sesama jenis lagi?"

"Sebab manusia tak mahu jadi hipokrit? Ataupun hidup dalam kesepian?"

"Sepi seperti saya?"

"Ya, sepi seperti awak..."

"Awak faham," balas Syafiq sebelum melentakkan tangannya ke atas peha Faisal.



Faham. Faisal memang faham dengan jiwa manusia-manusia seperti Syafiq itu. Dia faham apabila Syafiq mengadu tentang ibunya di kampung bising menyuruhnya berkahwin. Dia sedar di dalam pemikiran masyarakat Melayu dan Islam itu sendiri bahawa istilah perkahwinan itu datangnya dari pencantuman dua jantina. Dia tahu hukum cinta dengan kaum sejenis dalam agamanya. Dalam fikirannya juga jelas tergambar pandangan serong masyarakat sekeliling seandainya ada bangsa dan saudara mereka sendiri terjebak di dalam kancah diluar tabii itu.

Tetapi jika sudah begitu nalurinya, jika sudah begitu juga yang sudah tertulis, siapa yang harus dipersalahkan? Ibubapa yang melahirkan anak itu? Guru yang tidak bijak mendidik? Rakan sebaya yang sering mendorong? Atau keinginan jiwa yang kosong itu sendiri?

Dulu Faireen pernah berkata kepada ibunya, "kalau Faisal tu nak kawan dengan perempuan, biar seramai manapun Bu, tak ada apa yang kita nak bimbang. Tapi kalau dia kawan dengan lelaki, itu yang kita kena jaga-jaga..."

Mulanya Ibu pelik dengan pesanan kakaknya itu tetapi lama-kelamaan dia mulai faham. Dia mula mengerti mengapa tuhan mewujudkan manusia seperti anaknya juga. Dia juga semakin mengenali siapa anaknya yang sebenar.

Nalurinya sebagai ibu tahu naluri anak yang dilahirkan dari darah dagingnya sendiri. "Faisal pilih lah jalan hidup yang terbaik. Ibu tak nak memaksa. Kalau rasa hidup Sal dah jauh menyimpang dari landasan yang sebenar, ambil wudhuk. Pulang lah semula," balasnya.

Faisal berjanji. Tiba saja dia di rumah nanti, dia mahu menunaikan solat Istikharah. Mahu bertanya kepada tuhan apakah benar jalan yang dipilihnya ini. Sudah lama dia tidak menyentuh air sejuk untuk menyucikan anggotanya itu. Mungkin dia sudah terlupa tertibnya. Mungkin dia sudah terlalu leka dengan permintaan hatinya sendiri. Mungkin juga dia sudah alpa pada desakan duniawi yang sementara ini.

Di dalam solatnya nanti, dia juga mahu berjanji. Jika benar Ibu mengatakan bahawa dirinya sudah tergelincir jauh dari landasan, dia mahu kembali ke pangkal jalan itu. Tetapi seandainya tuhan sendiri yang sudah menyuratkan dirinya sebegitu, dia akan pasrah dengan ketentuanNya.

"Syafiq, awak kena jadi Syafiq. Jangan paksakan diri jadi orang lain semata-mata kerana kita tak nak orang lain kecewa," itu kata-kata terakhirnya sebelum mereka berlalu pergi dari gerai mamak itu tadi. Syafiq mengangguk bersetuju.



Tiba saja di rumah, Faisal memerhatikan jam di tangan. Hampir ke tengah malam. Cahaya lampu di dalam rumahnya sudah malap semuanya. Ibu dan kakak mungkin sudah lama dibuai mimpi. Cik Yah yang dikatakan bermalam di situ juga tidak kelihatan kelibatnya.

Dia lega pulang lewat malam itu. Setidak-tidaknya dia tidak perlu berjumpa dengan ibu saudaranya itu. Dulu semasa kecil, Cik Yahlah orang yang paling gemar mengusik. Ada saja gelaran-gelaran yang tidak manis diberi kepadanya.

Apabila meningkat dewasa pula, dia sibuk mencucuk Ibu menyuruh anak bujangnya itu berkahwin. Ataupun memaksa Ibu menegur caranya berpakaian. Ataupun membantu Ibu untuk mencari jodohnya dengan anak dara di kampung yang lain.

Tiba-tiba telefonnya berbunyi memecah kesunyian. Faisal yang memanjat tangga perlahan-lahan tadi cepat-cepat berlari masuk ke dalam bilik. Dari Syafiq. Dia melompat gembira. Terus direbahkan tubuhnya ke atas katil bujangnya itu.

"Assalamualaikum..."

"Waalaikumsalam," jawab Syafiq manja. "Baru sampai?"

"Yes, sir!" Balas Faisal pula ibarat melaporkan diri. "Awak?"

"Baru juga. Cuba nak tidur tapi tak boleh lah. Asyik teringatkan awak."

Faisal tertawa, "over lah tu. Kita baru lepak-lepak dua tiga jam awak dah teringat-ingatkan saya. Macam cerita Musang Berjanggut lah pulak!"

"Ha, betul lah tu! Janggut saya ni pun gatal je semenjak dua menjak ni," jawab Syafiq lagi sambil mengusap janggut halus di dagu.

"Janggut je gatal? Lain tak?"

"Lain tu memang dari dulu gatal..."

Faisal menekup mulut menahan geli di hati.

Kemudian perbualan yang berlangsung di antara mereka berdua semakin berpanjangan. Masing-masing mula meluahkan pengalaman hidup masing-masing dari zaman kanak-kanak dahulu hinggalah apabila melangkah ke alam dewasa.



Sedang seronok berbual tiba-tiba telefon bimbit Syafiq berbunyi.

"Eh, kejap, eh. Ada incoming call," pintanya untuk menghentikan perbualan apabila nama Faireen berkelip-kelip di skrin.

"Helo, sayang..." ucapnya lembut.

"Dah tidur?" Soal Faireen halus.

"Hmmm... Nak tidur dah ni. Esok je I call you dari office?"

"Tapi I tak boleh tidur. Dari tadi I call you tak dapat. You pergi mana?"

"I ikut kawan main futsal kat Ampang. Low batt sebab tu I tak on phone I," Syafiq berbohong.

"Janji esok telefon I?"

"Ya, I janji. Pergi lah tidur nanti lambat pula masuk kerja esok..." arahnya. Tut! Butang LINE 1 ditekan.

"Faisal?"

"Ya. Siapa tu? Isteri?"

Syafiq ketawa. "Saya ni bujang trang tang tang lah, Faisal. Mana ada isteri. Awak nak jadi isteri saya?"

"You wish. Kalau dalam Islam tu kata orang lelaki boleh kahwin sesama lelaki, dah lama saya suruh awak hantar rombongan meminang!"

"Haha!" Faisal tertawa. Beep! "Eh, wait," sekali lagi telefon bimbitnya berbunyi.

LINE 2 FAIREEN.

"Ya, sayang. Apa lagi, esok I call you kat office..."

"Sayang mana pula ni, Syafiq. Saya ni, Faisal..."

"Opps?!" Berderau darah Syafiq bila terdengar suara Faisal yang menyambut talian itu. LINE 2 ditekan sekali lagi.

"Faireen?"

"Ya, sayang!"

"Kan I dah kata I call you dari office esok. You ni kenapa?"

"Eh, jangan lah marah. I cuma nak cakap jangan call nombor office I pagi esok. I masuk office lambat. Nak ke hospital dulu..."

"OK. OK. I'll talk to you tomorrow!"



LINE 1 ditekan kembali.

"Faisal?"

Faisal merebahkan kepalanya ke kaki katil. Dia merenung siling. Otaknya bercelaru waktu itu sama ada ingin terus berbicara dengan lelaki itu atau membuang saja telefon di tangannya jauh-jauh.

"Faisal? I can explain," ucap Syafiq sekali lagi perlahan.

"So awak ada berapa ramai boyfriend, Syafiq?"

"Bukan boyfriend, Faisal."

"Habis tu? Girlfriend? Tunang? Bini?"

Syafiq menghembuskan nafasnya. "SITUASI," jawabnya sepatah.

"Situasi apa?" Faisal tidak mengerti.

"Saya tak tahu macamana nak cakap."

Faisal bangun dari katil. Dia berjalan menuju ke tingkap biliknya. Dibukanya pintu jendela itu luas-luas. Matanya tepat merenung ke bulan.

Terang.

Penuh.

Kalau bulan itu boleh berkata-kata, mahu saja dia menanya, perlukah aku terus melayan kerenah manusia-manusia sebegini?

"Kalau awak tak tahu macamana nak cakap, tak payah cakap. Jangan buang masa saya dan jangan buang air liur sendiri. Saya pun tak berminat nak menambah situasi dalam hidup awak," balasnya keras.

"Faisal jangan cakap macam tu. Dia seorang perempuan yang terperangkap dalam satu situasi. Dia boleh dikatakan sebagai girlfriend saya tapi saya tak cintakan dia!"

"Ah, please," Faisal mula meluat bila mendengar alasan bodoh seperti itu. "Macam mana boleh jadi girlfriend kalau awak tak cintakan dia langsung? Tak apa, tak payah jawab. Biar saya teka. Awak berdua dah tak sefahamankan? Ataupun dia curang?"

"Bukan. Sebab saya tak pernah suka perempuan Faisal. Dia jadi girlfriend saya pun sebab mak saya suruh saya kahwin, jadi saya kena cari calon isteri. Awak faham, kan?"

Faisal terdiam.

"Faisal? Awak faham, kan"

Ya. Faisal cukup faham dengan situasi yang dimaksudkan itu.

"Dia pun manusia juga, Syafiq. Dia layak untuk mencintai dan dicintai. Kalau awak rasa awak tak boleh nak beri dia cinta, berterus terang saja dengan dia. Biar dia kahwin dengan orang lain. Tak payah lah kahwin kalau sekadar nak mengaburi mata keluarga awak saja, Fiq. Berdosa menganiaya anak orang!"

"Saya tahu itu semua Faisal tapi saya terpaksa!"

"Suka hati awaklah, Syafiq. Saya doakan awak semoga bahagia dengan jalan hidup awak. Selamat malam!"

"Eh, Faisal!"

"Dah pagi dah pun, Fiq. Saya nak tidur dulu," Faisal meminta diri.

"Saya call awak pagi esok?"

"Tak payah. Call perempuan yang awak dah janji tadi. Nanti dia marah pula! OK lah, bye!"

"Faisal..."

"Bye, Syafiq. Bye..." ucap Faisal tegas sebelum memicit butang end.

Dia kembali merebahkan diri ke katil. Hatinya panas. Matanya yang berat tadi kembali segar bugar. Mindanya mula berpusing laju memikirkan alasan yang baru didengarinya itu.

Kahwin kerana keluarga? Dasar lelaki, itu sajalah alasan yang mereka tahu. Asyik-asyik nak menyalahkan keluarga walhal diri sendiri yang sudah menggatal nak berbini. Aku pun lelaki macam dia juga. Pandai je aku mengelak dari bab-bab berkahwin ni?

Bunyi intro lagu So What dari Pink dari telefon bimbitnya bergema sekali lagi memecah kesunyian malam. Satu pesanan masuk dari Syafiq dibuka.



THANK YOU FOR CHATTING WITH ME TONITE. SAYA TAHU SAYA TAK BERTERUS TERANG DARI MULA TAPI SAYA HARAP AWAK FAHAM DENGAN "SITUASI" SAYA. LOOKING FORWARD TO CHAT/MEET WITH YOU AGAIN.



LUV, FIQ



Faisal mendengus. Dia sedar apa yang Syafiq lakukan itu salah tapi hatinya sendiri berat untuk melepaskan lelaki itu pergi.

"Apa aku nak buat ni? Bulan! Apa yang perlu aku buat ni?" Soalnya kembali pada bulan yang terang benderang malam itu.



OK. TALK TO YOU AGAIN.

LUV, FAISAL



Balasnya mendengar kata bulan.

Ahad, 23 Ogos 2009

Bab 15. Makan malam

** 2nd day puasa. mengidam kuih muih melayu n tau fu fa panas. cukup buka puasa dgn tuh jer rasanyer.... anyway, aku perasan ada silent reader dlm novel pucuk nih rupanyer... best ker citer nih u ol???



Bab 15. Makan malam





Ada waktunya aku terjaga di waktu malam dan bertanya, "di manakah kesilapanku?" Lalu ada suara yang menjawab, "aku memerlukan beberapa malam untuk menjelaskan kesemuanya," ~ Charles M. Schulz (1922-2000)







"Kau ni bila nak kahwin, Faireen?" Itu soalan pertama yang terpacul dari mulut Kak Yah sewaktu mereka duduk untuk makan malam bersama malam itu. Faireen yang sedang meneguk air waktu itu rasa seperti tercekik sedikit. Matanya sengaja ditumpukan kepada ibunya yang sedari tadi kelihatan semacam bingung.

"Anak dara jangan sorok lama-lama sangat dara tu, Reen. Keras nanti," sambung Kak Yah lagi dengan mulutnya yang penuh.

"Keras tang mana nya, Cik Yah?" Soalnya semula.

"Tang mana-mana yang tak sepatutnya lah!" Jawabnya. Pucuk rebung masak lemak dalam piring kecil di depan mata disenduk. "Macam pucuk rebung ni, kalau dah tua kan dah keras? Dah jadi buluh. Mana sedap lagi?"

Ya tak ya juga, jawab Faireen dalam hati. Dia tersenyum.

"Yang kau ni dari tadi sepi je kenapa, Qis?" Kak Yah mula beralih arah. Balqis yang sedari tadi tidak menjamah langsung nasi di pinggannya ditegur.

"Ya lah, Bu. Nanti sejuk pula nasi tu. Lauk-lauk ni kalau sejuk, dah tak sedap dah nak makan, kan Cik Yah kan?" sampuk Faireen pula.

"Bukan tak nak makan. Tak ada selera," jawab Balqis cuba memasukkan sesuap dua nasi ke dalam mulut. Perlahan-lahan dikunyahnya nasi kering di dalam mulutnya itu tetapi apabila ditelan entah kenapa rasa enaknya seakan-akan telah hilang di tekak. Perutnya yang minta diisi tadi juga tiba-tiba terasa mual apabila melihat gulai rebung masak lemak dengan sambal ikan selar di depan mata. Fikirannya mula jauh melayang terkenangkan suami di hospital.



*******



Iqram menanti dengan penuh sabar. Petang tadi doktor yang selama ini merawatnya telah menghadiahkannya dengan satu berita gembira. Kata doktor itu, penyakit yang dialaminya selama ini sudah semakin sembuh dan dia telah dibenarkan untuk pulang ke rumah esok.

Iqram mengucap panjang. Setakat ini dia belumpun memberitahu sesiapa lagi termasuk anak isterinya di rumah akan berita yang baru diterimanya itu. Dia sengaja merahsiakannya dari semua. Sengaja ingin mengelakkan diri dari keluarga buat seketika.

Cadangnya, dia mahu merehatkan diri sambil menenangkan fikiran jauh dari kekusutan yang berlaku sejak akhir-akhir ini. Lama duduk termenung, akhirnya dia mengambil keputusan untuk menghubungi Nirina.

Katanya dia mahu mereka berdua berjumpa di situ malam itu. Mahu meluangkan masa untuk berbincang tentang masa depan, alasannya.

Nirina setuju.







Jam di tangan menunjukkan tepat pada pukul lapan setengah malam. Faisal masih lagi keseorangan menunggu Syafiq yang tidak kunjung tiba. Teh tarik yang dipesannya tadi sudah hampir kosong segelas. Dia bosan. Matanya liar memerhati sekeliling. Bermacam-macam gelagat yang dilihatnya di gerai mamak malam itu.

Ada sekeluarga yang berseloroh bercerita tentang kisah hidup masing-masing, ada pula anak lelaki muda, golongan rempit mungkin bercerita tentang malam yang masih muda, dan yang paling mencuit hati tentang dua tiga anak gadis belasan umur yang menjeling manja sambil tersengih-sengih seperti kerang busuk menanti dicelur, ke arahnya.

Faisal mula berpura-pura bermain-main dengan telefon bimbit. Sudah sepuluh kali dia menghantar pesanan baki kepada rangkaian telefon yang digunakan. Sengaja. Kononnya biarlah nampak seperti dia sedang berbalas-balas SMS dengan seseorang walhal tiada siapaun yang mengetahui bahawa kredit yang tersimpan di dalam telefon itu tidak mencukupi.

Tiba-tiba dia disapa. Faisal mendongak. Syafiq. Dia tersenyum. "Kata pukul lapan. Dah setengah jam lambat ni," tegurnya keras sambil menunjuk jam bulat besar di pergelangan tangan.

"Sorry lah. Tadi saya pergi surau, sembahyang maghrib. Seronok pula bila terdengar cerita ustaz tu. Sampai terlajak," jawab Syafiq sambil menyusun sepuluh jari.

Faisal terkedu apabila mendengar alasan lelaki itu. "Alhamdulillah," ucapnya dengan menadah tangan bersyukur. Sekurang-kurangnya masih ada juga insan yang dia kenali sudi mengadap tuhan yang maha esa. Seingatnya, sudah lama juga dia tidak ke surau. Sembahyang memang jauh sekali. Al quran langsung tidak disentuhnya. Peliknya dia tidak sedikit pun merasa berdosa. Barangkali hatinya sudah hitam kini. Barangkali juga tuhan belum menemukannya dengan hidayah yang sebenar.

"Apa cerita ustaz tu?" Soalnya kembali.

"Cerita pasal poligami. Itu yang menarik nak dengar tu!"

Faisal mula berkerut dahi. "Sebab awak nak pasang lagi satu ke?"

"Nak pasang lagi satu macamana. Yang pertama pun tak pasang-pasang lagi!"

Faisal ketawa.



*********



"Kenapa tak bawa Iqram tu berubat cara kampung saja, Qis?" Kak Yah mula memberi cadangan. "Dulu ada budak perempuan kat kampung tu, anak si Limah Ayam. Dia kena sakit buah pinggang. Dah teruk benar sampai doktor nak buang buah pinggang dia satu tapi lepas dia jumpa Abang Uda, buah pinggang dia bersih balik!"

"Abang Uda? Hidup lagi orang tua tu?"

"Ish, kau ni. Panjang lagi umur dia. Masih lagi berbakti pada orang kampung," jawab Kak Yah dengan mulut yang masih lagi belum berhenti mengunyah.

"Mungkin itu dah nasib dia agaknya, Cik Yah. Tuhan dah pulihkan dia," sampuk Faireen dari dapur.

"Memanglah itu semua kerja tuhan tapi kita yang manusia ni kenalah berusaha. Kalau nak berserah je kat tuhan dua puluh empat jam sampai bilapun manusia tak kan maju, sayang!" Sindirnya tajam.

Balqis tertawa kecil.

Faireen kembali ke ruang makan dengan sedulang air teh di tangan. Dituangnya air teh yang masih panas itu perlahan ke dalam tiga cawan kecil di atas meja.

Dia mencebik. Ada juga yang kena jirus dengan teh ni karang, sumpahnya di dalam hati.

"Dulupun kalau tak kerana Abang Uda tu entah kahwin entah tak kau dengan laki kau, kan?" Kak Yah mula membuka rahsia.

"Ya ke, Bu?" Faireen menunjuk minat ingin tahu dengan lebih lanjut.

Tetapi Balqis menjegil marah. "Ish, cerita lama lah semua tu!"

"Ayah kau tu lah, banyak sangat songeh. Perempuan keliling pinggang. Dah jumpa Abang Uda tu, baru lah tak ada orang kacau!"

"Ya ke? Kalau macam tu hebatlah kira-kiranya Abang Uda tu, ek?"

"Dah pangkat Pak Uda dah untuk kau tu! Apa-apa pun, dia memang hebat. Kalau tak, tak kan mak bapak kau ni kekal sampai sekarang..."

"Tapi rasanya penangan Abang Uda dulu tu dah tak sekuat dulu lagilah, Kak Yah!"

"Kenapa kau cakap macam tu?"

Balqis meneguk air teh panas yang baru dihidang. Dia menarik nafas sedalam-dalamnya. Mulutnya berat untuk bercerita tentang masalah suami isteri yang dihidapinya di hadapan Faireen. "Entah lah," jawabnya malu-malu.

"Kenapa, Bu? Ayah ada perempuan lain ke?"

Balqis mengangguk.

Mata kecil Faireen terbeliak besar, "Ayah ada perempuan lain? Mana Ibu tahu? Kenapa tak cakap dengan Reen? Biar Reen ajar betina tu!"

"Ibu kau ni main agak je. Jumpa tak, tapi bau-bau tu ada. Macam durian. Sorok kat celah mana pun, berbau jugak, kan?!"

"Memang tak boleh dibiarkan perkara ni. Tak apa, Reen ada. Reen ni harimau lah. Reen tahulah macamana nak cari durian tu," jawab Faireen penuh yakin.




Bau durian kuat terkepung dalam bilik kecil itu. Nirina membuka tingkap seluas-luasnya sambil memandang Iqram yang masih lagi tekun menjilat-jilat jari. Sekali-sekala dia menjeling ke arah pintu. Bimbang jika ada jururawat atau doktor yang menjengah masuk ke situ. Doktor yang merawat ada berpesan bahawa buat sementara waktu ini Iqram tidak boleh memakan benda-benda yang agak memanaskan.

"Makan tu elok-elok sikit, Iqram. Jangan sampai tertelan pula biji tu," tegurnya melihatkan Iqram asyik mengulum biji durian dengan begitu lahap sekali. "Isteri you yang lemah lembut tu tak datang ke hari ni? I tak nak pula kita berdua main tarik-tarik rambut, nanti!"

"I halau dia hari tu, I cakap jangan datang lagi sampai I suruh..."

"So bila you nak suruh dia datang?"

"Esok. I keluar esok."

Nirina tersenyum lega. Rambutnya yang jatuh mengurai tadi disuakkan kembali ke atas. "Eloklah tu. Kalau dah keluar bolehlah you balik ke kampung I. Hantar pinangan," cadangnya lembut.

"Pinang?"

"Ya. Pinang," dia menggosok perut yang masih kecil. "I bagi you masa seminggu je, Iqram. Lupa? Ni dah berapa hari dah ni?"

Iqram mendengus, "apa pula kata parents you, dia orang tak terkejut ke? Kan I ni laki orang? Tua pulak tu!"

"Iqram, kalau anak perempuan you datang bawa laki orang kenalkan dekat you dan dia beria-ia nak kahwin dengan lelaki tu, you sebagai bapa apa yang you akan buat?" Soalnya kembali.

"Nak halang? Nak biarkan dia orang terus buat maksiat? Nak suruh dia orang kahwin lari? Ini dah masuk 2009, tau. Mentaliti orang tua zaman sekarang dah tak macam orang tua dulu-dulu lagi!" Tambahnya.

Iqram terdiam mendengar hujah Nirina yang panjang lebar itu. Dia memeluk tubuh. Tingkap yang terbuka luas ditenung. Sedikit demi sedikit fikirannya mula memikirkan tentang masa hadapan yang menanti. "Kalau I berkahwin dengan you, you janji you akan terus biarkan kehidupan kita macam sekarang?"

"Meaning?"

"Meaning, I ada isteri. I tak boleh luangkan masa dua puluh empat jam dengan you. I kena balik ke rumah isteri pertama macam biasa. I akan duduk di sana dua tiga hari. I kena berlaku adil pada dia juga dan yang paling penting I tak nak sesiapa pun tahu pasal perkahwinan kita kecuali you dan family you, saja. OK?"

Nirina meletakkan punggungnya ke atas peha lelaki itu. Diusapnya rambut Iqram yang beruban sedikit itu perlahan-lahan. "Sayang, I faham. Yang I mahu you sebagai suami yang ada dua isteri ni kena juga berlaku adil. Kalau you berlaku adil pada isteri-isteri you, I tak ada hak nak marah sesiapa kan?" Soalnya kembali.

Iqram melepaskan nafas yang panjang. "Baiklah. Bila you nak I jumpa keluarga you?"

Sepantas kilat itu juga Nirina mencium dahi kilat kekasihnya itu bertalu-talu. Dia gembira. Sungguh tak disangka akhirnya lembut juga hati Iqram untuk mengambilnya sebagai isteri. Air matanya menitis sedikit tanda kegembiraan.

Tidak lama kemudian telefon bimbitnya berbunyi. Dia menerima satu pesanan masuk.



SAYA DAH FIKIR MASAK2. SAYA AKAN JUMPA DENGAN FAMILY AWAK. SAYA TAK NAK KEHILANGAN AWAK, RINA.

I LOVE YOU.



Bob? Nirina menggigit jari. Keliru.

Sabtu, 22 Ogos 2009

Bab 14. Kisah cinta pertama.

** 1st day puasa... kita flashback kisah cinta lama kite yer.... ayuh!




Bab 14. Kisah cinta pertama.






Saktinya cinta pertama ialah pada kealpaan kita bahawa ianya juga akan berakhir ~ Benjamin Disraeli (1804-1881)







Semua orang mengalami cinta pertama. Cinta pertama Balqis dahulu bukan pada Iqram. Cintanya pada Husin, anak Abu, si ketua kampung. Dulu ketika sedang hangat bercinta, ke hulur hilir malah ke mana saja dia pergi pasti Husin ada bersama. Kata-kata nakal orang-orang tua di situ sibuk mengatakan yang dia bakal menjadi menantu orang yang paling dihormati di kampung.

Anak muda pula ramai yang memuji dan tidak kurang juga ada yang mengeji tentang perhubungan yang terjalin. Dia tidak kisah. Arwah ibu bapanya waktu itu juga tidak berapa ambil peduli dengan cinta monyet mereka.

Suatu hari dia mendapat satu berita yang agak mengejutkan. Husin bakal meninggalkan kampung itu untuk menyambung pelajaran ke luar negara. Jauh hingga ke Australia. Waktu itu, dia merasakan dunia seakan-akan zalim kepada dirinya.

Dalam keberatan, dia melepaskan juga kekasih tersayangnya itu pergi meneruskan impiannya sendiri. Dia menangis. Beberapa hari juga dia duduk termenung mengenangkan nasib yang menimpa. Mungkin atas alasan itu, ayahnya membenarkan juga dia berhijrah ke Kuala Lumpur.

Sehingga kini Balqis percaya ada hikmah di sebalik kehilangan Husin itu kerana bermula dari situ dia bertemu pula dengan cintanya yang baru. Iqram.



Iqram pula apabila diajukan dengan soalan yang sama, hanya meleretkan sebuah senyuman. Katanya cinta pertamanya dahulu kepada seorang wanita cantik bernama Azizah. Sama seperti lagu dendangan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, begitu juga dengan Azizah kekasihnya dahulu.

Orangnya bermata bulat, mempunyai senyuman yang manis serta gigi rata tersusun putih bersih. Baginya Azizah kekasih itu seorang wanita yang cukup sempurna. Tetapi sehingga kini Iqram masih merahsiakan mengapa cintanya pada wanita sesempurna Azizah itu kecundang di tengah jalan.

"Mungkin jodoh Ayah dah tertulis untuk Ibu kamu. Sebab tu Ayah dengan Ibu dapat lahirkan anak-anak yang bijak dan comel-comel macam Faisal dan Faireen. Tak gitu, Ibu?" Soalnya kembali.



Faireen punya cinta pertama kepada Boy ketika di bangku sekolah dahulu. Boy bukan budak Melayu. Dia berbangsa Cina Serani dan taat pula kepada ajaran Kristiannya. Setiap hujung minggu, dia dan keluarganya akan berkunjung ke gereja di bandar lain untuk bersembahyang di situ.

Selepas tamat waktu sembahyang dia akan menggunakan kesempatan yang ada untuk ke bandar besar seorang diri. Alasannya untuk ke mengulangkaji pelajaran di perpustakaan walhal dia menggunakan kesempatan yang ada itu untuk bertemu dengan Faireen di situ.

Faireen pula agak berbeza sedikit. Alasannya kepada kedua ibu bapanya sering bertukar ganti setiap kali mereka ingin bertemu. Jika minggu ini dia punyai tiusyen bersama rakan sekolah yang lain, minggu hadapannya dia terpaksa ke sekolah untuk menjalani kegiatan ko-kurikulum pula.

Suatu hari sewaktu mereka berdua sedang leka berkencan di taman bunga, ibu bapa Boy tiba-tiba datang menyergah. Faireen ketika itu sedang asyik berbaring berbantalkan peha sementara Boy pula sedang tekun mengusir lembut rambut kekasihnya itu.

Tanpa usul periksa, Uncle Johny bapa kandung Boy sendiri memukul anak bujangnya itu di hadapan orang ramai. Boy malu. Ibunya, Auntie Anne juga turut menengking sama. Faireen turut diherdik kasar dan disalahkan kerana membabitkan anaknya dengan perhubungan yang melibatkan dua agama yang berbeza itu.

Drama cinta ala P. Ramlee itu tidak habis begitu saja. Ketika ibu bapa Boy memulangkan Faireen di depan pintu rumah, keadaan menjadi agak huru-hara sedikit.

Balqis dan Iqram dimaki hamun dengan kata-kata kesat. Kata Johny, mereka berdua tidak pandai menjaga anak dara sendiri. Akibat terlalu berang dengan tuduhan yang dilemparkan itu, Iqram menghalau kedua ibu bapa Boy itu dari rumahnya. Kemudiannya, dia merampas telefon bimbit Faireen yang diberi sempena hadiah harijadinya dulu.

Undang-undang keras juga mula dikenakan. Segala aktiviti Faireen selepas waktu sekolah telah dibatalkan dengan serta merta. Semenjak dari itu, Faireen benar-benar merasakan dirinya terasing dari dunia luar.

Lebih menyedihkan lagi, seminggu dua selepas itu Faireen dikejutkan pula dengan berita bahawa Boy telah dipindahkan ke sekolah lain. Bermula dari saat itu, hubungan mereka berdua terputus begitu saja.



Kisah cinta pertama Faisal lebih unik. Lebih romantis dari kisah cinta Balqis dan Husin, lebih sempurna dari kisah cinta Iqram dan Azizah, dan lebih tragis dari kisah cinta Faireen dan pasangan bukan Islamnya, Boy.

Cintanya waktu itu pada pelajar senior di asrama. Namanya Gibran. Orangnya aktif bersukan dan cemerlang pula di dalam bidang akademik. Gibran punyai pakej yang lengkap sebagai pelajar atau lelaki yang digilai oleh pelajar wanita dan lelaki yang lain.

Faisal sendiri termasuk di dalam golongan pelajar lelaki yang lain itu.



Suatu petang selepas tamat waktu persekolahan, Faisal meluangkan masanya di perpustakaan untuk mengulangkaji pelajaran sambil membuat kerja rumah yang diberi. Tidak berapa lama dia tekun menatap buku di situ, tiba-tiba pandangannya beralih arah.

Entah kenapa, tanpa dipaksa bibirnya bijak saja tersenyum apabila melihat seorang pelajar lelaki berpakej lengkap yang bernama Gibran itu melangkah masuk. Dengan gayanya, dia melabuhkan punggungnya di satu sudut yang jauh.

Faisal mula tidak keruan. Senyuman yang terukir dengan sendirinya tadi makin meleret hingga ke cuping telinga.

Tiba-tiba Gibran membalas senyuman yang dihulur. Faisal tergamam seketika seakan-akan tidak mempercayai apa yang berlaku. Dia menundukkan wajahnya sedikit dan kembali menatap buku teks yang ditinggalkan.

Dalam diam-diam, Gibran tiba-tiba muncul betul-betul di depan matanya. Faisal tergamam sekali lagi. Dia menjadi keliru apakah suhu dingin dari dalam bilik itu yang menyentuh tulangnya atau mungkinkah dia gementar melihat Gibran sedang tekun menatap matanya kini. Nyatanya, serentak itu juga dia menggigil kesejukan.



"Buat homework?" Sapa Gibran lembut.

"Ya?" Faisal buat-buat terkejut.

"Saya tanya buat homework ke?"

"Ya," dia mengangguk.

"Saya Gibran"

"Tahu. Boleh baca kat name tag awak," Faisal menunjuk tag nama yang tersangkut di poket baju lelaki itu.

"Saya Faisal," dia memperkenalkan diri dengan menunjuk tag namanya juga.

"Ya tak ya juga. Tak perasan pula ada name tag."

"Tak apa. Buat homework juga?"

"Tak lah. Saja buang masa. Saya nampak awak datang sini. That’s why saya datang."

Faisal ketawa besar. "Pandai awak buat lawak kan? Saya teruja!"

"Saya tak main-main lah. Saya nampak awak masuk sini tadi, tu sebab saya pun masuk. Nak tengok awak. Boleh?"

Faisal menekup mulut. "Awak tak main-main?" Soalnya kembali dengan suara yang seakan-akan hilang.

Gibran menggeleng.



Ya, Gibran tidak berbohong. Dia akui, memang sudah agak lama dia memerhatikan Faisal dari jauh. Katanya Faisal tidak seperti pelajar lelaki yang lain.

"Itu saya tahu. Memang satu sekolah tahu saya ni lain dari yang lain," jawab Faisal sambil mematahkan tangannya.

Tapi bukan itu yang dimaksudkan oleh Gibran. Katanya ada ramai pelajar lelaki yang sama sejenis dengan Faisal di sekolah itu.

Dia mula menyebut nama mereka satu persatu. Ada jenis yang terang-terangan diketahui statusnya, malah ada juga yang jatuh di kategori orang yang sentiasa menggaburi mata pelajar lain dengan mendampingi ramai pelajar wanita yang lain tetapi dalam masa yang sama turut sama mendampingi pelajar lelaki yang lain juga.

Faisal terkejut apabila mendengar nama-nama yang dirahsiakan itu. "Kalau macam tu, apa bezanya saya dengan pelajar lain itu?" Soalnya mencari kepastian.

"Awak lain sebab awak sibuk dengan dunia awak. Saya tak pernah dengar pula yang awak ada bercinta-cinta dengan pelajar kat sekolah ini. Ada ke?"

"Oh, tak ada lah. Malas. Lagipun saya tak glamor kat sekolah ni, tu pasal lah saya tak bercinta-cinta dengan sesiapa, kot?" Jawabnya.

"Siapa kata Faisal tak glamor? Faisal tahu tak, nama-nama yang saya sebut tadi semua nak kawan dengan Faisal tau!"

"Ya ke?"

"Iya..."

Faisal mula menaruh minat untuk meneruskan perbualan. "Tak sangka pula saya ni boleh jadi bahan bualan kaum sejenis. Kalau macam tu, apa beza pulak awak dengan orang lain?"

"Beza saya dengan orang lain, saya berterus-terang nak kawan dengan awak. Tak macam diorang. Pengecut," balas Gibran selamba. "Itupun kalau awak sudi. Kalau tak, tak kan saya nak paksa pulak, kan?"

Betul juga, kata Faisal dalam hati. Bibirnya tersenyum simpul. Kalau boleh mahu saja dia menjerit keriangan waktu itu tetapi dia cuba mengawalnya agar tidak terlalu jelas menunjuk.

"Mak saya ada cakap, kalau orang nak berkawan, kita jangan menolak dan kalau orang nak bermusuh, kita jangan cari. Awak nak berkawan saja, apa salahnya kan?" jawapan secara neutral diberi.



Mulai dari saat itu, hubungan di antara mereka berdua telah terjalin dengan begitu akrab. Setiap petang mereka akan memastikan untuk meluangkan masa bertemu di dalam perpustakaan. Selain mengulangkaji pelajaran, masa yang ada itu juga digunakan utnuk mengenali hati budi masing-masing. Dari sehari ke sehari, hubungan akrab itu telah semakin lama semakin jauh melampaui batasan fitrah manusia.

Hubungan terlarang mereka terjalin hingga setahun. Faisal masih teringat saat pertama dia melakukan sesuatu di luar tabii bersama Gibran. Dia merasakan dirinya telah kotor dan berdosa kepada tuhan. Namun atas desakan syaitan, kotor dan dosa itu lama kelamaannya terpadam entah ke mana. Dia semakin alpa.

Sepanjang tempoh itu juga, tiada seorang pun di kalangan pelajar mahupun guru di sekolah itu yang mengetahui tentang perhubungan yang terjalin. Masing-masing telah berjanji untuk menyembunyikan kisah cinta terlarang itu dari diketahui umum.

Alasannya, Gibran pelajar yang dihormati di sekolah. Dia bimbang gara-gara hubungan terlarang itu nanti, kredibilitinya sebagai seorang bintang sukan yang disegani akan hancur.

Tambahan pula, memandangkan dia seorang pelajar miskin yang diambil dari rumah anak-anak yatim maka seluruh kos pembelajarannya dibiaya oleh pihak sekolah juga dan jika mereka mendapati pelajar harapan di sekolah itu tidak seperti mana yang diharapkan, namanya akan digugurkan untuk terus menuntut di situ.

Faisal akur dengan janji yang dimeterai itu.



Dipendekkan cerita, satu hari Faisal mula menghidu sesuatu yang memelikkan di dalam perhubungan mereka. Ianya bermula dengan suara-suara sumbang yang mengatakan Gibran seorang lelaki gay. Penuh nota-nota kecil mengatakan kekasih gelapnya itu telah membuat maksiat dengan seorang pelajar lelaki lain di sekolah itu tertulis di dinding.

Dia mula bingung memikirkan bagaimana hubungan rahsia mereka itu boleh diketahui umum dengan meluas sebegitu. Dan yang makin memelikkan lagi, mengapa hanya Gibran saja yang diperkatakan orang.

Akhirnya untuk mengetahui perkara yang sebenar, dia mula menyelidik dan setelah sekian lama membuat penyelidikan, dia mula mendapat jawapan yang sebenar.

Kisahnya, pada satu hari ada seorang pengawas senior telah menangkap Gibran yang sedang melakukan aksi panas di luar tabii bersama pelajar lelaki junior yang lain di dalam tandas sekolah.

Mereka berdua kemudiannya telah dibawa menghadap pengetua dan guru disiplin. Mungkin kerana Gibran telah dianggap sebagai "ayam tambatan" di sekolah itu, maka dia cuma diberi amaran untuk tidak melakukan perkara itu lagi.

Berbeza dengan pelajar junior itu pula, ibu bapanya dipanggil dan dia diarahkan untuk berpindah ke sekolah lain.

Sebaik saja mendengar berita itu, Faisal membuat keputusan untuk duduk bermurung di dalam bilik hampir sebulan lamanya. Pelajarannya terganggu malah keputusan peperiksaan penggal yang diambil juga tidak langsung memuaskan.

Balqis dan Iqram runsing melihat perubahan mendadak terhadap anak lelakinya itu. Apabila ditanya, jawapan tekanan pelajaran di sekolah, diberi namun setelah dia ditekan oleh ibu bapanya untuk menjelaskan perkara yang sebenar, akhirnya dia bernekad untuk berubah.

Bermula dari saat itu dia berjanji pada dirinya sendiri untuk tidak terus terjatuh cinta dengan mana-mana lelaki di sekolahnya itu lagi. Dia mahu kembali menjadi Faisal yang dahulu. Yang hanya menumpukan perhatian pada pelajaran dan menjauhkan diri dari cinta yang menyesatkan ini.

Gibran juga tidak langsung ditemuinya. Berbagai-bagai cara dan alasan digunakan untuk mengelakkan diri dari bertemu atau berbicara dengan lelaki itu sehinggalah cuti sekolah bermula.

Sebaik saja semester baru kembali dibuka, dia pulang dengan azam dan diri yang baru. Manakala Gibran pula langsung tidak kelihatan. Tiada siapa pun yang tahu ke mana dia menghilang. Ada khabar angin mengatakan dia sudah berhijrah ke negeri lain. Ada pula suara-suara keji yang berkata Gibran telah membunuh diri akibat tekanan yang diterima.

Wallahualam.



Faisal tidak bersedih malahan dia mengucap syukur kepada tuhan. Dia merelakan pemergian Gibran itu. Biarkan dia pergi sejauh mana yang dia mahu. Biarkan dia pergi dengan rahsia yang disimpan sehingga mati. Sekurang-kurangnya tiada siapa yang tahu tentang perhubungan yang pernah terjalin di antara mereka berdua dahulu.

Kata gurunya, manusia itu sentiasa belajar dari kesilapan dan kegagalan. Jika kita gagal sekali, bermakna kita sudah membuang satu kegagalan dalam perjalanan kita untuk menuju kejayaan. Faisal setuju. Dia percaya pada karma. Dia juga percaya pada hikmah. Ada sebab kenapa tuhan wujudkan sesuatu perkara itu.









Itu kisah cinta pertama. Ini pula kisah cinta yang baru.



Baru sebentar tadi dia menerima panggilan dari Syafiq. Lelaki itu mahu bertemu dengannya malam ini. Ingin makan malam bersama, katanya. Faisal tidak menolak. Padanya ini peluang keemasan yang ditunggu-tunggu. Mungkin dengan cara ini dia dapat mengenali lelaki yang bernama Syafiq itu dengan lebih dekat lagi.

Faireen pula pelik melihat adiknya itu kelihatan gembira sepanjang hari. "Eh, apa yang termenung jauh nih? Terkenangkan boyfriend lah tu!" Dia tersentak apabila Faisal tiba-tiba muncul di depan mata.

"Tak adalah. Aku tengah fikir nak masak apa malam nanti," jawab Faireen sambil membuka pintu peti sejuk. "Yang kau ni dari tadi aku tengok happy je. Kenapa?"

Makin lebar senyuman yang terukir di bibir adiknya itu. "Kau tak payah masak banyak-banyak. Malam ni aku nak keluar dinner dengan kawan," jawabnya riang.

"Dengan siapa?"

"Adalah! Biarlah rahsia…"

"Kau ni. Cik Yah nak datang rumah malam ni. Nak jumpa Ibu..."

"Cik Yah kepoh? Apasal dia datang? Ishhh!!!"

"Laaa. Kan Ayah kat hospital. Dia nak datang melawat lah agaknya. Sengal lah pula kau ni tetiba kan?"

"Kalau macam tu baik aku blah cepat-cepat. Malas aku nak dengar cerita anak beranak dia. Nanti kau tengok lah, dia mesti tanya kau bila nak kahwin!"

Faireen ketawa, "biarlah dia tanya, Sal. Aku dah lali dah dengan soalan dia tu!"

"Baguslah kalau macam tu. Aku rimas. Eh, OK lah, aku dah nak siap-siap ni. Kau kirim salam je lah kat dia, eh?"

"Eh, cakap lah siapa yang kau nak jumpa ni? Nanti Ibu tanya lah!"

"Syafiq!" Jerit Faisal sebelum menaiki tangga ke biliknya.

"Syafiq? Syafiq mana?" Faireen berlari ke ruang tamu. "Hey, Faisal! Syafiq mana?" Jeritnya sekali lagi.

Faisal keluar. Baju yang dipakainya tadi sudah terlucut dari badan. Seluar pendeknya juga telah berganti dengan tuala mandi. "Syafiqah lah!" Bohongnya.

"Oh, Syafiqah…" Faireen tersenyum lebar. Lega.



Dalam perjalanan pulang dari hospital semalam, mereka banyak bertukar cerita. Kata Faisal dia masih mencari calon yang sesuai untuk dijadikan isteri.

Waktu itu Faireen hanya mampu untuk tersenyum. Bukannya dia tak tahu yang adiknya itu berbohong. Satu keluarga tahu Faisal sukakan lelaki cuma mereka sengaja tidak mahu berbincang secara terbuka saja.

"Syafiqah? Ke Syafiq?" Faireen mula geli geleman.