Ahad, 6 September 2009

Bab 26. Yakinkan aku tuhan!!





Perkara yang paling berat untuk dilakukan ialah melihat seseorang yang anda cintai, menyintai orang lain ~ Anonymous







Yakinkan aku Tuhan

Dia bukan milikku

Biarkan waktu waktu

Hapus aku…



Sadarkan aku Tuhan

Dia bukan milikku

Biarkan waktu waktu

Hapus aku…







Lagu Hapus Aku dari kumpulan Nidji yang sayup-sayup kedengaran dari luar membuat Faisal membuka kembali kelopak matanya yang kepedihan. Dia mendongak ke atas memerhati air pancuran yang membasahi tubuhnya waktu itu. Hangat air pancuran itu tidak sama dengan rasa yang terbuku di dalam hatinya sekarang. Hatinya sejuk. Mungkin beku umpama ais di dalam peti.

Tangannya yang kecur ditakupkan ke muka yang sedang tersedu sedan. Dia menangis apabila terkenangkan peristiwa berdarah malam tadi. Kotor. Satu perkataan yang boleh tergambar di dalam kepalanya. Badannya disental keras hingga kemerah-merahan. Hajat di hati mahu saja kesan degil kesan dari perbuatan terlarangnya bersama Syafiq itu dipadam tapi makin kuat disental, makin bertambah pula yang melekat pada kulit.

Faisal rasa kekotoran pada dirinya itu tidak boleh lari ke mana lagi. Mungkin sudah bersarang di dalam darah ataupun bersemadi dengan tulang. Dia jadi takut. Takut pada orangtuanya, takut pada kakaknya, apatah lagi pada tuhan. Dia benar-benar takut pada tuhan. Dosa yang sudah ada belumpun sempat ditimbus, malam tadi dia menambahnya sekali lagi.

Tombol air pancuran dipulas. Sejurus itu juga air hangat yang mencurah-curah tadi terhenti dari jatuh bercucuran. Faisal berdiri membalut tubuhnya yang lencun. Dia menggigil sedikit. Nampaknya tuala kering itu juga tak berupaya menghangatkan tubuhnya waktu itu. Nafasnya dilepaskan. Mata yang merah cuba dikesat dengan tisu halus yang tersangkut di dinding tandas itu. Nampak bengkak sedikit tapi dia tak peduli.

Dengan berlenggeng dia melangkah keluar menuju ke bilik bujang Syafiq. Baju yang ditanggalkannya semalam, disarungkannya kembali. Selesai bersiap-siap, dia keluar ke ruang tamu. Bau masakan Syafiq di dapur benar-benar membuat hatiya tertarik untuk terus melekat di situ tapi dia cuba juga melawan. Dia mahu pulang waktu itu juga. Mahu pergi jauh dari apa yang telah terjadi. Kunci kereta atas rak televisyen dicapai. "Fiq, saya balik dulu!" Jeritnya menuju ke pintu depan.

"Tak tunggu lunch dulu?" Sahut Syafiq dari dapur. Dia melangkah keluar. Dengan baju T putih, seluar boxer motif kotak-kotak warna kuning dan apron gambar bendera Australia yang dibeli dari Victoria Market di Melbourne jelas menampakkan gaya seorang chef yang amatur. "Saya masak nasi goreng belacan. Tak nak cuba?"

"Tak apalah saya tak lapar," Faisal berbohong. "Lagipun saya memang selalu skip lunch," sambungnya lagi sambil menepuk perut yang kosong.

"Ish, lepak lah sekejap. Kenapa cepat sangat nak balik?"

Sebab aku tak nak lama-lama kat sini, jawab hatinya.

Atau sebab aku nak meraung kuat-kuat dalam kereta.

Atau sebab aku rasa jijik lihat tubuh aku sekarang berdepan dengan tubuh kau.

Mungkin sebab aku pelik kenapa kau tak rasa jijik langsung berdepan dengan tubuh jijik ni.

Sebab, aku punya pasal lah!

Sebab itu! Sebab ini! Sebab apa saja! Jangan tanya aku macam-macam boleh tak? Hatinya berperang mencari jawapan.

Syafiq mengangkat kening. "Makan dulu, eh?"

Faisal tersenyum kelat, "hmmm... Tak apalah, Fiq…"

"Please? Nasi goreng belacan dengan timun potong cecah sambal belacan dengan papadom dengan air sirap bandung. Tak nak?"

Faisal terliur. "OK lah," jawabnya dengan berat hati. Dia kembali ke ruang tamu. Duduk menatap skrin televisyen yang menyala sejak tadi. Dari satu saluran ke satu saluran yang lain, semuanya penuh dengan siaran realiti TV hari itu.

Dari rancangan masakan, fesyen, nyanyian hinggalah ke rancangan yang berbentuk kekeluargaan, semuanya dikatakan realiti. Realiti tanpa skrip, sebenarnya. Jalan cerita semua sudah diatur, bentak hati Faisal. Dia menjeling ke arah Syafiq di dapur. Sesekali terdengar siulan lelaki itu berlawan-lawan dengan hentakan sudip di kuali. Meriah.





"Sal, thank you. That was great..." Kata-kata lelaki itu sebelum dia melelapkan mata malam tadi benar-benar membuatkan hatinya sayu. Dia mengiring ke tepi. Merenung jauh menyesali apa yang telah dilakukan. Serentak itu juga airmatanya mengalir.

"Kenapa awak nangis?" Tegur Syafiq tiba-tiba sambil mengusap-usap bahunya. Sesekali tangannya bijak meramas rambut pendek Faisal yang agak kusut waktu itu.

Faisal cuma mampu menggeleng.

"Sakit?"

"Tak," jawabnya.

"Habis tu?"

Faisal masih membisu. Mulutnya bagai terkunci. Dia cuba memejamkan mata tapi makin dipejam makin jelas wajah Faireen berputar-putar di dalam fikiran. Segala kenangannya bersama kakak kesayangannya itu kembali bermain.

Dari kenangan ketika mereka berebut menyarung pakaian ke patung Barbie sewaktu kecil, hinggalah kenangan ketika Faireen dipukul Ayah gara-gara cinta terhalang bersama Boy dulu. Dalam suka dan duka, dia tetap akan sentiasa bersama kakaknya itu.

Jika boleh, dia sendiri tidak mahu melihat kakak kesayangannya itu menangis kerana lelaki lagi. Itu janji pada dirinya dahulu. Tetapi kini, dia sendiri telah memungkiri janjinya itu sendiri.

Bodoh. Marah Faisal dalam hati.

Dua tiga minit kemudian, telefon Syafiq berdering. Dalam gelap Faisal terasa tubuh lelaki itu pergi meninggalkannya sendirian. Faireen? Hatinya tertanya.

Dia menangis lagi.





"OK! Makanan sudah siap!" Jeritan Syafiq menyentakkan dirinya dari lamunan.

Dia berpaling, "OK! Nak saya tolong apa-apa?"

"Awak tak payah tolong apa-apa. Tolong makan aje, OK?"

Faisal tersenyum. Kakinya melangkah ke meja makan. Matanya memerhatikan Syafiq yang beria-ia menghidang makanan satu persatu. Baunya saja sudah cukup membuatkan perut kosong Faisal bergelora waktu itu. Apatah lagi dengan asap-asap yang menerawang di udara. Dia menekup mulut yang terliur.

"Hmm... Sedap," pujinya.

"Makan dulu baru tahu sedap ke tak..." Balas Syafiq pantas.

Baru saja mereka ingin mulakan suapan yang pertama, telefon rumah yang terletak di tepi sofa tiba-tiba berdering.

"I'll get it," kata Faisal lantas berdiri mendapatkan telefon cordless yang tak berhenti-henti menjerit itu. Nama Faireen tertera di skrin. Darahnya berderau. Tangannya juga kembali sejuk.

"Siapa?" Tanya Syafiq.

"Faireen," jawabnya.

Syafiq terjegil. Telefon yang dihulur disambut dengan tangan kanannya yang kotor. Dia lantas berdiri, terus berlari ke dalam bilik dan menguncikan diri di situ.

Faisal menolak pinggannya ke depan. Dia tertunduk memerhati mangkuk-mangkuk dan gelas kaca yang tersusun di atas meja. Hatinya geram.

Marah. Bingit. Sakit. Panas. Pelbagai rasa mula timbul dalam diri.

Tanpa melengahkan masa lagi, tangannya pantas mencapai gelas yang penuh dengan sirap bandung yang belum sempat diteguknya lalu dilontarkannya ke dinding.

PRANG! Berderai gelas kaca itu ke tanah. Habis lencun juga dinding putih rumah Syafiq itu bertukar ke merah jambu.

Syafiq berlari ke luar. "What the F...?!!!" Dia terjerit marah. "Reen, nanti I call you balik!" Telefon di tangan terus dicampak ke bawah. "Apa yang awak buat ni, Faisal?"

"Saya tak nak awak jumpa Faireen lagi!" Jerit Faisal kembali.

Syafiq ketawa, "apa masalah awak ni? Saya punya suka lah saya nak jumpa sesiapa pun? Saya nak pinang kakak awak..."

"Awak gila? Awak nak saya malukan awak depan semua orang? Awak nak saya beritahu semua yang kita pernah tidur sama? Buat benda songsang?"

"Awak nak malukan saya ke awak nak malukan diri awak sendiri?"

Faisal terdiam. Termenung memikirkan kata-katanya yang dibidas Syafiq tadi. Dia menarik nafas dalam-dalam. Kunci kereta kembali digenggamnya. "Tolong jangan jadi abang ipar saya, Fiq. Saya tak sanggup nak menatap muka awak atau muka anak-anak buah saya nanti..."

"Faisal tapi," lengan Faisal dirangkulnya.

"Banyak lagi perempuan kat luar sana, Fiq. Tolong..." Dia menepis. Airmata yang tiba-tiba menitis, dikesat. Kasut yang terletak di balik pintu dijinjing. Dengan berkaki ayam Faisal keluar menuju ke klinik di depan rumah. Di situ dia meletak keretanya semalam.

Dari jauh dia nampak keretanya dihadang trak besar dari belakang. Hatinya makin geram bercampur marah. Masuk saja ke dalam kereta dia jadi makin sebak. Lebih-lebih lagi bila enjin dimulakan, lagu Hapus Aku dari kumpulan Nidji kembali berkumandang.

Dia terus-terusan menangis.



Telefon yang dibaling ke tanah tadi kembali dipungut. Nombor Faireen ditekan. "Sorry, Reen. Ada gelas pecah, apa you cakap tadi?"

"I kat area rumah you ni. I nak jumpa you kejap, boleh?"

Syafiq mendengus, "naiklah!" Katanya.

Sedang Syafiq leka membersihkan kesan sirap bandung yang membasahi dinding dan lantai, loceng rumahnya berbunyi. Sebaik saja pintu dibuka, kelihatan wajah sugul Faireen tertunduk sayu. Syafiq mengangkat wajah sugul itu. "Kenapa?"

"Ayah I dah kahwin lain, Fiq..." jawab Faireen sebelum menitiskan air mata.

Syafiq mengerut dahi. Kenapa keluarga kecil ini ada macam-macam masalah besar yang menimpa? Dia bertanya di dalam hati. Tangannya ringan merangkul tubuh kecil Faireen.

"I am sorry," katanya.

1 ulasan: