Khamis, 10 September 2009

Bab 30. Selepas tragedi.

Kesilapan yang anda lakukan tidak menilai siapa anda sebenarnya kerana kebarangkalian ianya berlaku adalah kerana anda menjadi diri anda sendiri ~ Oprah Winfrey








Keadaan di dalam rumah sunyi sepi selepas kejadian tempohari. Sehingga ke hari ini, Balqis tidak langsung mendengar apa jua berita dari suaminya. Setiap malam selepas sembahyang maghrib, dia berwirid dan berdoa kepada tuhan agar diberikan petunjuk kepada jalan yang dilalui.

Kemudian, dia akan duduk di dalam bilik mengasapkan pisang yang semakin busuk di bawah katil pemberian Abang Uda dahulu. Hatinya yang dulu ragu-ragu terhadap kehebatan pisang muda yang semakin hitam itu kini kuat mengatakan ianya semakin membuahkan hasil.

Malam tadi sekali lagi dia bermimpi tentang perkara yang sama. Tentang suaminya Iqram yang telah menceraikan Nirina dan pulang semula ke rumah dengan penuh rasa kekesalan. Kata Iqram, isteri mudanya itu telah menduakan dirinya selepas dia gagal menyempurnakan tanggungjawab batin sebagai suami. Balqis berpura-pura menumpang simpati.

Tapi itu semua sekadar mainan tidur. Sebaik saja terjaga di keesokan hari, dia terpaksa kembali kepada kehidupan seperti biasa. Kehidupan sebagai seorang isteri yang hidup tanpa lagi belaian suami di sisi. Jika tidak kerana anak-anak, mungkin semangatnya telah lama luntur.

Nasihat Faireen semalam, jika genap sebulan tiada khabar berita dari bapanya, dia mahukan ibunya itu menuntut cerai fasakh di mahkamah. Balqis setuju.










Fasakh bererti memutuskan pernikahan. Itu yang tertera di skrin komputer setiap kali Nirina mencari maksud dan syarat kalimat yang dilaknati Allah itu. Dia kemudian membaca syarat-syarat yang diterima oleh mahkamah syariah jika seseorang isteri itu ingin menuntut fasakh dari suami pula.

Yang pertama, suami yang telah mencuaikan pemberian nafkah atau tidak memberi nafkah kepada isteri selama tiga bulan berturut-turut.

Kedua, suami yang telah dihukum penjara selama tiga tahun atau lebih.

Ketiga, suami yang tidak menjalankan kewajipan sebagai seorang suami terhadap isterinya selama satu tahun dengan tiada sebab yang munasabah.

Keempat, suami yang mati pucuk pada masa berkahwin dan terus-menerus begitu.

Kelima, tiba-tiba bacaan Nirina terhenti. Matanya tertumpu kembali kepada syarat yang keempat. Suami yang mati pucuk pada masa berkahwin dan terus-menerus begitu. Syarat yang sama dibacanya sekali lagi.

Perut yang semakin membesar, diusap. Nirina menumpang dagu. Semenjak dia berkahwin dengan Iqram sehingga ke malam tadi, belum sekalipun mereka berdua dapat menikmati kehangatan di ranjang bersama. Dia bingung mencarikan punca mengapa setiap kali mereka cuba untuk bersatu, Iqram yang pada awalnya bertenaga akan menjadi lemah di separuh jalan.

Hatinya keliru apakah mungkin kerana dia sedang berbadan dua maka keinginan seks suaminya itu menurun? Atau apakah kerana potongan badannya yang semakin berisi itu bererti dia sudah tidak semenarik dahulu lagi? Ataupun apakah Bob yang menjadi punca. Mungkinkah kejadian tempohari menyebabkan Iqram sudah kehilangan nafsu terhadap isterinya sendiri?







Nafsu. Bukan itu yang dikejar Syafiq selama dia berkawan dengan Faireen. Kata ibunya sebelum dia melangkah kaki keluar dari rumah kampungnya pagi tadi, hubungi Faireen dan berbincang tentang tarikh pertunangan mereka.

Syafiq lemah mendengar tuntutan ibunya itu. Bertunang. Bernikah. Mengapa dia harus berada di dalam dilema yang bersimpang-simpang ini? Dia menumbuk stereng kereta yang dipandu.

Faisal. Faireen. Mengapa aku harus memilih salah satu di antara kedua-dua makhluk istimewa ciptaan Allah itu? Mengapa manusia dilahirkan dengan nafsu yang berleluasa? Tidak. Mengapa aku dilahirkan dengan nafsu yang berleluasa? Mengapa nafsu aku lain dengan nafsu lelaki lain? Mengapa kau duga aku sebegini tuhan? Mengapa? Otaknya makin berkecamuk apabila diterjah bertubi-tubi dengan persoalan yang tidak berjawab.

Telefon tangannya dinyalakan kembali setelah lama dimatikan sepanjang dia berada di kampung. Niatnya untuk pulang ke sana dulu bukan saja mahu menenangkan fikiran, malah dia juga mahu menjauhkan diri dari segala kesibukan kota serta masalah-masalah remeh yang menyesakkan mindanya.

Selain itu dia juga mahu meluangkan masa yang ada untuk berfikir. Berfikir untuk mencari jawapan yang pasti terhadap keputusan yang bakal dibuat tanpa mengecewakan mana-mana pihak sekalipun.

Matanya kembali membaca SMS yang diterima dari Faisal.



TOLONG JANGAN PORAK PERANDAKAN KELUARGA SAYA YANG SUDAH BERMASALAH NI, FIQ. TOLONG!!



Dia mengerut dahi. Bukan niatnya untuk memporak perandakan kehidupan sesiapa. Padanya ikatan yang bakal berlangsung di antara dia dan Faireen itu sekadar melunaskan apa yang dihajat oleh ibunya, selain apa yang dimahukan oleh masyarakat, dan apa yang dituntut oleh agama.

Dia berhenti di tengah-tengah jalan. Termenung dan berfikir dengan lebih dalam. Lama berhenti akhirnya jari-jemarinya bijak membalas.



JUMPA SAYA PTG NI. ADA BENDA YG PERLU DI BINCANGKAN.



Aku perlu lakukan sesuatu, katanya. Kedua-dua belah tangannya kembali ke stereng. Gear ditukar dan sebaik saja laluan masuknya kosong, dia terus memecut laju meninggalkan kenderaan lain jauh di belakang. Hatinya berdoa semoga dia selamat sampai ke destinasi.







Telefon tangannya tiba-tiba berbunyi ketika Faisal sedang sibuk menyiapkan tugasannya di pejabat. Nafasnya turun naik membaca SMS yang diterimanya itu. Keadaan langit di luar tingkap diperhati. Gelap bagai ada tanda-tanda yang bumi bakal disimbahi hujan sekali lagi. Sesekali bunyi deruman angin yang menghentak cermin tebal tingkap menaikkan bulu romanya. Dia ketakutan. Guruh yang berdentum di luar bersahutan dengan deringan telefon di atas meja. Dibiarkan saja telefon pejabatnya itu berdering. SMS yang diterima, dibaca sekali lagi. Ibu jarinya ragu-ragu untuk menekan butang reply. Dia menarik nafas sedalam mungkin.



OK. JUMPA TEMPAT BIASA. Mesej dihantar.

NO. DTG RUMAH SAYA, balas Syafiq pula.

Faisal terkedu. Datang rumah? Perlu ke? Soalnya kembali pada diri sendiri. KENAPA MESTI DI RUMAH? KENAPA TAK BOLEH KAT LUAR? Mesej dihantar lagi.

Mesej diterima tidak lama selepas itu. SEBAB KAT SINI HUJAN DAH SEMAKIN LEBAT. SAYA TAK NAK TURUN KL NANTI SESAK DALAM JEM. DAN AWAK PUN DAH ALANG2 LALU AREA NI KAN? SO PLEASE. JUMPA KAT SINI JE?

"Alamak, dah hujan dah, Faisal! Aku balik sekarang lah nanti sangkut dalam jem lah!" Rungut Kak Ji sambil bercekak pinggang di depan tingkap cermin di belakang mejanya.

Faisal menoleh. Melihat rintik-rintik hujan di cermin yang semakin lebat, tangannya pantas mencapai kunci kereta. OK. SAYA BLK SEKARANG. TUNGGU, balasnya pada SMS yang diterima. "Jom, Kak Ji! Sebelum bos nampak!"









"Bos, dia dah bangun," suara Nirina mengejutkannya dari mimpi. Bob membuka mata. Sekelip itu juga suara manis tadi seakan sayup dari pendengaran. Dia hampa. Matanya kembali dipejam. Hitam gelap. Cuma ada titik putih yang makin lama makin bersinar menjadi cantuman wajah wanita yang diimpikannya itu. Bob mengalihkan tubuhnya ke sisi katil. Tubuhnya makin berpeluh kepanasan. Dia mengelentang. Wajah Nirina timbul lagi. Kali ini melekat pula di siling.

Kemudian dia meniarap. Menakup bantal pada di kepalanya. Tiba-tiba terasa tubuhnya ditepuk perlahan. Makin diabaikan tepukan itu, makin kuat pula tubuhnya digegar. Dia memalingkan wajah. "Nak apa?" Jeritnya kuat.

"Dah masuk waktu makan dah ni. Bangun," jawab jururawat yang bertugas hari itu dengan lembut.

Bob tidak peduli. Bantal busuk yang semakin kelabu warnanya itu, ditakupkan kembali ke wajah.

"Kenapa degil sangat kau ni, ha? Kenapa dah pandai melawan cakap Mak sekarang ni?" Tiba-tiba suara ibunya jelas kedengaran di cuping telinga.

Bob berpaling sekali lagi. "Ah!" Bentaknya. Dia bangun memerhati sekeliling. Wajah ibu yang berleter tadi hilang di pandangan. "Mana mak saya, Nurse? Ada nampak orang tua tu?" Soalnya pada jururawat muda itu.

Dia tersenyum. Bekas makanan yang ditarik dari kantin tadi diletakkan di atas meja. Lauk kangkung goreng, ikan goreng, dan nasi putih. Nampak hambar dan tidak menyelerakan. "Habiskan makanan ye, kejap lagi makan ubat pula," pesan jururawat itu sebelum berlalu pergi.

"Nurse, mak saya mana?" Bob bertanya lagi.

"Semalam dia ada datang tapi awak halau dia balik. Hari ni dia belum sampai lagi…"

"Apa awak cakap ni?"

"Maaf ya, Encik Borhan. Saya ada ramai patient lagi nak layan. Nanti awak tanya doktor apa masalah awak, OK?"

Bob makin keliru dengan apa yang diperkatakan oleh jururawat itu. "Mak! Mana kau Mak? Kenapa Bob kat sini Mak?" Bagai kera yang dipalit belacan, dia mula menjadi tak tentu arah. "Mana makanan aku? Aku lapar, lah!" Jeritnya lagi walaupun bekas makanan yang diberi tadi masih terhidang di depan mata.







Berat bibir Kak Yah untuk menjamah nasi yang baru disuap. Fikirannya jauh terkenangkan Bob yang terlantar di hospital. Semenjak kejadian tempohari, perangainya jadi tak menentu. Tubuhnya semakin susut akibat hilang selera makan. Tidurnya saban malam juga sering mengalami mimpi yang teruk. Kata teman serumahnya, Bob sering menjerit dan meracau yang bukan-bukan. Kak Yah bimbang baran bekas suami jatuh menimpa anak bungsunya itu.

Lama berbincang bersama anak-anaknya yang lain, akhirnya mereka bersetuju untuk membawanya pulang berubat di kampung.

Di kampung, Bob dibawa berjumpa Abang Uda. Kata bomoh itu dia jadi begitu akibat terlalu taksub dengan cintanya pada seorang wanita. Kak Yah tahu wanita mana yang dimaksudkan.

Dia merayu meminta semangat yang hilang itu segera dikembali. Abang Uda pula meminta ayam dara dan pucuk keladi sebagai penawar.

Kak Yah patuh. Jenuh dia keliling satu kampung mencari ayam yang masih dara hari itu. Sesudah berjumpa, dia ke bendang pula terbongkok-bongkok mencari-cari keladi liar yang baru ditumbuhi anak. Selesai mengumpul segala ramuan yang diminta, Bob akhirnya dibawa berubat.

Sehari dua selepas itu, Bob kembali seperti normal. Selera makannya makin bertambah. Tidur malamnya pun tidak diganggu. Walau bagaimanapun, perkara yang sama kembali berlaku pada hari ketiga. Bob kembali meracau.

Terkejar-kejar Kak Yah sendirian meminta Abang Uda membantunya sekali lagi. Menurut bomoh itu, Bob terkena buatan orang pula. Dek kerana berat penyakit yang ditanggung, berat juga ramuan yang diminta kali ini.

Air dari kolah masjid satu baldi, bunga tujuh jenis, dan daun sirih tiga helai.

Kak Yah langsung tidak membantah. Tanpa memberitahu sesiapa, dia terhendap-hendap ke masjid seorang diri di tengah malam. Setelah siap berjampi serapah, Bob dimandikan pula di anak sungai.

Keadaannya kembali pulih seperti biasa pada hari ke empat. Waktu itu Kak Yah bersyukur panjang. Selesai sembahyang maghrib, dia menyedekahkan pulut kuning dengan rendang ayam di masjid.

Tapi syukurnya itu tidak lama. Satu kejadian tak diingini berlaku di hari kelima.

Waktu itu dia baru pulang dari pasar. Dalam kepenatan mencari bahan dapur untuk dimasak, tubuhnya tiba-tiba semakin lemah apabila dia menjejakkan kaki ke atas rumah.

Dari dapur, dia terlihat kesan darah merata-rata di setiap ruang. Kak Yah terjerit-jerit meminta tolong. Dia berlari ke ruang tamu untuk mendapatkan anak bujangnya itu.

Di situ kelihatan Bob sedang bertafakur dengan tubuh yang berlumuran darah. Tangan kanannya memegang sebelah pisau manakala Tomok, anak kucing putih kesayangan di tangan kiri.

Kak Yah terus rebah apabila melihat keadaan Tomok waktu itu. Perutnya sudah terburai manakala kepalanya tersumbat di dalam sinki.







Iqram membasuh muka di sinki. Suam air panas melegakan wajahnya yang kesejukan kesan dari penghawa dingin di dalam bilik pejabat. Dia menyeluk kad nama yang tersimpan di dalam poket baju.

Haji Hashim Barakbah: Urut Tradisional Melayu, Sakit Otot, Sengal-sengal Badan, Kebas Tangan, Kebas Kaki, Salah Urat, Urut Batin, Lemah Syahwat, dan pelbagai lagi jenis rawatan yang tertera di atas kad nama itu dibaca satu persatu.

Sudah tiga kali rawatan susulan dibuat atas penyakit yang dialaminya sejak kebelakangan ini namun dia masih juga belum boleh berbangga dengan prestasi yang diharapkan.

Malam tadi dia cuba untuk bersetubuh dengan isterinya sekali lagi tapi sampan yang didayung patah sebelum sampai jauh ke samudera. Dia hampa. Isterinya juga kelihatan kecewa sedikit.

Iqram kurang pasti mengapa hubungan kelamin mereka tidak sehangat dahulu lagi. Kata sumber-sumber yang dibaca di internet, mungkin kerana faktor kesihatan ataupun kerana dirinya yang sudah semakin senja.

Tidak. Dengan usianya yang baru menjangkau awal 50an itu, dia tidak yakin itu puncanya.

Mindanya jauh teringatkan Haji Hashim. Tukang urut tradisonal itu gemar bercerita tentang pengalamannya mengurut pelanggan sewaktu sedang mengurut tubuhnya.

Katanya, sepanjang penglibatannya dalam bidang itu, sudah pelbagai jenis manusia yang ditemuinya. Tidak kira sama ada lelaki tua yang berpangkat tinggi mahupun golongan anak muda yang kacak bergaya, semuanya datang nawaitu yang sama iaitu ingin menguatkan lagi tenaga kejantanan masing-masing.

Dia bercerita lagi. Kali ini tentang kisah seorang pelanggannya yang merungut menceritakan dirinya terkena buatan isteri sendiri pula.

Katanya, si isteri terlalu kuat cemburu sehinggakan suami yang bertungkus lumus berkerja di pejabat dikatakan curang bersama wanita lain. Lalu isterinya itu mematahkan syahwatnya secara halus.

Iqram tersentak. "Isteri patahkan syahwat lelaki secara halus? Kenapa ada orang yang tergamak buat macam tu, Haji?" Soalnya.

Haji Hashim ketawa besar. "Manusia, Iqram. Kalau dah marah sanggup buat apa saja," jawabnya sinis.

Iqram membasuh mukanya sekali lagi. Kata-kata Haji Hashim itu kembali berputar-putar di dalam fikiran. Balqis patahkan syahwat aku secara halus? Bob patahkan syahwat aku secara halus? Siapa yang patahkan syahwat aku secara halus? Dia tertanya-tanya.







"Isy, patah pula pensel ni," Faireen merungut seorang diri. Dia mencampakkan pensel 2B itu jauh ke bawah katil. Kertas putih yang dilakar sejak tadi juga direnyuk. Fikirannya semakin buntu memikirkan pelbagai kejadian yang berlaku dalam hidupnya sejak kebelakangan ini.

Ayah sudah semakin menjauhkan diri dari keluarganya. Ibu pun begitu. Semakin senang memencilkan diri di dalam bilik, bertahajud dan memohon doa kepada tuhan agar kegembiraan dan kesenangan yang hilang selama ini dikembalikan. Adiknya Faisal pula kini sudah menjadi orang lain. Sudah tidak seakrab sebelum dia melangkah kaki keluar dari tanahair dulu.

Syafiq? Faireen melepaskan nafas sedikit. Cuma lelaki itu saja yang berjaya mengembalikan ketenangan dalam kekusutan yang dialaminya kini. Hatinya tidak sabar untuk menerima khabar yang dibawa dari kampung. Kata Faireen dulu tarikh pertunangan yang dirancang mereka terpaksa ditunda lebih lama lagi. Dia tidak mahu terburu-buru. Setidak-tidaknya, dia mahu peristiwa yang berlaku di antara kedua ibu bapanya kembali reda.

Kalendar kecil di atas meja ditenung. Hari makin berganti hari. Tahun juga begitu. Semakin lama dirinya semakin dimamah usia. Jika dia tidak mementingkan diri sendiri, bila pula dirinya akan dipentingkan? Ah, aku harus berkeras. Faireen berdiri dan terus menuju ke bilik ibunya.

"Ibu, Reen ada benda nak cakap!" Katanya sambil mengetuk pintu.









Pintu bilik dihempas kuat. Syafiq yang sedang terlena di dalam bilik dibiarkannya sendirian. Faisal mencapai kunci kereta untuk pulang ke rumah. Kilat yang sabung menyabung di luar sana seakan sama dengan guruh yang berdentum di dalam benak waktu itu. Dia mengetuk kepala yang kebingungan. Tempias hujan yang mula membasahi lantai sama basahnya dengan air matanya yang sedang mengalir laju. Dia terduduk.

Syafiq muncul tidak lama kemudian. Dengan cuma berseluar pendek, dia memeluk tubuh yang berlenggeng. "Faisal, masuklah. Hujan lebat tu. Tidur sini saja?" Pintanya.

Faisal menggeleng dan terus menangis lagi.

"Ini semua tiba-tiba, Faisal. Semua tak sengaja, saya minta maaf," dia memujuk lagi.

"Tak sengaja? Tiba-tiba? Awak nak kahwin dengan kakak saya, Syafiq. Apa yang kita buat tadi tak boleh diterima langsung. Langsung tak masuk akal, Fiq…"

"Sal, kita berdua manusia kita memang selalu buat silap…"

Pintu lif terbuka. Faisal masuk meninggalkan lelaki itu sendirian di situ. Sedikit demi sedikit wajah Syafiq hilang dari pandangan. Dia terus menangis. Manusia memang selalu buat silapkah? Soalnya pada diri sendiri.

4 ulasan:

  1. ahhahaha...

    dlm bab ni, ada kisah tukang urut, syahwat segala ... hahaha

    keep on sharing ur write-up bro!

    BalasPadam
  2. bes2..sbb u pandai gune stu perkataan tu ntok link ke kesah len..phm ke ne??phm2 kan jela..huhu

    BalasPadam
  3. teruskan berkarya wahai sahabat ku..setiap nukilan mu membuat kan aku ceria melalui hari2 mendatang...

    BalasPadam
  4. karl;
    kan org melayu suka berurut.....

    chikio;
    yer saya faham, bos!

    aireel;
    terima kasih kerana membuang masa anda membacanya.

    BalasPadam