Jumaat, 18 September 2009

Bab 37. Tamu yang diundang.

Aku sentiasa merasakan bahawa aku mempunyai dua tanggungjawab terhadap tetamu yang berangkat pulang. Pertama, aku akan pastikan bahawa mereka tidak akan melupakan barangan mereka sendiri, dan yang kedua, aku juga mahu pastikan mereka tidak akan membawa pulang barangan milik aku juga ~ Alfred North Whitehead










Dan hari itu benar-benar menjadi hari bersejarah kepada semua…



Langit nampak sedikit mendung petang itu. Masing-masing di rumah sibuk dengan hal mereka sendiri. Iqram baru saja pulang dari menunaikan solat zuhur di surau di belakang rumah. Balqis pula sedang leka menyiapkan makanan di dapur. Ayam masak merah, sayur kailan ikan masin, sambal ikan bilis dan tempe, paru goreng, dan masak lemak pucuk paku jadi hidangan tetamu yang bakal tiba sebentar lagi.

Kak Yah di dalam bilik mandi sedang membasahkan diri setelah berpeluh-peluh berhempas-pulas membantu di dapur sejak pagi tadi. Rozi dan Faireen pula masih lagi sibuk bergurau senda sambil menghiaskan diri masing-masing di depan cermin.

Manakala Faisal masih juga terperap di dalam bilik. Duduk menyendiri sambil leka bermain dengan telefon bimbitnya.

Malam tadi buat kali terakhir dia menghantar tiga pesanan kepada Syafiq. Dalam pesanan itu dia bertanya sama ada Syafiq masih juga ingin meneruskan niat sucinya untuk datang meminang kakaknya. Dia juga memberi amaran bahawa perkara yang tidak diingini bakal berlaku jika niat suci murninya itu tetap juga mahu diteruskan.

Tiga pesanan dihantar namun satu pun tiada yang berjawab. Faisal mula jadi tak tentu arah hinggakan dia tidak mampu untuk melelapkan matanya. Tepat jam tiga pagi, tidurnya yang tidak berapa lena itu terganggu. Dia menerima satu jawapan pada tiga pesanan yang dikirim.



SAYA AKAN TETAP DATANG DENGAN FAMILY SAYA. TOLONG JANGAN HALANG KAMI.



Faisal terkedu seketika membaca kata-kata pesanan itu. Matanya yang mengantuk telah kembali menjadi segar bugar. Hatinya yang suam sedikit juga telah kembali mendidih kepanasan. Rasanya mahu saja dicampak telefon bimbitnya itu ke dinding.

Dia kembali menatap bulan yang penuh di balik awan yang gelap. Di tangannya waktu itu memegang dua keping sampul berisi barangan peribadi kepunyaan Syafiq yang diterima dari Gibran pada pertemuan mereka tempohari.

Di dalam sampul itu mengandungi beberapa keping gambar dan rakaman video Syafiq dan bekas kekasih Gibran waktu itu yang sedang beraksi panas di atas katil. Selain itu Gibran juga ada memberi beberapa keping salinan dialog perbualan mereka berdua di internet yang tersimpan di dalam komputer ribanya.

Kata Gibran, "saya jumpa ni semua masa saya nak pinjam kamera ni dulu. Tup-tup terjumpa pulak benda tak senonoh ni. Memang dari dulu saya dapat rasakan yang boyfriend saya ni ada affair dengan orang lain tapi tak sangka pulak dengan mangkuk hayun ni!"

"Tapi tak apa. Saya break up dengan dia tapi saya transfer jugak semua bukti yang saya ada ni dalam komputer. Saya nak simpan…."

"Untuk apa?" Soal Faisal..

"Semua yang terjadi dalam hidup kita ni ada hikmahnya. Mungkin ini yang dikatakan karma dari tuhan. Atau mungkin juga ini jalan kebenaran yang bulan awak tu, maksudkan?" Jawab Gibran ringkas tanpa ragu-ragu.

Faisal kembali merebahkan diri ke dada katil. Jendela yang terbuka luas membenarkan matanya memandang tepat ke arah bulan yang sedang mengambang waktu itu. Setelah berfikir panjang, dia membalas pesanan yang diterima sebelum kembali mencuba untuk melelapkan mata.



OK. IF THAT’S WHAT YOU WANT. LET THE GAMES BEGIN.







Syafiq mula tak keruan. Pesanan yang diterima malam tadi menimbulkan seribu satu tanda tanya dalam dirinya. "Let the games begin" kata pesanan itu. Mari mulakan permainan? Permainan apa yang dimaksudkan? Dia ingat aku main-main? Soalnya bertalu-talu kepada dirinya sendiri. Aku bermain-mainkah? Tidak! Aku serius ni! Jawabnya kembali.

Jarum jam di dinding diperhatikan lagi. Setengah jam lagi dia akan menghantar rombongan meminang ke rumah Faireen. Keluarga terdekat mahupun yang jauh sudahpun semakin ramai bertandang ke rumah. Ibunya semalam telah juga memberitahu seluruh kampung tentang niat murninya untuk mengetuai rombongan ke Kuala Lumpur itu. Syafiq tidak tahu sama ada apakah perlu ibunya berbuat demikian kerana dia sendiri masih keliru dengan keputusan yang bakal dibuat sebentar lagi.

Sepanjang malam semalam juga dia berfikir tentang kata-kata Faisal dalam pesanan yang diterima. Mungkin ada kebenarannya. Mungkin aku memang sengaja bermain. Mungkin aku sengaja mahu mendirikan rumah di tepi pantai. Mahu menduga setenang mana laut yang tenang itu.

"Kalau aku teruskan juga, apa mungkinkah akan berlaku tsunami sekali lagi?" Soalnya pada diri sendiri.







Puan Khatijah riuh rendah menyambut kedatangan tetamu yang semakin ramai memenuhi ruang tamu rumahnya. Pak Long dan Mak Long baru saja tiba seisi keluarga, Pak Ngah dan Mak Ngah anak beranak pula sudah lama menunggu sejak awal pagi tadi. Tak lupa juga jiran-jiran terdekat dan rakan-rakan dari seluruh kampung, masing-masing sudah tidak sabar untuk mengikuti rombongan besar itu.

Barang hantaran yang bakal dibawa telah tersusun di depan pintu. Tujuh dulang kesemuanya. Semuanya indah-indah belaka tambahan pula apabila dihias di dalam bekas berwarna merah jambu, warna kegemaran Faireen sendiri.

Janji mereka sekeluarga, rombongan akan tiba selepas waktu zuhur nanti tetapi sehingga kini bayang-bayang Syafiq masih lagi tidak kelihatan. Masing-masing yang sudah kepenatan menunggu mula bertanya tentang dirinya. Puan Khatijah bergegas ke bilik anak bujangnya itu.

Perlahan-lahan pintu bilik diketuk, namun salam yang dihulur beberapa kali itu tidak juga berjawab. Dia mula bimbang. "Syafiq!" Jeritnya sekuat hati sekali lagi.

"Ya, Mak…" Jawab anak bujangnya itu sayup-sayup kedengaran dari luar.

"Bagi Mak masuk! Kenapa ni?"

Tak lama kemudian daun pintu terbuka. Syafiq ketika itu masih lagi dengan baju T lusuh dan seluar pendek yang sama dipakainya sebelum masuk tidur malam tadi. Tubuhnya nampak tidak terurus. Dia merebahkan diri kembali ke atas katil.

"Kenapa kau? Kenapa tak siap lagi?"

Syafiq hanya mendiamkan diri.

"Kau sakit?"

Dia menggeleng.

"Kenapa ni, Fiq? Kau takut?"

Dia menangis.

"Fiq, kau tak perlu takutlah," jawab Puan Khatijah dengan hilai ketawa. "Yang nak pergi meminangnya, Mak dengan pakcik makcik tu semua. Kau hantar je kami lepas tu kau pergilah tunggu kat mana-mana. Sekejap je, lepas tu sah lah kau jadi tunang orang…"

"Fiq tak tahu Fiq dah bersedia ke belum, Mak. Fiq takut kita terburu-buru. Menyesal nanti."

"Ah! Jangan kau nak mengada-ngadalah! Kau bangun sekarang! Pergi siap sekarang kita dah lambat ni, tau tak?! Semua orang dah tunggu kau kat luar tu!" Arah Puan Khatijah dengan nada yang garang.

Namun Syafiq masih juga tidak berganjak. Dia termenung.







Sudah tiga kali Faireen menelek jam di dinding. Kali pertama apabila jarumnya tepat di pukul dua petang, kedua pada tiga puluh minit kemudiannya, dan beberapa saat yang lalu sekali lagi dia memerhati jarum yang sama. Tepat jam tiga namun tetamu yang bakal datang bertandang masih lagi tidak kelihatan.

Selendang yang dipakainya sudah lama tercampak ke atas katil. Tubuhnya terasa miang bagaikan digigit-gigit oleh kerawang dan manik yang terjahit pada baju kurung itu.

Rozi pula sudah mengipas kepanasan. Alat solek dimukanya hampir cair terbakar dek cahaya matahari yang menyinar masuk ke dalam bilik.

Barang hantaran yang diatur di atas katil juga telah hampir layu kelihatannya kini. Dia kemudiannya menangis.

Pagi tadi bertalu-talu dia menerima panggilan telefon dari Puan Khatijah. Suaranya kedengaran seperti teruja sekali untuk menyambut kedatangannya ke dalam keluarga tetapi peliknya semakin hari berganjak ke petang, telefon di tangan mahupun di rumah semakin sunyi.

Syafiq pula hanya menghubunginya sekali saja sepanjang hari ini. "Walau apa jua yang terjadi nanti, maafkan saya," katanya dalam panggilan itu dengan butir kata yang tidak berapa jelas.

Faireen keliru. Apabila dia cuba menghubungi nombor itu kembali, taliannya mati serta-merta.

Balqis dan Kak Yah di ruang tamu, sudah lama duduk termenung. Iqram sendiri kini telah tersandar di sofa. Wajahnya nampak benar-benar keletihan.

"Apa dah jadi ni? Janji nak datang lepas zuhur ke asar?" Soal Kak Yah tiba-tiba.

Balqis menggeleng-gelengkan kepala.

"Dah call ke belum?" Soalnya lagi.

"Dah banyak kali dah tapi tak diangkatnya. Penat dah jari ni nak tekan nombor tu, Kak Yah oi!"

"Jangan-jangan dia orang accident tengah jalan tak? Tak kan tak ada nombor orang lain? Nombor rumah? Handphone? Nombor kawan-kawan? Sedara mara? Adik beradik? Semua tak ada?"

"Nombor rumah pun dah, nombor handphone pun sudah. Tak ada berjawab semuanya."

Kak Yah termanggu.

Balqis mengeluh.

Faisal di dalam bilik duduk bertafakur. Jam menunjukkan hampir ke pukul empat petang. Dia masih lagi mengira waktu. Menunggu kedatangan rombongan dari keluarga Syafiq seperti yang dijanji.

Di tangannya masih tergenggam dua sampul yang diberi oleh Gibran itu. Satu bakal diberi kepada kakaknya dan satu lagi akan diselitkan pula ke dalam hantaran yang akan diberi kepada Syafiq

Telefon bimbitnya tiba-tiba berbunyi. Panggilan masuk dari Gibran.

"Helo, macamana?"

Faisal ketawa besar, "nampaknya tak menjadi, kot?"

"Kenapa?"

"Sampai sudah batang hidung pun tak nampak."

"Tak datang lagi?"

"Tak datang langsung, kot?"

"Cis! Tau pulak takut!" Gibran menahan geram. Hatinya kesakitan.

3 ulasan: