Khamis, 17 September 2009

Bab 36. Satu kemenangan

Walau bagaimana kecundang sekalipun perasaan yang anda alami di dalam diri, sentiasa tunjukkan wajah kemenangan di luar kerana wajah yang terkawal dan yakin itu sentiasa menipu minda yang akan membawa kita pada kemenangan jua akhirnya ~ Arthur Ash







Kepulangannya ke rumah semalam memberi tanda satu kemenangan kepada keluarga Iqram. Dia sendiri telah berjanji tidak akan mengulangi kesilapan yang sama itu lagi. Dia juga bersumpah di depan isteri dan anak-anak mahu melupakan saja kenangan-kenangan buruk yang telah meragut kepercayaan keluarga terhadapnya.

Baginya, pengalamannya mengahwini Nirina dahulu merupakan satu pengalaman yang banyak mengajarnya erti kematangan. Kerana Nirina, dia kini lebih arif tentang peranan dan tanggungjawabnya sebagai seorang suami dan bapa.

Kerana Nirina juga, dia dapat mengenal erti kuatnya kasih sayang isteri dan anak-anak yang masih lagi mahu menerima dirinya seadanya.

Malam tadi dia menunaikan solat jemaah bersama-sama keluarga. Solatnya penuh kusyuk waktu itu. Sesudah solat, dia membaca kembali isi kandungan di dalam Al Quran yang sudah agak lama tidak disentuh.

Hatinya sayu. Dulu semasa kecil, ustaznya selalu memberi perangsang kepada anak muridnya untuk membaca kalam Allah itu. Katanya, "jika kamu membaca satu huruf di dalam Al Quran, maka Allah akan memberi kamu seorang bidadari di syurga kelak."

Bidadari. Dia tersenyum kecil. Isteri yang masih lagi duduk bersila di sebelah, ditenung. Matanya terpejam. Kusyuk menghafal surah yasin yang dibaca juga nampaknya. Dia merapati isterinya itu lalu ringan saja bibirnya mengucup lembut dahinya yang berkedut.

Suci. Itu cintanya pada Balqis kini. Tanpa dia sedari, tuhan itu sudahpun mengurniakan dirinya dengan seorang bidadari di dunia ini. Selama ini syaitan yang telah mengaburkan matanya. Syaitan juga yang telah membutakan hatinya.

Ya Allah, bimbinglah aku untuk melawan hasutan syaitan itu dan berikanlah aku bidadari di syurga nanti secantik Balqis ini, doanya di dalam hati. Iqram yakin kini dia perlu berubah. Berubah ke arah yang lebih baik. Insya Allah.









Faireen mula menyusun hantaran pertunangan yang semakin berselerak di dalam bilik. Dua tiga hari lagi, rombongan meminang dari keluarga Syafiq bakal tiba. Dia bersyukur, bapanya yang selama ini membawa haluan sendiri telahpun kembali kepada keluarga. Sekurang-kurangnya ibunya tidak keseorangan lagi menjadi tunggak dalam mengendalikan majlis pertunangan itu nanti.

Kata Balqis, dia teruja kini untuk menguruskan majlis pertunangan anaknya itu. Pengalaman yang ada sepanjang membantu Kak Yah menyambut menantunya dahulu akan digunakan untuk menyambut tunang anaknya sendiri pula. Dia gembira.

Berbeza pula dengan adiknya Faisal. Sehingga kini dia masih lagi tidak menghulurkan sebarang bantuan. Usahkan bantuan fizikal, sedikit cadanganpun tidak diberi. Faireen kurang pasti mengapa adiknya berubah dengan mendadak seperti itu kerana setahunya dahulu jika ada majlis keramaian sebegini, pasti Faisal yang akan mendahului persiapannya lebih dari orang lain.

Tetapi kini dia sudah semakin menjauhkan diri. Lebih banyak meluangkan masa di luar berbanding duduk di rumah seperti dahulu. Ibu sudah mengambil keputusan tidak akan bertanya lagi kerana alasannya sentiasa berubah-ubah. Kata Ayah pula, anak bujangnya itu mungkin masih memberontak dengan perbuatan jahatnya dulu.

Faireen keliru. Bekas-bekas hantaran berisi baju kemeja, cincin perak, sirih junjung, kek, buah-buahan, cokelat, kain, kasut, dan minyak wangi ditelek. Baju kurung putih dan selendang yang ditempah juga sudah tergantung di dalam almari. Siang tadi barang hantaran itu diterima dari kedai andaman yang ditempah oleh ibunya. Hatinya semakin berdebar-debar apabila menatap barang hantaran yang bakal diberi kepada pihak lelaki itu.

Berdebar di atas dua sebab. Yang pertama, dua tiga hari lagi dia bakal bergelar tunangan orang. Kata orang tua-tua, dugaannya separuh berat dari bergelar seorang isteri.

Dan yang kedua, hampir tiga ke empat ribu ringgit duit simpanannya telah dihabiskan demi menjayakan majlis yang kononnya ringkas dan serba sederhana itu nanti.

Mujur ada Rozi, teman baiknya itu menenangkan keadaan.

Katanya, "tak salah jika kita berhabis sikit demi memuaskan hati semua pihak, Reen. Kau anggap saja ini satu kemenangan bukan pembaziran. Yang penting, majlis itu nanti dapat berjalan dengan sempurna. Tak gitu?"

Faireen termenung. "Ya, kemenangan. Bukan pembaziran," dalam keberatan, dia akhirnya terpaksa bersetuju juga.








Menang? Jika ada trofi kemenangan waktu itu mahu saja Puan Khatijah meletakkannya di atas rak di dalam rumah. Setiap hari dia akan memastikan bahawa trofi itu digilap agar berkilau warna emasnya. Dia juga dengan bangganya akan menayangkan trofi itu kepada semua tetamu yang hadir. Biar mereka semua tahu betapa hatinya gembira menyambut kemenangan yang baru dinobat itu.

Bibirnya tidak putus-putus menguntum senyum. Matanya juga tidak berkelip-kelip memandang kalendar kicap yang tergantung di dinding.

Lusa anak tunggalnya bakal menjadi tunangan orang. Dua tiga bulan selepas itu, dia bakal bergelar suami pula. Tahun hadapan, jika dimurahkan rezeki, akan bertambah seorang lagi di dalam keluarganya.

Semangatnya makin berkobar-kobar kini. Bangga dan terharu apatah lagi apabila mendapat tahu Datin Rohana sudah terhidu berita pertunangan itu dari teman-temannya.

Menang! Menang! Menang! Bagaikan cakera padat yang rosak, perkataan itu asyik berputar di dalam kepalanya tanpa henti. Kembang hatinya apabila Datin Rohana telah tahu bahawa wang sejuta ringgit seperti mana yang dijanji oleh arwah bekas suami mereka dahulu sudahpun berjaya dirampas.

Tidak.

Makin berjaya dirampas.

"Termenung jauh nampak, Mak? Ke mana tu?" Tegur Syafiq tiba-tiba.

Puan Khatijah mengurut dada, terkejut. "Mak dah tak sabar nak meminang Balqis, Fiq. Lepas kahwin je nanti, cepat-cepat dapat cucu tau!"

"Sebab Mak memang nak cucu ke atau Mak nak duit arwah Ayah?"

"Dua-dua sekali lah! Lagipun lagi cepat Mak dapat cucu, lagi cepatlah Mak dapat duit arwah ayah kau, kan? Yang penting kita dah menang, Syafiq. Padan dengan muka si Rohana tu!"

"Mak… Mak… Menang apanya, Mak? Bertunang pun belum lagi…"

"Mak tahu tapi masa tu dah makin dekat. Ah, kau tak payah risau pasal hal ni lah. Yang kau perlu tahu hujung minggu ni kau akan jadi tunangan orang, tu saja!"

Syafiq mengetap bibir sedikit. Tunangan orang? Dia tergaru-garu.

Bukan itu yang mahu difikirkannya waktu ini. Dia sendiri tidak pasti sama ada keputusan yang dibuat ini benar. Bapa dan suami? Sudah layakkah aku bergelar seorang bapa dan suami? Soal hatinya lagi. Dia makin ketakutan.

"Kalau ayah kau masih hidup sekarang tentu dia gembira nak pergi meminang anak dara orang, kan? Yang pertama pulak tu. Mesti dia yang terlebih teruja!" Tambah Puan Khatijah lagi dengan bibir yang masih tidak lekang dengan senyuman.

"Entahlah, Mak. Kalau dia kisahkan keluarga kita, dia tak akan kahwin lain rasanya," jawab Syafiq pula dalam nada kesal sedikit.

Puan Khatijah terkedu. Dia menghela nafas panjang. Kakinya dilangkah mendapatkan Syafiq yang kembali ke ruang tamu menghadap kaca TV. Dia duduk di bangku sebelah.

"Kalau dia tak kisahkan kita, dia tak tinggalkan harta untuk kita anak-beranak. Dia tak akan terfikir pun nak bagi duit sejuta tu kat cucu pertama dia," balasnya.

"Harta yang dia tinggalkan tu memang dah harta sepencarian masa Mak jadi isteri dia dulu. Duit sejuta tu pulak dia nak bagi kat cucu dia, bukan cucu Mak. Nampak beza tak?"

"Habis kau ni bukan anak dia? Anak kau bukan cucu dia? Apa yang kau merepek ni?"

"Kalau Syafiq ni anak dia, kenapa dia ceraikan Mak dulu?"

Puan Khatijah ketawa, "kau ni dah makin menyimpang jauh dah ni. Dia ceraikan Mak dulu sebab Mak tak nak bermadu dengan Rohana tu lah!"

"Bukan sebab dia nak zuriat dia sendiri? Mak tak boleh beri dia zuriat kan, Mak?" Soal Syafiq semula.

Puan Khatijah tergamam.

"Walaupun waktu tu Syafiq masih kecil, tapi Syafiq dengar apa yang Mak dengan Ayah gaduhkan. Syafiq masih ingat apa yang berlaku…"

"Kau masih anak dia walaupun bukan lahir dari darah daging kami sendiri. Kami sama-sama pelihara kau sejak kecil. Sejak bayi lagi, Fiq!"

"Mak, kalau Datin Rohana tu tahu, Mak tak akan menang apa-apa rasanya…"

Puan Khatijah mengurut dadanya kembali. Darah yang mengalir di dalam tubuh entah ke mana perginya kini. "Jangan kau buka mulut kau tu pasal hal ni depan dia, Fiq! Nahas kau!" Dia memberi amaran.









Faisal menonton filem hebat dari Afghanistan itu sendirian di pawagam. Walaupun filem itu dikatakan telah mengaut banyak anugerah di festival filem antarabangsa baru-baru ini namun keadaan di dalam panggung waktu itu lengang saja.

Ratusan kerusi yang berderet di depan matanya langsung tidak berpenghuni. Dia menoleh ke belakang. Termasuk dirinya, hanya ada dua lelaki dan tiga perempuan yang memenuhi ruang panggung yang besar itu.

Bertih jagung yang dibeli di luar tadi, dikunyah. Sudah lemau sedikit rasanya. Suara-suara penonton perempuan di belakang berbisik memuji pelakon yang berjaya memainkan wataknya dengan baik, jelas kedengaran di telinganya.

Dia meneka. Mungkin mereka-mereka yang hadir di dalam panggung itu pengkritik filem. Mungkin juga penggiat seni ataupun orang yang terlibat di dalam bidang perfileman.

Tapi aku? Apa yang aku buat di sini? Ah. Aku tak tahu. Dia menghela nafas panjang.

Sepanjang satu jam filem itu bermain di layar lebar, hatinya tidak dapat menghayati jalan ceritanya yang sebenar. Mindanya kosong waktu itu. Otaknya bagaikan berat untuk berfikir lagi.

Dia menatap jam di pergelangan tangan. Hari hampir mencecah senja. Selepas ini dia bakal pulang ke rumah. Ibu pasti bertanya lagi ke mana hilangnya. Ayah pula tetap selesa bersama kerusi empuknya duduk menatap berita di kaca TV tanpa memperdulikan sesiapapun di sisi. Manakala Faireen akan sekali lagi ghairah bercerita tentang majlis pertunangan yang bakal berlangsung.

Tunang. Faireen. Syafiq. Ah! Hati Faisal kembali menjerit-jerit.

Nafasnya sesak dengan sandiwara yang berlaku. Kata bulan tempohari dia perlu bertindak mengikut rasa hati. Dia perlu gunakan akal yang diberi tuhan dengan sewajarnya. Yang penting katanya, tujuan melakukan sesuatu itu bukan untuk memusnahkan sesiapa melainkan hanya ingin menegakkan sesuatu yang benar.

Jenuh dia berfikir bagaimanakah caranya untuk tidak memusnahkan atau mengaibkan sesiapa selain berterus terang demi menegakkan kebenaran. Dalam kekusutan itu dia membuat keputusan untuk beredar keluar.

Sebaik saja dia membuka pintu, tubuhnya bertembung dengan lelaki yang baru pula ingin melangkah masuk.

Masing-masing terkesima waktu itu. Air coke dan bertih jagung di tangan tertumpah ke lantai.

"Opps! Sorry! Sorry!" Pantas saja bibir kedua-dua manusia yang berlaga itu meminta maaf.

"It's OK. Hari ni memang hari malang saya agaknya. Tadi kereta saya berlanggar dengan kereta orang lain, sekarang kat sini pun berlaga dengan orang lain lagi. Suwey betul!" Sambung lelaki itu pula.

Faisal rasa bersalah, "bukan. Saya yang berangan. Tak apa saya beli yang baru…"

"Tak payahlah, saya tak ada mood dah nak tengok. Terima kasih." Balas lelaki itu kembali sebelum berlalu pergi.

Faisal mengurut dahi.

Kemudian lelaki itu kembali memalingkan wajah, "muka awak ni familiar lah. Awak Faisal, kan?"

"Ya. Awak siapa? Maaf saya tak cam pulak…"

"Saya Gibran. Senior kat sekolah dulu. Lupa?"

"Gibran?" Matanya terjegil besar apabila mendengar nama itu. "Gibran?!!" Soalnya sekali lagi.

"Ya, Gibran," jawabnya dengan senyum yang seindah suria.








Petang itu mereka berdua mengambil keputusan untuk menghabiskan masa dengan duduk berbual di salah sebuah restoran mamak terkenal di ibukota. Dengan Nescafe tarik panas dan roti canai sekeping, masing-masing mula membuka kisah silam yang telah lama ditinggalkan jauh di belakang.

"Satu sekolah kecoh yang awak bunuh diri dulu," kata Faisal membuka kembali sejarah hitam yang pernah berlaku di antara mereka berdua satu ketika dahulu.

Gibran tersenyum, "actually, saya minta dengan pihak sekolah untuk tempatkan saya di sekolah lain. Saya nak buka buku baru," alasannya.

"Buku baru tu terbuka ke tak? Ke buku lama tu awak balut ngan plastik baru je?"

"Entahlah. Tak tahu nak cakap. Kat sekolah baru tu pun ada jugak dua tiga orang budak junior yang "kawan" dengan saya…"

"Kawan yang paling istimewa masa tu?" Usik Faisal sekali lagi.

"Kawan yang special macam awak masa kita sekolah sama-sama dulu?"

"Ah, jangan nak bohonglah, Gib. Kalau saya ni special tak ada maknanya awak nak bertenet dengan budak lain dalam toilet, kan?"

Gibran tersenyum lebar. "Alah, awak ni. Biasalah, tengah waktu puncak masa tu, kan? Maaflah kalau saya duakan awak, eh?"

"Tak kisah. Dah lama dah saya lupakan pun. Awak tak jawab lagi soalan saya ni. Siapa kawan yang paling istimewa kat sekolah baru tu?"

"Kawan yang paling istimewa masa tu…. siapa ek?" Gibran mula menggosok dagu, berfikir. "Mungkin Romi. Eh, bukan. Syafiq!"

"Syafiq?!"

"Kenapa?"

"Tak ada apa-apalah. Nama tu kerap sangat muncul dalam kepala saya lately ni…"

"Boyfriend ke? Ke skandal? Selingkuh? Tak pun suami, ni?"

"Situasi…"

"Situasi? Situasi yang macamana pulak ni?"

"Panjanglah. Malas nak cerita…"

Gibran menyeluk saku seluar. Dia mengambil telefon bimbit lalu bermain dengan punat mencari-cari sesuatu. "Syafiq yang ni?" Tunjuknya.

Degupan jantung bagaikan terhenti tiba-tiba apabila dia menatap wajah yang tertera di skrin telefon canggih itu. "Mana awak kenal dia ni?"

"Syafiq yang ni ke?"

"Ye lah, Syafiq yang ni, lah. Mana awak kenal dia ni?"

Berdekah-dekah ketawa tersembur dari bibir manisnya waktu itu. "Mamat ni memang tak boleh pakai. Selagi ada jantan muka jambu sikit, semua dia nak redah. Kat sekolah dulu, dia jadi boyfriend saya. Setahun dua lepas tu, lepas kita orang break up, dia rampas pulak boyfriend saya yang baru. Dunia lelaki gay kat Malaysia ni tak ke mana-mana kan? Balik-balik ke situ juga!"

Gibran menyambung lagi, "awak pun dah terpedaya dengan dia ke?"

Faisal mengangguk perlahan, menahan malu.

"Alah, lupakan je lah dia ni. Kumbang bukan seekor. Lagi-lagi kumbang taik macam ni. Buang je lah. Busuk!"

"Dah cuba buang dah tapi makin dibuang makin datang dekat pula. Itu yang saya dalam dilema ni..."

"Alahai jiwanglah pulak. Tak boleh lupakan dia ke? Best sangat ke?"

"Bukan macam tu lah. Ish. Susah nak explain. Senang cerita, lusa ni dia nak jadi tunang kakak saya pulak! Reti?"

"Ha?!"

"Ya! Ha! So apa erti sebenarnya tu? Faham ke tak faham? Tolong cerita sikit!"

"Ha!!" Gibran masih lagi tergamam. "Tunang kakak awak?"

"Ya. Adik dah sapu dua tiga kali, turn kakaklah pulak. Kalau saya ada adik lelaki ke, abang ke, sure dia rembat juga kan? Yang saya tak faham, bukannya dia tak tahu itu kakak saya. Entah apa motif dia yang sebenarnya saya tak tahulah. Kusut tau fikiran saya ni, Gib…"

"Habis apa yang awak nak buat? Awak nak dia jadi tunang kakak awak? Lepas tu jadi abang ipar awak?"

"Awak gila? Nanti malam-malam, saya yang kena himpit bukan kakak saya. Ikut hati saya masa family dia tu datang meminang, saya nak buat drama je nanti. Nak canang depan keluarga yang dia tu jantan dua alam. Tapi fikir-fikir balik nanti keluarga saya pun malu jugak, dengan saya, saya pun malu sekali nanti…"

Gibran ketawa.

"Awak ni saya serius dia ketawa pulak!"

"Saya bukan ketawakan awak lah! Saya tahu macamana nak malukan dia tanpa malukan diri dan keluarga awak sendiri."

"Macamana?"

"Jom ikut saya balik rumah!"

"Ha?! Nak kena balik rumah ke?"

"Ya, lah. Saya tak rogol awak lah. Jom ikut saya cepat!"

Kunci kereta yang terletak di atas meja, dicekup. Wang not sepuluh ringgit diletakkan saja di situ. Masing-masing berlari mendapatkan kereta masing-masing. Gibran terus-terusan dengan ketawa besarnya manakala Faisal masih lagi di dalam kekeliruan.

"Follow kereta saya!" Jerit Gibran sebaik dia memulakan enjin.

Faisal setuju. Dalam ketakutan, dia masih lagi mampu untuk tersenyum. Sepanjang jalan mulutnya terkumat-kamit membaca berdoa. Meminta kepada tuhan semoga hari esok benar-benar memberikan kemenangan yang bersejarah dalam hidupnya.

3 ulasan:

  1. Salam Ramadan dari kami http://firestartingautomobil.blogspot.com

    Salam lembaran Aidil fitri Maaf zahir Batin sesungguhnya aku ade buat salah terkasar bahasa harap di ampun... salam kenalan…….

    Lemang lontong ketupat laksa,
    kuih semprit kuih koya,
    Sebulan sudah lama berpuasa,
    Tiba masa untuk merayakannya,

    "Ramailah orang memasang pelita,
    berbaju melayu cantik ceria,
    Salam dihulur kemaafan dipinta,
    Menyambut aidilfitri hari mulia"

    Maaf kerana lama tak berkunjung dib log korang kerana aku kesibukan disaat kerja-kerja-akhir di bengkel.. sorry.. aku tetap mengingati kalian semua.. my friends.. sincere azli…

    Fuuuyooooh panjang berjelalah nak baca... last aku habis gak baca... best lah

    BalasPadam
  2. heppie;
    arwah nuraina emir. kenal?

    azli;
    selamat hari raya jugak.....
    thx kerana sudi baca sampai abis....

    BalasPadam