Manusia yang tidak boleh berbohong, tidak juga tahu akan kebenarannya ~ Friedrich Nietzsche
Sudah tiga hari Iqram menghilangkan diri dari pengetahuan Balqis. Beberapa kali dia cuba membuat panggilan ke nombor suaminya itu tapi semuanya masuk ke peti simpanan suara. Beberapa pesanan SMS yang akhir, yang entah ke berapa ratus kali dikirim juga telah ditendang kembali oleh nombor penerima.
Balqis tidak tahu kenapa. Kotak masuknya sudah penuh barangkali. Bila dia cuba beralih arah dengan menghubungi Kak Yah di kampung, jawapan yang diterima lebih kurang sama. Sama ada taliannya sibuk atau dia yang menyibukkan diri. Pendek kata, kakak iparnya itu juga tak dapat dihubungi.
Sudahnya Bob, anak Kak Yah yang juga merangkap penyiasat peribadinya itu yang menjadi mangsa.
Kata Bob, Iqram ke luar negara atas urusan kerja baru-baru ini.
"Dengan siapa?"
"Klien," jawabnya sepatah.
Klien yang mana Bob tidak tahu.
Bila diajukan soalan tentang Nirina pula, dia tidak mahu bercerita panjang. "Secretary biasa," jawabnya pendek. "Sehari sebelum Iqram pergi bercuti, Nirina tu pun ambil keputusan meletak jawatan, " tambahnya lagi.
Balqis ketawa besar mendengar alasan bodoh itu. "Pandai sungguh mereka berdua menyusun strategi, ye. Kononnya, seorang berhenti kerja, seorang lagi pergi becuti, tak akan ada sesiapa yang dapat tahu sandiwara yang berlakulah?"
Bob keliru.
Sambung Balqis lagi, "dunia ini kecil. Kadang-kadang kita terlupa orang yang berlaga bahu dengan kita itu sebenarnya saudara kita sendiri, atau mungkin kenalan kita sendiri, atau lebih sadis adik beradik kita sendiri, mungkin…"
Bob semakin keliru, "apa maksud Makcik?" Soalnya.
"Kau tau pakcik kesayangan kau tu dah kahwin lagi satu?"
"Ha?!" Dia terkejut. "Bila? Dengan siapa? Mana Makcik tahu?"
"Bumi kita ni bulat, Bob. Pusing-pusing ke situ juga..."
"Maksud Makcik?"
Masih dengan ketawa besar, Balqis menjawab, "ada orang pergi kenduri kahwin dia kat Perlis dua tiga hari lepas. Saudara pengantin perempuan. Budak tu pulak kawan pejabat Faireen. Pernah datang sini beberapa kali jadi dia kenal lah muka si Iqram tu!"
"Dia ada bagitahu ke siapa pengantin perempuan tu?"
"Siapa lagi, Nirina lah! Secretary kat pejabat kau tu. Tak kan kau tak kenal, Bob. Kan dia pernah datang kat hospital dulu dengan kau?"
Bob terdiam. Matanya langsung tidak berkelip. Tubuhnya tiba-tiba terasa kejang bagai diserang sawan. "Nirina?" Soalnya kembali.
"Ya, perempuan gatal tu. Tengok muka je Makcik dah tahu perempuan tu mesti ada buat affair dengan laki orang. Bukan main menggedik lagi muka dia kat hospital dulu. Ish, makin aku nak lupa makin bersepah pulak muka dia depan mata ni. Yang si Iqram ni dah nak mati pun makin menjadi miangnya. Anak dah besar panjang, dia pulak yang buat perangai. Tak malu agaknya! Tak apa, kita tengok je sampai bila dia sanggup pasang dua tiga bini. Perempuan mana yang sanggup jadi madu aku tu memang tempah nahas. Nanti aku kerjakan cukup-cukup. Mak kau ni mana, Bob? Makcik telefon dia dah berkali-kali tak dapat-dapat ni? Mana pulak dia pergi ni?"
Tut! Tut! Tut!
"Bob! Bob! Bob!" Jerit Balqis berkali-kali. Belum sempat dia habis membebel, taliannya terputus pula. Dia menyumpah seranah.
Bob terduduk. Jika tidak kerana semangatnya untuk hidup yang masih kuat, mungkin nyawanya sudah melayang jauh waktu itu. Layang sejauh-jauhnya, seakan-akan tidak mahu pulang ke tubuhnya lagi. Apa yang diigaukan selama ini bagaikan mimpi yang menjadi kenyataan.
Nirina? Iqram? Aku? Bagaimana aku boleh terjerat dengan cinta tiga segi ini? Anak yang dikandung? Anak Iqram? Atau anak aku? Dia tertanya-tanya.
Rambut yang semakin panjang ditarik-tarik. Fikirannya benar-benar kusut. Perlukah aku bersemuka dengan Iqram dan memberitahunya perkara yang sebenar? Tentang siapa sebenarnya perempuan yang bernama Nirina ini? Percayakah dia dengan kata-kata aku?
Ahhh!!! Bob keliru. Aku tiada lagi tempat mengadu. Mak, tolong Bob, Mak!
Dia melangkah lemah menuju ke peti ais. Ais beku satu beg yang disimpan lama di dalam peti itu ditarik keluar lalu ditekupkan ke atas kepala yang buntu. Sejuk. Sesejuk tubuhnya yang terasa seperti sudah mati kini.
Bob masih terus berfikir, jika Iqram tahu Nirina pernah aku tiduri tentu naluri kenjantannnya tercabar. Mana mungkin lelaki berpengaruh seperti Iqram itu mahu menduakan isterinya semata-mata kerana wanita yang juga telah menduakannya dirinya? Dia mula mencongak-congak.
Ah, persetankan. Biar Iqram tahu. Biar padan dengan muka Nirina. Biar padan dengan muka aku sendiri kalau Mak tahu juga.
Ah! Setan! Bob menjerit dalam hati.
Ais beku yang ditakupkan ke atas kepala tadi, dihempaskan ke dalam sinki. Dia nekad. Nombor Balqis kembali didail.
"Faisal, Ibu ada?" Soalnya bila kedengaran suara sepupunya yang menjawab. Tak lama kemudian, taliannya disambung. "Makcik, sorry tadi line terputus pulak. Tahu bila Pakcik balik?" Soalnya. "Tak apa. saya akan tolong Makcik cari dia. Saya akan tolong kita selesaikan penyakit ni!" Sambungnya sebelum menamatkan perbualan.
"Apa yang Ibu dah komplot dengan Bob ni, Bu?" Tanya Faisal dengan wajah yang pelik.
Balqis tersenyum. "Bob akan cari Ayah kau dengan bini baru dia tu! Siaplah orang tua tu. Nak berbini muda konon. Dia tak sedar bila dah nak mati nanti, bini tua ni jugalah yang dicari! Si tua reput ini lah!" Jawabnya dengan mulut yang penuh.
Faisal membalas senyuman kelat yang terukir dari bibir tua ibunya itu. Diurutnya bahu perempuan separuh umur itu perlahan, lalu ditumbuk-tumbukkannya sedikit. Kata orang cara itu dapat mengurangkan tekanan.
Kelmarin selepas pulang saja dari rumah Syafiq, dia ternampak ibunya menangis seorang diri di dapur. Jika sewaktu kecil dahulu, dia mudah ditipu dengan bawang atau drama TV, kini dia tak mungkin terpedaya dengan sebarang alasan yang keluar dari mulut ibunya itu lagi.
"Sebab Ayah? Ke bawang? Atau Oshin?" Soalnya penuh sindiran.
"Sebab ayah kau dah kahwin lain," jawab ibunya teresak-esak.
Faisal waktu itu tak mampu untuk terus berkata-kata. Bagaikan peha kiri yang dicubit, dia yang menjadi peha kanan sedikit sebanyak terasa juga sakitnya cubitan itu. Dipeluknya wanita separuh abad itu erat-erat. Malam itu mereka akhirnya menangis bersama-sama.
"Dah banyak kali dah Ibu dengar, Sal. Bini muda ni suka tumpang senang je. Bila dah sakit, dah tak ada duit, dia orang cari jantan lain. Cari laki orang lagi!" Tambah Balqis yang belum lagi habis dengan bebelannya sejak tadi.
"Sabarlah, Ibu. Ini semua dugaan tuhan. Mesti ada sebab kenapa semua ni terjadi kan?"
"Sebabnya ayah kau orang tua tak sedar diri tu dah gatal! Sebab apa lagi?!"
Faisal membatu. Setuju dengan kata-kata ibunya itu. Padanya manusia itu dijadikan tuhan dengan akal dan perasaan. Akal untuk berfikir dan perasaan untuk menidakkan sesuatu yang tidak elok. Jika akal ayahnya membenarkan perasaan dalam diri untuk membuat sesuatu yang boleh melukakan perasaan orang lain, Faisal kira itu tindakan bodoh manusia yang tamak. Dan manusia yang tamak itu selalunya akan rugi sama seperti kisah sang anjing yang tamakkan tulangnya.
Dia memeluk ibunya lagi. Makin rapat pelukannya, makin hangat terasa bahang cintanya pada ibunya itu. "Faisal naik atas kejap, " katanya sebelum meminta diri. Perlahan-lahan memanjat anak tangga, kembali ke dalam bilik.
Di dalam bilik, Faisal kembali termenung. Bercerita tentang tamak, dia terkenangkan pula drama bersiri cinta tiga segi yang berlaku antara dia dan kakaknya sendiri.
Malam tadi selepas makan malam, dia duduk bersemuka dengan kakaknya di dalam bilik. Niatnya untuk berterus terang kepada perempuan itu tentang apa yang berlaku antara dirinya dan lelaki yang mereka kongsi bersama terhenti apabila ibunya mula menyampuk dan bercerita tentang betapa ayahnya tidak mengenal budi sepanjang tempoh tiga puluh tahun mereka hidup bersama dahulu.
Faisal memilih untuk lebih banyak berdiam diri di dalam sesi meluahkan perasaan itu berbanding kakaknya, Faireen.
Kakaknya itu bukan saja mengiakan apa jua yang keluar dari mulut ibunya malah dia juga mengajar perempuan separuh abad itu bagaimana cara yang paling bijak untuk menyerang Iqram yang mereka gelari orang-tua-tak-sedar-diri itu sekembalinya orang-tua-tak-sedar-diri-itu ke tanahair nanti.
Wanita katanya jangan mudah terpedaya oleh tipu helah orang lelaki, lebih-lebih dengan orang lelaki yang telah ditipu daya oleh wanita yang lain. Tambahnya lagi, wanita juga harus bijak bertindak agar tidak dipanggil kaum yang lemah, yang hanya mampu menangis dan mengharapkan belas ihsan kaum lelaki saja.
Waktu itu mahu saja Faisal ketawa berdekah-dekah. Bagaimana kalau wanita yang ditipu oleh lelaki yang ditipu oleh lelaki lain? Soal hatinya berulang-ulang.
Nyatanya, sehingga dia melelapkan mata malam tadi, persoalan itu masih juga tidak menemui sebarang jawapan.
Tiba-tiba pintu biliknya diketuk. Tanpa dipelawa, insan yang mengetuk daun pintu tadi masuk dengan selamba. "Kenapa tak pergi kerja hari ni?"
Dia menghela nafas panjang. "Malas," dan jawapan mudah diberi. "Kau?"
"Aku pun malas. Aku malas nak jumpa Rozi. Mesti dia bercerita pasal Ayah!"
"Macamlah esok-esok kau tak akan jumpa dia…"
"Aku tak ada mood lah nak dengar cerita pasal orang tua tu lagi. Cukup-cukuplah telinga aku pedih dengar Ibu membebel," rungutnya.
Faisal tersenyum, "sudahnya kau fikir, esok-esok kau tak akan dengar cerita yang sama dari Ibu? Cerita yang sama itu juga kau akan dengar dari kawan kau tu. Cerita tu tak akan habis selagi Ayah belum balik, dan selagi Ibu belum serang dia dengan bini baru dia tu sekali," dia mengulas panjang.
Faireen menggeleng-gelengkan kepala. "Aku mengadu dengan Syafiq pasal kisah keluarga kita. Kau tau dia senyum je…"
"Kau tahu kenapa dia senyum?"
"Dia kata dia tak sangka akan dapat mak mertua tiri…"
"Mak mertua tiri? " Faisal bertanya kembali.
Bibir Faireen tiba-tiba menguntumkan sebuah senyuman yang kecil. "Mak mertua tiri lah. Dia proposed semalam. Nak hantar meminang lepas Ayah balik so kalau Mak jadi mak mertua dia, mak tiri kita tu jadi mak mertua tiri dia lah, kan?"
Faisal tergamam.
"Kau terkejut? Aku lagi terkejut semalam. Dia ada tunjuk cincin tunang yang dia nak sarungkan kat jari manis aku ni nanti. Cincin emas putih bertatahkan berlian sebiji. Jenama Tiffany kalau tak silap. Lepas tu kita orang bincang pasal berapa dulang, berapa wang hantaran, baju warna apa, pelamin, sanding, nikah kat mana, blah blah blah blah blah…. "
Faisal tidak sanggup untuk terus mendengar kata-kata kakaknya itu lagi. Tubuhnya serta merta menggigil. Dia menutup kedua-dua belah telinga. Panas. Seluruh anggotanya bagai dibakar-bakar. "Cukup! Cukup!" Jeritnya kuat-kuat.
"Kau ni kenapa?"
"Kau tak fikir perasaan orang lain ke , ha?!"
Faireen bingung, "orang lain? Siapa? Kau?"
Aku! Ya! Aku! Faisal memicit dahi yang semakin sakit.
"Ibu?!!" Bohongnya. "Ibu dalam keadaan macam ni, sedang bersedih dengan apa yang Ayah buat, kau nak bercerita pasal nikah kahwin pulak! Tak boleh tunggu bila keadaan orang tua kita dah reda sikit?" Sambungnya lagi lain dari apa yang terbuku di hati.
"Tapi yang kau pulak yang emosi ni kenapa? Bukannya sekarang pun dia nak datang meminang. Lepas semua redalah. Lepas Ayah balik, semua reda lah kan?"
"Keluar lah! Keluar! Keluar!" Halaunya keras.
"Hey! Apa yang kecoh-kecoh kat atas tu?" Jerit ibunya dari bawah.
Faireen menahan geram bercampur pelik dengan perangai Faisal yang seakan-akan naik hantu secara tiba-tiba. Dengan perasaan yang bercampur baur itu dia keluar meninggalkan adiknya itu melayan perasaannya sendiri.
Daun pintu dihempas kuat. Faisal mula mundar mandir ke seluruh ruang bilik bujang itu tak tentu arah. Tangannya diramas-ramas. Rambutnya ditarik-tarik. Sesekali dia mengetuk kepala yang semakin bebal. Akhirnya dia mendapatkan telefon bimbit di dalam kocek seluar yang tergantung di sebalik pintu.
TOLONG JANGAN PORAK PERANDAKAN KELUARGA SAYA YANG SUDAH BERMASALAH NI, FIQ. TOLONG!!
Mesej dihantar.
Dia terduduk dan bagaikan anak kecil yang marahkan sesuatu, mulutnya ditakup dengan bantal kecil dan dia menjerit sekuat hati.
selepas jerit??
BalasPadamnasihat pada kaum perempuan jgn percaya sgt pada kaum lelaki kerna tkt dia ade LELAKI lain...hehe!
BalasPadam