Jumaat, 4 September 2009
Bab 23. Petang zuhur itu
Gerak hati tidak harus diketepikan kerana ia sering membawa makna yang tersirat ~ John Kord Lageman
Semalam, Balqis ada mengadu kepada Abang Uda tentang masalah rumahtangga yang berlaku. Abang Uda mengerti. Walaupun sudah berpuluh tahun mereka tidak bertemu, dia masih ingat pada wajah dan kisah Balqis lagi.
Katanya, petang itu dia percuma. Tiada kenduri-kendara malah tiada juga tetamu yang harus dilayan. Balqis dengan senang hati menawar diri untuk mencuri masa bomoh itu. Abang Uda tidak pula menolak. Pesannya supaya dia membawa bersama pisang emas muda, benang putih, pucuk betik, dan kemenyan sebagai ramuan.
Tidak lupa juga wang pengeras seikhlas hati.
Dengan hati yang penuh bersemangat itu, Balqis sudah bertolak dari rumah seawal pagi lagi. Faireen yang baru bangun waktu itu terkejut melihat ibunya bersiap-siap hendak keluar. Apabila ditanya, alasan ringkas diberi, "ada urusan penting di kampung."
Faireen tidak tanya lebih selepas itu. Mungkin dia masih mamai lagi agaknya.
Setibanya di kampung hari sudah meningkat zuhur. Hendak masuk ke jalan rumahnya harus melepasi rumah Kak Yah terlebih dahulu. Dari seberang jalan, rumah kakak iparnya itu nampak gelap seperti tidak berpenghuni.
"Dah berjalan keluar dah orang tua ni. Kenduri kahwin rumah siapa, tak nampak khemah pun?" Dia bercakap seorang diri. Kemudian dia membelok ke simpang kiri, untuk masuk ke jalan kecil terus ke rumah Abang Uda.
Setibanya di rumah usang bomoh itu, dia terlihat anak-anak kecilnya sedang leka bermain kejar-kejar di halaman. Isterinya, Kak Eton berkemban sambil menyidai kain basahan di atas busut. Balqis menghulurkan senyuman dari dalam kereta. Kak Eton mengangkat kepalanya sedikit.
"Assalamualaikum, Kak!" Keluar saja dari kereta, Balqis terus memberi salam.
"Kum salam. Sorang je? Hey, budak! Pergi kejutkan ayah. Ada orang datang!" Arahnya pada anak-anaknya yang masih leka berlari-lari.
"A ah, sorang je lah. Kak Yah pergi kenduri..."
"Rumah siapa? Tak dengar pula sapa yang buat kenduri kat kampung ni!"
Balqis tersenyum, "kampung lain, kot?"
"Naiklah. Abang Uda kat atas. Akak pergi dapur jap. Ada jerang air tadi."
"Ye lah. Saya naik dulu..."
"Ha! Naiklah Balqis. Barang ada bawa?" Jerit Abang Uda dari atas rumah.
Balqis memanjat tangga. "Ada Bang. Abang tengok lah cukup ke tak," hulurnya dari depan pintu.
Abang Uda tersenyum, "cukup."
Nirina nampak cantik petang zuhur itu. Wajah yang disolek lembut ditambah pula dengan selendang yang menutupi kepala nampak ayu sekali pada tuan empunya diri. Keluarganya tiba di masjid Kampung Dioh di Perlis itu seawal pagi lagi.
Selesai sembahyang zuhur tadi, Pak Imam sudah bersiap-siap untuk menikahkannya dengan bakal suami tercinta. Keluarga terdekat yang hadir semuanya sudah memenuhi kawasan masjid. Ada yang sibuk membaca yasin, ada pula yang duduk di luar menghisap rokok, dan tak kurang juga yang berbisik sesama sendiri.
"Pengantin dah datang!" Jerit satu suara di luar. Semua mula berkumpul mengerumuni Pak Imam yang sudah siap sedia menunggu. Nirina mula merasakan darah gemuruhnya menyerinap ke seluruh anggota. Sejuk jari jemarinya meramas jari jemari tua ibunya.
Dari tadi mulutnya tak henti-henti membaca doa untuk menghilangkan darah gemuruh yang diajar ibunya dulu. Makin lama makin ramai kaum kerabatnya membanjiri ruang masjid itu. Nirina mula sesak. Hatinya yang berdebar-debar tadi makin berdegup kencang.
"Assalamualaikum," kata pengantin lelaki yang baru tiba.
Nirina tersenyum.
Iqram kacak dengan baju melayu warna putih beserta sampin warna perak. Nampak sedondon dengan baju kurung satin dan selendang sutera yang dipakainya. Kak Yah di belakang tersenyum lebar. Nampak bergaya dengan baju kebaya labuh warna hijau pucuk pisang. Nirina mula memasang telinga pada suara-suara perempuan yang berbisik di belakang.
"Dah berumur la. Tapi handsome juga. Macam Dato K..."
"Suami orang kan?"
"Lah, suami orang ke? Kaya kot?"
"Kaya pun..."
"Syyy..."
"Macam kenal je dengan lelaki ni..."
Ayat terakhir dari suara sepupunya menarik perhatian. Dia berpaling, "Rozi kenal?" Soalnya.
"Ish, entahlah. Macam pernah nampak. Pelanduk dua serupa, kot?" Jawab Rozi takut-takut.
Pak Imam mula membaca doa sebaik saja Iqram melabuhkan punggung. Nirina tidak pasti doa apa yang dibacanya, tapi cukuplah dia mengerti bahawa tentunya doa itu untuk kesejahteraan ikatan perkahwinan yang bakal terjalin.
Selesai membaca doa, Pak Imam memulakan khutbah pendek tentang perkahwinan dan tanggungjawab suami isteri di dalam membentuk institusi kekeluargaan Islam yang sempurna.
Kemudian Iqram ditanya dengan rukun nikah.
"Ada lima", jawabnya pendek. "Pengantin lelaki, pengantin perempuan, wali, dua orang saksi, dan ijab dan kabul," sambungnya lancar.
Pak Imam tersenyum. Iqram sudah dua kali berumahtangga. Masakan dia lupa rukun nikah yang mudah begini. "Baiklah. Kau orang pun nak kahwin, tak payah berlengah lagi. Kita mulakan je sekarang."
Lantas dia memulakan acara. Salam dihulur, nafas ditarik panjang, lafaz akad nikah dibaca. "Mohd Iqram bin Mukhsin, aku nikahkan engkau dengan Nirina binti Sulaiman dengan mas kahwinnya sebanyak RM 100 tunai..." Dan tangan Iqram kuat digegar.
"Aku terima nikahnya Nirina binti Sulaiman dengan mas kahwinnya sebanyak RM 100 tunai," jawab Iqram sekali nafas.
"Sah?"
Dua orang saksi di belakang mengangguk perlahan.
"Amin."
Dua tiga hari kebelakangan ini badan Bob terasa panas-panas. Apa yang dimakannya semua termuntah kembali. Tidurnya pun tidak lena. Ada saja mimpi buruk yang diigaukan. Malam tadi dia bermimpi lagi tentang Nirina. Tentang kekasihnya itu yang kini bahagia bersama lelaki lain. Bersama lelaki yang kononnya menjadi bapa kepada anak yang dikandung.
Dia masih geram dengan tindakan perempuan itu membuang dirinya begitu saja. Apatah lagi selepas dia bersungguh-sungguh ingin menjaga anak yang dikandung dan menjalani hidup bersama hingga ke akhir hayat.
Mungkin pada Nirina, Bob cuma lelaki-lelaki biasa yang selalu dipermainkan. Tetapi pada Bob sendiri, cintanya kepada wanita itu lahir dari hati yang luhur. Jadi apabila dia diberitahu bahawa selama ini anak yang dikandung itu hanya sekadar alasan untuk Nirina menutup dosa yang dibuatnya bersama orang lain, Bob jadi berang. Mungkin sebab keberangan itu yang membuatkan makannya tidak kenyang ataupun tidurnya tidak selena orang lain sejak ahir-akhir ini.
Baru sebentar tadi dia telah berjanji kepada dirinya sendiri. Dia tidak mahu lagi menjadi Bob yang boleh dipijak kepalanya seperti dulu. Dia juga bukan lagi Bob yang hanya menurut arahan yang keluar dari mulut orang lain saja. Dan yang pasti, Bob yang berwawasan baru ini akan lebih senang berjuang untuk hidup dengan caranya sendiri.
Untuk menjadi Bob yang baru itu, dia perlukan sesuatu dorongan atau semangat yang datang dari dalam diri. Dan untuk mencari dorongan dan semangat itu bukan mudah. Dia perlu mengatur segala strategi satu persatu.
Strategi yang pertama, dia mahu mencari Nirina dan kekasih barunya. Walau ke mana sajapun mereka pergi, dia tetap akan mencarinya sehingga bertemu. Apabila berjaya ditemuinya nanti, dia telah bernekad akan menceritakan segala-galanya siapa wanita itu yang sebenar dan siapa pula bapa kepada anak yang dikandung.
Namun dia sedar akan akibat dari tindakan yang bakal diambilnya itu. Mungkin dia akan dikecam kerana mengusung berita tanpa bukti. Mungkin juga teman lelaki itu akan mentertawakannya. Mungkin Nirina sendiri akan mengatakannya gila.
Ah, dia tidak peduli. Cukuplah dia berjaya memuaskan hatinya dengan membuatkan Nirina malu dengan perbuatannya itu. "Teruskan bermuka-muka, Nirina. Tak lama lagi satu dunia tahu siapa kau yang sebenar…"
Tiba-tiba perutnya bergelora kelaparan. Dia bingkas bangun membuka peti ais yang kosong. Tiada apa yang boleh dijamah. Dibuka pula kabinet dapur. Hanya tinggal sebungkus dua mi segera yang hampir ke tarikh luput.
Dia mula menjerang air. Matanya memerhati pula jam di dinding. Lagi beberapa minit azan asar bakal berkumandang. Bob menggaru-garu kepala yang tidak gatal. "Sempat ke sembahyang zuhur ni?" Soalnya sendiri.
"Ah, postpone je lah," jawabnya sendiri juga. Malas.
"Yang ni setiap malam asapkan dengan kemenyan pastu letak bawah katil," arah Abang Uda semasa menghulurkan pisang muda yang telah diikat dengan benang putih itu. "Gula ni campur lah dengan gula kat rumah. Buat minum. Insya allah, balik lah dia ke rumah," sambungnya lagi.
"Pucuk betik ni, Bang?"
"Yang ni kau letak atas api sampai layu. Lepas tu campakkan dalam sungai…"
Balqis mengangguk saja. "Kalau macam tu, saya minta diri dulu lah, Bang?"
"Tak nak makan dulu ke? Akak ada masak gulai rebung dengan perut lembu, ni. Marilah!" Sampuk Kak Eton dari balik pintu.
"Ish, tak apalah Kak. Saya balik dulu nanti lambat pula sampai KL," Balqis menolak dengan lembut. Semasa menghulurkan salam, sempat juga dia menyelitkan wang kertas seratus ringgit di celah jari buat pengeras ubat yang dipinta.
Abang Uda tersenyum apabila wang ringgit itu singgah ke tangannya. Kak Eton pun begitu. Puas melihat suaminya berjaya membantu seorang lagi manusia yang dilanda masalah sekali lagi.
Sementara Balqis berkata-kata di dalam hati. Di dalam kereta menuju ke Kuala Lumpur, matanya tidak putus-putus menjeling pada bungkusan plastik "ubat" yang diberi oleh Abang Uda tadi. Tanpa dipaksa, air mata yang ditakung selama ini kembali mengalir.
Balqis mula sedar dirinya berdosa waktu itu. Ubat-ubatan yang diberi Abang Uda itu jelas sekali jauh menyimpang dari tuntutan agama. Dia terpaksa. Bukan niatnya untuk membelakangkan tuhan. Jika tuhan itu menyuruh umatnya berusaha, mungkin inilah jalan terakhir yang harus dilakukannya.
Telinganya terngiang-ngiang dengan kata-kata dari Abang Uda tadi. "Kemenyan yang timbul dalam mangkuk ni, tandanya Iqram memang dah bersama orang lain. Benang putih ni pula, tarik sekuat mana pun tak putus. Itu tandanya sudah kukuh ikatan mereka. Jadi kamu ada dua pilihan. Sama ada biarkan saja ikatan yang dibina itu kukuh, atau leraikan saja perlahan-lahan."
Balqis bertanya kembali, "pilihan kedua bagaimana caranya?"
"Pisang muda ni simpan bawah katil," jawabnya sambil mula membaca jampi serapah. Selepas diasapkannya dengan kemenyan, diikatnya pula dengan benang putih. "Benang ni jangan diputuskan. Biar dia putus sendiri. Itu tandanya nafsu Iqram diikat selama dia berada di dalam ikatan yang kukuh itu. Pucuk betik yang ni kau layukan atas api. Layu pucuk betik ni, layu lah pucuk Iqram tu. Faham?"
Balqis faham. Dia sayangkan rumahtangganya. Dia juga tidak ingin berkongsi cintanya dengan wanita lain.
Sambung Abang Uda lagi, "di mana jantannya lelaki itu kalau pucuknya layu. Insya allah, dia akan kembali semula."
Balqis mengangguk, "Ya, Insya allah. Dia akan kembali semula."
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
bila nak abis nih... hehe
BalasPadamsikit lagi yer.... sabar!!!
BalasPadamada berapa bab semuanya?
BalasPadam