Siri kehidupan itu menyatakan setiap detik yang sering kita lalui melewati masa. Gunakanlah detik itu sebaik mungkin kerana bukan detik itu yang menentukan siapa kita tetapi kita sendiri yang perlu menentukan detik kehidupan kita sendiri ~ Jill Pendley
Faireen duduk merenung kalendar yang tergantung di dalam bilik. Beberapa hari lagi majlis pertunangannya bakal berlangsung. Ibu yang selama ini bekerja keras untuk menjayakan majlis itu tidak dapat membantu. Dia sudah dua tiga hari menemani ibu saudaranya di kampung.
Adiknya pula sudah awal-awal lagi memberitahu bahawa dia tidak akan dapat menghulurkan bantuan juga. Alasannya, mudah dan ringkas. Sibuk dengan kerja-kerja yang bertimbun di pejabat.
Mahu tidak mahu Faireen terpaksa terkontang-kanting membuat semua persiapan terakhir seorang diri. Sembilan dulang hantaran. Itu yang dipersetujui dalam perbincangannya bersama Iqram dahulu.
Majlis pertunangan pula akan diadakan sekaligus dengan majlis merisik. Segala-galanya harus dilakukan dengan segera. Itu juga syarat utama dari pihak lelaki.
Dia tidak membantah.
Tetapi bagi Faisal, majlis pertunangan yang ditunggu-tunggu itu bukan sesuatu perkara yang baik bagi dirinya. Hatinya masih lagi tercalar dengan keputusan yang dibuat. Syafiq seakan-akan menjauhkan diri daripadanya sejak kebelakangan ini. Apabila dia cuba membuat panggilan untuk mendapatkan kepastian, Syafiq bagaikan sengaja tidak mahu dihubungi.
Faisal berang diperlakukan sebegitu. Makin dekat dengan tarikh keramat itu, dia makin sukar untuk mendapatkan tidur yang lena. Setiap malam, dia duduk termenung mendongak ke langit dan berbicara bersama bulan. Satu-satunya teman rapatnya sejak akhir-akhir ini.
Dia bertanya, "arwah Bob masih terlalu muda untuk mengambil keputusan mencabut nyawanya sendiri. Jika tidak kerana dia terlalu mengikut kehendak dan naluri darah mudanya, tak mungkin dia akan tergamak untuk melakukan semua ini, kan Bulan?"
Bulan tersenyum kecil, lalu menjawab, " Syafiq juga terlalu mengikutkan darah mudanya. Jika tidak kerana dia yang terlalu tertekan dengan tuntutan ibu dan agama, mana mungkin dia akan mengahwini kakak kau sendiri? Dan kau? Mana mungkin dia boleh menduakan kau jika hatinya tidak terdetik langsung kepada Faireen?"
Faisal bertanya lagi, "jadi perlukah aku juga mengikut darah muda aku sendiri juga? Perlukah aku mencetuskan kekecohan di hari pertunangan itu nanti? Di depan sanak saudara, di depan ibu bapa, perlukah aku memaklumkan kepada semua tentang hubungan kami berdua? Perlukah dunia itu diberitahu tentang jenis apa lelaki yang bernama Syafiq itu? Perlukah alam mengerti mengapa aku lakukan semua ini? Perlukah? Perlu?"
Bulan diam membisu tanpa jawapan.
"Perlukah, Bulan? Perlu?" Soalnya sekali lagi.
"Tuhan menciptakan sesuatu kejadian itu dengan hikmah yang tersembunyi. Jika Syafiq boleh mengikut kata hatinya, mengapa tidak kau juga mengikut kata hati kau sendiri? Mengapa kau harus bermurung? Kau sendiri perlu bertindak!"
"Kau nak suruh aku canang depan semua yang kami pernah bersedudukan? Aku belum seberani itu lagi, Bulan! Aku yang malu nanti!"
"Siapa suruh kau malukan diri kau sendiri? Tuhan beri kau akal untuk berfikir. Kau boleh bertindak dengan cara yang tidak memalukan sesiapa, kan?"
Faisal terdiam.
"Walau apa pun cara yang kau akan buat, fikirlah semasak-masaknya dahulu. Yang penting, tujuan kita melakukan sesuatu itu bukan kerana ingin memusnahkan sesiapa tetapi kerana kita ingin menegakkan sesuatu yang benar. Renung-renungkan…"
"Dan selamat beramal?"
"Dan selamat beramal…" Sambung bulan dengan melirik manja.
Huh! Faisal mengerut dahi. Menegakkan sesuatu yang benar? Soalnya pada diri. Bagaimana aku nak menegakkan sesuatu yang benar?
"Dulu Bob tak padan dengan kecil sibuk nak tolong ayahnya tegakkan rumah ni," kata Kak Yah mengimbau kenangan silam sambil menghirup teh O panas di anjung rumah.
Dia ketawa kecil. Bagaikan terlihat di matanya, Bob yang ketika itu hanya berseluar pendek yang ditarik hingga ke paras dada berlari-lari menarik papan dan paku-paku kecil untuk membantu Abang Bakri dan pekerja yang lain mendirikan rumah kampungnya itu.
Mulutnya bingit menjerit keriangan apabila serpihan-serpihan kecil dari papan yang dipotong itu disusunnya di atas tanah satu persatu. Pasir dan simen dikaut lalu dijadikan tambak pula pada papan-papan kecil yang disusun.
Kak Yah penat berleter memarahinya bermain di situ namun leterannya langsung tidak diendahkan. Dia bimbang jika anak kecilnya itu tercedera tapi Abang Bakri tidak langsung membantah. Malah dia turut menumpang gembira melihat anak bujangnya sudi membantu.
"Abang Bakri kau kata, orang lelaki dari kecil harus diajar bertukang. Anak dara pula harus rajin turun ke dapur. Kalau dia hidup lagi sekarang, mesti dia tahu orang kita sekarang dah tak pandai lagi bertukang. Dah jadi kerja orang indon dah kat sini."
Balqis mengangguk, "betul tu, Kak. Kat KL tu pun yang bina bangunan tinggi-tinggi tu semua orang luar. Orang kita lagi senang duduk kat office. Bawah aircond."
"Ish, bawah aircond. Buat sakit tulang duduk sejuk-sejuk ni…"
"Ya, ya. Betul…" jawab Balqis sambil mengurut sendi-sendi yang sakit.
"Iqram?" Tiba-tiba perbualan mereka terganggu. Dari jauh Kak Yah terlihat ada cebisan cahaya kecil yang memancar masuk ke perkarangan rumah kampungnya itu. Dia menjenguk sedikit.
Balqis menoleh ke belakang. "Iqram?" Soalnya kembali.
"Tu kereta dia tu kan?"
"Apa dia buat kat sini, Kak Yah? Akak panggil dia datang ke?" Soal Balqis semula.
Kak Yah mengangkat bahu. Iqram yang melangkah keluar dari kereta menuju ke depan rumahnya diperhatikan dengan tajam. "Kau nak apa kat sini?"
"Kalau ya pun, tak kan tak nak bagi saya masuk dulu, Kak?"
Dia mendengus, "naiklah! Siapa suruh kau datang sini?"
"Saya nak jumpa Balqis," jawabnya menuding ke arah Balqis yang duduk diam membisu di atas kerusi.
"Duduklah. Kak Yah pergi ambil cawan," balas Kak Yah pula sebelum beredar ke dapur.
Balqis menjeling tajam. Mulutnya rapat terkunci dengan anak matanya sengaja tertumpu memandang siling kayu yang penuh berselawang di rumah kampung itu.
Perasaannya bercampur-baur antara jijik pada lelaki yang pernah mengaku untuk sehidup semati bersamanya dulu, marah kerana janji-janji yang pernah dilafaz dulu hanya sekadar manis di bibir saja, malu pada anak-anak yang turut sama melalui saat-saat duka begini, dan sedih apabila kepercayaan yang selama ini ditatang kepada suami sendiri sudahpun hilang dengan sekelip mata.
"Abang tahu awak masih marah. Abang banyak buat silap. Qis tolong maafkan Abang?"
"Kalau perempuan tu masih hidup, ada Abang nak bersujud macam ni?"
Iqram tertunduk. Airmatanya yang bertakung sedikit, dikesatnya.
"Perempuan macam tu Abang buat bini? Qis malu depan anak-anak tau, Bang! Apa dosa Qis selama ni sampai Abang sanggup menduakan Qis macam tu? Buruk sangat ke Qis ni, Bang?"
"Abang dah insaf sekarang Qis, maafkan Abang. Abang janji Abang tak akan buat lagi…"
Balqis ketawa besar, "janji ye, Bang? Dulu masa kahwin pun Abang janji macam tu juga. Yang ni sampai bila pula Abang nak pegang janji ni? Sampai jumpa perempuan lain?"
"Abang dah taubat, Qis… Abang dah cukup malu dengan apa yang Abang dah buat selama ni. Abang nak kita kembali macam dulu. Abang nak balik ke pangkuan awak, ke pangkuan anak-anak. Tolonglah terima Abang seadanya semula, Qis…"
"Abang ni sama je lah macam anjing dengan tulang, tau! Tamak. Anjing tu kalau tak dapat makan taik, bau-bau pun jadi, Bang!"
"Abang bukan anjing, Qis. Ini suami awak, Balqis. Bawak mengucap…"
Balqis terdiam. Airmatanya yang ditahan gugur juga akhirnya. "Suami? Kenapa baru sekarang awak nak mengaku saya ni isteri? Kenapa awak tak fikir semua tu masa awak kahwin dengan perempuan gatal tu dulu? Awak tahu tak Bob tu bunuh diri pasal dia? Awak tahu tak yang anak dalam perut dia tu mati sebab dosa yang awak dah buat? Anak tu anak siapa pun awak tak tahu, kan? Awak sedar tak apa yang awak dah buat? Faireen sampai sekarang tak nak mengaku awak bapa dia lagi! Faisal sampai sudah tak nak bercakap dengan sesiapa!"
Iqram memotong, "sudahlah tu, Qis. Abang tahu semua tu. Marilah kita balik. Kita buka buku baru. Kita mulakan bab baru dalam keluarga kita," pujuknya.
Balqis berdiri. Mencekak pinggang.
Iqram turut sama berdiri.
Kak Yah yang memasang telinga dari tadi tiba-tiba muncul dari dapur, "sudahlah tu Balqis. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Bob dah tak ada. Nirina pun dah tak ada. Yang dah lepas tu kita jadikan tauladan. Yang buruk tu jadikan sempadan. Lagipun tak elok runtuhkan masjid yang dah lama tegak berdiri…"
"Boleh ke saya percaya balik dengan Abang lepas apa yang Abang buat? Sampai hati Abang buat macam ni kat saya. Saya sedih tau, Bang…"
Iqram meramas lembut jari-jemari isterinya itu. Dahinya dikucup. Hangat hembusan nafas isteri yang tercungap menahan kemarahan tadi sedikit demi sedikit terasa kembali reda. "Ampunkan Abang, Qis," dia menangis kekesalan.
Balqis juga tidak dapat menahan sebak. Tubuh suaminya didakap erat. "Ampunkan Balqis juga, Bang," ucapnya di telinga lelaki itu.
Kak Yah tersenyum. Punggungnya dilabuhkan ke atas kerusi malas. Air teh O yang hampir sejuk di dalam teko dituang ke dalam gelas kaca di tangan. Hatinya menjadi lapang sedikit apabila melihat hubungan yang keruh dahulu telah kembali jernih warnanya.
"Sudahlah tu. Buruklah orang tua menangis. Mari minum sama-sama! Kita celebrate satu kemenangan!"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan