Rabu, 9 September 2009

Bab 29. Hari penentu.

Bunuh seorang, maka kamu adalah pembunuh. Bunuh sejuta, kamu adalah penakluk. Bunuh kesemuanya, kamu adalah tuhan ~ Jean Rostand (1894-1977)







Daripada Dia kita datang, kepada Dia juga kita kembali.



Sejak malam tadi kata-kata keramat itu terngiang-ngiang di telinga Bob. Sudah genap seminggu dia bertahan memendam segala musibah yang berlaku tapi entah kenapa, hatinya seakan-akan tidak sabar untuk ke pejabat hari itu. Kata Dawn, teman sepejabatnya semalam, Iqram bakal kembali ke pejabat setelah lama bercuti.

Mulanya dia runsing mendengar berita itu tapi setelah difikirkan semasak-masaknya, dia nekad untuk menamakan hari itu sebagai hari penentu segalanya. Otaknya mula ligat memikirkan cara yang paling demokrasi untuk menyelesaikan segala kekusutan yang terjadi.

Demokrasi di dalam kamus Bob bermakna dia akan melakukannya dengan bijak yang cuma bersenjatakan kata-kata semata-mata.

Tidak. Bob berjanji dia tidak mahu menjadi Bob yang dahulu lagi. Yang cuma mendengar dan mengiakan saja kata-kata orang lain itu. Bob yang baru ini mahukan senjata yang lebih tajam lagi.

Pisau. Ya, dia mahukan pisau.

Malam tadi juga tidurnya tidak berapa lena. Selesai solat subuh, dia mula mengasah pisau lipat yang sudah lama tersimpan di dapur. Kemudian, kakinya tak henti-henti bermundar-mandir di sekeliling rumah seperti orang yang kehilangan punca.

Tepat jam lapan pagi, dia ke depan pintu. Dengan kasut hitam berkilat yang bersarung ke kaki, dia bersiap sedia untuk memulakan harinya hari itu. Pisau lipat yang tajam diasah tadi, disimpan di dalam kocek belakang seluar. Sebelum melangkah keluar dia membaca doa seperti yang diajar oleh ustaznya di sekolah dulu,

"Allahumma innii a’uudzubika an adlilla au udlalla, au azilla au uzalla, au azhlima au uzhlama, au ajhala au yujhala ‘alayya. Amin."

Dengan nama Allah, aku berserah diri kepada Mu, Allah. Ya Allah, aku berlindung kepada Mu dari menyesatkan atau disesatkan; dari menggelincirkan atau digelincirkan; dari menganiaya atau dianiaya dan dari membodohkan atau dibodohi…

Kedua tapak tangan dicium lembut. Dia menarik nafas dan menghembusnya tiga kali berturut-turut. Kunci motornya dimulakan. Bob tersenyum bangga.







Pagi itu Iqram tiba dengan hati yang separuh gembira. Setelah seminggu dia menghilangkan diri, hatinya remuk memikirkan tentang beberapa urusan pejabat yang tertangguh yang perlu diuruskan secepat mungkin. Matanya berpinar melihat fail-fail yang bertimbun di atas meja. Ini semua gara-gara Dawn, kerani akaun merangkap setiausaha sambilan yang menggantikan Nirina buat sementara waktu tidak membuat kerja seperti yang diharapkan.

"Apa sajalah yang dia buat ni," rungutnya sambil membelek fail-fail itu. "Dawn, come here!" Jeritnya dari dalam bilik. "Apa semua ini? You dah check semua ke? You nak suruh I buat apa dengan fail-fail ni? Nak buang ke bakar?"

Dawn terketar-ketar, "Bos, itu semua report yang you minta so I nak you check lepas tu sign. I nak kena bagi satu copy dekat klien kita," jawabnya.

"Next time, letak note. Baru I tahu apa yang I kena buat jangan main campak je atas meja I. Panggil semua orang I nak buat meeting!"

Dawn mengangguk.

"Dan I nak teh tarik tongkat ali dengan roti bakar sekali!"

Dawn mengangguk lagi.

"Bob mana?"

Dawn menggeleng.

Iqram turut sama menggelengkan kepala.







Setibanya dia di pejabat, kelihatan orang ramai mengerumuni bilik Iqram. Ada mesyuarat tergempar nampaknya, kata hati Bob. Dia melangkah masuk. Menyelit di tengah-tengah orang ramai supaya kehadirannya tidak disedari.

Bob perhati dari tadi mulut bapa saudaranya itu tak henti-henti dari membebel. Dari seorang ke seorang, ada saja yang dimarahkannya. Ada saja yang tidak kena dengan kerja masing-masing. Seperti yang sudah diduga, tidak berapa lama selepas itu, namanya pula dipanggil.

Kata Iqram dia mahukan kertas kerja yang diminta klien diserahkan pada petang itu juga. Tiada alasan mahupun sebarang pertanyaan yang akan dilayan. Iqram nampak tegas. Mesyuarat yang berlangsung cuma dua puluh minit itu akhirnya tamat apabila masing-masing bersurai dengan seribu satu persoalan: Peliknya?

Tapi Bob masih lagi tercegat berdiri. Kecil kedua belah matanya merenung wajah Iqram dengan penuh sabar. Beberapa kali bibirnya membaca segala surah yang terlintas di dalam hati. Biar sejuk sedikit hatinya yang semakin kepanasan. Fail-fail yang tersusun di atas meja, yang telah siap ditandatangani, dikutip satu persatu. "Ada apa lagi, Bos?" Soalnya sebelum melangkah keluar.

Iqram cuma menggerak-gerakkan tangan, menghalau.

"Macam mana Australia? Seronok?" Soalnya lagi.

Iqram tidak menjawab lalu berpura-pura mengangkat gagang telefon untuk membuat panggilan.

Bob keluar dengan perasaan hampa sedikit.

"Apa kena pakcik kau tu, Bob?" Sapa Ramlah yang sedari tadi sedang asyik berbisik bersama pekerja yang lain.

"Entahlah, Melah. Cuba kau jangan sibuk hal orang…" Jawabnya pendek sebelum berlalu pergi.

Setibanya di tempat letak motor, pisau lipat dalam kocek seluar yang terselit dari tadi dikeluarkan. Berkali-kali diciumnya pisau kecil itu. Daripada Dia kita datang, kepada Dia juga kita kembali, bisik hatinya. Siap kau Iqram, hari ni akan jadi hari penentu.







Iqram meniup lembut teh tarik yang masih berasap itu. Roti bakar yang masih panas itu juga gagal untuk menyedapkan seleranya. Jarinya dipatah-patahkan. Bahu yang lenguh diurut-urut. Sejak kebelakangan ini tubuhnya seringkali lemah tidak bermaya. Lebih-lebih lagi selepas senja matanya tanpa dipaksa akan kuyu seperti orang yang sudah berbulan-bulan tidak dapat tidur. Dia kurang pasti penyakit apa yang melanda dirinya kini.

Semalam sejurus selepas tiba di Kuala Lumpur, dia terus ke klinik berhampiran. Kata doktor dia cuma mengalami keletihan biasa dan dinasihatkan supaya lebih banyak berehat. Iqram tidak berapa yakin dengan kata-kata doktor berbangsa India itu.

"Saya baru balik bercuti seminggu dari luar negara, Doc. Tak kan lah saya kuat kerja. Kalau berkerja kuatpun cuma dengan wife saya saja lah," jawabnya sambil tersenyum kelat.

Kerja kuat bersama Nirina? Bila? Hatinya tertanya kembali.



Tiba-tiba hatinya tersentuh terkenangkan kejantanannya yang seakan-akan merajuk sejak akhir-akhir ini. Dia bimbang. Prestasinya sebagai lelaki tiba-tiba turun mendadak, jauh berbeza dengan keupayaannya bersama Nirina semasa sebelum mereka berkahwin dahulu.

Bila diajukan pada isteri mudanya itu tentang masalah yang dialami, Nirina hanya menyalahkan dirinya sendiri. "Kebanyakan wanita turun keinginan seks masa dia pregnant, Iqram," alasannya.

Iqram tidak percaya. "Jangan lah disalahkan anak yang dikandung tu jika diri sendiri yang lemah longlai," balasnya pula. Pokoknya kini, pucuk I ni dah tak kuat macam selalu."

Teh tongkat ali diteguk lagi. Jika benarlah kata orang tua, tongkat ali ini elok untuk kesejahteraan suami isteri, dia akan terus-terusan meneguknya biarpun kelat. Ah, Iqram nekad. Jika ubat doktor yang diterima semalam masih juga gagal untuk menyempurnakan tugasannya malam nanti, esok pasti dia akan berjumpa dengan tukang urut pula. Mungkin ada urat-urat yang perlu dipulihkan.







Selesai menghantar kesemua surat menyurat kepada klien, Bob tidak terus pulang ke pejabat. Motornya dipecut laju ke rumah Nirina. Dari perkarangan kondominium mewah itu, dia terlihat kereta perempuan itu masih elok diletakkan di tempat letak kereta di bawah rumah. Hatinya tertanya-tanya sama ada apakah dia perlu naik ke atas waktu itu dan bersemuka dengan bekas kekasihnya itu atau membiarkan dirinya terus memendam segala kekusutan di dalam hati.

Pisau lipat di dalam kocek digenggam erat. Tajamnya pisau itu hingga luka jarinya sedikit. Bob menghisap darah yang menitis. Peliknya, dia tidak langsung terasa pedih. Mungkin kerana hatinya sudah kebas dengan kesakitan yang dialami.

Enjin motornya dinyalakan. Baru saja dia bergerak beberapa meter meninggalkan perkarangan kondominium mewah itu, kelihatan kereta Iqram melepasi pondok pengawal. Dia berhenti dan berpatah semula. Perasaannya bercampur baur antara marah dan geram serta merta.

Telefon tangannya dicapai. Alamat kediaman Nirina dikirim melalui SMS ke nombor Balqis. Benar petang itu bakal menjadi petang penentu. Jika jumaat jadi penghulu segala hari, biar aku yang menjadi penghulu hari ini, kata hatinya keras.







Nirina yang sedang leka berbaring di depan TV terkejut mendengar loceng rumahnya berbunyi. Dia mengintai dari lubang kecil di tengah-tengah pintu. Dari lubang yang kecil itu, kelihatan wajah sugul Iqram tercegat berdiri di luar rumah. Dia kebingungan, dibukanya daun pintu perlahan, "half day ke hari ni?" Soalnya.

"I miss you," jawab Iqram terus mendakap mesra isterinya itu. Pipi gebu Nirina dikucupnya lembut. Begitu juga bibirnya yang kemerahan-merahan, diratahnya hingga membuatkan Nirina terjerit sedikit. Sedang dia asyik menggomol isterinya itu, sekali lagi loceng rumahnya berbunyi. Dia bangun memerhati dari lubang kecil yang sama.

"Bob?" Dia keliru. "Mana Bob tahu you tinggal sini?" Soalnya pada Nirina yang turut sama kekeliruan.

"Mana Iqram?" Sergah Bob sebaik saja daun pintu dibuka. Nirina ditolak ke belakang. "Keluar Iqram, keluar!" Jeritnya lagi sambil berpusing-pusing di setiap ruang rumah. Satu demi satu daun pintu bilik ditendang namun dia hampa apabila bayang lelaki yang dicari tiada di situ. "Mana?" Nirina ditarik lalu dia mengacukan pisau lipat tepat ke leher.

"Kau ni kenapa, Borhan? Kau nak aku panggil polis? Baik kau keluar sekarang sebelum security naik. Keluar!" Halau Nirina dengan meronta-ronta.

"Kenapa? Kau takut aku beritahu Iqram yang anak tu bukan anak dia? Anak aku?"

"Apa?" Iqram yang menyembunyikan diri dalam almari tadi, tiba-tiba muncul. "Apa yang kau merepek ni, Bob? Turunkan pisau tu! Kau dah gila ke?"

"Ya, Bob. Apa yang kau merepek ni?"

"Pakcik tanya bini baru kau ni siapa bapak budak dalam perut dia tu!"

Nirina mula mencekak pinggang. "Apa yang kau merepek ni, Bob?"

Iqram terpinga-pinga.



Loceng rumah berbunyi sekali lagi. Bob memalingkan wajah. Balqis! Jeritnya dalam hati. "Buka pintu! Kali ini kau orang tahulah langit tu tinggi ke rendah!" Arahnya dengan ketawa besar.

Daun pintu dibuka seperti yang disuruh. Sebaik saja tetamu yang tak diundang melangkah masuk, masing-masing berpandangan sesama sendiri. "Apa yang kau buat kat sini, Bob? Buang pisau tu!"

"Mak?!" Mata bundar Bob terjegil besar. Dia terduduk. Pengsan.







Sedar-sedar saja Bob mendapati dirinya sudah berbaring di atas sofa. Tubuhnya lencun dibasahi peluh. Kipas yang kuat dipasang tak langsung menyejukkan hatinya yang panas. Dia bangun. Kelihatan Nirina dan ibunya sedang duduk seakan-akan bertafakur di meja makan. Iqram pula mundar mandir di sekeliling rumah dengan baju yang penuh dengan kesan darah.

Keadaan rumah berselerak seperti baru dipecah masuk. Dia memandang sekeliling. Di tengah-tengah ruang tamu kelihatan ibu saudaranya terbujur kaku. Sejuk. Matanya terpejam erat. Pisau lipat yang dibawa dari rumah tadi terhunus di perut perempuan itu. Bob terpinga-pinga.

"Tidak!!!!" Jeritnya sekuat hati.

Dia terjaga. Masing-masing terkejut dengan jeritannya itu. Pemandangan yang seram tadi kini telah bertukar rupa. Iqram, Nirina, dan ibunya berdiri di satu sudut menghala ke dapur manakala Balqis serta kedua-dua anaknya, Faisal dan Faireen pula sedang berdiri di muka pintu.

Betul seperti apa yang dikata, hari itu memang merupakan hari penentu. Balqis nampaknya memeluk tubuh menahan marah. Faireen dan Faisal cuma berdiri di belakang berbisik sesama sendiri. Nyatanya, masing-masing terkejut apabila Kak Yah sendiri terlibat sama dalam konspirasi ini.

Bob sendiri tidak menyangka begitu rumit sekali masalah yang mereka sekeluarga hadapi. Kini dia sudah semakin sedari bahawa masalah yang dihidapinya kini bukan masalah di antara dia dan Iqram saja. Ini masalah Iqram dan Balqis, Balqis dan ibunya, ibunya dan dirinya, dan dia bersama Nirina.

"Apa erti semua ni, ha? Mak, apa yang Mak buat kat sini?"

"Sekarang kami semua nak tahu apa sebenar yang berlaku," tiba-tiba Faireen menyampuk. "Siapa perempuan ni dengan kau!" Soalnya sambil menuding jari pada Nirina yang tertunduk membisu.

Bob tergaru-garu, "Kami pernah bersekedudukan. Anak dalam perut Nirina itu mungkin anak aku," dia memulakan cerita.

"Betul ke apa yang kau cakap ni, Bob? Kau jangan malukan Mak!"

"Betul Mak, sumpah! Apa yang Mak buat kat sini? Apa kena mengena Mak dengan dia orang ni semua? Siapa yang panggil Mak datang?"

Kak Yah terdiam. Baru saja dia menjawab soalan yang sama kepada Balqis ketika anaknya itu tidak sedarkan diri sebentar tadi. Dia meramas-ramas jari yang sejuk sambil memikirkan jawapan yang dikira paling sesuai untuk diberi pada soalan yang diaju. "Pakcik Iqram kau dah banyak membantu keluarga kita, Bob. Mak…"

"Jadi semua ni pasal duit, Kak Yah? Selama ni apa yang Kak Yah tolong saya tu semua palsu? Bermuka-muka je?" Balqis memotong kata-katanya sambil mengesat air mata yang sedikit mengalir.

"Bukan macam tu…"

"Habis tu macam mana, Cik Yah?" Sampuk Faisal pula.

"Cik Yah tak pernah setuju dengan apa yang ayah kau dah buat, Faisal. Kalau aku tahu perempuan ni mengandungkan anak Bob, aku tak akan ikut sama diamkan perkara ni!"

"Ini bukan anak Bob, Kak Yah. Ini anak Iqram! Kenapa kau orang semua percaya dengan cakap bohong budak yang tak tahu malu ni?" Nirina mula membela diri.

"Macam mana kami nak tahu bukan you yang bercakap bohong?"

Nirina tersentak mendengar soalan yang keluar dari mulut suaminya itu. Kalau bukan suaminya sendiri yang mempercayai kata-katanya, siapa lagi yang boleh diharapkan. Dia tercungap-cungap menarik nafas yang tersekat-sekat. "Nampaknya kita kena tunggu bayi ni lahir baru kita boleh buktikan siapa yang benar, siapa yang bohong…"

Iqram mendengus, "sudahlah Qis, mari kita balik. Ada banyak benda yang Abang nak bincangkan."

"Balik ke mana?"

"Rumah kita lah. Mana lagi?"

"Tak payah, Bang. Selagi awak tak ceraikan perempuan ni, awak duduk lah rumah ni. Lagipun, tak ada apa yang nak kita bincangkan lagi," Balqis menolak.

"Qis…"

"Awak balik ke rumah bila awak ada satu bini je, Bang. Kalau tak, kita jumpa kat mahkamah je. Saya pun tak ada masa nak peningkan kepala dengan masalah ni semua," sambungnya sebelum menarik lengan anak-anaknya keluar dari rumah itu.





Kak Yah, Bob, Nirina dan Iqram duduk diam termanggu. Berat bibir masing-masing untuk berkata apa-apa. Nyatanya fikiran keempat-empat mereka agak bercelaru dengan perkara yang terjadi. Kak Yah memikirkan bagaimana cara untuknya berbaik dengan adik iparnya itu semula. Nirina pula runsing mengenangkan anak yang dikandung bakal kehilangan bapa sekali lagi, manakala Bob tertanya pada dirinya mengapa hidupnya harus dibelenggu cinta tiga segi bersama bapa saudaranya sendiri itu.

Dan Iqram, termenung sedang tercari-cari jalan penyelesaian.

1 ulasan: