Sabtu, 12 September 2009

Bab 32. Patah tumbuh

Melengah-lengahkan sebuah cinta itu sama ertinya dengan menanggung seksa yang panjang ~ Alex Collier








Masing-masing terpaku tidak bersuara waktu itu. Balqis keliru sama ada ingin melonjak gembira atau terus membantah bulat-bulat dengan berita yang baru didengari.

Faisal tergamam. Nasi yang baru disuapnya terasa berkumpul di leher. Puas diteguknya air kosong namun nafasnya masih juga tersekat-sekat.

Berbeza dengan Faireen. Bibirnya masih lagi tidak lekang dengan senyuman.

"So? Apa pandangan Ibu? Faisal?" Soalnya sambil mengurut dada yang berdebar-debar menantikan jawapan.

Balqis cuma mengangkat bahu. Matanya mengerling kepada Faisal yang masih lagi tidak berkelip dari tadi. "Kau, Faisal? Apa kata kau?"

"Tahniah?" Soal Faisal pula.

"Reen dah SMS Ayah. Call dia tapi dia tak jawab. Kalau dia tak ada pun tak apa kan, Bu? Selagi dia masih ada perempuan tu, bagi Reen dia dah tak penting dalam hidup kita."

"Tapi dia still ayah kita, Reen. Esok kau nak kahwin, dia juga yang kena jadi wali…"

"Ah! Lantaklah. Anyway, rombongan meminang datang bulan depan. Kami dah bincang tak nak bertunang lama-lama. Dua tiga bulan je cukuplah…"

"Dua tiga bulan je?" Soal Balqis kembali.

"Kau tak nak tunggu jawapan Ayah ke?" Soal Faisal pula.

Faireen mendengus, "kan aku dah kata orang tua tu dah tak penting. Kau ni tak faham-faham, kenapa?"

"Jadi tak apalah kalau kau pentingkan diri sendiri?"

"Ish! Sudahlah! Kenapa kau orang gaduh depan makanan ni?" Sampuk Balqis cuba meleraikan pertelingkahan yang bakal berlaku.

Faisal membasuh tangan meninggalkan pinggan yang penuh berisi makanan di situ. Dia berlari menuju ke biliknya.

Manakala Faireen menyambung kembali mengunyah makanan yang tidak tersentuh dari tadi.

Di dalam bilik, Faisal bermundar-mandir seperti sudah kehilangan arah. Dua kali dia terlanjur melakukan perkara terkutuk bersama lelaki yang bakal menjadi abang iparnya itu. Apakah mungkin dia akan terlanjur lagi bersama lelaki itu apabila dia telah menjadi abang iparnya nanti?

Mukanya ditepuk-tepuk. Mimpikah aku? Mimpikah? Soalnya berulangkali. Ditatapnya pula wajah yang kemerahan itu dicermin. Tidak. Ini bukan mimpi. Ini kenyataan. Syafiq bakal jadi abang ipar aku. Dia mula mendail nombor telefon lelaki itu. Dan terus menunggu.








Langit petang agak mendung sedikit petang itu. Kak Yah sedari tadi duduk termenung di atas anak tangga menunggu kedatangan Iqram dari Kuala Lumpur. Esok, anak-anaknya yang lain bakal tiba dari rumah masing-masing. Mereka semua telah dimaklumkan atas kehilangan Bob sebentar tadi. Laporan polis juga telah dikeluarkan sebaik saja dia pulang dari hospital. Kata pegawai polis yang bertugas, gambarnya akan mula dicetak dan diedarkan kepada umum dengan secepat mungkin.

Kak Yah malu. Niatnya untuk terus merahsiakan keadaan kesihatan anak bungsunya itu akhirnya termati juga. Kata doktor, Bob telah dikategorikan sebagai seorang yang merbahaya. Penyakitnya boleh mendatangkan musibah kepada orang lain tanpa dia sedari.

Kak Yah mengerti. Kemungkinan besar, dirinya sendiri bakal dicederakan oleh anaknya itu.

"Kalau Bob tak gila kenapa Bob ada kat sini? Semua orang dalam ni semua gila. Lama-lama kat sini Bob pun boleh jadi gila macam dia orang! Mak saja letak Bob kat sini sebab Mak pun ingat Bob dah gila kan, Mak?"

Kata-kata itu masih lagi terngiang-ngiang di telinganya sejak tadi. Kak Yah menakup muka. Dia ketakutan.

"Assalamualaikum, Kak! Maaf lambat!" Sapa Iqram yang tiba-tiba muncul di depan mata.

Kak Yah yang terlelap di anak tangga tadi, segera menggosok mata yang masih kepedihan. "Terlelap pula. Nak demam lah ni," rungutnya meminta simpati.

"Demam apa pula ni? Jangan kerja kuat sangat, Kak Yah. Banyak-banyakkan berehat. Dah, jom lah kita pergi. Dah cakap kat bomoh tu pukul berapa kita nak datang?"

"Dah. Dah. Dia tengah tunggu lah ni. Tunggu Kak Yah ambil tudung kejap…"

"Tak ada apa berita pasal Bob, Kak Yah? Dari hari tu tak balik-balik?"

Kak Yah terhenti. Dia cuma menggelengkan kepala.

"Dah tanya kawan rumah dia kat KL?"

"Dah. Dia orang semua tak tahu. Akak dah buat laporan polis tadi. Esok lusa keluarlah muka dia kat paper."

"Lah, dia bukan kena culik, Kak. Dia yang lari sendiri. Dah besar pula tu, esok lusa bila hati dia dah sejuk pandailah dia balik…"

"Dia tu sebiji macam Abang Bakri kau. Baran tak bertempat. Akak takut dia apa-apakan anak orang pula nanti…"

"Nirina tahu kau datang?" Kak Yah menukar cerita.

"Hmm…" Jawab Iqram seperti mahu tak mahu.

"Kau tinggalkan bini kau yang tengah mengandung tu seorang kat rumah?"

"Biarlah, Kak. Entah-entah bukan anak saya."

Kak Yah mengucap panjang. "Kalau bukan anak kau. anak siapa? Anak Borhan?"

"Biarlah anak-anak siapa pun, Kak. Fikiran saya dah tak tentu lagi ni. Balqis dah tak nak tengok muka saya lagi. Anak-anak dah tak nak ngaku saya bapanya. Ada bini baru entah mengandungkan anak siapa pula. Semua ni tekanan sebab tu lah pucuk saya ni pun dah tak sanggup nak hidup!"

Kak Yah terdiam.

"Jom lah. Lagi lambat saya berubat, lagi lama saya tertekan. Boleh mati macam ni lah!" Bentaknya dan terus memulakan enjin.







Setelah sekian lama awan berarak mendung, hujan akhirnya turun juga menyimbah bumi petang itu. Syafiq yang masih lagi di dalam pejabat sedang leka meneguk kopi panas sambil menyiapkan kerja yang masih belum selesai. Dia memerhati telefon bimbit yang dibiarkan di dalam laci meja sejak pagi tadi. Ada lima panggilan tidak berjawab sementara dua pesanan ringkas yang masih belum dibaca.

Mesej pertama: TYPE LOVE dan hantarkan ke nombor 45888 untuk mengetahui rahsia percintaan anda.

Tanpa menuggu lama, Syafiq pantas memadam mesej tersebut.

Mesej kedua: WHAT WERE YOU THINKING??? SHE IS MY SISTER!!!

Dia membaca mesej itu berulang kali. Butang reply ditekan. Lama berfikir, dia mengambil keputusan untuk memicit butang end saja.

Kosong. Tiada langsung jawapan yang terlintas di kepala waktu itu. Nafasnya ditarik dalam-dalam. Ditenungnya hujan yang makin lebat turun dari langit. Aku perlu tegar, bisiknya dalam hati. Butang call dipicit.

"Helo," suara Faisal tiba-tiba kedengaran dicuping telinga.

"Faisal saya tahu awak marahkan saya tapi…" Belumpun sempat dia menghabiskan ayat, telinganya tiba-tiba panas apabila dilemparkan dengan kata-kata kesat berbentuk amaran keras.

"Kalau awak nak rahsia kita terbongkar depan satu rombongan meminang, awak cuba lah datang pinang dia, Syafiq! Saya tak akan teragak-agak untuk memalukan diri sendiri, awak, dan keluarga kita berdua. Sial!"

Tut! Tut! Tut! Tut! Tut! Talian terputus dengan tiba-tiba. Dia termenung. Kau cabar aku, Faisal? Kau cabar aku?

"Aaaaaaaah!" Ringan saja mulutnya menjerit kuat waktu itu.







Balqis menutup mulutnya yang terbuka luas. Dia menguap kengantukan. Solat yang dikerjakan bagaikan tidak sempurna. Banyak kali juga dia terpaksa mengulang bacaan surah yang selama ini sering tersemat di hati. Setiap kali dipejamkan matanya, bagaikan pertunjukan slide wajah Abang Uda dan Iqram berputar-putar di dalam fikiran. Tersenyum. Marah. Menangis. Pelbagai reaksi dari wajah yang sama seakan berulang-ulang. Dia beristighfar panjang. Gangguan syaitan, katanya di dalam hati.

Tahyat akhir dibaca. Tangan ditadah memohon agar tuhan menjauhkan dirinya dari gangguan anasir yang tidak diigini. Dalam doanya dia juga meminta agar ketenangan dan keredhaan hidup yang telah dicuri kebelakangan ini dikembalikan semula.

Jauh. Begitulah perasaannya tentang keluarganya sejak kebelakangan ini. Masing-masing sudah semakin jauh membawa laluan hidup masing-masing. Jiwanya terasa kosong semenjak Iqram pergi. Anak-anaknya juga begitu. Sudah tidak menjadi anak-anak kecil yang pernah dibesarkannya dahulu.

Selesai solat, dia mula duduk bersimpuh untuk memulakan surah yasin di tangan. Di hujung sejadah, dia terlihat sekumpulan askar semut-semut hitam kecil sedang berbaris menuju ke bawah katil. Matanya melirik mengikut perarakan barisan haiwan kecil itu. Tertanya-tanya apa yang dicari mereka.

Pisang? Tiba-tiba hatinya terdetik pada pisang pemberian Abang Uda dahulu. Buku surah yasin ditutup kembali. Tangannya teraba-raba di bawah katil yang gelap. Dia terasa sesuatu yang menggelikan. Sejuk. Lembut. Lalu ditariknya keluar. Pisang muda yang dihumbannya di situ dulu sudah semakin busuk dan berbau. Ada beberapa kesan gigitan kecil sehingga gelangan benang yang diikat juga hampir terungkai sedikit. Dia mengibaskan tangan yang sudah dihurung semut.

"Apa tu, Bu?" Tiba-tiba Faireen muncul di dalam biliknya.

Dia terkejut. Pisang busuk ditangan tadi dicampakkan kembali ke bawah katil. "Tak ada apa-apa," jawabnya mematikan perbualan.

"Kenapa semut banyak dalam bilik ni. Ada apa bawah katil ni, Bu?"

"Tak ada apa-apa," jawabnya yang sama sekali lagi. "Faisal mana? Dah keluar?"

Faireen mengangkat bahu. Dia terbongkok mengintai sesuatu yang dicari sekumpulan semut itu.

"Tak ada apa-apalah, Reen. Semut tu gigit nanti!" Balqis meninggikan suaranya. Tangan Faireen yang sudah menjulur ke bawah katil disentak keras. "Aaaa!" Dia menjerit kuat. Pisang busuk yang digenggamnya dibuang jauh. "Apa tu?"

Balqis terdiam.

"Apa tu, Ibu? Tikus?" Dia menggigil geli.

Balqis masih diam membisu.

Perlahan-lahan Faireen mendapatkan pisang busuk yang penuh dihurung semut itu. "Macam mana pula benda alah ni boleh ada kat bawah katil ni?"

"Tak bersihkan rumah betul-betul, ni lah jadinya!" Jawab Balqis berbohong.

Faireen mengutip pisang busuk itu dengan tisu.

"Kau nak ke mana tu?"

"Nak buanglah! Cuba Ibu tinjau ada apa lagi kat bawah katil tu. Entah-entah dah jadi pesta makanan dah. Reen pergi ambil penyapu kat dapur…"

Balqis ternganga sekali lagi. Buang?








"Nampaknya orang tu dah buang benda yang dituju kat kau ni," kata Abang Uda dengan suara yang tidak berapa jelas. Ditiupnya wajah Iqram dengan asap rokok yang disedut. Kemudian mulutnya kembali terkumat-kamit membaca mentera.

Iqram terbatuk kecil apabila terhidu asap di mukanya. Dia tertanya-tanya pada Kak Yah, keliru dengan butir kata yang terkeluar dari mulut bomoh itu.

"Apa, Bang?" Soal Kak Yah setelah Abang Uda tamat membaca jampi serapah.

"Benda yang dituju kat Iqram tu, dah kena buang," jawabnya sekali lagi sambil menghulurkan sebotol minyak kelapa yang ditawar. "Cuba urut minyak ni sekurang-kurangnya tiga kali sehari. Insya allah, pulihlah balik pucuk yang tidur tu. Dia tak mati, dia tidur je. Nakal," sambungnya dengan bergurau.

Kak Yah tersenyum sedikit sedangkan Iqram tersipu malu. "Siapa yang tujukan kat saya tu, Bang?" Soalnya.

Abang Uda menggeleng-gelengkan kepala. "Sedara sendiri Iqram. Bukan orang jauh pun…"

"Isteri saya sendiri ke, Bang?"

"A, ah Bang. Balqis ke?"

Abang Uda tersenyum. "Tak perlulah kau orang tahu siapa, yang penting kita usaha ubatkan diri sendiri dulu. Siapa yang buat tu biarlah dia tunggu balasan dari tuhan…"

Iqram dan Kak Yah berpandangan sesama sendiri.

"Kalau macam tu kami balik dulu lah, Bang. Dah nak gelap dah ni," balas Kak Yah meminta diri.

"Bob macam mana? Dah sihat? Kesian dia, muda-muda dah sakit. Siapalah yang rampas girlfriend dia tu, ya!"

"Dah!" Jawab Kak Yah pendek.

"Abang dengar dia masuk hospital. Bawak dia datang sini boleh Abang tengokkan sekali lagi," tambah Abang Uda lagi.

Iqram kekeliruan. "Masuk hospital? Bila?"

"Dah elok dah! Kami balik dululah, Bang. Assalamualaikum!" Jawab Kak Yah teragak-agak. Kakinya pantas berlari menuju ke kereta meninggalkan Iqram yang makin kekeliruan di belakang.

Dalam perjalanan pulang, Iqram menanyakan soalan yang sememangnya sudah dijangka akan terpacul dari mulut lelaki itu. "Mana Bob sekarang sebenarnya Kak Yah?"

Kak Yah menjawab dengan terketar-ketar, "Akak tak tahu…"

"Abang Uda kata dia masuk hospital. Kalau dia boleh tahu tak kan Kak Yah tak tahu?"

Kak Yah tiba-tiba menangis.

"Dia sakit apa Kak Yah?"

"Abang Uda kata dia kena buatan orang…"

"Dia sakit macam mana?"

"Meracau, mengamuk macam orang yang dah hilang akal…"

"Astahgfirullah alazim. Dia dah tak siuman ke, Kak? Dia kat hospital mana sekarang?"

Kak Yah menggeleng. "Dia dah lari dari hospital…"

Iqram terkejut. Lidahnya kelu secara tiba-tiba.







Nirina sedang menepuk bantal bersiap sedia untuk tidur ketika loceng rumahnya dipicit tanpa henti. Dia mendengus marah. Wajahnya sudah bertampal masker yang hampir kering. Timun juga baru dihiris untuk dilekapkan ke kedua-dua belah mata.

Dia berjalan kembali ke ruang tamu. Dari lubang kecil di pintu, dia mengintai tetamu yang menunggu di luar.

Bob? Dia menggigit jari.

Daun pintu yang masih terpasang selak, dibuka sedikit. "Nak apa malam-malam ni, Bob?"

"Iqram ada?"

"Dia dah tidur. Awak nak apa malam-malam buta, ni?"

"Nirina bagi saya masuk. Saya ada perkara nak bincang dengan awak."

"Bob datang esok je lah. Saya nak tidur dah ni," Nirina menolak lembut.

"Nirina please, panggil Iqram. Saya nak jumpa dengan dia…"

"Dia dah tidur, Bob. Bob baliklah," bohongnya sambil tangannya mencuba untuk menutup daun pintu.

"Nirina! Nirina! Bagi saya masuk. Ada benda yang saya nak cakap ni!"

"Bob awak baliklah! Nak saya panggil polis ke?"

Tiba-tiba daun pintu itu ditendang kuat. Nirina terpelanting ke belakang. Tubuhnya lemah apabila tersandar ke dinding. Fikirannya tiba-tiba buntu. Bob yang berada di luar rumah tadi sudah berada di depan matanya kini. Bibirnya tersenyum lebar. Nafasnya tercungap-cungap menahan marah. Akhirnya dia ketawa besar.

"Tomok…Tomok…Lain kali jangan degil sangat.." Katanya.

4 ulasan:

  1. OMG!!!!will bob kill nirina??i wonder...

    BalasPadam
  2. chokio.... hmmmmm.......

    buyui.... hmmmm......

    (sambil urut2 dagu...)

    BalasPadam
  3. chokio.... hmmmmm.......

    buyui.... hmmmm. x baca episod sebelum ni ke?

    (sambil urut2 dagu...)

    BalasPadam