Rabu, 9 September 2009

Bab 28. Berita







Bunyi-bunyian indah itu datangnya dari suara ibu, rumah, dan syurga ~ William Goldsmith Brown







Sejak dari siang tadi, Syafiq keluar rumah dengan senyum yang seindah suria. Sesuai dengan keadaan suria di pagi yang nampak asing sekali dengan cuaca di Kuala Lumpur sejak akhir-akhir ini. Tiada hujan, tiada juga mendung, dan awan yang berarak kelihatan riang bermain-main di langit yang biru. Pendek kata, pagi itu sungguh cerah.

Dalam kereta, Syafiq termenung menyaksikan keindahan alam. Hatinya yang agak kusut semalam bertukar menjadi damai melihat di kiri kanan jalan yang mulanya penuh dengan bangunan konkrit bertukar menjadi tanah lapang yang tiada berpenghujung. Lapang sehingga matanya benci melihat papan-papan tanda yang tegak berdiri di setiap satu kilometer di sepanjang perjalanannya itu.

Kemudian suasananya menjadi semakin tenang apabila matanya dihiasi pula dengan deretan rumah-rumah kampung separuh usang berdiri di antara hutan belukar yang belum terusik kehijauannya. Sawah bendang, anak sungai dan lembu kerbau memberi petanda Syafiq sudahpun tiba di kampung halaman.

"Assalamualaikum, Mak!" Dia menghulurkan salam sejurus selepas keretanya diletakkan di bawah rimbunan pohon mangga di bawah rumah. Jarum jam di pergelangan tangan diperhatikan. Apabila salamnya tidak berjawab, dia berlari pula ke belakang. Tetap sunyi. Yang riuh cuma bunyi anak-anak ayam berlarian mengejar ibunya yang sibuk dihimpit Lenteng, satu-satunya ayam jantan dominan peliharaan ibunya.

Salam dihulurkan sekali lagi sekembalinya dia ke anjung, namun tiada tanda-tanda ada suara yang menyambut kepulangannya itu. Pintu depan nampak terkunci, tingkap keliling rumah juga tertutup rapat. Syafiq mula tertanya-tanya.

Semalam, di Kuala Lumpur dia ada berbual dengan ibunya itu di telefon. Katanya, dia ingin pulang hari ini untuk membawa khabar gembira. Sudah tentunya tentang hajat di hati untuk mengambil Faireen sebagai isteri. Ibunya sayu apabila mendengar berita yang gembira itu. Dari corong telinga, Syafiq dapat rasakan dia menangis sedikit. Terlalu gembira, agaknya.

"Ada banyak perkara yang perlu dibincangkan, nikah kahwin ni bukan perkara main-main," katanya menyuruh anak bujangnya itu pulang.

Syafiq setuju. Namun lain yang diharapkan, lain pula yang terjadi petang ini. Tiada bayang ibu di anak tangga, tiada juga suara riuh rendah orang tua itu menyambut kepulangan anak yang dinanti. Akhirnya dia duduk di muka pintu. Termenung sambil memulas perut yang semakin berkeroncong. Lama menuggu, tanpa dipaksa dia terlelap di situ.



Klung! Klang! Klung! Klang! Kuat Khatijah menggegar tin kosong yang diikat di hujung galah apabila matanya ternampak dua tiga ekor tupai liar sedang bergurau senda di atas pokok rambutan di lamannya. Mulutnya juga tak putus-putus merungut memarahkan tupai jantan yang suka mencuri makan buah yang belum masak itu. Kerengga yang jatuh ke tangan dari atas pokok itu juga dicarutnya. Kasar. Dia mencangkung ke tanah untuk mengutip daun-daun kering dan kulit-kulit rambutan yang berguguran.

"Dah lama sampai, Fiq?" Anak bujangnya yang baru terjaga dari terjelepok di tepi tangga tadi, ditegur. "Mak pergi rumah ketua kampung, anak dia nikah!" Sambungnya sambil menghulurkan lauk dari kenduri kahwin yang dibawa pulang.

"Anak dia yang mana satu, Mak?" Soal Syafiq kembali seakan-akan ingat-ingat lupa. Dengan mengesat peluh yang menitis, dia bangun lalu membontoti ibunya ke dapur.

"Ain. Dulu dia sama sekolah dengan kau. Mak nak kahwinkan dia dengan kau dulu, kau reject. Kan sekarang dah ada orang lain sambar…"

Syafiq ketawa. "Tak kisahlah, Mak. Dah tak ada jodoh lah tuh. Dia kahwin dengan siapa? Orang kampung ni juga?"

"Dengan orang KL. Kerja RTM. Sian juga tengok ketua kampung laki bini tadi. Diorang nangis mengalahkan tengok orang mati pulak!"

"Ye ke sampai macam tu sekali?" Syafiq tergaru-garu kepala.

"Ye lah. Kan dulu si Ain tu nak kahwin tak jadi… Pengantin lelaki tak datang. Lupa?"

Ya tak ya juga, Syafiq menepuk dahi. Masakan dia boleh terlupa pada petang bersejarah yang mengejutkan satu kampung itu.

Hari itu dia ditugaskan untuk menjadi budak penanggah. Kenduri kahwin Ain nampak meriah pada awalnya. Khemah sudah siap berpasang penuh satu padang. Lembu Akob pun sudah tumbang seekor. Itu belum lagi ayam kampung dan lauk pauk yang lain. Semua masih berasap di dalam kawah menunggu untuk dihidang pada tetamu yang tiba.

Ketua kampung dengan isteri tak putus tangan melayan kerenah orang ramai yang sibuk bertanya khabar. Tak lupa juga pada yang tak sabar untuk melihat wajah bakal menantu. Pak Imam sudah tiba seawal pagi. Janji pihak keluarga, pengantin akan dinikahkan pada pukul sepuluh pagi, namun sudah menjelang zuhur bayang pengantin lelaki tidak juga muncul-muncul.

Pak Imam makin lama makin lenguh bertapa di situ. Katanya dia tidak boleh lama menunggu kerana ada tugasan nikah di kampung lain pula. Apabila ketua kampung berkeras, mahu tak mahu dia terpaksa menurut. Sudahnya bila menjelang asar masih juga tiada tanda-tanda kelibat pengantin akan tiba, Pak Imam dengan berat hati meminta diri.

Waktu itu sedikit demi sedikit berita kenduri kahwin tanpa pengantin mula tersebar. Ain di dalam bilik, khabarnya hampir-hampir membunuh diri akibat tidak sanggup menanggung malu. Usahkan pengantin, keluarga pihak lelaki sendiri tiada seorang pun yang hadir memberitahu apa puncanya.

Akhirnya majlis berlangsung dalam keadaan yang sunyi sepi. Tanpa akad, tanpa kompang. Malamnya dalam keadaan satu keluarga yang masih bermurung dengan nasib yang menimpa, ibu bapa pengantin lelaki tiba membawa berita yang benar-benar menyakitkan. Anak bujang mereka, Malik telah lari membawa diri jauh dari negara ini. Tiada alasan, tiada siapa juga yang tahu mengapa dia tergamak berbuat begitu.

Syafiq tersenyum. Dia tahu. Sewaktu dia bertugas di New Zealand dulu, ada dia ternampak Malik di situ. Rambutnya sudah bertukar perang sedikit. Pakaiannya juga jauh berbeza dengan Malik yang dikenalinya dulu. Cermin mata empat segi yang melekap di matanya pun sudah bertukar bingkai. Waktu itu dia sibuk berbual dengan rakan mat salehnya. Syafiq cuma perhati dari jauh. Makin lama diperhati, makin timbul rasa sangsi di dalam diri. Akhirnya apabila Malik dan rakannya beredar dari situ, Syafiq mengambil peluang untuk mengikut dari belakang.

Sampai di satu simpang berdekatan dengan deretan kelab malam, Syafiq berhenti. Malik dilihat beratur bersama pengunjung kelab yang lain menunggu giliran untuk masuk di salah satu kelab malam di situ. Dia perhati wajah setiap seorang yang keluar masuk di kelab itu. Semuanya lelaki. Tiada satupun bayang wanita yang ada. Lama Syafiq termenung, akhirnya dia mengurut dagu. Waktu itu baru dia tahu kenapa Malik tidak hadir semasa pernikahannya dulu.



"Kenapa ditenung je lauk tu, Fiq? Rendang tu Ali Omar yang buat. Sedap tu," Khatijah memuji sebelum meneguk air panas suam buat penghilang dahaga. "Hey!" Sergahnya sekali lagi apabila dilihat anak bujangnya itu masih lagi termenung jauh. "Kenapa?"

Syafiq menggeleng. Dia menyuap nasi minyak dengan rendang Ali Omar, tukang masak terkemuka di kampung itu perlahan ke mulut. Fikirannya jauh terkenangkan Malik. Salah seorang pemuda kampung yang dikenalinya sewaktu di bangku sekolah dulu. Baik, pendiam, dan kuat agama. Tiga perkara yang tergambar di dalam kepala setiap kali disebut sahaja nama lelaki itu.

Selepas kejadian kehilangannya di majlis nikahnya sendiri, keluarganya teruk dikecam satu kampung. Tiada lagi gelaran baik, pendiam, dan kuat agama diberi. Ada yang memanggilnya anak tak kenang budi, tak kurang juga yang menggelarnya jantan dayus. Dalam situasi begitu Syafiq menjadi keliru sama ada ingin turut sama menyalahkan Malik yang lari dari tanggungjawabnya sendiri, ataupun membantunya menegakkan perkara yang sebenar.

"Apa berita yang kau nak beritahu semalam?"

Soalan cepumas dari ibunya itu makin membuatkan jantungnya berdebar.

"Jadi kau nak pinang si Faireen?"

Boleh tak Syafiq kahwin dengan Faisal?

"Jadi ke tidak?" Tanya ibunya lagi apabila soalannya tadi masih lagi tidak berjawab.

"Jadi. Tapi sekarang keluarga dia ada masalah sikit, kena tunggu reda dulu"

"Masalah apa?"

"Ayah dia sekarang kat oversea tengah honeymoon so kena tunggu dia balik sini lah…"

"Honeymoon? Dengan siapa?"
Syafiq ketawa besar. "Dengan bini baru lah, Mak. Itulah masalah negaranya…"

Khatijah tersandar. Air suam di tangan, diteguk sekali lagi. "Orang jantan!" Dia mencebik lalu bingkas bangun menuju ke belakang. "Jadi ke tak kau kahwin ni, Fiq? Ada je alasan kau!" Jeritnya dari dapur.

"Kalau ada jodoh, ada lah, Mak!" Balas Syafiq menjerit juga.

"Jodoh tu tak akan datang dengan sendiri. Kita yang cukup sifat ni kena cari, Fiq. Susah-susah sangat Mak cari perempuan lain je lah untuk kau?!"

"Syafiq ni muda lagi, Mak. Banyak benda lagi nak fikir dari nikah kahwin ni!"

"Muda-muda lah elok kau berbini. Cepat-cepat dapat anak. Bila lagi Mak nak menumpang rezeki anak cucu Mak?"

Berkerut dahi Syafiq seketika mendengar alasan ibunya itu. Dia membasuh tangan lalu melangkah ke dapur mendapatkan ibunya. "Apa selama ni tak cukup ke apa yang Fiq bagi?"

"Kalau ada lebih, elok kita dapat lebih, Fiq…"

Syafiq semakin kebingungan. Dia merenung wajah ibunya itu dalam-dalam. "Apa yang lebih apa yang kurang ni, Mak? Syafiq tak faham," soalnya mencari kepastian.

Khatijah menarik nafas panjang. Dia melangkah keluar dari dapur menuju ke biliknya. Dalam almari lama warna perang itu, dicapainya satu fail surat menyurat rasmi yang telah lama disimpan. Surat wasiat dari arwah bekas suami dikeluarkan lalu diberi kepada anak bujangnya yang tercegat berdiri di muka pintu.

"Baca dan fahamkan betul-betul. Mak nak tidur kejap," arahnya ringkas. Sebaik saja pintu bilik ditutup, hatinya mula bimbang. Dia duduk di depan meja solek. Cermin usang yang sudah lama berhabuk di depan mukanya itu ditenung lama-lama. Otaknya spontan itu juga ligat memikirkan tentang perkara yang bukan-bukan. Tertanya-tanya. Mungkinkah Syafiq akan menuduhnya seorang yang gilakan harta selepas ini? Atau mungkinkah juga dia akan diherdik, dihina, kerana memaksa anak sendiri berkahwin semata-mata kerana wang ringgit?

Dia menongkat dagu. Menunggu.







Malam itu sesudah sembahyang maghrib bersama, Syafiq menghulurkan salam. Dengan rasa kerdil, dia mencium lembut jari jemari ibunya yang semakin kasar itu. Air matanya menitis lembut apabila melihat wajah sayu ibu yang bertelekung putih menjadi makmumnya selama ini. Mulut ibunya yang terkumat kamit membaca doa disentuh. Direnungnya wajah perempuan itu puas-puas.

"Mak," katanya. "Syafiq tak akan kahwin sebab wang ringgit, Mak. Syafiq kahwin sebab Mak suruh. Syafiq tak nak jadi anak yang derhaka. Maafkan Fiq, ya Mak…"

Khatijah menunduk. Kepalanya diangguk perlahan. Matanya dipejam erat dan mulutnya masih lagi terkumat kamit dari tadi. Buku surah yassin yang dipegang dari tadi masih lagi tertutup dan matanya masih tepat memandang ke bawah. Dalam diam, dia menangis.

Alhamdulillah, bisiknya di dalam hati.

5 ulasan:

  1. shafiq nak kawen ngan sapa???aku xkaya..huhu..

    neh berita tv brapa??lalala~~

    BalasPadam
  2. pengantin lari,
    pakcik tambah satu lagi,
    huhu... klise kan dlm drama2 melayu...

    k, waiting 4 d next episode

    BalasPadam
  3. ehehhe waiting next episod?best gak

    BalasPadam
  4. episode ni tak happening ...



    AiLing.

    BalasPadam
  5. heppi...
    kawin ngan org yg best!

    karl...
    dah org melayu suke ngan bende2 klise!

    airel...
    best ker? malu ai.

    liling..
    nak happening jer gi club, babe!

    BalasPadam