Khamis, 3 September 2009

Bab 22. Pucuk dicita

Apa yang menyebabkan dua kuasa besar berbalah? Jawapannya mudah: dua jiwa bertemu dan tidak mempunyai cukup masa untuk memahami satu sama lain ~ John Keats (1795-1821)








Sejak akhir-akhir ini ada macam-macam kisah yang terjadi di Malaysia.

Ada kisah sedih. Seperti kisah seorang demi seorang kanak-kanak hilang jarinya akibat bermain mercun buatan sendiri.

Ada kisah tragis. Seperti kisah seorang bapa yang merogol anak kandungnya sendiri atas dasar mencurahkan sifat kasih sayang bapa kepada anaknya itu.

Dan tak lupa juga, kisah yang menyakitkan mata. Seperti kisah orang awam dilontar gas pemedih mata oleh pihak FRU akibat menyuarakan hak dan pendirian mereka untuk hidup di dalam zaman yang semakin memberontak ini.

Lucu kan?

Balqis juga tidak terkecuali dari mengalami kisah-kisah yang pelbagai ragam dalam hidupnya sepanjang berumahtangga bersama Iqram. Masih terlintas lagi di matanya akan gelagat Faireen dan Faisal sewaktu kecil berteka-teki apabila mereka terlihat dirinya sedang menangis seorang diri di dapur dahulu.



Faireen: Bawang sakitkan mata ibu lagi kan?

Faisal: "Tak. Ibu mesti tengok cerita Oshin lagi ni.



Itu saja alasan yang sering diberi kepada kedua anak-anaknya yang masih mentah waktu itu. Tetapi kini apabila kedua-duanya sudah menganjak dewasa, mereka sudah semakin bijak untuk berfikir sama ada tangisan yang terbit dari air mata seorang ibu itu datangnya dari bawang yang dihiris ataupun hati yang sudah semakin hancur.

Iqram pergi tanpa sebarang berita semalam. Balqis sendiri malas hendak banyak bertanya ke mana tujunya. Yang diberitahu, suaminya itu mahu ke luar negara atas urusan kerja tetapi dia sedikitpun tidak terbeli dengan alasan itu.

Hatinya cuma mampu menangis melihat suaminya itu melangkah pergi. Apabila Faireen dan Faisal pulang ke rumah, dia hanya mampun mengesat air mata yang semakin kering. Tiada sebarang alasan diberi kali ini. Nampaknya mereka berdua sudah cukup mengerti tentang penderitaan yang ditanggung.

Malam tadi juga dia bermimpi, Iqram memakai baju melayu kuning emas dengan bersampin songket warna hitam pekat. Suaminya kelihatan sungguh kacak dalam mimpinya itu. Balqis tidak pasti pula apa keramaiannya. Mungkin hari raya atau mungkin kenduri kecil yang dibuat di dalam rumah.

Keadaannya waktu itu agak meriah disertai oleh beberapa orang tetamu yang hadir. Yang lelaki lengkap berbaju melayu manakala kaum wanitanya pula bergaya dengan baju kurung baru masing-masing. Peliknya, Balqis tidak langsung mengenali walau seorang pun tetamu yang hadir di dalam mimpinya itu.

Tiba-tiba ada satu suara memberi salam di luar. Sayup-sayup saja kedengaran hingga lama dibiarkan salam tetamu di luar itu tidak berjawab. Apabila dia tersedar dan bergegas ke pintu, tetamu tersebut sudahpun jauh melangkah pergi.

Dia hampa. Sebaik saja dia mahu menutup daun pintu kembali, terlihat sebungkus plastik berwarna merah elok tergantung di atas pagar. Mungkin ditinggalkan oleh tetamu misteri yang memberi salam tadi.

Dia mendapatkan bungkusan plastik tersebut. Di dalamnya ada sebiji pucuk rebung bersama seikat pisang muda untuk dimasak. Dia tertanya-tanya.



Sebaik saja azan subuh mula berkemundang, Balqis tersentak dari mimpinya itu. Lama juga dia duduk termenung di atas katil. memikirkan makna yang tersirat di sebalik mimpi yang baru dialami.

Namun tiada jawapan yang diterima. Akhirnya, dia bangun untuk menunaikan solat. Mungkin di dalam solat itu nanti, Allah akan memberikan petunjuk kepadanya.

Selesai bersolat, dia memanjat setinggi-tinggi doa kepada tuhan. Pintanya agar dibukakan pintu hati suaminya untuk pulang semula ke rumah. Kemudiannya, dia menghubungi kakak iparnya di kampung. Sekali lagi Kak Yah menjadi tempat mengadu di saat-saat begini.

Tidak seperti biasa, Kak Yah lebih banyak mendiamkan diri. Balqis dapat merasakan jiwa kakak iparnya itu telah jauh waktu itu. Apabila ditanya, jawabnya dia sedang memikirkan tentang kenduri yang perlu dihadirinya di kampung lain.

"Kawan lama kahwin," ulasnya pendek.



Kenduri kahwin.

Balqis terdiam seketika apabila terdengar perkataan keramat itu. Tiga puluh tahun dahulu, perkataan itu yang sering bermain-main di bibirnya. Hatinya teruja saat bergelar ratu sehari.

Tetapi kini perkataan itu bagai racun yang memakan hatinya sendiri. Dia kurang pasti apa puncanya. Mungkin dia kecewa saat-saat indahnya bergelar ratu sehari dulu sudah semakin hilang di dalam ingatan. Mungkin juga dia takut yang bakal menjadi raja sehari itu suaminya sendiri.

Ah! Dia memicit kepala yang hampir pecah.



Semalam, Faireen telah mengutus sebuah berita. Katanya, dia sudah melanggar undang-undang yang direkanya sendiri. Undang-undang yang mengatakan, jangan bertemu dengan ibu kekasih sebelum kekasih itu bertemu dengan ibunya terlebih dahulu.

Balqis ketawa besar mendengar undang-undang yang merapu itu. "Tak apalah. Ajak dia datang makan kat rumah. Ibu masak yang special," pelawanya.

"Tapi Reen nak introduce dia kat Ibu dulu. Tak nak Ayah dengan Faisal tahu."

Dan sebagai seorang wanita, Balqis mengerti. "Bila dia nak datang?"

"Esok."

"Ayah kau memang tak akan ada kat rumah. Outstation. Tapi kita nak bagi reason apa kat Faisal?"

"OK. Memandangkan otak si Faisal ni bergeliga sikit, kita mesti cari idea yang bernas supaya dia tak tahu yang kita tipu. Apa kata kita fikirkan reason tu sekarang, and then masa dinner nanti kita beritahu dia. OK?"

Balqis bersetuju.





Sewaktu makan malam, Balqis memulakan operasi bohongnya kepada Faisal. Katanya, dia mahu menjemput jiran-jiran wanita untuk datang ke rumah. Ada barang kemas tiruan yang mahu dijual.

Sampuk Faireen pula, majlis itu nanti akan diacarakan oleh rakan pejabatnya sendiri. Ertinya, rakan wanita dari pejabatnya juga akan dipanggil untuk hadir memeriahkan majlis yang akan dibuat.

Mendengarkan rancangan kakak dan ibunya itu, Faisal mula merangka untuk melakukan aktiviti sendiri bersama rakan-rakannya yang lain di pejabat. Dua benda yang mudah terlintas di fikiran ialah menonton filem baru di pawagam, atau mungkin menyanyi di pusat karaoke. dan sebagai pelan alternatif seandainya tiada rakan yang sudi meneman, dia akan meluangkan masa seorang diri di spa.



Lama termenung, akhirnya Balqis teringat kembali kepada ikan yang terendam di dalam sinki dapur sejak pagi tadi. Dia bergegas menuruni anak tangga.

Setibanya di sana, ikan tenggiri yang beku tadi sudah menjadi suam. Pisau kecil dicapai. Pantas saja tangannya menyiang ikan itu lalu digaul dengan perencah sebelum dibalut dengan kertas timah.

Dia tersenyum. Kata Faireen, teman lelakinya itu gemarkan ikan bakar. Dibukanya pintu oven yang panas itu luas-luas. Budak tu belum tahu yang aku ni pakar dalam masakan ikan bakar ni, bisiknya sendiri dengan rasa bangga.

Kemudian, tangannya mencapai pintu peti ais pula. Sebaik dibuka, kelihatan pucuk pegaga yang dibeli dari pasar malam dua tiga hari lalu yang masih segar.

Cecah dengan sambal belacan sedap juga ni, kata hatinya lagi. Dipatahkannya setangkai lalu disuapkan ke dalam mulut.

Dalam menguyah, otaknya mula teringat kepada Abang Uda di kampung. Kata Kak Yah, bomoh kuat itu masih hidup.

Mungkin dia boleh tolong aku lagi kali ini, Balqis mula berkata-kata. Pucuk yang hancur dikunyah, ditelan perlahan. Balqis mula tersenyum. Jahat.








Iqram dalam perjalanan menuju ke Perlis. Esok majlis pernikahannya bersama Nirina akan berlangsung di sana. Kata Nirina di dalam telefon tadi, cuma keluarga terdekat saja yang dijemput. Hajat di hatinya mahu majlis dilakukan di depan ibu bapanya sahaja tetapi kedua orang tua itu membantah. Kata mereka, majlis pernikahan tak elok disorok-sorok.

Bagi Iqram, ini pernikahannya yang kedua. Dia punya alasan tersendiri mengapa dirasakan tidak perlu untuknya mengumumkan berita itu kepada orang ramai. Pertama, kerana isteri pertamanya sendiri tidak tahu dan yang kedua, bakal isteri keduanya itu sudahpun berbadan dua sebelum waktu.

Hari pertunangan mereka bulan lalu memang meninggalkan nostalgia. Iqram teruk diherdik oleh Haji Leman, bapa kandung Nirina apabila dia membuat pengakuan bahawa mereka berdua telahpun terlanjur.

Kak Yah tertunduk malu. Lebih-lebih lagi apabila Hajah Royah, ibu kandung Nirina menangis teresak-esak menyalahkan dirinya membiarkan anak dara yang ditatang selama ini ditebuk orang.

Tetapi Iqram pandai memujuk. Dia bersujud meminta maaf. Atas rasa yang penuh berdosa itulah maka dia mahu mengangkat Nirina sebagai isteri.

Syaratnya, dia tidak mahu menceraikan isteri yang pertama. Dia juga tidak mahu mengecewakan hati wanita yang telah terlebih dahulu dikahwininya itu. Haji Leman setuju dan meminta agar majlis pernikahan anaknya itu dibuat secepat mungkin.

"Sebelum lagi ramai orang kampung ni yang terhidu pekung didada, baik kau orang nikah kat Perlis," sarannya. "Saya kenal dengan orang yang boleh uruskan majlis nikah di situ."

Selesai majlis, Kak Yah diberi amanah untuk memegang wang hantaran sebanyak sepuluh ribu ringgit. Selain itu, Iqram ada juga memberi imbuhan padanya untuk dibuat belanja. Memang sudah kebiasaanya memanjakan kakak iparnya itu sebegitu.



Fikiran Iqram jauh menerawang lagi.

"Patutlah selama ini Balqis syak yang bukan-bukan. Kau jangan suka main-mainkan perasaan orang, Iqram. Ini melibatkan rumahtangga kau sendiri! Lagipun kau tau kan, Akak kenal dengan mak bapak budak perempuan tu. Kau jangan cari pasal, Iqram!" Kata-kata amaran yang keluar dari mulut Kak Yah masih jelas ditelinga sewaktu kakak iparnya itu mendapat tahu dia telah menjalinkan hubungan cinta dengan Nirina seawal perhubungan mereka dahulu.

"Saya janji, Kak Yah. Saya akan jaga kedua-duanya dengan baik. Kak Yah jangan bimbang… Nah! Ambil duit ni buat belanja!"

Kak Yah menjeling. Mahu tak mahu disimpan juga wang yang dihulur ke dalam dompet kecilnya.






"Ibu, kenalkan ini Syafiq. Syafiq ini ibu I, Balqis," kata Faireen memperkenalkan teman lelakinya itu kepada ibunda tercinta.

"Masuk, masuk," pelawa Balqis yang kelihatan ceria menyambut tetamu yang hadir.

Syafiq juga begitu. Senyumannya meleret-leret semenjak melangkah masuk ke dalam rumah. Bungkusan plastik berisi kain sutera yang dibeli dari Vietnam tahun lalu dihulur sebagai tanda buah tangan.

"Ish, buat susah-susah je. Syafiq duduk dulu, ya. Ibu hidangkan makanan kejap kat dapur," jawabnya meminta diri.

"Tunggu kejap, eh. I ambilkan air," sambung Faireen pula mengikut ibunya dari belakang.

Syafiq mengangguk. Sebaik melabuhkan punggung, matanya liar memerhati keseluruhan ruang rumah dua tingkat itu. Dari lampu kaca di atas siling hinggalah ke perhiasan kayu antik di atas meja.

Tiba-tiba ada satu keping gambar warna hitam putih yang tergantung di dinding yang menarik perhatian. Diperhatikannya gambar sepasang suami isteri itu dalam-dalam.

"Comel kan parents I masa muda?" Tegur Faireen yang muncul kembali dengan membawa segelas air sejuk di tangan.

"A ah, comel. Muka ayah you familiar lah. Macam someone yang I kenal..."

"Macam I?" Faireen buat muka pelik. "Orang kata muka I macam muka Ibu. Sebijik!"

"Tak. Someone yang I kenal tu lelaki lah."

"Ayah I lah kot. Dia kat oversea sekarang. Kerja. Tak pun, adik I."

"Maybe adik you, kot. Apa nama adik you tu?"

"Eh, Faireen, ajak Syafiq tu makan! Ibu ada buat ikan tenggiri bakar dengan ulam pucuk pegaga cecah sambal belacan. Makan panas-panas, sedap!" Sampuk Balqis dari dapur.

"Jom?!" Ajak Faireen pula.







Memang nasib Faisal malang petang itu. Rakan-rakannya masing-masing sudah ada agenda mereka tersendiri. Syafiq pula langsung tak dapat dihubungi. Sejak dari pagi tadi telefon bimbitnya seakan-akan tidak bernyawa. Setiap panggilan yang dibuatnya terus masuk ke pesanan suara. SMS juga sudah berpuluh yang dihantar namun tidak satupun yang berbalas. Penat berfikir akhirnya dia mengikut rancangan yang terakhir.

Menuju ke spa ikan.

Tiba di depan pintu spa itu sekali lagi dia menerima berita yang buruk. Tanda CLOSED terpampang besar-besar di depan mata. Dia mula menepuk dahi. Mengeluh panjang akibat kebosanan. Lama berfikir, akhirnya dia memulakan kembali enjin kereta untuk pulang saja ke rumah.

Tiba di selekoh jalan untuk masuk ke kawasan perumahannya, kereta yang dipandu tiba-tiba terhenti. Faisal terkejut. Puas dia menekan minyak namun enjin tetap tidak mahu berfungsi. Mungkin bateri lemah, gerak hatinya sendiri. Dia buntu. Mula jadi tak keruan seorang diri.

Akhirnya dia melepaskan rasa marah dengan menjerit sekuat-kuat hatinya. Bunyi hon dari pemandu-pemandu yang tak bertimbangrasa di belakang mula menyesakkan dada. Mujur ada nombor telefon Persatuan Otomobil Malaysia (AAM) terlekat di cermin depan. Dia membuat panggilan.

Lima belas minit kemudian trak AAM pun tiba. Faisal biarkan saja dua lelaki berbangsa India pekerja AAM itu membelek-belek keretanya.

"Adik, sudah OK!" Kata salah seorang dari mereka tidak berapa lama kemudian.

"Berapa? Semua dah OK kan?" Soalnya.

"Free saja. Bateri saja lemah. Kena kasi caj sikit…"

"Tak apalah. Ambil ni, saya ikhlas," not lima puluh ringgit diserah.

"Thank you, ya!" Sambungnya lagi sebelum memulakan semula enjin kereta yang termati tadi.



Tepat jam empat petang, dia memasuki simpang masuk ke rumahnya. Dari jauh, matanya terlihat pada sebuah kenderaan yang seakan-akan dikenali.

Syafiq? Dia tertanya.

Makin dekat dia dengan pintu pagar rumahnya itu, makin hampir juga keretanya dengan kereta Honda mirip kereta Syafiq itu. Matanya menjeling memerhatikan nombor plat kereta itu betul-betul.

"WAN 2912? Eh, itu memang kereta Syafiq. Apa dia buat datang kat rumah aku ni?" Dia terkejut.

Tangannya pantas mendail nombor lelaki itu. Tiada deringan. Dia membuka pintu pagar. Sebaik saja kakinya melangkah dua tiga tapak ke hadapan, pintu depan rumahnya pula terbuka.

"Eh, Faisal!" Sapa kakaknya Faireen dengan wajah yang terkejut.

Kemudian muncul Syafiq dari belakang, "Faisal?" Terkejut juga.

Faisal terkesima tiba-tiba di situ. "Syafiq? Awak beli barang kemas juga ke kat sini?"

"Eh, kau orang berdua kenal ke?" Tanya Faireen pula.

"Syafiq? Awak beli barang kemas juga ke kat sini?" Tanya Faisal sekali lagi. "Mana awak kenal family saya?"

"Faisal, Syafiq ni kawan Faireen lah," sampuk ibunya pula.

"Kawan?"

"Ya! Kawan. Boyfriend. Tahu?"

"Boyfriend?"

"Ibu…" Balas Faireen malu-malu.

"Saya minta diri dulu lah, Makcik. Terima kasih, ya!" Syafiq cepat-cepat meminta diri.

"Nanti ada masa datang lagi, ya! Jalan baik-baik!"

"Ya, lah," jawab Syafiq pendek lalu terus beredar.

Faireen menghantar lelaki itu ke keretanya.

Balqis tercegat berdiri di depan pintu pagar.

Faisal terduduk di ruang tamu.



Sebaik saja kereta Syafiq bergerak jauh dari pandangan, Faireen kembali masuk ke dalam rumah. Faisal yang masih termenung di atas kerusi ditegur.

"Eh, Faisal. Mana kau kenal Syafiq tu?"

"Mana kau kenal Syafiq?" Faisal ajukan kembali soalan yang sama.

Faireen tersenyum, "kat KL lah."

"Betul dia boyfriend kau? Dia ada ajak kau kahwin?"

"Dia ada ajak kau kahwin ke Faireen?" Jerit ibunya dari dapur.

"Mana kau tau dia ada ajak aku kahwin? Mana kau kenal dia?"

"Betul dia ada ajak kau kahwin, Faireen? Tadi masa makan tak cakap, pun?" Tanya ibunya sekali lagi.

"Dia malu kot, Bu…" Jawab Faireen kembali.

Balqis mengurut dada, bersyukur. "Patutlah Ibu mimpi rumah ni ada kenduri kendara semalam. Ingatkan ayah kau kahwin lain, rupa-rupanya kau!" Dia ketawa. "Kau nak kahwin dengan dia?" Soalnya lagi.

Faireen malu-malu, "kalau Ibu setuju..."

"Ibu setuju."

"Faisal?"

Faisal terus berlalu tanpa memberi sebarang jawapan.



Benar hari itu hari merupakan hari yang malang buat dirinya. Hatinya kini terasa bagai disiat-siat dengan pisau yang tajam. Otaknya bingung memikirkan sandiwara apakah yang berlaku di dalam hidupnya kini.

"Dalam banyak-banyak perempuan kenapa kakak aku juga yang kau cari, Syafiq? Dan dalam banyak-banyak lelaki, kenapa aku yang harus berkongsi cinta dengan kakak aku sendiri?"

Dia menakup bantal di wajahnya lalu menjerit sekuat hati.

"Aaaaaaaahhhhhhh!!!!!!!"

6 ulasan:

  1. Now i dah rasa kesian kat Balqis pulak ...


    AiLing.

    BalasPadam
  2. gagagaga.. OSHIN!

    bro mmg talented. yup talented...

    dr segi write-up bro karl dh tau

    pndai buat connection

    AiLing : knapa nk kesiankan Balqis tu...

    BalasPadam
  3. liling;
    x mo kesian kesian ok.....

    karl;
    talented ke?
    thanx!

    BalasPadam
  4. dah lama2 baca ni tak sangka lak kawan aku sorang ni seorang yg berjiwa sastera..

    p/s: tetiba tingat pantun 10 budak hitam

    jed

    BalasPadam
  5. alamak jed;
    sastera ker???

    aznee;
    tuh la jadinyer....

    BalasPadam