Khamis, 13 Ogos 2009

Bab 8: Ayam den lopeh

** terlebih dahulu jejaka anggun ingin mengucapkan takziah kepada keluarga allahyarham ustaz asri penyanyi utama kump. nasyid rabbani yg telah pulang ke rahmatullah awal pagi tadi.... innalillah wainnaillahir rajiun.... hayati rangkap lagu popular beliau Pergi Tak Kembali di bawah:

"Berpisah sudah segalanya
Yang tinggal hanyalah kenangan
Diiring doa dan air mata
Yang pergi takkan kembali lagi"





Bab 8: Ayam den lopeh




Tiada yang lebih indah dari meminta maaf kerana ia dapat merubah sesuatu kesilapan menjadi hadiah yang paling berharga ~ Margaret Lee Runbeck






Gulai ayam masak lemak masih berasap di dalam kuali. Masih lagi hangat dan menunggu masa untuk dihidang saja. Sayur campur goreng dengan ikan jeruk masin sudah lama tertutup di bawah tudung saji. Api periuk nasi yang bernyala sejak tadi baru saja terpadam. Balqis membuka sedikit penutupnya biar tak berwap. Tangannya yang sibuk menumbuk cili dengan ikan bilis mentah dalam lesung batu tadi, terhenti. Diratahnya sedikit. Enak. Faisal suka sambal ikan bilis mentah ringkas ini, katanya dalam hati. Limau nipis diperah. Balqis gaul-gaulkan bagi sama rata.

Dia terimbas kembali zaman kanak-kanaknya membesar di kampung. Sambal inilah yang dijamu emaknya setiap hari buat makanan satu keluarga. Biasanya selepas arwah ayah pulang dari menoreh di kebun getah belakang rumah, orang tua itu gemar duduk berehat di atas pangkin bawah pokok langsat tua yang dibinanya sendiri dulu. Di situ lah dia mengambil angin petang, membaca surat khabar, atau berbual dengan pokok langsat tua yang sudah tak berbuah itu.

Ibunya selalu membawa satu piring sambal ikan bilis mentah dengan setalam ubi rebus panas buat peneman Ayah. Balqis dan abangnya waktu itu masih kecil. Tangan-tangan kecil mereka nakal mencopot ubi rebus panas dari talam Ayah. Tetapi mereka cicahnya pula dengan kelapa bercampur gula pasir. Sehingga kini, rasa manis ubi rebus dan kelapa gula itu masih melekat lagi dilidahnya.

Kehidupannya dahulu berbeza sungguh dengan apa yang dikecapinya sekarang. Dahulu pagi-pagi sebelum ke sekolah, dia turun ke baruh rumah untuk mandi di perigi. Sejuk air perigi sampai kecur ke dalam tulang rasanya. Pulang dari perigi pula, masing-masing dipaksa untuk membawa satu baldi air buat isi tempayan di dapur.

Selepas sarapan, dia dan abangnya berjalan satu kilometer melalui denai ke jalan besar. Peliknya mereka tidak takut langsung bertembung dengan binatang buas di denai itu. Tambahan lagi, kampungnya waktu itu memang tiada lampu jalan. Bersuluhlah mereka dua beradik meredah hutan belukar. Tiba di simpang jalan besar, mereka berdua menunggu teksi sapu pula.

Waktu itu tambang teksi lima puluh sen seorang. Muatan kereta jangan ditanya. Selalunya berhimpit di dalam satu kereta buruk itu dengan penumpang lain yang mahu ke pekan. Biasanya baju sekolah yang bergosok kemas sejak malam semalam habis renyuk sebaik saja tiba di destinasi. Hari-hari dia menempuh rutin yang serupa hinggakan ada satu ketika Balqis tidak mahu terus menetap di situ lagi.

Genap usianya 15 tahun, dia mengajukan soalan yang mengejutkan keluarganya. Katanya pada orangtua, dia mahu berhijrah ke Kuala Lumpur. Niatnya mahu mengubah nasib dengan bekerja seperti Abang Bakri. Ibunya marah. Ayahnya pula naik hantu hingga menggegar kepalanya di almari. Habis pecah berderai cermin muka yang terlekat di balik pintu almari lama itu.

Abang Bakri tidak berbuat apa waktu itu. Dia lebih banyak mendiamkan diri, mungkin kerana mengerti dengan jiwa remaja Balqis yang memberontak. Jika difikirkan, hidupnya lebih beruntung kerana kebetulan waktu itu dia sudah tamat bersekolah di tingkatan lima. Sebaik saja menunggu keputusan SPM, dia mengambil keputusan untuk berhijrah ke Kuala Lumpur terlebih dahulu.

Tiba di bandar besar itu, dia mula bekerja di banyak tempat. Bermula sebagai tukang cuci di kilang rokok berhampiran Sungai Besi dan kemudiannya beralih pula menjadi pelayan di sebuah restoran. Di restoran itu lah dia bertemu dengan Kak Yah, isterinya.

Kak Yah berasal dari kampung yang sama. Tiada siapa pun yang menyangka mereka akhirnya bercinta dan bertemu jodoh di bandar besar. Selang empat lima tahun kemudian, mereka berkahwin. Seperti yang telah ditetapkan tuhan, mereka dikurniakan pula dengan cahayamata setahun satu.

Dari yang sulung bernama Maryam, kemudian menyusul pula Ismail, Razak, Putih, hinggalah yang bongsu bernama Borhan. Genap Borhan berusia tiga tahun, Abang Bakri telah kembali ke rahmatullah akibat terlibat di dalam satu kemalangan langgar lari di lebuh raya.

Masih terpandang-pandang lagi di hadapan mata Balqis bagaimana keadaan Kak Yah terduduk meratap wajah suami yang sudah tidak bernyawa di hospital dahulu. Sehingga kini, masih tiada seorang pun yang tahu siapa yang menyebabkan kematian arwah abang Bakri itu.

Tiba saja ke Kuala Lumpur, Balqis mendapat peluang bekerja di kilang plastik. Di situ, dia duduk menyewa bersama rakan kerja yang lain. Di kawasan perumahannya itu jugalah dia bertemu dengan Iqram. Iqram kacak orangnya, tubuhnya tinggi lampai, dan dagunya tersusun janggut halus sedikit. Mungkin itu yang membuatkan hatinya terpaut kepada lelaki itu.

Tetapi kisah cinta mereka sentiasa disulami dengan dugaan. Sewaktu di awal perkenalan dahulu, Balqis pernah bergaduh dengan Zara, rakan serumahnya. Kononnya dia turut sama menaruh perasaan kepada lelaki itu.

Selepas bertunang, lain pula yang terjadi. Rumahnya dihujani pula dengan surat layang yang memburuk-burukkan Iqram dengan mengatakan lelaki itu sering dikelilingi wanita. Balqis tidak terlalu ambil peduli. Padanya itu hanya gangguan gertak dari rakan serumahnya yang iri.

Kemudian, setelah gagal mempengaruhi fikirannya dengan tohmahan sebegitu, dia diduga dengan gangguan yang lebih hebat. Kali ini dia menerima panggilan-panggilan lucah di malam hari pula. Balqis pelik. Walaupun berpuluh kali nombor telefonnya ditukar namun gangguan itu masih juga tidak putus-putus tiba.

Akhirnya dia mengadu pada ibu bapanya di kampung. Kata mereka itu dugaan orang yang sedang bertunang. Kerana tidak berpuas dengan alasan orangtuanya itu, dia mengadu pula kepada Kak Yah. Dan jawapan yang diberi oleh kakak iparnya itu amat berbeza dengan apa yang pernah terlintas di fikirannya.

"Alah, no problem Qis… Kita jumpa Abang Uda."

Abang Uda seorang bomoh terkenal di kampungnya itu. Orangnya kecil berkulit sawo matang. Rumahnya pula jauh di hujung kampung. Hidupnya satu keluarga selalu menyendiri. Sengaja mengasingkan diri dengan masyarakat kampung yang lain. Jika ada kenduri-kendara, bayang mereka sekeluarga langsung tidak kelihatan. Begitu juga jika terserempak di tengah jalan, tangan saja diangkat tanda memberi salam.

Walaupun begitu, rumahnya siang malam tidak pernah lekang dengan manusia. Ada saja yang datang merujuk kepada lelaki itu jika mereka dirundung masalah. Abang Uda pun bijak melayan tetamu. Walau apa jua pun masalah yang dibawa, ringan saja kudratnya membantu.

Suatu petang, Balqis mengambil keputusan untuk mengikut telunjuk Kak Yah.

"Jangan beritahu sesiapa, kita berdua saja pergi," pesan kakak iparnya itu dalam kereta dalam perjalanan menuju ke rumah bomoh terkenal itu. Dia cuma diam membisu.

Tiba saja di rumah tua itu, terus mereka dibawa ke satu bilik kecil.

"Pucuk pegaga ni masih berembun tak?" Tanya Abang Uda bila Kak Yah menunjukkan barang yang dibawa.

Kak Yah mengangguk. Balqis pula menggeleng-gelengkan kepalanya.

Mengikut Abang Uda, ramuan yang mahu dijampi serapahnya harus betul seperti apa yang diminta. Pucuk pegaga hendaklah dikutip di atas tanah seawal pagi sebelum dilangkah orang. Kapur sirih secubit, dua batang kunyit, dan gula pasir satu kilo hendaklah lengkap kesemuanya.

Mula saja upacara, Abang Uda tiba-tiba bertukar wajah. Raut wajahnya yang redup tadi tiba-tiba bertukar menjadi serius. Bau rokok gudang garam yang dihisapnya benar-benar menusuk rongga hidung. Sesekali dia dan Kak Yah terbatuk kecil bila terhidu asap rokok yang berkepul-kepul itu. Mereka berdua memerhati segala gerak geri lelaki itu dengan kusyuk.

Mulanya dia memalit kapur sirih pada dua batang kunyit yang dibelah dua. Lalu kunyit itu dibaling pula ke langit. Apabila kedua-duanya jatuh tertiarap, dia tersenyum. Kemudian pucuk pegaga dihembuskan pula dengan asap rokok gudang garam yang dihisap. Lama diramasnya pucuk muda itu sampai lumat. Selesai dengan pucuk pegaga, dicapai pula gula pasir. Terkumat-kamit mulutnya membaca sesuatu sambil jari telunjuk mencucuk dalam gula yang penuh satu beg plastik itu.

"Sudah. Malam ini masak pucuk pegaga ni. Gula ni buat minuman apa yang dia suka. Kunyit ni buang jauh-jauh. Jangan lupa selawat tiga kali," pesannya sebelum mengakhiri upacara.

Selawat? Balqis pelik. Dari gaya pemujaannya tadi jauh benar dari hukum hakam agama. "Terima kasih ya, Bang," dia menghulurkan salam.

"Balik dulu ya, Bang. Kirim salam dengan Akak ya," sampuk Kak Yah pula sambil memberi wang kertas RM50 buat upah pengeras.

Dalam perjalanan pulang Balqis banyak termenung. Hatinya berkata-kata. Jika benar ubat Abang Uda ini betul jalannya, tentu mereka tak akan dikacau lagi.

Pesan abang Uda sebelum dia pulang tadi masih terngiang-ngiang di dalam fikiran, "ingat kita ni berusaha saja, segala-galanya urusan yang di atas. Abang cuma boleh bersihkan diri Iqram ni. Memang ada orang yang mengganggu dia secara halus. Perempuan ni pernah berkawan dengan dia dulu jadi bila dia tahu Iqram sudah berkawan dengan kamu dia terasa hati sikit. Kamu jangan risau. Insya allah kamu berdua tak kan dikacau lagi."

"Jangan nak termenung lagi, Qis," tegur Kak Yah tiba-tiba menyantakkan lamunan. "Kalau tak jadi, kita usaha lagi," sambungnya menguatkan semangat.

"Betul ke cara kita ni, Kak?"

"Betul tak betul, kita betulkan saja, Qis. Kau nak kahwin dengan dia tak?"

Balqis kembali mendiamkan diri.

Bau hangit tiba-tiba naik semerbak di dapur. Dia tersentak lalu bergegas melihat masak lemak ayamnya di dalam kuali. Api merah menyala segera dipadam. Tingkap dapur juga dibuka seluas-luasnya untuk mengeluarkan asap yang sedang berkepuk-kepuk di segenap ruang.

Hatinya merungut panjang. Jika tidak kerana dia termenung terkenangkan zaman mudanya tadi, pasti ayam masak lemak tak akan kering kontang begini. Niatnya hendak menyambut kepulangan anak tersayang dengan masakan istimewa, terbatal.

"Maafkan mak, Faisal," ucapnya sambil mengesat air mata yang gugur.

5 ulasan:

  1. 1.kunyit masak lomak tu dr kunyit pak uda ke...haha!
    2.ni bab2 makanan..kecur la...ekeke!

    BalasPadam
  2. "Hatinya merungut panjang. Jika tidak kerana dia termenung terkenangkan zaman mudanya tadi, pasti ayam masak lemak tak akan kering kontang begini. Niatnya hendak menyambut kepulangan anak tersayang dengan masakan istimewa, terbatal.

    maafkan mak, faisal"

    sob sob sob

    BalasPadam
  3. lama x menjengah...
    pekaba?? mcm bz je menaip???

    BalasPadam
  4. oi oi oiiiiiii gulai den hangussss ....

    50 hingget kasi bomoh tu?? ishkk mahallah sangat zaman tu ... 10 hingget dah lahH ..


    next !!

    AiLing

    BalasPadam
  5. buyui;
    1. allah kunyit zaman pak uda tuh dah rentung la plak buyui oi... ni kunyit beli kat carrefour...

    karl;
    jgn sedey2 yer....

    cikgu aznee;
    x type pun... copy paste dr naskhah pucuk dulu!

    liling;
    bomoh pencekik darah... gitula!!!

    BalasPadam