Jumaat, 14 Ogos 2009

Bab 9. Hilang.

** ternampak satu artikel dari akhbar antarabangsa mengatakan tujuh lagi mangsa telah meninggal dunia akibat dari H1N1 influenza menjadikan jumlah kematian meningkat ke 51 orang. peliknya, akhbar mainstream Malaysia x citer plak isu nih ek?



Bab 9. Hilang.





Jika cinta itu adalah jawapannya, sila ulang soalan itu sekali lagi? ~ tidak diketahui.







Ketua peramugari baru saja membuat pengumuman bahawa pesawat MH45 akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur tidak lama lagi. Faisal mengesat mata seakan tidak percaya. Tingkap kecil di tepinya ditolak ke atas menampakkan cahaya mentari yang menyinar terang di luar. Kerusi yang direbahkan sedikit tadi kembali ditegakkan. Tangannya menggenggam erat tempat meletak siku. Entah kenapa jantungnya makin berdebar kencang, sekencang kapal terbang yang mula menjunam ke bumi itu. Syafiq yang dari tadi menguntum senyum diperhatikan. Bibirnya cuba membalas senyuman itu tapi nampak jelas tidak berapa berseri senyuman yang terukir.

"Awak nampak cemas," tegurnya.

Faisal mengangguk.

"Relax, kita dah sampai," sambung lelaki itu lagi.

Dia mengangguk sekali lagi. Ya, kita dah sampai. Yay! Jeritnya dalam hati. Entah mengapa bibirnya seakan terkunci hingga tidak mampu untuk bersuara. Nafasnya hilang sebaik saja roda kapal burung besi itu mencecah ke bumi. Tiba-tiba jari-jemarinya digenggam erat.

Syafiq tersenyum lagi. "Relax," ucapnya pendek.

Kali ini dia tergamam. Berani sungguh kau pegang tangan aku, ya? Soal hatinya sendiri.

Enjin pesawat mula diperlahankan tidak beberapa lama kemudian. Jantung yang berdegup kencang tadi kembali berdegup seperti biasa. Darah yang hilang entah ke mana juga telah kembali mengalir ke seluruh badan. Lama Faisal bersyukur. Hatinya lega apabila perjalanan yang memakan masa selama hampir dua hari itu kini telahpun sampai ke penghujung.

Dia mengesat peluh yang mengalir di pipi. Rambut yang kusut masai pula disisir lembut. Kemudian dia meraba-raba wajahnya yang kasar. Berselerak dengan janggut dan misai di muka. Sampai saja di rumah nanti itulah yang akan dikerjakannya dahulu, fikirnya.

Ditenungnya pula Syafiq yang masih duduk disebelah. Lelaki itu menggeliatkan tubuhnya sedikit. Wajahnya nampak kepenatan. Matanya pun agak sembab sedikit. Tidak cukup tidur barangkali, fikirnyanya lagi. Tiba-tiba dia mengeluarkan sepasang cermin mata kecil dari dalam kocek baju. Permukaannya disapu agar nampak dengan lebih terang. Faisal tersenyum. Syafiq membalas senyuman itu. Faisal tersenyum lagi.

"Kenapa?" Soalnya.

"Awak dah lama duduk sebelah saya tapi baru sekarang saya perasan awak pakai cermin mata."

"Saya pakai contact lenses, baru je buka sebelum landing tadi. Gatal lah, dah masuk habuk kot."

"Ohh…" Faisal mengangguk. "Awak tinggal kat mana?" Sambungnya sebelum mencapai beg sandang yang diletakkan di bawah kaki tadi.

"Cheras," jawab Syafiq sepatah sebelum berdiri untuk mencapai beg kecil di tempat menyimpan di bahagian atas pula.

Faisal turut sama berdiri. Belumpun sempat dia beratur di belakang lelaki itu, ada pula dua orang wanita berketurunan Cina yang duduk di kerusi hadapan menyelit di tengah-tengah.

"Dulu keluarga saya pun tinggal kat Cheras, tapi ayah beli rumah baru dekat Wangsa Maju."

Syafiq cuma menganggukkan kepalanya dan terus berjalan keluar mengikut penumpang-penumpang lain di hadapan.

Faisal cuba mengejar tapi makin lama makin ramai pula penumpang di kerusi hadapan yang telah berdiri. Dia kehilangan lelaki itu sekali. Sialan! Hatinya mula menyumpah seranah.



Keluar saja dari pesawat itu, Faisal terus bergegas ke kaunter imigrasi. Syukur warganegara Malaysia tidak perlu beratur panjang menunggu pegawai kastam mengecop paspot seperti pelancong dari luar negara yang lain. sambil-sambil itu matanya sempat menjeling mencari-cari jika Syafiq ada beratur di mana-mana. Dia hampa apabila mendapati lelaki itu telahpun terus hilang dari pandangan.

Sebaik saja keluar dari pintu pemeriksaan paspot, dia terus melangkah ke tempat pengutipan bagasi pula. Laju dia ke sana dengan harapan Syafiq sudah berada di situ. Namun usianya itu tidak juga mendatangkan hasil. Usahkan orangnya, bayangnya pun tidak kelihatan.

Bagasi yang ditunggu, muncul tidak berapa lama kemudian. Faisal tidak mahu terus tercegat berdiri di situ lagi. Biarlah, mungkin tak ada jodoh, bisiknya hatinya kesal.

Dia kecewa sedikit.



Dua jam kemudian, Faisal sudahpun berada di dalam teksi. Sepanjang perjalanan pulang ke rumahnya, dia banyak menguncikan mulut. Hatinya panas mengenangkan Ayah yang ditunggu tidak juga memunculkan diri.

Jenuh dia mendail dua tiga nombor yang dipakai oleh orang tua itu, namun tiada satupun yang berjawab. Dia berpeluh-peluh kepanasan. Rambutnya yang kusut tadi makin tidak terurus rasanya. Wajahnya juga semakin lesu. Sesekali dia cuba untuk mengesat peluh kesan panas terik cuaca Kuala Lumpur yang tidak henti-henti mengalir.

Pemandu teksi berbangsa India di sebelah cuba menutup hidungnya selang lima minit sekali. Tekaan Faisal, mungkin lelaki tua itu rimas dengan bau busuk badannya. Dia sendiri rimas dengan bau badannya. Tengik semacam.

Dalam kehangatan itu otaknya mula memasang niat. Setibanya di rumah nanti, seluruh anggotanya yang kehangusan itu akan disental sekuat-kuatnya. Harapannya agar hilang segala kekotoran di badan.

Telefon bimbit di tangan kembali diperhati. Masih tiada tanda-tanda bahawa Ayah akan menelefonnya semula. Dia berang. Dari dulu sehingga kini, ayahnya itu masih juga belum pandai menepati janji.



Dua puluh minit kemudian, Faisal akhirnya muncul di depan pintu. Melihat anak bujangnya tegak berdiri, air mata Balqis ringan saja mengalir. Tubuh anaknya yang kerentungan itu, dipeluk erat. Masing-masing melepaskan rindu setelah sekian lama tidak bersua muka.

Spontan itu juga air mata Faisal turut sama menitis. Dia mencium lembut kedua-dua belah pipi ibunya itu. Bau bedak halus yang dipakai masuk ke rongga hidung. Faisal sedari ibunya tidak banyak berubah. Masih lagi dengan pakaian harian biasa. Baju kurung kedah corak bunga-bunga dengan kain batik lepas yang agak lusuh sedikit.

"Ibu apa khabar?" Soalnya.

"Sihat," jawab Balqis sambil mengesat air mata yang semakin kering. "Masuk, masuk. Buat macam rumah sendiri," guraunya sambil menepuk-nepuk bahu anak bujangnya itu. "Lapar ke? Ayam masak lemak hangus ada Ibu buat!"

"Masak lemak hangus? Wah, macam menyelerakan? Chef Wan pun tak buat resepi tu lagi, kan?"

"Ha! Jangan tak tau. Ini masakan istimewa dari Chef Balqis," jawabnya dengan mendabik dada. "Khas untuk anak bujang dari Amerika. Ingat lagi tak masakan Melayu ni?"

Faisal ketawa besar, "apa pula tak ingat Bu, sambal ikan bilis mentah ada?"

"Haha!! Itu kan wajib..." Jawab Balqis sambil menarik lengan anaknya itu ke dapur.



Ketika menjamu selera, mereka berdua meluangkan masa untuk berbual tentang perkara yang telah lama tidak dikongsi bersama. Balqis seperti biasa mengadu tentang aktiviti Iqram yang sering saja pulang lewat ke rumah. Alasan yang selalu digunakan oleh suaminya itu memang tidak langsung boleh diterima akal. Katanya dia sibuk bekerja di pejabat.

"Ibu syak dia ada perempuan lain kat luar," tambahnya.

"Ibu ada bukti ke? Jangan main tuduh je, Bu…" Soal Faisal kembali.

Dia cuma menggeleng. "Mata ni tak nampak tapi Ibu ada Bob, mata-mata tak bertauliah tu! Dia tak ada pun kata ayah kau tu sibuk benar kat pejabat. Cukup pukul lima ke pukul enam ke, dia dah keluar dah dari ofiice tu tapi dah tengah malam buta baru sampai rumah ni. Itupun kalau dia rasa nak balik, kalau tak… dua tiga hari lah dia lesap…"

"Ibu tak tanya ke mana dia pergi?"

"Meeting!" Jawabnya dengan mencebikkan bibir.

Faisal tersenyum lebar. "Faireen apa cerita?" Soalnya tentang kakaknya pula.

"Anak dara kesayangan tu lagi satu. Ibu rasa dia dah ada boyfriend dah agaknya sebab hari itu masa kemas bilik, Ibu nampak ada gambar dia berpeluk dengan jantan mana entah!"

"Kat mana Ibu nampak gambar tu?"
"Kat laptop dia lah…"

"Handsome tak?"

"Boleh lah tahan. Tapi bila Ibu tanya dia kata kawan…"

"Kawan lah tu, Bu. Boyfriend pun kawan juga. Kawan lelaki!"

"Ya tak ya juga…"



Kemudian cerita Balqis beralih pula kepada kisah Zulaika, anak jiran sebelah rumah. Katanya gadis muda awal dua puluhan itu telah pulang ke rahmatullah awal minggu lalu akibat kecederaan di perut. Mengikut kata doktor kematiannya berpunca dari keracunan makanan tetapi ibu bapanya menyangkal. Kata mereka dia diracun orang.

Terbeliak biji mata Faisal mendengarnya. Tambah Balqis lagi, khabar angin ada mengatakan bahawa arwah Zulaika semasa hidupnya telah merampas kekasih orang. Maka teman wanita pada kekasih yang dirampas itu telah menaruh dendam dengan menabur racun di dalam makanan semasa arwah menghadiri sebuah jamuan makan di rumah kawannya.

Sedihnya tiada siapapun yang mempunyai bukti-bukti yang kukuh untuk menuduh manusia mana yang tergamak melakukan perkara terkutuk itu. Jadi pergilah si mati menyimpan rahsia yang cuma akan terungkai di akhirat kelak.

Faisal menggeleng, "sampai kena racun ke, Bu?"

"Ya. Kau jangan lah ambil hak orang. Orang zaman sekarang ni makin lama makin ganas. Semua dah tak bertamadun. Marah sikit je, bunuh. Racun. Kau tu makan kat rumah orang ingat-ingat sikit. Baca bismillah dulu jangan main telan saja. Kita ni mana tahu yang kita ada musuh. Kawan dalam diam-diampun boleh jadi lawan, tau!"

"Ya, Bu. Sebelum makan memang lah Sal baca bismillah. Kalau dah nak ajal tu, dalam tidur pun boleh mati kan?"

Balqis terdiam. Mungkin bersetuju.



Dalam mereka leka menjamu selera, tiba-tiba kedengaran bunyi alat penggera kereta berdecit di luar rumah. Balqis menaikkan kepalanya sedikit. Kelihatan kelibat Iqram menapak perlahan keluar dari keretanya.

Balqis membasuh tangan untuk mendapatkan suaminya di muka pintu. Dahinya berkerut apabila melihat wajah Iqram kelihatan sugul tidak seperti biasa. "Awak ni ke mana?" Soalnya sebaik saja suaminya itu melangkah masuk.

"Kepala saya ni sakit teruk pulak tiba-tiba. Faisal dah sampai?" Soalnya kembali sambil memicit dahinya yang luas.

"Dah kenyang dah pun, Yah," sahut Faisal yang tiba-tiba saja muncul dari belakang. Tubuh ayahnya yang berpeluh-peluh dipeluk erat.

"Sorry lah Ayah tak dapat pick up Sal tadi. Sakit kepala, Ayah tertidur kat office."

"Ah, tak apalah. Jom kita makan sama-sama. Pekena ayam masak lemak hangus, sayur campur goreng dengan sambal ikan bilis mentah buatan tangan Chef Balqis. Sal percaya, pasti sakit kepala tu hilang!"

Iqram menolak, "tak apalah, Ayah nak sambung tidur sekejap. Sakit kepala bukan ada selera nak makan pun," lalu terus menaiki anak tangga ke tingkat atas menuju ke biliknya.

Faisal menoleh ke arah ibunya di sebelah.

Balqis mengangkat bahu. Pelik. "Sakit benar nampaknya ayah kau. Anak baru balik pun macam buat tak kisah saja?"

"Biarlah dia rehat, Bu. Sakit benar lah tu," balas Faisal menyedapkan hati sendiri. "Jom sambung makan?"

"Jom!"

6 ulasan:

  1. dapat email yg dorg cakap swine flu ni ada kaitan dgn bioweapon..entahlah.

    pasal cerita faisal ni
    ada sambungan tak?

    ngeee...

    BalasPadam
  2. mestila ada cik qishie....

    kalo miss click jer kat label PUCUK eh....

    BalasPadam
  3. ishKk hari2 ada citer swine flu kat surat kabor, kat tv .. u tak baca surat kabar local kot?

    next!!

    AiLing

    BalasPadam
  4. eHHhh btw .. apo yg HILANG?

    AiLing.

    BalasPadam
  5. i pon ade pernah baca n dengo dr tv ckp angka 1.dh secah 51 tu....bior betol u x denga?n one more thing itu hanya yg direport yang x direport mati pon ade....ngeri x?

    2.mak cik balqis ni..x dan anak nk lepas penat abes sume citer dh kuor erk...hehe!

    BalasPadam
  6. liling n buyui;
    a ah la... sori lah x pasan plak ada kuar gak citer org mati kat biter TV kat sini...

    ** jantan syafiq tuh la dah ilang....

    *** mak gitulah.... rindu ngan anak byk la citernyer....

    BalasPadam