Rabu, 5 Ogos 2009

Bab 1. Kepulangan yang dinanti

aku semakin sibuk kini. tiada idea untuk aku menulis. tiada masa untuk aku melayari internet mencari bahan cerita seperti dulu. so untuk kalian geng bas sekolah semua aku postkan bab pertama PUCUK yang pernah aku gembar gemburkan dulu tuh. sila baca. jika tak best, jangan malu bagi komen.... senang aku nak campak di tong sampah berdekatan. jika best, aku mau cuba antar kepada penerbit yang lain...



Bab 1. Kepulangan yang dinanti.



Rumah adalah satu tempat di mana kamu ingin tinggalkan ketika membesar, dan kembali semula ketika di usia tua nanti ~ John Ed Pearce



Jam loceng berdering kuat di tepi katil mengejutkan Balqis dari mimpi. Selalunya payah benar mata sepetnya itu terbuka seawal pagi begini tetapi hari ini lain pula halnya. Tanpa dipaksa dia terus meninggalkan katil besar bersaiz raja itu untuk ke dapur.

Ayam yang telah siap direbus malam tadi diambil dari dalam peti sejuk. Beku. Begitu juga dengan santan, serai, dan bawang yang telah dikisar. Semuanya sejuk dan sudah disukat. Balqis menggaru kepala memikirkan apa lagi yang harus disediakannya. Serbuk kunyit? Dia memetik jari.

Pintu kabinet dapur dibuka luas. Serbuk kunyit yang tinggal serdak di dalam botol plastik lama yang sudah kekuningan itu digoncang-goncang. Cukup untuk buat masak lemak ayam tengahari ni, fikirnya.

Jam magnet yang terlekat di pintu atas peti sejuk ditilik. Pukul 7.30 pagi. Khabarnya anak lelaki tunggalnya, Faisal akan tiba di Kuala Lumpur jam 12.00 tengahari nanti. Siapa pula yang akan menjemputnya di lapangan terbang? Jadi ke tidak dia balik? Yang si ayahnya pun satu, dari semalam tak nampak bayang, ke mana pulak perginya? Dalam kekalutan itu, pelbagai perkara mula berpusing-pusing di dalam kepala.

Dia ke ruang tamu. Lengan baju kurung lusuh yang disinsing tadi, diturunkan kembali. Uban putih yang jatuh ke muka diselak ke celah telinga lalu punggungnya dilabuhkan ke kerusi malas. Tumitnya yang berdenyut-denyut, sakit yang entah dari mana datangnya dipicit-picit perlahan.

Nombor-nombor telefon yang ditampal di sudut dinding diperhati satu persatu. Panjang berjela senarainya. Ayah: 0162507017, 0182507017, 0192507017, tiga nombor milik suami yang ditulis anaknya di atas kertas lusuh itu sudah semakin samar warnanya kini. Balqis kurang pasti nombor apa yang masih dipakai. Dia sendiri pun tidak mengerti mengapa suaminya gemar benar bertukar ganti nombor. Takut dikejar along agaknya, guraunya dulu.

Tangannya lantas mencapai telefon putih di atas meja. Dia menunggu.

"Hello..." panggilannya dijawab.
"Abang, awak kat mana ni?"
"Saya on the way nak ke pejabat ni. Malam tadi meeting habis lambat so saya tidur kat hotel saja," balas Iqram lembut seakan dapat membaca tonasi suara isterinya yang sedang berang waktu itu.
"Meeting ke dating? Saya telefon berkali-kali, haramlah nak angkat. SMS pun tak reply. Faisal jadi ke tak balik petang ni? Awak pergi jemput dia kat airport kan? Pukul berapa awak nak pergi? Jangan nak meeting meeting pulak..."
"Ya, ya, Cik Balqis," Iqram memintas. "Saya pergi jemput dia petang ni. Thanks for your reminder, ya. Ada polis trafik kat depan tu, saya dah lah tak pakai hands free ni. Nanti saya call awak balik ya," dia berbohong.

Kenderaan di Jalan Tun Razak bergerak perlahan saja pagi itu. Semuanya terkawal tanpa dibantu oleh seorang pegawai polis trafikpun. Iqram malas mendengar leteran Balqis sebenarnya. Dia tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepala. Bulan depan genaplah tiga puluh tahun mereka bersama sebagai suami isteri.

Sejak kebelakangan ini, Iqram dapat merasakan bahawa isterinya tercintanya itu semakin kerap berleter. Kata arwah bapanya dulu, isteri yang kuat berleter boleh memendekkan umur suami.
Dia ketawa besar. Padanlah arwah pergi sebelum Faisal masuk ke sekolah. Kakaknya, si Faireen pun ingat-ingat lupa pada wajah arwah datuknya itu. Mujur dia masih menyimpan gambar-gambar lama keluarganya dahulu di dalam album. Setidak-tidaknya dapat juga dibuat kenangan untuk anak cucu satu masa nanti.

Tali pinggang yang menyendatkan perutnya yang sikit berisi dibetulkan. Isy, selisih kalau aku meninggal muda macam Abah, perut ni belum habis kenyang lagi, rungutnya dalam hati. Nombor telefon setiausahanya, dipicit. "Good morning, Rina. Are you in the office already?"




Balqis berfikir lagi sebaik saja meletakkan gagang telefon. Dia pelik kerana sejak kebelakangan ini pasti ada saja harinya Iqram tidak pulang ke rumah. Adakalanya sampai tiga hari berturut-turut dalam seminggu. Bila ditanya, jawapannya ringkas. Kegawatan ekonomi. Dia perlu bekerja lebih kuat, katanya.

Balqis tidak pernah bekerja, makanya dia tidak pernah tahu segawat mana ekonomi Malaysia seperti yang digembar-gemburkan. Yang cuma dia perlu tahu setiap bulan makan pakainya cukup dan duit bulanannya tidak pernah surut. Padanya itu saja sudah cukup memadai.

Dia mula berfikir yang bukan-bukan. Kalau betul suaminya bekerja kuat untuk mereka sekeluarga, baguslah. Yang cuma dikhuatirkan, kuat suaminya untuk mengerjakan orang lain. Kata orangtuanya dulu, orang lelaki memang saling tak tumpah seperti sepokok ubi, makin tinggi makin sedap pucuknya.

Minggu sudah dia ada mengadu pada Kak Yah, kakak iparnya di kampung. Itu sajalah saudara tua yang dia ada kini. Arwah ibunya baru meninggal setahun lepas ketika menunaikan umrah di Mekah. Arwah bapanya pula, meninggal sakit tua setahun sebelumnya. Abang kandungnya, Bakri juga sudah lama pergi akibat kemalangan jalan raya.

Harta arwah Abang Bakri pada isteri cuma anak-anak kecil lima orang untuk dibesarkan. Terkontang-kanting Kak Yah sendirian membesarkan anak-anaknya yang masih kecil waktu itu. Desakan hidup waktu itu juga membuatkan kehidupan mereka sekeluarga ibarat kais pagi makan pagi, kais petangnya pula mungkin untuk makanan keesokan hari. Adakalanya jika Kak Yah tidak berapa sihat, terpaksalah mereka berlapar satu keluarga.

Balqis yang masih belum berumahtangga waktu itu sudahpun mengerti bagaimana perit rasanya bila ditinggalkan suami. Kak Yah sampai sekarang tidak mahu berkahwin lagi. Bila diusik disuruh mencari pengganti, dia menolak. Katanya cintanya pada Abang Bakri masih kuat dan lagipun tiada siapa yang sudi mengahwini janda anak lima sepertinya.

Balqis setuju. "Kalau ada pun duda tua. Kahwin setahun dua, dah meninggal pula laki baru aku tu. Kalau tak pun, suami orang. Selisih malaikat empat puluh empat. Akak lebih rela menjanda dari merampas kebahagiaan perempuan lain, Qis…" Guraunya penuh makna.

Balqis tersenyum sendirian. Ada betul kata Kak Yah itu. Dia pelik memikirkan mengapa masih ada wanita yang tersangkut pada lelaki yang sudah beristeri sedangkan masih ada ramai lagi yang bujang di luar sana. Dan mengapa wanita yang diciptakan tuhan dengan sifat lemah lembut itu boleh terdorong untuk melukakan jiwa halus wanita yang lain. Apakah wanita zaman kini sudah semakin hilang pertimbangannya?

Semasa dia kecil dulu, ibunya pernah berpesan. Isteri itu ibarat baju yang dipakai oleh suami. Jika berkedut, cepat-cepatlah digosok. Jika tertanggal butangnya, cepat-cepatlah diganti butang yang baru. Dan jika terkoyak, jangan dibiarkan rabak tidak bertampal. Kerana baju yang lusuh berkedut, tidak berbutang, dan koyak rabak itu akhirnya akan menjadi pengalas kaki biasanya.

Sehingga kini pesanan arwah ibunya itu masih tersemat di lubuk hati. Dia sedar dia dan suaminya sudah berpuluh tahun bersama. Dia juga tahu kulitnya yang tegang dulu kini sudah semakin kendur. Rambut ikal hitam berkilat dulupun sudah penuh diputihi uban. Apatah lagi tubuh kurus kecil moleknya dahulu, sudah bagaikan disumbat angin makin gempal berisi kini. Tapi apakah itu semua bererti dia sudah semakin layak untuk dijadikan pengalas kaki?

Kak Yah turut juga memberi peringatan. Isteri haruslah sentiasa memerhatikan gerak geri sang suami. Katanya, orang lelaki tidak salah dibiarkan panjang langkahnya tapi harus lah diketahui ke mana langkahnya itu pergi.

Jika ke kanan, orang perempuan harus juga ikut ke kanan. Jika ke kiri, eloklah juga ikut sama ke kiri. Tapi jika banyak simpang siurnya, itu tanda-tanda awal mereka menuju jalan yang bahaya. Waktu itu si isteri harus bijak mengawal lalu lintas.

Balqis mencebik, "Nak jadi pengawal lalu lintas yang susah sikit ni, Kak Yah. Saman trafik tahun
lepas pun masih banyak yang belum dibayar lagi..." Sambungnya serius. Kak Yah ketawa besar.

Jarum jam diperhatikan sekali lagi. Faisal bakal pulang ke tanahair. Anak sulungnya, Faireen pula lesap ke tanah seberang. Suami, sehingga kini menjadi biskut cokelat Chipsmore, tenggelam timbul sesuka hati.

Hajat di hatinya untuk mereka sekeluarga duduk berkumpul bersama malam nanti bakal terkubur lagi. Sejak akhir-akhir ini dia terasa bagai ada jurang yang terjadi antara mereka. Hatinya takut seandainya jurang itu yang ada itu makin terungkai sedikit demi sedikit.

Yang pastinya, dia masih belum bersedia.

7 ulasan:

  1. sebab nak tanya pendapat lagi ramai orang....

    BalasPadam
  2. pucuk dicita ulam mendatang!! Bab Pertama - OK! I bukan komentar yang baik .. anyway baru bab satu tak dapek nak komen lobih .. apapun you memang ada skill menulis lah ..

    Tapikan nama Balqis n Iqram cam nama orang zaman internet, tak serasi untuk nama orang tua kot ..

    AiLing.

    BalasPadam
  3. jalan cerita yg agak baik utk permulaan...setuju dgn ai ling itew nama too komersial tp x nyatakan dia ni umo,n keadaan environment mcm mana...or maybe ini br bab 1 so i akan tunggu utk bab 2

    BalasPadam
  4. mana bab 2?? jgn lah lama sangat putusnya .. kang I dah lupa pulak jalan cerita bab 1!!


    -AiLing-

    BalasPadam
  5. liling n buyui:
    nama tuh nama org bandar kan.....

    BalasPadam
  6. ye..tp klu zaman 2020 maybe la logik klu org tua2 nama cmtu....

    BalasPadam