Selasa, 25 Ogos 2009

Bab 16. Indah kah sepi itu?





Sepi itu adalah perbualan yang sebenar di antara dua sahabat. Bukan tutur kata yang penting tetapi hati yang tidak pernah memaksa untuk berkata-kata itu yang perlu diambil kira ~ Margaret Lee Runbeck







Faisal banyak tersenyum dalam perjalanan pulang. Kuala Lumpur malam itu terasa terlebih cahayanya. Lampu-lampu neon yang berkelipan di kiri kanan jalan ibarat meraikan rasa girang nya waktu itu.

Bibirnya makin lebar meleret bila teringatkan masa-masa yang terluang bersama Syafiq tadi. Cukup sepatah yang boleh digambarkan. Indah. Indah kerana, tadi sewaktu mereka berpisah, Syafiq mencium lembut pipinya.

Faisal gemuruh diperlakukan sebegitu apatah lagi apabila ianya dilakukan tanpa mengambil kira pandangan khalayak ramai. Tetapi Syafiq cukup selamba. Katanya dia ingin bertemu dengan Faisal sekali lagi.

Dia terhibur.

"Terhibur?" soal Faisal kembali berpura-pura tidak faham dengan apa yang didengari.

"Ya, hanya penghibur saja yang boleh menghiburkan hati saya ni, Faisal," balas Syafiq lembut.

"Hati awak sepi?"

"Ya. Saya sepi…"

Sepi? Faisal mengelamun memerhati kenderaan yang berpusu-pusu merentas kota. Manusia-manusia masih lagi ke hulu-hilir memecah malam tanpa tujuan. Lampu-lampu cerah di balik-balik pokok bersinar-sinar memandikan langit yang tidak pernah gelap. Suara-suara yang riuh rendah juga sibuk memperkatakan tentang dunia. Kuala Lumpur masih sesak. Masih juga tidak pernah lengang. Bagaimana Syafiq boleh mengatakan hidupnya sepi?

"Tapi sepi itu indah kan Syafiq?"

"Indah kah sepi itu kalau sepi itu kerana kosong? Masih tercari-cari makna? Masih gelap tanpa haluan?" Syafiq berfalsafah.

"Apa yang awak cari?"

"Cinta. Keabadian."

"Cinta pada tuhan saja yang abadi, Fiq. Cinta sesama manusia tak kekal."

"Kalau dah tahu tak kekal, kenapa manusia terus memburu cinta sesama manusia? Cinta sesama jenis lagi?"

"Sebab manusia tak mahu jadi hipokrit? Ataupun hidup dalam kesepian?"

"Sepi seperti saya?"

"Ya, sepi seperti awak..."

"Awak faham," balas Syafiq sebelum melentakkan tangannya ke atas peha Faisal.



Faham. Faisal memang faham dengan jiwa manusia-manusia seperti Syafiq itu. Dia faham apabila Syafiq mengadu tentang ibunya di kampung bising menyuruhnya berkahwin. Dia sedar di dalam pemikiran masyarakat Melayu dan Islam itu sendiri bahawa istilah perkahwinan itu datangnya dari pencantuman dua jantina. Dia tahu hukum cinta dengan kaum sejenis dalam agamanya. Dalam fikirannya juga jelas tergambar pandangan serong masyarakat sekeliling seandainya ada bangsa dan saudara mereka sendiri terjebak di dalam kancah diluar tabii itu.

Tetapi jika sudah begitu nalurinya, jika sudah begitu juga yang sudah tertulis, siapa yang harus dipersalahkan? Ibubapa yang melahirkan anak itu? Guru yang tidak bijak mendidik? Rakan sebaya yang sering mendorong? Atau keinginan jiwa yang kosong itu sendiri?

Dulu Faireen pernah berkata kepada ibunya, "kalau Faisal tu nak kawan dengan perempuan, biar seramai manapun Bu, tak ada apa yang kita nak bimbang. Tapi kalau dia kawan dengan lelaki, itu yang kita kena jaga-jaga..."

Mulanya Ibu pelik dengan pesanan kakaknya itu tetapi lama-kelamaan dia mulai faham. Dia mula mengerti mengapa tuhan mewujudkan manusia seperti anaknya juga. Dia juga semakin mengenali siapa anaknya yang sebenar.

Nalurinya sebagai ibu tahu naluri anak yang dilahirkan dari darah dagingnya sendiri. "Faisal pilih lah jalan hidup yang terbaik. Ibu tak nak memaksa. Kalau rasa hidup Sal dah jauh menyimpang dari landasan yang sebenar, ambil wudhuk. Pulang lah semula," balasnya.

Faisal berjanji. Tiba saja dia di rumah nanti, dia mahu menunaikan solat Istikharah. Mahu bertanya kepada tuhan apakah benar jalan yang dipilihnya ini. Sudah lama dia tidak menyentuh air sejuk untuk menyucikan anggotanya itu. Mungkin dia sudah terlupa tertibnya. Mungkin dia sudah terlalu leka dengan permintaan hatinya sendiri. Mungkin juga dia sudah alpa pada desakan duniawi yang sementara ini.

Di dalam solatnya nanti, dia juga mahu berjanji. Jika benar Ibu mengatakan bahawa dirinya sudah tergelincir jauh dari landasan, dia mahu kembali ke pangkal jalan itu. Tetapi seandainya tuhan sendiri yang sudah menyuratkan dirinya sebegitu, dia akan pasrah dengan ketentuanNya.

"Syafiq, awak kena jadi Syafiq. Jangan paksakan diri jadi orang lain semata-mata kerana kita tak nak orang lain kecewa," itu kata-kata terakhirnya sebelum mereka berlalu pergi dari gerai mamak itu tadi. Syafiq mengangguk bersetuju.



Tiba saja di rumah, Faisal memerhatikan jam di tangan. Hampir ke tengah malam. Cahaya lampu di dalam rumahnya sudah malap semuanya. Ibu dan kakak mungkin sudah lama dibuai mimpi. Cik Yah yang dikatakan bermalam di situ juga tidak kelihatan kelibatnya.

Dia lega pulang lewat malam itu. Setidak-tidaknya dia tidak perlu berjumpa dengan ibu saudaranya itu. Dulu semasa kecil, Cik Yahlah orang yang paling gemar mengusik. Ada saja gelaran-gelaran yang tidak manis diberi kepadanya.

Apabila meningkat dewasa pula, dia sibuk mencucuk Ibu menyuruh anak bujangnya itu berkahwin. Ataupun memaksa Ibu menegur caranya berpakaian. Ataupun membantu Ibu untuk mencari jodohnya dengan anak dara di kampung yang lain.

Tiba-tiba telefonnya berbunyi memecah kesunyian. Faisal yang memanjat tangga perlahan-lahan tadi cepat-cepat berlari masuk ke dalam bilik. Dari Syafiq. Dia melompat gembira. Terus direbahkan tubuhnya ke atas katil bujangnya itu.

"Assalamualaikum..."

"Waalaikumsalam," jawab Syafiq manja. "Baru sampai?"

"Yes, sir!" Balas Faisal pula ibarat melaporkan diri. "Awak?"

"Baru juga. Cuba nak tidur tapi tak boleh lah. Asyik teringatkan awak."

Faisal tertawa, "over lah tu. Kita baru lepak-lepak dua tiga jam awak dah teringat-ingatkan saya. Macam cerita Musang Berjanggut lah pulak!"

"Ha, betul lah tu! Janggut saya ni pun gatal je semenjak dua menjak ni," jawab Syafiq lagi sambil mengusap janggut halus di dagu.

"Janggut je gatal? Lain tak?"

"Lain tu memang dari dulu gatal..."

Faisal menekup mulut menahan geli di hati.

Kemudian perbualan yang berlangsung di antara mereka berdua semakin berpanjangan. Masing-masing mula meluahkan pengalaman hidup masing-masing dari zaman kanak-kanak dahulu hinggalah apabila melangkah ke alam dewasa.



Sedang seronok berbual tiba-tiba telefon bimbit Syafiq berbunyi.

"Eh, kejap, eh. Ada incoming call," pintanya untuk menghentikan perbualan apabila nama Faireen berkelip-kelip di skrin.

"Helo, sayang..." ucapnya lembut.

"Dah tidur?" Soal Faireen halus.

"Hmmm... Nak tidur dah ni. Esok je I call you dari office?"

"Tapi I tak boleh tidur. Dari tadi I call you tak dapat. You pergi mana?"

"I ikut kawan main futsal kat Ampang. Low batt sebab tu I tak on phone I," Syafiq berbohong.

"Janji esok telefon I?"

"Ya, I janji. Pergi lah tidur nanti lambat pula masuk kerja esok..." arahnya. Tut! Butang LINE 1 ditekan.

"Faisal?"

"Ya. Siapa tu? Isteri?"

Syafiq ketawa. "Saya ni bujang trang tang tang lah, Faisal. Mana ada isteri. Awak nak jadi isteri saya?"

"You wish. Kalau dalam Islam tu kata orang lelaki boleh kahwin sesama lelaki, dah lama saya suruh awak hantar rombongan meminang!"

"Haha!" Faisal tertawa. Beep! "Eh, wait," sekali lagi telefon bimbitnya berbunyi.

LINE 2 FAIREEN.

"Ya, sayang. Apa lagi, esok I call you kat office..."

"Sayang mana pula ni, Syafiq. Saya ni, Faisal..."

"Opps?!" Berderau darah Syafiq bila terdengar suara Faisal yang menyambut talian itu. LINE 2 ditekan sekali lagi.

"Faireen?"

"Ya, sayang!"

"Kan I dah kata I call you dari office esok. You ni kenapa?"

"Eh, jangan lah marah. I cuma nak cakap jangan call nombor office I pagi esok. I masuk office lambat. Nak ke hospital dulu..."

"OK. OK. I'll talk to you tomorrow!"



LINE 1 ditekan kembali.

"Faisal?"

Faisal merebahkan kepalanya ke kaki katil. Dia merenung siling. Otaknya bercelaru waktu itu sama ada ingin terus berbicara dengan lelaki itu atau membuang saja telefon di tangannya jauh-jauh.

"Faisal? I can explain," ucap Syafiq sekali lagi perlahan.

"So awak ada berapa ramai boyfriend, Syafiq?"

"Bukan boyfriend, Faisal."

"Habis tu? Girlfriend? Tunang? Bini?"

Syafiq menghembuskan nafasnya. "SITUASI," jawabnya sepatah.

"Situasi apa?" Faisal tidak mengerti.

"Saya tak tahu macamana nak cakap."

Faisal bangun dari katil. Dia berjalan menuju ke tingkap biliknya. Dibukanya pintu jendela itu luas-luas. Matanya tepat merenung ke bulan.

Terang.

Penuh.

Kalau bulan itu boleh berkata-kata, mahu saja dia menanya, perlukah aku terus melayan kerenah manusia-manusia sebegini?

"Kalau awak tak tahu macamana nak cakap, tak payah cakap. Jangan buang masa saya dan jangan buang air liur sendiri. Saya pun tak berminat nak menambah situasi dalam hidup awak," balasnya keras.

"Faisal jangan cakap macam tu. Dia seorang perempuan yang terperangkap dalam satu situasi. Dia boleh dikatakan sebagai girlfriend saya tapi saya tak cintakan dia!"

"Ah, please," Faisal mula meluat bila mendengar alasan bodoh seperti itu. "Macam mana boleh jadi girlfriend kalau awak tak cintakan dia langsung? Tak apa, tak payah jawab. Biar saya teka. Awak berdua dah tak sefahamankan? Ataupun dia curang?"

"Bukan. Sebab saya tak pernah suka perempuan Faisal. Dia jadi girlfriend saya pun sebab mak saya suruh saya kahwin, jadi saya kena cari calon isteri. Awak faham, kan?"

Faisal terdiam.

"Faisal? Awak faham, kan"

Ya. Faisal cukup faham dengan situasi yang dimaksudkan itu.

"Dia pun manusia juga, Syafiq. Dia layak untuk mencintai dan dicintai. Kalau awak rasa awak tak boleh nak beri dia cinta, berterus terang saja dengan dia. Biar dia kahwin dengan orang lain. Tak payah lah kahwin kalau sekadar nak mengaburi mata keluarga awak saja, Fiq. Berdosa menganiaya anak orang!"

"Saya tahu itu semua Faisal tapi saya terpaksa!"

"Suka hati awaklah, Syafiq. Saya doakan awak semoga bahagia dengan jalan hidup awak. Selamat malam!"

"Eh, Faisal!"

"Dah pagi dah pun, Fiq. Saya nak tidur dulu," Faisal meminta diri.

"Saya call awak pagi esok?"

"Tak payah. Call perempuan yang awak dah janji tadi. Nanti dia marah pula! OK lah, bye!"

"Faisal..."

"Bye, Syafiq. Bye..." ucap Faisal tegas sebelum memicit butang end.

Dia kembali merebahkan diri ke katil. Hatinya panas. Matanya yang berat tadi kembali segar bugar. Mindanya mula berpusing laju memikirkan alasan yang baru didengarinya itu.

Kahwin kerana keluarga? Dasar lelaki, itu sajalah alasan yang mereka tahu. Asyik-asyik nak menyalahkan keluarga walhal diri sendiri yang sudah menggatal nak berbini. Aku pun lelaki macam dia juga. Pandai je aku mengelak dari bab-bab berkahwin ni?

Bunyi intro lagu So What dari Pink dari telefon bimbitnya bergema sekali lagi memecah kesunyian malam. Satu pesanan masuk dari Syafiq dibuka.



THANK YOU FOR CHATTING WITH ME TONITE. SAYA TAHU SAYA TAK BERTERUS TERANG DARI MULA TAPI SAYA HARAP AWAK FAHAM DENGAN "SITUASI" SAYA. LOOKING FORWARD TO CHAT/MEET WITH YOU AGAIN.



LUV, FIQ



Faisal mendengus. Dia sedar apa yang Syafiq lakukan itu salah tapi hatinya sendiri berat untuk melepaskan lelaki itu pergi.

"Apa aku nak buat ni? Bulan! Apa yang perlu aku buat ni?" Soalnya kembali pada bulan yang terang benderang malam itu.



OK. TALK TO YOU AGAIN.

LUV, FAISAL



Balasnya mendengar kata bulan.

2 ulasan: