Bab 3. Terbang pulang.
Semoga anda mendapat kata-kata hangat di petang yang dingin, bulan yang terang di malam yang gelap, dan perjalanan yang licin ke muka pintu ~ Irish Toast
Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles memang tidak pernah lekang dengan manusia. Tinggi rendah, tua muda, pendek kata setiap pelusuk lapangan terbang itu penuh sesak dengan pelbagai ragam dan rupa makhluk ciptaan tuhan itu. Ada yang termenung, ada yang riuh rendah, dan tak kurang juga yang mundar mandir tiada hala tuju yang tertentu.
Mata Faisal liar memerhati sekeliling manakala tangannya sibuk mengesat dahi yang mula dibasahi peluh. Penat dalam dua jam penerbangan domestik dari Tampa, Florida tadi masih belum hilang, kini dia beratur lagi untuk menaiki penerbangan yang lebih panjang pula.
Jadual mengatakan dia bakal meninggalkan bumi Amerika itu dalam masa tiga jam lagi. Jika tiada aral, pesawat akan mendarat di destinasi yang dituju pada dua hari berikutnya. Sejak dari rumah tadi, dia sudah mempersiapkan diri dengan dua tiga biji pil tidur dan juga sebuah buku yang bakal jadi peneman sepanjang penerbangan. Setidak-tidaknya jika pil yang ditelan gagal melelapkan mata, dapat juga dia meluangkan masa yang ada untuk menambah ilmu.
Dalam memerhati sekeliling, fikirannya mula menerawang jauh terkenangkan saat pertama kakinya terjejak di bumi asing itu. Waktu itu hatinya bercampur-baur antara terharu dan gembira. Airmatanya menitis tanda mengucapkan syukur sebaik saja keluar dari lapangan terbang di negeri sinaran matahari itu dulu.
Ianya menitis atas dua sebab. Pertama, kerana memang sudah cita-citanya dari kecil untuk ke situ dan yang kedua, kerana segala penat jerih dia bekerja sebagai penulis di syarikat penerbitan milik bangsa asing itu telah membuahkan hasil juga akhirnya.
Itu juga merupakan kali pertama Faisal diberi peluang untuk berkerja di luar negara. Kata pengurusnya, cawangan mereka di Tampa mahukan seorang penulis dari Asia yang berkaliber untuk bertugas di sana sempena menggantikan beberapa orang pekerja tetap yang sedang bercuti.
Faisal teruja kerana dalam berpuluh-puluh nama perkerja senior yang tercalon, termasuk beberapa nama dari cawangan dari negara Asia yang lain, namanya juga yang dipilih oleh mereka. Ketika dimaklumkan dengan berita gembira itu, dia terjerit-jerit keseronokan sehingga tidak memperdulikan kata-kata iri dari rakan sekerja yang lain.
Sebelum dia meninggalkan Malaysia, ibunya menangis panjang. Teresak-esak seolah-olah anak bujangnya itu tidak akan pulang semula ke tanahair. Ayah seperti biasa, lebih senang mendiamkan diri malah dia tidak sedikitpun menghalangnya mengutip segala pengalaman di rantau orang. Kakaknya Faireen lain pula ceritanya.
"Jangan lupa perfume, hand bag, dengan kasut tau! Fridge magnet sekali!" Itu saja pesanannya sebelum melepaskan adik lelakinya itu pergi.
Kini selepas lima bulan dia berada di luar negara, tiba masa untuknya kembali semula ke tanahair. Hatinya kencang, tidak sabar lagi untuk berjumpa Ayah dan Ibu. Dia tahu, ibunya pasti beria-ia menyambut kepulangannya esok. Rendang ayam kegemaran pasti akan sedia terhidang di atas meja. Setidak-tidaknya, lauk sambal belacan dengan ikan selar goreng bercili yang sudah lama tidak dijamah pasti akan lahap disentalnya nanti.
Malamnya pula, dia akan mencari roti canai dengan teh tarik di kedai-kedai mamak yang berhampiran. Ya, sudah lima bulan dia rindukan makanan dan minuman asasi rakyat Malaysia itu. Dia mula terliur.
Bagasi hitam jenama Kenneth Cole yang dibeli semasa jualan murah di gedung Macy's hujung bulan lepas ditarik perlahan. Satu lagi beg panjang yang dibawa dari Kuala Lumpur penuh dengan pakaian dan buku-buku disepak. Berat. Dia tidak larat untuk menyandangnya.
Beg empat segi yang memuatkan komputer riba dan sebuah novel yang sudah dua tahun diusungnya ke sana ke mari ada tersandang di belakang badan. Faisal gembira. Walaupun barisannya bergerak perlahan, dia makin dekat dengan kaunter periksa masuk.
Pesawat Penerbangan Malaysia malam itu berkongsi penerbangan bersama penumpang dari Air India dan berhenti seketika di lapangan terbang Antarabangsa Taoyuan di Taipei sebelum menyambung penerbangan ke Kuala Lumpur. Melihat penumpang-penumpang dari India yang penuh dengan empat lima buah bagasi setiap seorang buat kepalanya pening seketika. Perlu ke bawa satu rumah jika ke negara orang? Dia tertanya sendiri.
"Excuse me, is this yours?" Tiba-tiba dia disapa satu suara. Faisal menoleh. Entah bila kertas salinan tempahan penerbangan yang dikepit di celah ketiak tadi tercicir.
"Thank you," balasnya sambil menepuk dahi. Lelaki cerah yang menyapanya itu cuma menguntum senyum. Faisal kurang pasti dari mana asalnya lelaki itu. Dari loghat Inggerisnya saling tidak tumpah seperti penduduk tempatan tetapi mengikut raut wajahnya pula, ada iras-iras kemelayuan sedikit.
Agaknya orang Latino, kot? Dia meneka. Tak perasan pula warna paspotnya tadi. Kalau biru pekat, itu paspot Amerika. Kalau merah hati, sah-sahlah orang Malaysia. Kalau hijau tua pula, orang India lah tu. Orang Cina Taipei warna apa paspot mereka agaknya, ya?
Dia kurang pasti. Matanya kembali ditolehkan ke belakang. Lelaki itu tiada lagi di situ. Eh, ke mana pula perginya? Dia tercari-cari. "Next!" petugas di kaunter memanggil penumpang seterusnya. Dia bergegas ke depan.
Lagi 45 minit, pintu C3, pintu berlepas bagi pesawat Penerbangan Malaysia akan dibuka. Faisal sudah semakin kepenatan. Tak sabar rasanya dia hendak masuk ke pesawat itu dan tidur disepanjang 24 jam penerbangan. Kakitangan penerbangan tiba memeriksa pas berlepas masing-masing tidak lama kemudian. Nombor kerusi mula diumum satu persatu. Tujuannya agar penumpang tidak merempuh masuk saja, namun ada juga dua tiga orang yang masih tidak mengerti.
Tiba-tiba giliran nombornya pula dipanggil. Dia masuk ke dalam perut kapal terbang itu. Nombor kerusi 57A, bersebelahan tingkap dicari. Lega. Dia melabuhkan punggung. Matanya merenung ke luar tingkap. Gelap. Cuma cahaya malam saja yang menerangi ruang kosong di sekitar kawasan lapangan terbang itu.
Faisal tersenyum. Sebentar lagi dia akan pergi meninggalkan negara kaya ini. Ya Allah, selamatkan perjalanan aku ni, amin… hatinya mula membaca doa sebelum meletakkan beg yang disandang tadi ke bawah kaki.
Di dalam beg sandangnya itu ada diselitkan sebuah novel lama karya penulis terkenal dari Cuba. Namanya Reinaldo Arenas dan buku yang ditulis berjudul Before Night Falls. Buku itu mengisahkan tentang perjalanan hidup penulis itu sendiri sepanjang berada di bawah pemerintahan mendiang Fidel Castro di negara komunis itu.
Faisal gemar membaca buku-buku yang berbentuk memoir atau biografi seperti itu. Padanya pengalaman orang-orang terdahulu seperti itu banyak mempengaruhi hidup orang-orang yang ingin berjaya satu hari nanti sepertinya.
Dia tersenyum sendirian, kerjayanya sebagai penulis banyak memberikan ruang untuknya mengasahkan bakat yang ada. Mungkin satu hari nanti dia akan meluangkan masa untuk menjadi penulis hebat seperti Reinaldo. Ataupun setidak-tidaknya, bersaing sama tinggi dengan penulis buku chick lit yang terkenal seperti Candace Bushnell.
Mungkin tidak. Dia tertawa, menyedari bahawa dirinya yang kurang kreatif berkarya. Tambahnya lagi, imaginasinya sendiri tidak setinggi penulis hebat itu, malah masanya juga sering mencemburui hidup.
Tempat duduk lain di dalam pesawat makin lama makin berpenghuni tetapi sehingga kini masih tiada siapa yang mahu duduk berteman dengannya di sebelah. Faisal tercongak-congak pada penumpang yang berlegar-legar mencari nombor kerusi masing-masing.
Harapannya bukanlah kepada pasangan yang membawa bayi itu. Itu bayi yang sama menangis tidak henti-henti di balai menunggu tadi. Dia juga tidak mahukan lelaki berbangsa Jepun berbadan besar yang baru masuk itu. Bimbang jika tidak cukup ruang untuknya bernafas sepanjang penerbangan.
Matanya menjeling pula ke arah seorang perempuan India tua. Belum apa-apa, bau bunga melurnya sudah menyengat lubang hidung. Dia kembali membaca doa.
Dalam diam, lelaki yang menyapa di kaunter periksa masuk tadi muncul tiba-tiba. Tanpa disuruh, dia melabuhkan punggung di kerusi sebelah yang masih kosong. Faisal tergamam. Masing-masing berbalas senyuman. Mulutnya yang terkumat-kamit membaca doa tadi terhenti. Dia menyapu muka dengan kedua belah tapak tangan. Nampaknya doanya itu sudah termakbul. Amin.
Lelaki di sebelah mengeluarkan pula buku yang dibawa bersama. Novel remaja berjudul Girls of Riyadh karya Rajaa Alsanea, seorang penulis muda dari Arab Saudi. Faisal ada membaca buku itu sewaktu di Kuala Lumpur dahulu. Kisahnya mirip
Tanpa dipaksa, bibirnya bijak menguntumkan sebuah senyuman. "I read that book before," sapanya lembut.
Lelaki itu membalas senyuman yang terukir, "Really? I just bought it yesterday," jawabnya.
"It's a nice book. Chic Lit…" sambung Faisal lagi.
Lelaki itu hanya membalas kata-katanya dengan sebuah senyuman saja kali ini menyebabkan dialog di antara mereka berdua terhenti tanpa rela. Dia kembali merenung ke tingkap, memerhati lapangan terbang antarabangsa itu perlahan-lahan ditinggalkan. Peramugari bertugas semakin sibuk memastikan penumpang dalam keadaan bersedia sebelum berlepas.
Lelaki di sebelah makin tekun membaca. Suara teriakan bayi yang menangis di balai menunggu tadi kembali memecahkan kesunyian. Faisal tertawa. Masaklah siapa yang duduk di sebelah keluarga itu, bisik hatinya perlahan.
Lima minit kemudian, kapal yang dinaiki sudahpun menerawang di awan biru. Cahaya neon di luar makin lama makin kecil lalu hilang dari pandangan. Gelap. Tiada apa yang jelas kelihatan di langit waktu itu. Cuma kelipan lampu di sisi sayap.
Dia memerhati jam di tangan. Penat, malam, dan tidur. Tiga perkataan yang terlintas di dalam kepala waktu itu. Secara otomatik juga matanya dipejamkan.
bab 4..bab 4 pleaseee....
BalasPadamhehehe... x sabar2 nampak.....
BalasPadamtak banyak aktiviti bab nih!! i pun rasa nak tidor sama Faizal plak .. Bab 4 next!!!
BalasPadamAiLing