Ahad, 9 Ogos 2009

Bab 4. Antara kerja dan dikerjakan.



Bab 4. Antara kerja dan dikerjakan.



Lelaki tidak dihukum kerana dosa-dosa yang telah mereka lakukan, tetapi mereka dihukum kerana menjadi insan yang bernama lelaki ~ Elbert Hubbard (1856-1915)



Iqram tiba di pejabat agak awal pagi itu. Berbeza dengan hari lain, suasana di dalam pejabatnya pagi itu kelihatan agak muram sedikit. Keadaannya sunyi sepi yang hanya sesekali dikejutkan dengan bunyi mesin faks yang menjerit-jerit minta diisi kertas.

Dia menekan suis lampu satu persatu. Biasanya Nirina, setiausahanya yang ditugaskan untuk menyalakan lampu di keseluruhan ruang pejabat itu setiap pagi tetapi sehingga kini dia masih belum juga nampak bayang wanita itu.

Dia kembali mengusap-usap perut yang semakin buncit. Dari tadi perut itu tidak berhenti-henti berlagu kelaparan. Jika Nirina ada pasti sarapannya, teh tarik dan nasi lemak sudah tersedia dihidang, fikirnya. Matanya merenung jarum jam yang menunjukkan waktu hampir ke pukul sembilan pagi. Hatinya semakin bimbang.

Dari dinding kaca biliknya, dia termenung memerhatikan pula meja kecil di sudut tepi. Keadaanya semak. Bertimbun dengan kertas kerja di dalam IN tray yang tidak berusik.

Kata Nirina semasa berbual di telefon tadi, badannya terasa kurang sedap sedikit. Iqram benarkan setiausahanya itu ke klinik panel dulu. Dia tahu Nirina tidak pandai berbohong malah dia percaya bahawa wanita berusia awal 30an itu seorang pekerja yang amat berdedikasi.

"Encik Iqram, Nirina tak masuk kah ini hari?" tegur Ah Soh, pencuci pejabat dengan telor Cina yang agak pekat.

Iqram terkejut, "Eh, selamat pagi, Ah Soh. Dia tak sihat lah pagi ni, saya suruh dia pergi klinik," jawabnya.

"Oooo, tak apa lah. Saya balik dulu lah," balas Ah Soh sebelum berlalu pergi. Kad kedatangannya dibiarkan saja di atas meja setiausaha itu.

Ah Soh pekerja sambilan. Dia diupah untuk membersihkan pejabat itu dua tiga jam sebelum masuk waktu bekerja. Syarikat kepunyaan Iqram ini agak kecil jadi lebih mudah dia menggajikan Ah Soh sebegitu.

Sewaktu ditawarkan bekerja sambilan di situpun Ah Soh tidak berkira panjang. Katanya lebih mudah dia bekerja begitu. Mula bertugas seawal enam pagi, dua tiga jam kemudiannya, selesai satu pejabat dibersihkan. Waktu petangnya pula dia dapat menjaga anak cucunya di rumah.

Kemudian muncul Tan dan Lourdes, pekerja di bahagian IT dengan sarapan masing-masing. Diikuti oleh pekerja-pekerja di bahagian lain dua tiga minit selepas itu. Makin lama makin ramai pula yang memenuhi ruang pejabat.

Kecuali Borhan, atau nama panggilannya Bob, anak bungsu Kak Yah. Dia baru tamat pengajian di salah sebuah universiti tempatan dan sedang menunggu peluang menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Orangnya tegap berisi sedikit, usianya pun baru mencecah 32 tahun. Kak Yah berpesan, dari dia membuang masa baik dia menolong Iqram di pejabat.

Iqram tidak berapa setuju dengan idea itu sebenarnya. Katanya susah untuk mengendalikan saudara sendiri berbanding menjaga lembu sekandang. Tetapi Balqis berkeras juga menyuruh. Mahu tak mahu, dia jadikan anak saudaranya itu sebagai budak pengantar surat. Alasannya, tiada jawatan lain yang masih terbuka.

Memandangkan dirinya tiada langsung pengalaman bekerja, Bob terpaksa bersetuju.

Namun dari semalam Bob tidak hadir ke pejabat. Alasannya mudah, dia diserang migraine yang kuat. Iqram sudah masak dengan alasan yang diberi itu. Jika dilihat pada kedatangan, bukan sekali dua anak buahnya itu memontengkan diri dari bertugas.

peliknya, dalam kesakitan diserang migraine itu, ada pula pekerja lain yang terserempak dengannya sedang bermundar-mandir di tempat letak kereta pada waktu yang sama. Lagaknya waktu itu tak ubah seperti sedang menunggu seseorang.

Kata orang, dia selalu menunggu Nirina di situ. Iqram kurang pasti dengan kebenaran berita tersebut kerana setahunya hubungan yang terjalin antara mereka berdua tidak lebih dari sekadar teman biasa saja.

Kemudian, dia terdengar pula suara-suara sumbang di pejabat yang bercerita pernah terlihat mereka berdua berkencan di luar pejabat selepas waktu bekerja. Waktu itu, Iqram tidak dapat menahan kemarahannya lagi. Mereka berdua dipanggil untuk menjelaskan perkara yang sebenar. Seperti yang sudah diduga, masing-masing berkeras tidak mahu mengaku.

Seminggu kemudiannya, mesyuarat tergempar diadakan. Dalam mesyuarat itu dia meminta kesemua pekerjanya menandatangani satu surat persetujuan. Persetujuan bahawasanya mereka semua dilarang untuk bercinta sesama sendiri dan jika ada yang melanggar persetujuan itu maka mereka layak diberhentikan kerja ataupun diminta untuk memberhentikan diri mereka sendiri secara sukarela dengan serta merta.

Pelik tetapi memang sudah itu yang ditetapkan. Iqram sendiri tidak suka jika ada dikalangan pekerjanya yang menjalinkan hubungan sesama mereka. Katanya, antara salah satu faktor prestasi sesuatu kerja itu menurun apabila kita terkongkong di dalam situasi yang melibatkan peribadi.

Ramai juga yang membantah dengan alasan yang tidak masuk akal itu malah ada yang cuba untuk membawa perkara itu ke muka pengadilan tetapi Iqram masih tetap juga dengan pendirian yang dibuatnya.

Akhirnya, setelah lama berperang dengan perjanjian yang termeterai, sebahagian pekerja rata-ratanya bersetuju untuk mengikut peraturan yang telah ditetapkan. Setakat ini, tiada sebarang tindakan dikenakan kepada sesiapa. Bob dan Nirina juga terselamat kerana dia tidak mampu untuk berbuat apa-apa selagi tiada sebarang bukti yang kukuh pada berita atau khabar angin yang didengar.


Tit! Bunyi alat penggera di pintu masuk menyentakkan lamunannya. Matanya pantas menoleh untuk melihat siapakah gerangannya yang baru melangkah masuk.

Nirina? Hatinya berkata. Senyuman yang telah pergi jauh sejak pagi tadi tiba-tiba terukir kembali. Hatinya yang panas kembali bertukar sejuk. Malah makin bertambah sejuk apabila matanya tertumpu pada beg plastik merah yang dijinjing. Sarapannya, nasi lemak dan teh tarik yang masih berasap.

Iqram cepat-cepat bangun membuka pintu. "Good Morning!" tegurnya. Lama menanti tegurannya langsung tidak berbalas.

Nirina menghulurkan plastik merah itu dari luar terus kembali ke mejanya. Iqram hairan. Wajah setiausahanya itu nampak sugul tak seperti biasa. "So apa kata doktor tadi?" Soalnya lagi.

Nirina mengesat peluh di dahi. Tekaknya yang mual sejak malam semalam, makin mual bila mendengar suara pengurusnya itu. Matanya yang berair cuba dikesat dengan tisu lembut. Dia memicit kepala yang semakin berat. Makin lama pandangannya semakin gelap. "Sorry, Encik Iqram, I tak larat nak kerja hari ini," balasnya sambil merenung wajah Iqram dengan kelopak mata yang kuyu.

Iqram mula bimbang, "kenapa tak balik terus saja tadi? You boleh drive tak? Ke nak I tolong hantarkan?"

"Better you yang hantarkan sebab I ada benda nak cakap."

"OK. I drive kereta you saja lah kan? Nanti balik I nak teksi saja," dia bersetuju.
Sepantas kilat itu juga Iqram bersiap-siap meninggalkan pejabat. Sarapan yang baru dibeli tadi langsung tak dijamahnya. Mereka berdua bergegas keluar.


Dalam kereta mereka berdua tidak langsung bertegur sapa. Sesekali Iqram cuba menoleh ke tepi memerhati Nirina yang masih lagi memejamkan mata menahan kesakitan. Dia kurang pasti apakah penyakit yang dialami oleh setiausahanya itu.

Sebaik saja kereta yang dipandunya berhenti di simpang jalan, perlahan-lahan mata setiausahanya itu kembali terbuka. Suaranya halus meminta air sambil mengurut leher yang kering. Waktu itu Iqram perhati nyawa wanita itu bagai disekat-sekat.

Tiba-tiba dia menangis. Iqram makin kebimbangan. "Air tak ada. Sekejap lagi kita sampai. You tak apa-apa ke?" Soalnya lembut.

"I am pregnant, Iqram," jawab wanita itu perlahan.

Dada Iqram tiba-tiba kencang mendengar jawapan Nirina itu. Peluh jantannya mula keluar di dahi. "Anak siapa?" Soalnya kembali.

"You," jawab Nirina yang tiba-tiba saja menangis.

spontan itu juga Iqram menekan brek kereta yang dipandunya. Peluh yang entah dari mana datanya, terus merembes keluar tanpa henti. Tangannya yang memegang stereng tiba-tiba terasa kebas. Begitu juga kaki, serentak itu juga kekejangan.

Waktu itu hatinya bertukar menjadi panas, tidak ubah seperti dicucuh api yang sedang marak menyala. Jantungnya yang berdegup kencang makin terasa sakit bak dicucuk jarum peniti. Dia terasa dirinya bagaikan dipanah petir. Nafasnya kini tersekat-sekat. jawapan Nirina tadi kembali terngiang-ngiang di telinga.

"Anak aku?!!" Soalnya berkali-kali. Matahari yang semakin meninggi bertukar menjadi mendung di matanya. Iqram tersandar. Degup jantungnya makin lama makin perlahan. Tiba-tiba dunianya makin gelap.

Dia rebah.

3 ulasan: