Khamis, 27 Ogos 2009

Bab 18. Balu dan bekas.




Isteri ibarat wanita simpanan kepada lelaki muda, teman kepada lelaki dewasa, dan jururawat kepada lelaki tua ~ Francis Bacon, Sr.







Hari itu genap lima tahun pemergian Datuk Johari, bekas ADUN kampung Sungai Dua, meninggalkan balu, Datin Rohana dan bekas isteri, Puan Khatijah serta empat orang anak-anak hasil dari perkahwinannya dengan kedua-dua isteri.

Menurut peguam yang membaca wasiat yang ditinggalkan arwah dahulu, sebahagian besar harta akan dirombak selepas lima tahun arwah pergi meninggalkan dunia. Entah apa tujuannya wasiat ditulis begitu, hanya arwah Datuk Johari saja yang tahu.

Menurut peguam itu lagi, setahunya arwah pernah berpesan bahawa rombakan baru yang dibuat itu untuk memberi peluang kepada anak cucunya merasa pembahagian harta yang sama rata.

Seminggu sebelumnya, balu dan bekas isteri arwah telah dipanggil untuk hadir ke sesi pembacaan wasiat yang baru.

Tiba masa yang dijanji, Puan Khatijah masih juga tidak menampilkan diri. Berbeza pula dengan Datin Rohana, dia sudah menanti di depan pintu pejabat guaman itu bersama tiga orang anak-anaknya seawal pagi lagi.

Pagi itu dia berbaju kurung lengkap berselendang berwarna hitam. Lagak seperti berkabung, kononnya. Anak-anaknya pula, dua lelaki dan seorang perempuan, juga berpakaian dengan warna yang sama.

"Dah pukul berapa dah ni? Cuba call perempuan tu sekali lagi. I ada meeting dengan kelab tau sekejap lagi!" Marah Datin Rohana pada Fendi, peguam yang sama membaca wasiat yang ditinggalkan arwah Datuk Johari lima tahun dahulu.

Dia mengipas-ngipas kepanasan. Rimas. Diteleknya jam di dinding. Dan juga di pergelangan tangan. Rimas lagi. Sesekali dibetulkan selendang sutera yang terlucut ke bahu. Anak-anak yang duduk di sudut kecil pejabat itu ditenung tajam. Mereka kebosanan menunggu. Datin Rohana semakin geram.

"Sabar, Datin. Saya baru je call dia tadi. Katanya jem. Sekejap lagi sampai lah," jawab Fendi lembut.

"Berapa lama pula saya nak kena tunggu ni?" Datin Rohana merungut lagi. "Fendi, you businessman, you tahu masa itu emas, kan? Dia tak tau itu semua. Dia lain, dia suri rumah!"

"Sabar, Datin..." jawab Fendi pendek.

"Sabar! Sabar!" Datin Rohana mula meninggikan suara. "You bacakan dekat I dulu tak boleh ke? Sama je kan?"

"Tak boleh, Datin. Ini wasiat Datuk. Kedua-duanya mesti kena ada sama. Duduk sama-sama. Dengar wasiat ni sama-sama. Saya tak boleh simply baca, Datin..."

"Perempuan tu dah kena cerai sebelum Datuk mati lagi kenapa mesti ada nama dia pula dalam wasiat ni?"

"Syafiq tu anak dia, Datin. Dalam wasiat yang dulu pun ada tulis, selagi Syafiq masih hidup, dan selagi Puan Khatijah tidak berkahwin dengan orang lain, kedua-duanya berhak mendapat harta peninggalan arwah. Mungkin sebab itu Datuk buat rombakan yang baru ini. Kita semua tak tahu..."

Tok! Tok! Pintu bilik Fendi diketuk dari luar mematikan kata-katanya tadi. "Yes!" jeritnya kuat.

Daun pintu dibuka sedikit. "Excuse me, Fendi. Puan Khatijah dah sampai," kata Yen Li, setiausahanya.

"OK, suruh dia masuk..."



Puan Khatijah melangkah masuk dengan senyum berjela. "Sorry, Fendi. Akak terlambat sikit. Jem teruk sangat pagi ni. Ada accident," bohongnya sebelum melabuhkan punggung di kerusi betul-betul bersebelahan dengan Datin Rohana yang sedang masam mencuka waktu itu.

"Apa khabar kau, Rohana. Garang je nampak?" tegurnya pada perempuan itu.

"Panas!" Jawabnya sepatah.

"Kau tak buka air cond ke, Fendi. Sian dia kepanasan. Nak jamu air, bulan puasa," sindir Puan Khatijah kembali.

"Buka, Puan," jawab Fendi dengan tersenyum kecil sambil mencapai satu sampul surat besar di dalam laci mejanya. "Syafiq mana, Puan? Kenapa dia tak hadir sama?"

"Kan Akak dah bagitau, dia tak dapat balik. Kerja out station. Next week baru balik..."

Mendengar kata-kata Puan Khatijah itu, Datin Rohana makin meninggikan suaranya. "Sudahnya. Fendi you jangan cakap you tak boleh baca hari ni sebab anak dia tak ada. I dah lama buang masa kat sini, tau!"

"Sabar, Datin. Wasiat tu mengatakan yang Datin dan Puan Khatijah saja yang perlu hadir. Perlu turunkan tandatangan. Anak-anak tak datang pun tak apa."

"Ya, Rohana. Bawa banyak-banyak bersabar," sampuk Puan Khatijah pula dengan wajah yang jelik.

"OK. Boleh saya baca surat wasiat arwah Dato sekarang?"

"Baca lah. Tunggu apa lagi?" Arah Datin Rohana garang.

Puan Khatijah mengangguk.



Sampul surat kuning keemasan itu dibuka. Ada beberapa keping borang dan surat menyurat rasmi kepunyaan Dato untuk ditanda tangani. Di tengah-tengahnya terselit sekeping nota panjang berukuran A4.

Fendi mula membaca isi kandungannya satu persatu.











Assalamualaikum.



Apa khabar Rohana? Sihat? Anak-anak kita semua sihat? Abang harap kalian semua dalam keadaan sihat walafiat sentiasa. Sudah lima tahun Abang pergi meninggalkan kamu sekeluarga. Bagaimana kamu menjaga keluarga kita selama Abang tiada? Harapan Abang ianya makin indah dan berseri daripada dulu.



Bagaimana pelajaran Harry di Universiti? Makin cemerlang? Atau dia sudah bekerja? Abang tahu dia ulat buku. Dia tak pernah putus-putus untuk mempelajari sesuatu. Abang yakin, dia tentu akan berjaya dalam hidupnya. Haslam? Cita-citanya dulu ingin menjadi ahli sukan negara. Sudah tercapai kah? Dan Hani, anak kesayangan Ayah. Mesti sudah besar panjang kan? Secantik ibunya mungkin. Ingat, tahun ni SPM. Pesan padanya supaya jangan leka bermain saja. Perjalanan hidup anak-anak kita semua masih jauh. Jangan disia-siakan.



Abang tak lupa juga pada awak, Khatijah dan anak kita, Syafiq. Apa jua yang berlaku dalam rumah tangga kita, Abang jadikan ianya pengajaran selama Abang hidup. Terima kasih kerana awak banyak mengajar saya erti kematangan. Awak juga banyak mengajar saya bagaimana hendak mengemudi keluarga dengan lebih sempurna. Jodoh kita sudah tersurat selama yang dimahukan tuhan. Abang tahu semua itu ada hikmah di sebaliknya. Abang tak henti-henti bersyukur dan berdoa pada tuhan agar memberikan awak dan Syafiq kebahagiaan yang lebih dari awak anak beranak kecapi selama kita bersama.



Semasa hayat Abang dulu Abang ada menulis dua keping wasiat. Satunya telah dibaca lima tahun dulu. Dan abang sengaja mahukan wasiat yang kedua ini dibaca lima tahun berikutnya. Bukan maksud untuk mencetuskan misteri atau membuat wanita-wanita yang Abang cintai ini tertanya-tanya. Tidak. Cuma wasiat ini ditujukan kepada insan lain. Bukan kepada Khatijah, bukan juga pada Rohana. Tapi secara tidak langsung mungkin kepada anak-anak kita...













Fendi terhenti seketika. Matanya tajam memerhati Datin Rohana dan Puan Khatijah yang sedang kusyuk mendengar wasiat yang dibaca itu. Dia tersenyum melihat gelagat kedua-dua wanita di hadapannya itu yang tidak ubah seperti ayam kelaparan yang menanti dedak untuk dimakan. Anak-anak Datin Rohana juga begitu. Ketiga-tiganya cuma diam membisu seolah-seolah terpukau dengan suaranya.

"Kalau bukan untuk kami berdua, habis untuk siapa?" Datin Rohana mengajukan soalan.

"Saya sambung," Fendi menyelak lembaran yang kedua.











Lima tahun selepas Abang pergi, Abang yakin keluarga yang Abang tinggalkan dulu telah banyak berubah. Mungkin Khatijah sudah berumah tangga kini. Sudah menemui cinta yang baru mungkin. Mungkin juga Rohana sudah dapat pengganti. Bertemu dengan seseorang yang telah dapat merawat kerinduannya kepada Abang. Cahayamata Ayah, sudah dewasa kesemuanya. Ada yang sudah berumahtangga barangkali?



Maaf jika kata-kata Abang di bawah mengejutkan kamu berdua.



Semasa hayat, Abang ada membuat simpanan lain tanpa memberitahu kamu berdua. Tak banyak, cukup untuk menyara kehidupan satu keluarga. Angan-angan Abang untuk melihat anak cucu Abang berjaya dalam hidup masing-masing. Jika anak-anak Abang sudahpun mendapat bahagian masing-masing lima tahun dahulu, Abang kira kini tiba masa untuk cucu Abang pula menerima bahagian mereka pula.











"Cucu?" Puan Khatijah menyoal apa yang baru didengarinya.

"Cucu mana pulak ni? Anak kami, sorang pun belum kahwin lagi!" sambut Datin Rohana pula.

Fendi mengangkat bahu. Dia kembali membaca surat wasiat di tangan.











Abang tak tahu cucu mana yang bertuah itu. Abang tidak tahu pun akan kewujudannya. Tapi Abang mahu cucu itu tahu yang arwah datuknya ini sayang padanya walaupun Abang tak dapat menimang atau bermain dengannya seperti mana Abang menimang dan bermain dengan anak-anak Abang sewaktu mereka kecil dahulu. Jika ada salah seorang dari anak Abang yang sudah bercahaya mata, wasiat ini ditujukan untuk anaknya. Untuk dia sekeluarga. Tetapi jika masing-masing masih lagi belum berumahtangga, biarlah wang peninggalan Abang itu disimpan lagi. Tiba masanya nanti Abang mahu ianya diserahkan kepada cucu Abang yang pertama.



Rohana, Khatijah, kamu berdua usah bimbang. Tiada rombakan atau pembaharuan dibuat kepada wasiat yang pertama selagi kamu berdua masih lagi terikat dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan. Abang harap kamu berdua faham dengan keputusan yang dibuat. Abang cuma ingin berlaku adil. Abang juga mahu kamu berdua berdamai. Usahlah disimpan bara di dalam hati itu lama-lama. Abang pun sudah lama pergi. Doakan kesejahteraan Abang di sini. Hanya doa kalian yang dapat menyempurnakan roh Abang di sini.



Semoga kita bertemu di syurga.



Sekian. Assalamualaikum.





Dato Johari Barakbah.

5 February 1990







Wasiat dibaca oleh:











Affendi b. Yusoff

15 September 2008



Wasiat dibaca kepada:





Datin Rohana bt. Husin dan Khatijah bt Kasim

15 September 2008









"Jadi... Datin, Puan, faham dengan isi kandungan wasiat ini?" Soal Fendi mencari kepastian.

"This is not fair! Anak-anak I masih mentah lagi. Belum masa untuk dia orang nak kahwin!" Bentak Datin Rohana tiba-tiba seperti orang hilang akal.

"Kalau macam tu, duit tu jatuh ke tangan cucu aku lah. Aku kira anak aku dah bersedia nak kahwin, nak ada cahayamata," balas Puan Khatijah pula.

"Hey, kau tu dah lama kena cerai sebelum dia mati lagi tau! Kau jangan ingat kau akan dapat duit laki aku lagi! Cukup-cukup lah apa yang dia bagi selama ini!"

"Ewah, ewah. Dah rampas laki orang pandai pula nak bercakap, eh?! Duit tu bukan untuk kau lah! Bukan untuk aku juga! Kalau kau nak sangat duit tu suruh lah anak-anak kau ni cepat beranak!"

"Siapa yang rampas laki kau, ha?! Kau tu yang tak reti jaga laki, tau!"

"Apa?!" Berdesit telinga Puan Khatijah mendengar kata-kata kasar yang keluar dari mulut Datin Rohana itu.

"Puan, Datin, bawa bertenang. Malu saya tengok kamu berdua bergaduh depan anak-anak," Fendi cuba meleraikan perang mulut yang berlaku. "Arwah Datuk dah lama pergi, hari baik bulan baik ni kita patut doakan dia. Tak aman dia kat sana kalau dia tahu kamu berdua bergaduh pasal harta..."

"Bukan Akak yang mula, Fendi. Perempuan gila sebelah ni. Dah rampas laki orang, tuduh kita nak rampas harta dia pula. Malu lah sikit!" Celah Puan Khatijah.

"Oh, berani kau panggil aku perempuan gila, eh?"
"Berani!"

"Sudah! Sudah!" Fendi menumbuk meja. "Maaf, Datin! Puan! Pejabat saya ni bukan dewan rakyat. Tak perlu gaduh-gaduh. Kalau ada sesiapa yang tak puas hati, boleh jumpa di mahkamah. Buat masa sekarang ni, sila turunkan tandatangan dekat surat ni dan ambil salinan masing-masing," surat yang dibacanya tadi dihulur kepada kedua-keduanya.

Datin Rohana mencapai pen di atas meja. Dicakarnya surat itu kuat-kuat lantas dicampakkan pen dakwat basah itu ke tepi.

Puan Khatijah pula hanya mampu menggelengkan kepala melihat gelagat perempuan itu yang keanak-anakan. Selesai menurunkan tandatangan diserahkannya kembali surat itu ke tangan Fendi.

"Terima kasih. Ini salinan kamu berdua, simpan baik-baik," dua keping sampul surat berisi salinan surat wasiat diserahkan kepada kedua-dua wanita tersebut. "Sebelum Datin dan Puan balik, ada apa-apa soalan lagi yang nak ditanya?"

"Berapa banyak yang Datuk simpan untuk cucu dia tu?" Tanya Datin Rohana.

"Good question," Fendi tersenyum. "Sejuta ringgit. Itu nilai asal yang disimpan seminggu sebelum wasiat ini ditulis. Saya percaya ditambah dengan faedah, tentu nilainya sekarang sudah berlipat kali ganda..."

"Ha!!" Datin Rohana terduduk.

Puan Khatijah menekup mulut.





Cahaya matahari yang menembusi ruang jendela benar-benar tepat menyuluh mata. Puan Khatijah yang nyenyak sedari tadi tersentak dari mimpi. Dia berpeluh-peluh. Masuk hari ini sudah lima kali dia bermimpi tentang perkara yang sama. Tentang hari pembacaan wasiat yang kedua, pada lima enam bulan yang lalu.

Dia pelik. Entah mengapa sejak akhir-akhir makin kuat keinginanannya untuk melihat Syafiq untuk berumah tangga. Untuk mendapat cucu. Untuk mendapat habuan seperti yang dijanjikan oleh arwah bekas suami.

Dia menggosok mata untuk membuang tahi yang melekat di kelopak. Tubuhnya yang usang itu ditegakkan. Dia duduk di bucu katil. Kepalanya ligat memikirkan sesuatu. Jika dia mahu habuan dari arwah suaminya itu, maka dia perlu meningkat usahanya dengan lebih kuat lagi. Syafiq perlu berumah tangga. Anak tunggalnya itu perlu melahirkan cahayamata.

Sepantas itu juga otaknya teringatkan Faireen, anak gadis yang diperkenalkan kepadanya pada hari raya dahulu. Dia mengurut dagu. Seingatnya, sudah agak lama juga nama itu tidak didengari. Kakinya melangkah keluar ke ruang tamu. Lalu dia mencapai telefon di tepi TV.

"Helo, Syafiq. Mak tak sedap badan, ni. Balik jumpa Mak, ya? Bawak Faireen sekali. Mak teringin nak jumpa dengan kau orang berdua sekali lagi. Pisang kat belakang rumah tu ada rebung. Boleh Mak masak gulai pucuk rebung dengan perut kegemaran kau. Balik Fiq, ya. Mak rindu ni. Mak tak sedap badan ni," pintanya diikuti dengan batuk-batuk kasar.

Syafiq tersandar. Jam di dinding pejabat menunjukkan tepat pukul sepuluh pagi. Belumpun sempat dia memulakan kerjanya pagi itu, hatinya sudah dirunsingkan dengan permintaan ibunya. "Ya, Mak. Fiq balik," jawabnya dengan tidak berapa ikhlas.

"Bawa Faireen sekali. Mak rindu kat dia…"

"Ya lah, Mak. Fiq cuba bawa dia sekali."

Gagang telefon diletak. Khatijah tersenyum lebar. Satu ringgiiitttt… Dua ringgiiiitttt…. Tiga ringgiiiitt… Ampat ringgit!! Satuuuu Jutaaaaa Ringgiiiitttttttt!!!!!

Dia menyanyi sekuat hati kemudian diikuti dengan hilaian ketawa.

3 ulasan:

  1. "Isteri ibarat wanita simpanan kepada lelaki muda, teman kepada lelaki dewasa, dan jururawat kepada lelaki tua".

    what?

    BalasPadam
  2. tanyalah tuan yg empunya falsafah itu.....
    sy meng copy paste jer....

    BalasPadam
  3. agak2 shafiq nk x demi satu juta ringgitttt....n must be more than sejuta tu??dilema ni...

    BalasPadam