Isnin, 31 Ogos 2009

Bab 20. Rumahtangga lagi.



Manusia tidak mengahwini manusia yang lain. Mereka sebenarnya mengahwini ilusi dan imej yang direka menepati citarasa mereka sendiri tanpa menyedari keasyikan perkahwinan itu sebenarnya datangnya dari mengenalpasti siapakah insan sebenar yang mereka kahwini itu ~ James L. Framo



Sebulan kemudian...



Hujan lebat pagi itu. Faireen yang baru tiba di pejabat, cuba membetul-betulkan baju kurungnya yang basah kuyup. Payung warna merah jambu yang dibeli dari kedai bunga di seberang jalan minggu sudah akhirnya dibuang saja ke dalam tong sampah. Tak membantu langsung, sumpahnya.


Rozi yang sibuk membelek wajah sambil menghirup teh bunga-bungaan yang dibeli dari kedai bunga yang sama tak kering gusi ketawa. "Aku ada telekung kat surau. Kau nak pinjam?" Sindirnya diikuti hilai tawa dari pekerja yang lain.


Faireen cuma menguntum senyum.


Rozi berdiri lagi. Setapak demi setapak dia menuju ke arah Faireen dengan mug besar berwarna hijau di tangan. "So, apa cerita malam tadi?" Soalnya.


Faireen mengangkat kening. Jari jemari yang sibuk menyisir rambut yang basah tadi, terhenti.

"Apa yang berlaku malam tadi?" Rozi menyoal semula.


"Kau tak ada kerja, eh? Pagi-pagi lagi dah nak sibuk hal orang?"


"Cerita je lah. Tangan yang buat kerja. Bukan telinga!" Jawabnya dengan senyuman lebar.


Faireen sambut kata-kata rakan baiknya itu dengan ketawa.

Malam tadi. Otaknya kembali berfikir. Mengulang kembali apa yang berlaku pada malam tadi.

Malam tadi hujan lebat. Memang sejak kebelakangan ini begitulah keadaannya. Kuala Lumpur sering saja ditimpa hujan siang dan malam.


Faireen waktu itu sedang sibuk menyiapkan diri sebelum dia melangkah keluar rumah. Segala-galanya harus kelihatan sempurna. Rambut panjangnya dipastikan telah lurus diseterika terlebih dahulu. Baju T warna putih ikut potongan badan pula perlu kelihatan ayu apabila dikenakan bersama seluar jeans ketat berwarna biru gelap dan minyak wangi juga sudah dipastikan tersiram ke seluruh anggota badan.


Semerbak harumnya waktu itu sudah juga dipastikan melekat ke rongga hidung. Biar mengalahkan bunga setaman ataupun bernanah hidung yang menghidu, dia tidak peduli. Biarlah, dia tak akan simpati. Yang dia mahu pastikan biar satu dunia tahu hatinya sudahpun berbunga-bunga tidak sabar untuk bertemu Syafiq malam itu.


Namun segala-gala yang sudah dipastikan itu hancur berderai sebaik saja dia tiba ke tempat yang dijanji. Angin kuat yang entah dari mana datangnya meniup payung kecil yang dibawa jauh dari tangan.


Faireen terkesima. Beberapa saat juga tubuhnya dibiarkan kematu di situ. Hujan yang menimpa dirasakan seperti batu-batu kecil yang menerjah. Dia kuyup dan kesakitan. Tanpa disedari juga, baju putih yang dipakai telah basah hingga menampakkan bentuk anak baju di dalam.


Satu dunia kini melihat hati yang berbunga-bunga sejak dari rumah tadi itu bertukar menjadi layu sebelum ianya sempat berkembang. Dia ditertawakan. Mujur Syafiq muncul sebagai penyelamat.

Dia datang membawa bersama payung hitam besar dengan jaket kulit tebal kepunyaannya sendiri.
Syafiq bersimpati. Tangan Faireen yg kesejukan, diramasnya. Sesekali dia meniup jari jemari halus itu. Faireen semakin berada diawang-awangan kini. Sedikit demi sedikit wajahnya yang suram tadi bertukar ceria kemerah-merahan. Air milo panas yang dipesan dihirup lembut. Hangat terasa tubuhnya tiba-tiba. Sehangat cintanya yang semakin mekar terhadap lelaki di depan matanya itu.


"Saya nak kahwin dengan awak," tiba-tiba Syafiq bersuara.


Seperti yang dijangka, Faireen tergamam mendengar kata-kata yang keluar dari mulut comelnya itu dan Syafiq sudah bersedia dengan apa jua tindakbalas yang akan diterima. Jika Faireen menjerit, dia akan turut sama menjerit keriangan. Jika Faireen ternganga, dia akan menutup bibir munggil yang terlopong itu dengan jari jemari jantannya.


Tetapi apabila Faireen menyemburkan semula air milo panas yang baru diteguk itu ke arah mukanya sebentar tadi, dia menggelupur kepanasan. Ilmu mengelak air milo panas ke muka belum sempat dipelajarinya lagi.

"What?!!" Jerit perempuan itu sekuat hati.


"Syyy… Tak payah lah jerit," jawab Syafiq sambil mengelap wajahnya yang melekit.


"Sorry. What?" Ulang Faireen sekali lagi dengan nada yang rendah sedikit.


Syafiq melemparkan sebuah senyuman. "Saya kata saya nak kahwin dengan awak. Awak nak kahwin dengan saya tak?"


Faireen terdiam. Biji matanya yang terjegil masih lagi tidak berkelip hiingga berair. Tangan yang hampir suam-suam kuku tadi bertukar kembali sejuk. Begitu juga hatinya yang baru ingin mengembang, telah kembali layu tidak bermaya. Dia tidak tahu apa yang harus dijawabnya waktu itu. Fikirannya tiba- tiba bercelaru.



"Kau diam?" Tanya Rozi pelik. "Orang ajak kau kahwin, kau boleh diam? Kalau boyfriend aku ajak aku kahwin, aku menjerit kuat, tau! Kau diam? Kau ni kenapa? Kenapa kau diam, ha?"


"OK, OK, Rozi. Relax! Yang kau pulak yang teruja ni kenapa? Dia ajak aku kahwin je. Bukan ajak aku pergi Paris pun," balas Faireen sambil mencekak pinggang.


"Dia tu kan boyfriend kau? Orang lelaki kalau dah ajak kita kahwin tu maknanya dia dah selesa dengan kita. Dah tiba masa dia nak settle down. Dan yang paling penting, dia pilih kita sebagai isteri. Istimewa tu!"


"Aku tahu," Faireen setuju. "Tapi..."


"Kau tak suka kat dia ke?"


"Aku suka kat dia."


"Habis tu? Tapi apa lagi?"


"Aku belum bersedialah. Aku baru je kenal dia kan? Aku tak pernah kenalkan dia dengan keluarga aku lagi. Entah mak ayah aku setuju ke tak. Nak beritahu Faisal lagi. Dia kan kaki komplen."


Rozi tersenyum lebar, "Betul juga. Tapi kau dah jumpa mak dia kan?"


"Itu lagi satu hal. Mak dia tu lain macam lah!""Lain macam, macam mana?"


"Pelik. Beria-ia suka kat aku. Aku kalau dah orang terlebih suka ni mula lah aku jadi musykil. Macam surreal. Kau tahu surreal?"


Rozi mencebik, "aku tahulah surreal tu apa. Yang orang makan buat sarapan tu kan?"


"Itu cereal. Ini surreal. Macam buat-buat. Nampak pelik. Nampak tak real."


"Maksud kau?"

Faireen mula bercerita. Tiga minggu yang lalu dia mengikut Syafiq pulang ke kampungnya. Entah mengapa kata Syafiq petang itu, ibunya sendiri yang mahu berjumpa mereka berdua di sana. Alasan ibunya, untuk melepaskan kerinduan.


Faireen mengikut. Pada fikirannya sendiri, tidak salah jika dia bertemu dengan ibu kekasihnya itu kerana mungkin satu hari nanti, perempuan yang sama itu akan menjadi ibu mertuanya juga.


Sewaktu di dalam perjalanan pulang, telefon bimbitnya tidak henti-henti berdering. Semua panggilan yang diterima datangnya dari bakal ibu mertua itu sendiri.


Mereka berbual panjang, bertanya khabar, bergurau senda, seolah-olah seperti tidak sabar untuk menunggu di rumah nanti. Sebaik saja dia menamatkan perbualan, telefon Syafiq pula minta diangkat. Masih lagi datangnya dari pemanggil yang sama.


Faireen mula rimas. Dari segan silu hendak melayan kerenah bakal ibu mertuanya itu, akhirnya dia sendiri mengambil jalan selamat untuk mengelak.


Dengan tidur.


Tiba saja di perkarangan rumah, mereka berdua disambut bagaikan pengantin baru. Tubuh Faireen dipeluk cium dengan eratnya. Dari hujung rambut hingga ke hujung kaki, Faireen dipuji. Dalam kekeliruan, dia hanya mampu tersenyum.


Kemudian perbualan mereka bersambung di meja makan. Di situ, Puan Khatijah mula mengutarakan satu topik yang benar-benar mengejutkan semua.

Topik tentang cucu, ajal, dan keluarga.

Puan Khatijah: Bila nak bawak Mak pergi jumpa mak ayah, Reen?
Faireen: (Senyum)


Syafiq: Mak ni, malu kan Reen je dengan soalan tu. Kita orang lelaki, kita lah yang datang.

Puan Khatijah: Ye lah, tak kan nak datang sergah je. Ini bukan segmen terjah kat dalam Melodi tu! Reen kenalah pelawa. Tak gitu, Reen?


Faireen: Hmmm…(senyum). Betullah tu, agaknya. Bila Mak nak datang?


Puan Khatijah: Hari ini pun boleh. Reen cakap je nak berapa dulang. Jambatan emas pun mak sanggup!


Faireen: (Tersedak)


Syafiq: (Terbatuk)



"Mak dia ingat kau ni Puteri Gunung Ledang ke?" Rozi tersenyum lebar.


"Itulah pasal. Logik tak bunyinya? Macam tak masuk akal kan? Aku tahu lah aku ni cantik tapi tak kan lah sampai nak bina jambatan emas pulak! Itu mitos lah! Lagenda!"


Rozi sengaja menjolokkan lidahnya sedikit apabila mendengar perkataan cantik itu. "Mungkin mak dia sayang sangat kat kau, tak?"
"Mungkin."


"Atau mungkin dia tak nak anak teruna dia jadi anak teruna tua?"
"Mungkin jugak."


"Atau mungkin…"


"Ish, kau ni banyak kemungkinan lah!" sampuk Remy dari belakang. "Mana report yang aku mintak tu? Dah siap?"


Rozi terkejut. Dia memalingkan wajah kepada lelaki yang tiba-tiba muncul itu. "Kau ni suka buat aku terperanjat, tau! Tu atas meja tu report kau!" Tunjuknya.


"Kau kena hantar benda ni kat department aku sebelum pukul sepuluh. Bukan aku yang kena datang sini minta kat kau, tau!" Marahnya sambil menjeling.


"Alah, exercise lah sikit. Kau kan gemuk!"


"Huh!" Remy geram. "Kalau setakat nak datang kerja untuk berborak, baik tak usah datang!" Bidasnya tajam sebelum berlalu pergi.


"Ah! Diamlah kau, Gemuk!" Balas Rozi pula.


Faireen ketawa melihat gelagat kedua-dua temannya itu. Semenjak dia mula bekerja di situ sehingga ke hari ini, Rozi dan Remi memang tidak pernah sebulu. Walau sekecil manapun sesuatu perkara itu, pasti ada saja yang ingin ditelagahkan. "Kau dengan Remy tu aku kahwinkan baru kau orang tau!"


"Ah, selisih malaikat empat puluh empat. Tak nak aku baka-baka gemuk macam tu. Anyway, sampai bila kau nak bagi abang Syafiq kau tertunggu-tunggu jawapan kau tu, Reen?"


"Entahlah. Aku cakap bagi aku masa seminggu untuk aku berfikir."


"Cukup?"


Faireen mengangkat bahu.


"Kau fikirlah betul-betul, Reen. Itu kan masa depan kau. Kau yang kahwin. Bukan orang lain."

Faireen terdiam.


"Oh ya, bercerita pasal kahwin ni, aku lupa pula nak bagitau kau. Lusa aku cuti. Parents aku ajak balik kampung pulak. Cousin aku kahwin."


"Sejak bila kau ada cousin?"


"Aku pun tak tahu. Aku bukan kenal pun dengan saudara mara aku kat kampung tu! Saja je lah mak bapak aku tu nak expose aku di mata orang kampung kan?"


"Siap lah kau! Mesti dia orang nak carikan jodoh untuk kau!"


"Agaknya lah! We'll see!" Rozi tersenyum lebar.


"We'll see," Faireen mengangkat kening sekali lagi.

Kemudian hatinya tertanya, kan bagus kalau aku juga boleh bagi jawapan yang macam itu kat Syafiq semalam? We'll see! Nak kahwin dengan you? Well, we'll see!!!


Dia menumpang dagu. "Kenapa agaknya dia beria-ia nak kan jawapan secepat mungkin?" Soalnya pada diri sendiri.


Tiada jawapan yang diterima.


Dalam sibuk otaknya berfikir itu, tiba-tiba telefonnya berdering. Datangnya dari Puan Khatijah sekali lagi. Dia menekan butang busy. Dua tiga minit kemudian, telefonnya berbunyi sekali lagi. Tetap dari pemanggil yang sama. Dia mula mengerut dahi. Jari-jemarinya mengetuk meja sambil berkira-kira sama ada perlu atau tidak menjawab panggilan yang diterima itu.


Ah, malaslah! Sekali lagi butang busy ditekan.


Tetapi apabila kali ketiga telefonnya masih menjerit juga, darahnya mula naik hingga ke atas kepala. "Ya!" Jeritnya.


"Ibu ni. Ayah kau bawa beg besar keluar dari rumah!"


Terdengar suara ibunya teresak-esak di telinga. Faireen terkejut, "Ayah keluar rumah? Pergi mana?"


"Katanya out station. Ibu tak percaya. Ibu tahu dia ada perempuan lain. Dia nak pergi jumpa perempuan, tu!"


"Ibu..." Faireen merengek. "Ibu tak ada bukti. Ibu tak ada saksi. Ibu tak tahu, jangan main tuduh sebarangan…"


"Tak!! Ibu tahu! Ibu tahu! Ibu tahu! Ibu tahu!" Jawab ibunya berulang-ulang.


Alah, mak aku ni…. Rungut Faireen dalam hati sambil memicit dahi yang makin kesakitan.


2 ulasan:

  1. haha..part tersembur air milo tu bes..nati kalo i kuar ngan boyfren,order milo panas la..mane tau die ajak kawen..boleh gak sembur..hahaha

    BalasPadam
  2. carca marba sungguh family ni ek? tak apa, i sabar ni nak tunggu ending ...

    copek lahHH !

    AiLing.

    BalasPadam