Isnin, 10 Ogos 2009
Bab 5. Lompat si tupai lompat
Bab 5. Lompat si tupai lompat
Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua ~ pepatah Melayu.
Faisal ternampak pepatah lama itu tertulis di dalam majalah inflight yang terselit di poket kerusi tempat duduk. Hatinya tertanya pada gerangan yang menulis. Tekaannya mungkin perjalanan penulis itu menuju ke destinasi untuk mencari jalan penyelesaian.
Mungkin juga tujuannya menulis begitu kerana ingin menyedarkan pihak ketiga yang telah melakukan sesuatu yang tidak diingini di dalam hidupnya. Ataupun mungkin penulis itu sekadar ingin melepaskan kebosanan sepanjang penerbangan yang dilalui.
Kata gurunya dulu, vandalisme itu satu cara yang paling mudah untuk meluahkan isi hati. Faisal setuju.
Di bawah tulisan kecil itu dilukis pula gambar seekor tupai sedang menggonggong sebiji kacang. Dia tersenyum, teringatkan kenangannya beriadah di taman-taman sekitar Amerika dahulu.
Hidungnya masih terhidu lagi bau-bau harum yang datang dari pepohon pain yang merimbun. Kicauan burung-burung kecil pelbagai warna dan jenis yang ingin pulang ke sarang pun masih terasa lembut berbisik ke cuping telinga. Begitu juga dengan tupai-tupai kelabu yang seringkali muncul berkeliaran di atas padang rumput, masih ternampak-nampak di matanya bagaimana haiwan comel itu berlari-lari mencari-cari sisa makanan untuk dibawa pulang.
Peliknya, tidak satupun dari makhluk tuhan itu takut untuk didekati. Jika di tanahair, tupai perang lebih senang untuk duduk tinggi di atas pokok. Melompat dari satu dahan ke satu dahan yang lain, tanpa sekalipun menjejakkan kaki ke tanah.
Faisal merenung pepatah lama itu kembali. Ah, mana mungkin bait-bait yang tertulis pada inflight majalah itu boleh digunapakai di negara luar. Rasanya, mereka di sana perlu menukarnya kepada "sepandai-pandai tupai berlari, akhirnya mati dilanggar kereta."
Mungkin lebih secocok begitu kan? Dia tersenyum.
Alat kawalan jauh yang terletak di sisi kerusi ditarik keluar. Dia mula tercari-cari rancangan yang sesuai untuk ditonton. Bermula dengan filem Melayu tempatan, jarinya bijak melangkah ke filem Inggeris yang disiarkan di lima enam saluran yang lain pula. Dia mendengus apabila tiada satupun filem yang dimainkan berjaya menarik perhatiannya waktu itu.
Jarinya menekan pula ke saluran filem bahasa asing. Yang pertama, filem seram dari Korea. Tidak sampai beberapa minit, salurannya ditukar. Dia takut pada wajah hantu-hantu Korea itu.
Kemudian jarinya beralih pula memetik saluran filem komedi Kantonis dari Hong Kong. Tiba-tiba saja telinganya berasa bingit dengan lawak-lawak slapstik mereka yang tidak lucu.
Butang alat kawalan jauh ditekan lagi dan kali ini mengalih kepada saluran filem Hindi dari Bollywood pula. Baru beberapa saat matanya menyaksikan panorama India yang indah, tiba-tiba pasangan yang membawa watak utama, mula ghairah menyanyi dan menari di tepi laut di negara asing. Dia rimas.
Lama membelek-belek, akhirnya saluran filem ditukar pula ke rangkaian rancangan televisyen. Namun sitkom lama yang pernah bermain di kaca TV, masih juga tidak dapat menghilangkan rasa kebosanannya.
Butang seterusnya dialihkan ke permainan video. Tidak. Faisal setuju ianya mengasyikkan tetapi mindanya waktu itu terlalu penat untuk berfikir.
Jarinya bijak pula menekan butang muzik. Ada barisan album dari penyanyi tempatan seperti Anuar Zain, Hazami, dan Dato Siti Nurhaliza serta berpuluh album artis-artis dari serata dunia yang lain tersenarai di dalam playlist.
OK. Anuar Zain. Memandangkan dia adalah salah seorang peminat penyanyi bersuara emas itu, akhirnya keputusan muktamad dibuat.
Skrin TV bertukar gelap. Lagu pertama, I'm the Lucky One. Belumpun sempat lagu itu berputar, butang next terus dipicit. Ish, tak payah lah nak menyanyi lagu Inggeris, lagu Melayu pun belum tentu dapat dijual lagi, rungutnya di dalam hati.
Lagu kedua, Ketulusan Hati. Hatinya senang mendengar lagu itu. Alunannya yang lembut dan tenang, ditambah pula dengan vokal penyanyi yang lantang benar-benar membuatkan dirinya terbuai untuk seketika. Tanpa dipaksa, bibirnya ikut sama menyanyi.
Tiba-tiba tubuhnya terasa sendeng ke kiri. Dia menoleh. Lelaki yang duduk di sebelahnya tadi sudah terlentok di bahu. Matanya terpejam erat. Suara dengkur halusnya juga amat jelas menembusi gegendang telinga.
Faisal membiarkan saja bahunya dijadikan bantal oleh lelaki itu. Lembut saja rasa di pipinya apabila bergeser dengan helaian rambut lelaki itu yang tersisir rapi. Sesekali apabila dibawa angin, bau syampunya juga harum menusuk ke rongga hidung.
Dia mula gelisah. Perasaan ghairah dan ketakutan yang entah dari mana datangnya, sedikit demi sedikit mula merasuk diri. Tangannya tiba-tiba saja berpeluh-peluh walaupun tubuhnya menggigil kesejukan.
Dihembusnya jari-jemari yang menggigil itu lembut. Lalu perlahan-lahan pula dijatuhkannya ke atas peha. Dari lampu samar-samar pesawat itu, matanya terus meliar memerhatikan sekeliling.
Jam di tangan menunjukkan pukul empat pagi waktu Florida. Rata-rata penumpang yang lain kesemuanya sudah dibuai mimpi. Dia yang sudah beberapa kali terjaga tadi kembali sukar untuk memejamkan matanya. Lelaki di sebelah semakin lama semakin asyik pula mengusap-usapkan kepalanya di bahu.
Faisal meletakkan tapak tangannya ke dada yang sedang berdegup kencang. Apakah lelaki ini sengaja menduga kejantanan aku? Soalnya pada diri sendiri. Sekali lagi dia memerhati keadaan di sekeliling. Selepas lama berfikir, akhirnya dia pasti tiada siapa yang tahu.
Selimut nipisnya ditarik perlahan. Kemeja T lengan panjang yang dipakai lelaki itu diperhati. Nampak tegap, kata hatinya nakal. Kemudian matanya liar menunduk ke bawah. Seluar kargo berwarna krim yang dipakai menampakkan bonjol di bawah pusat. Nampak ranum, kata otaknya masih lagi memikirkan hal yang sama.
Dia tersengih. Tangan yang diletakkan di atas peha tadi perlahan-lahan beralih arah. Dari peha kakinya sendiri kini bertukar pula ke peha kaki yang lain. Makin lama makin bergerak jauh. Ah, kalau lelaki itu berani meletakkan kepalanya ke bahu aku, apa salahnya kalau aku juga berani untuk melakukan lebih dari itu, kan?
Tanpa berfikir panjang, tangannya terus meliar ke tempat yang tidak sepatutnya. Sebaik saja tersentuh, bibirnya makin lebar tersiat ke telinga.
"Sorry," tiba-tiba lelaki itu tersedar.
Faisal terus mengangkat tangannya kembali. Mukanya pucat. Hati yang berdekah-dekah ketawa tadi kini menjerit ketakutan. Spontan itu juga matanya dikesat, berpura-pura kononnya seperti baru terjaga dari tidur juga. "Sorry," ucapnya lembut.
"No, I am sorry. I didn’t mean to wake you up," jawab lelaki itu semula sebelum menanggalkan tali pinggang keselamatannya. "Excuse me, " sambungnya meminta diri menuju ke tandas di hujung belakang.
Sebaik saja lelaki itu hilang dari pandangan, mulut Faisal tidak berhenti-henti mengucapkan syukur. Nafasnya yang hilang tadi kembali muncul perlahan-lahan di kerongkong. Dia mengurut-urut dada yang sempit untuk seketika. "Nasib baik tak diserang jantung. Ah, bukan! Nasib baik tak diserang lelaki itu sebenarnya. Bagaimana kalau lelaki itu homophobic? Tentu mampus aku dikerjakan! Bodoh!" Hatinya mula merungut.
Jari-jemarinya yang berpeluhan kebasahan kembali ditiup-tiup. Tangannya yang masih lagi terketar-ketar menggigil, digunakan pula untuk mengetuk-ngetuk kepalanya yang buntu. "Bodoh! Gila! Nasib baik aku ni tupai tanah kat Florida tu, kalau aku tupai kampung kat atas pokok mesti aku dah tersembam ke tanah tadi," sumpahnya lagi pada diri sendiri.
"Hai," sapa lelaki itu sekembalinya ke tempat duduk tak lama kemudian.
Faisal tersenyum kelat, "hai," balasnya pendek lantas memalingkan wajahnya kembali ke skrin TV.
"What are you watching?" Tegur lelaki itu sekali lagi.
"I don’t know," dia mengangkat bahu.
Perbualan mereka terhenti di situ. Faisal berpura-pura sibuk bermain dengan alat kawalan jauh di tangan sementara lelaki itu cuba membetul-betulkan tubuhnya yang letih.
Kemudian, dia membuka mulutnya sekali lagi. "Sorry, I took your pillow," katanya sambil mengembalikan bantal kecil warna biru yang terhimpit dipunggung.
Faisal hanya mengangguk saja. Matanya kembali menatap ke skrin TV, sengaja meninggalkan lelaki itu terpinga-pinga sendirian.
"My name is Syafiq by the way…"
Tiba-tiba pandangannya beralih arah. Jari-jemari yang tekun bermain alat kawalan jauh tadi juga terhenti. "Syafiq? So you're Malay?" Soalnya.
"Yes, Malay. Malaysian. And you?"
"Faisal, orang Melayu jugak. Do you understand? My name is Faisal. You do speak Malay, right? "
Syafiq ketawa. "Of course, lah. Kan bahasa tu jiwa bangsa kita, Faisal. I pun makan belacan jugak! You makan belacan?"
Faisal tersenyum lebar, "Of course!"
Dan jawapannya itu disambut dengan deraian tawa dari lelaki misteri bernama Syafiq itu.
Makin jauh pesawat Penerbangan Malaysia itu bergerak menuju ke destinasi, makin rancak pula mereka berdua berkongsi pandangan. Kata Syafiq dia ke Los Angeles selama seminggu untuk mengikuti kursus sempena pembangunan keusahawanan.
Tambahnya lagi segala perbelanjaan sepanjang menjalani kursus itu tidak ditaja oleh sesiapa memandangkan dirinya yang bekerja sendiri.
Faisal tersenyum. "Orang banyak duit boleh lah, saya ni kena tunggu company hantar baru lah dapat merasa nak ke mana-mana," jawabnya.
Kemudian Syafiq bercerita pula tentang masa yang diluangkannya di sana. Tentang pengalamannya bersiar-siar di sekitar Hollywood, berkelah di Pantai Manhattan, dan membeli-belah di outlet mall yang sentiasa menjual barangan berjenama dengan harga yang agak rendah.
Sekali lagi Faisal tersenyum. Lima bulan berada di Amerika, sudah puas dia menjelajah ke tempat-tempat seperti itu.
Sambung Syafiq lagi, ini merupakan kali pertama dia ke negara kaya itu. Sebelum ini, dua kali permohonan visa lawatannya ditolak tanpa alasan tertentu yang diberi.
Faisal mula rasa bangga. Permohonan visanya lulus dengan sekali cubaan saja.
"So, dah ada visa ni… Lepas ni boleh lah datang selalu, kan?" Guraunya sinis.
"Of course," jawab Syafiq tanpa berfikir panjang. "I berniat nak bercuti ke Niagara Falls pula lepas ini. You dah pergi?"
Faisal terbatuk kecil, "baru je minggu lepas I ke situ dengan office mate…"
"Best nya. Tak pun I nak ke Boston. Nak tengok ikan paus kat tengah laut. Mesti yang ni pun you dah jelajah kan?"
Kali ini Faisal rasa ralat sedikit. "I sempat tengok Shamu dekat Seaworld, je. Besar gila," jawabnya mengenang kembali percutiannya di taman tema Seaworld di Orlando, Florida beberapa bulan yang lalu. Shamu itu nama panggilan kepada ikan paus jenis Killer Whale yang membuat pertunjukan di situ.
"Tak sama dengan ikan paus dalam laut tu. Ikan paus kat situ jenis Humpback, Finback, Minke..."
"Beluga?"
Syafiq tertawa, "Beluga saya tak pasti lah pulak. Mungkin ada kot?"
"Kalau ada nanti, awak beritahu saya, eh!"
"Insya allah, kalau ada rezeki. Boleh kita pergi sama-sama nanti, kan?"
Pergi sama-sama? Faisal mengangkat kening.
"A, ah. Kalau ada rezeki," jawabnya kabur.
Pesawat MH345 terus melebarkan sayapnya membelah awan. Tidak berapa lama lagi mereka akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan di Taipei. Jam menunjukkan hampir ke pukul enam pagi waktu tempatan. Di Taipei nanti penumpang yang ingin meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur terpaksa menunggu selama satu jam sebelum pesawat yang sama bergerak semula.
Faisal gembira. Akhirnya dia menemui juga teman baru untuk mengisi kekosongan masanya di situ.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
I dah tak sabar nak baca ending ni!!
BalasPadamAiLing.
lambat lagi dik!!!!
BalasPadamaah la nak tunggu ape jadik ...klu ape yg i pikir ni jadik...tgh pikir sape nk wt first move..bley?ekekekeke
BalasPadambuyui....
BalasPadammasih panjang lagi jln citer yg mengalutkan ini.....