Sabtu, 29 Ogos 2009

Bab 19. Rumahtangga

Rumah tangga yang rukun dan harmoni bukanlah terjadi dari cantuman pasangan yang sempurna tetapi ianya menjurus kepada pasangan yang tidak sempurna yang cuba mempelajari ketidaksempurnaan pasangan masing-masing ~ Dave Meurer







Kak Yah sebelum melangkah keluar dari rumah tadi, berkata kepada Balqis yang dia mahu ke rumah anak sulungnya malam itu. Alasannya, mahu bermalam di sana pula.

Iqram pula mendengar saja yang birasnya itu mahu keluar dari rumah, dengan segeranya menawar diri untuk menghantar. Alasannya pula, dia perlu mengikut pesanan doktor untuk mengambil angin malam di luar.

Balqis sedikitpun tidak menghalang. Tidak seperti biasa, malam itu juga dia enggan mengikut ke mana suaminya itu pergi. Alasannya lebih afdal, dia mahu meluangkan masa yang ada dengan membaca Al-Quran.

Iqram tersenyum lebar mendengar alasan itu. Kak Yah pun begitu.

Di dalam kereta, mereka berdua rancak bercerita tentang Nirina. Sesekali terselit juga ketawa-ketawa kecil yang menjengkelkan. Alasan Kak Yah untuk pulang ke rumah anaknya tadi telah terpesong ke jalan lain. Alasan Iqram untuk mengambil angin malam juga menuju ke destinasi yang telah diatur oleh mereka berdua.

Nombor Nirina dihubungi untuk mengingatkan tentang perjanjian yang telah dibuat siang tadi.

Kata Nirina, dia sudah lama menunggu di situ.

Selama dia menunggu kedatangan Iqram dan Kak Yah, hatinya tidak putus-putus berdegup kencang. Teh tarik dengan roti tisu yang dipesan langsung tidak dijamahnya. Selera makannya hilang semenjak siang tadi lagi.

Dia menggosok perut. Fikirannya terbayangkan wajah Bob. Dia bimbang jika Bob ada bercerita tentang berita kehamilannya kepada perempuan itu.

Dia sedar Kak Yah tahu siapa dirinya yang sebenar. Kak Yah dan ibunya di kampung merupakan teman akrab sewaktu mereka bekerja bersama di Kuala Lumpur dahulu. Malah sehingga kini ikatan persahabatan yang terjalin itu tidak pernah terputus.



Dua puluh minit kemudian, kereta yang dipandu Iqram berhenti di sebuah kedai mamak di tepi jalan. Nirina mengangkat tangannya sejurus selepas dia terlihat kedua-dua orang yang ditunggu itu tercari-cari di mana dia berada.

Kak Yah dari jauh sudah tergelak besar. Riak wajahnya jelas terpancar kegembiraan. "Apa khabar?" Jeritnya sambil membuka lapang dadanya ingin berpeluk.

"Baik," jawab Nirina sepatah. Membalas hangat pelukan perempuan itu. "Lama tak jumpa. Kak Yah sihat?"

"Alhamdulillah. Makin sihat," dia mengangguk lalu terus melabuhkan punggung.

Iqram yang sedari tadi tidak bersuara, merenung tepat wajah kekasihnya itu. "I pun sihat juga, Rina. Terima kasih," sindirnya halus.

Nirina tersenyum.

"Apa tunggu lagi, Iqram? Cakaplah!" Arah Kak Yah tiba-tiba.

"Saya tak tahu pula macamana nak mula," jawab Iqram malu-malu.

"Apa yang nak dimalukan, Iqram. Cakap je," celah Nirina pula. Keliru dengan makna yang tersirat.

Iqram memandang Kak Yah.

Kak Yah memandang Nirina.

Nirina semakin risau. "Apa?" Soalnya.

"Ada apa-apa plan hujung minggu ni?" Soal Iqram kembali.

Nirina menggeleng.

Iqram melepaskan nafas lega.

Kak Yah tersenyum lebar.

"Kenapa?" Soal Nirina sekali lagi.

Kak Yah bangun. "Eh, kau ni Iqram. Malu depan Kak Yah ke? Tak apa, biar Kak Yah pergi buang air kejap. Kak Yah tahu Kak Yah keluar je dari toilet nanti semua dah settle, OK?" Pesannya sebelum berlalu pergi.

"You ada kata apa-apa kat dia pasal kandungan I ke?"

"Tak. Tak ada siapa yang tahu."

"So apa yang pentingnya you bawa dia jumpa I malam ni?"

"I nak bawa dia jumpa parents you hujung minggu ni…"

"Untuk apa?"

"Untuk meminang you lah! Tak kan I nak datang seorang pulak?"



Nirina tersandar. Matanya tiba-tiba tidak mampu untuk berkelip lagi. Telinganya juga mula terasa pekak. Ayat Iqram yang baru didengarinya tadi bagaikan telah melantun keluar semula sebelum sampai ke gegendang telinga.

Dia kematu. Otaknya mula berfikir yang bukan-bukan. Membayangkan saat-saat indah di hari pertunangannya itu nanti di mana di dalam riuh rendah suara-suara wakil dari kedua belah pihak sedang berbalas pantun, tiba-tiba Bob muncul bersama ibunya. Mencanangkan kepada semua bahawa anak yang dikandung oleh anak Haji Leman itu adalah anak dari hasil benihnya sendiri.

Nirina menakup muka yang makin berpeluh. Otaknya kembali membayangkan betapa gamat suasana majlis pertunangannya itu nanti. Pasti keluarganya akan dicemuh di seluruh kampung. Pasti mereka menghina Haji Leman dan Mak Royah mempunyai anak gadis yang sudah hilang daranya. Pasti mereka mempersendakan Iqram, bakal suaminya itu juga kerana memilih wanita kotor dan busuk seperti dirinya itu.

"Astaghfirullahalazim…" Dia mengucap panjang.



"Ha! Diam lagi! Dah cakap ke belum?" Tegur Kak Yah yang tiba-tiba muncul dari belakang.

Iqram mengangguk.

"Kau, Rina? Macamana? Setuju?" soalnya pada Nirina pula.

"Tak!"

"Tak?" Serentak kedua-duanya membalas.

"Tak tahu!" Jawabnya semula membetulkan ayat. Wajah Iqram ditenung. Nampak sugul apabila mendengar jawapan yang keluar dari mulutnya itu tadi.

"Terima je lah, Rina. Sampai bila kau nak tunggu lagi? Takkan sampai tua kau nak layan laki orang? Tak nak rasa layan suami sendiri, ke?" Kak Yah cuba memberi nasihat.

"Ya, Nirina. I pun nak rasa layanan isteri baru," celah Iqram dengan senyum kambingnya.

Nirina menunduk. Kembali merenung pada perut yang berisi. Dia mengangkat kepala perlahan. "Baiklah. Tapi Kak Yah janji jangan bawa sesiapa masa datang meminang nanti. Jangan beritahu sesiapa. Anak-anak Kak Yah pun jangan, especially Bob," balasnya bersetuju dengan syarat.

"Isy, tak lah. Kami datang berdua je. Tak beritahu sesiapa pun…" Kak Yah mengangkat lima jari bersumpah.

"You gila ke, Rina. I tak kan beritahu sesiapa pun. Perkahwinan kita nanti ni hanya family you je yang tahu selain kita bertiga," sambung Iqram pula.

"Elok lah kalau macam tu… berapa lama kita nak bertunang?"

"Sebulan dua cukuplah!"

Nirina kembali mengusap perut. Bibirnya menguntum senyuman yang besar. Hatinya gembira kini mengenangkan anak yang dikandungnya itu bakal berbapa akhirnya.









Balqis masih lagi tidak dapat melelapkan mata. Lampu biliknya dibiarkan menyala terang, tidak ubah seperti menyuluh hatinya yang gelap gelita pada malam itu. Jam dinding yang terletak bertahun-tahun di sudut tepi biliknya itu ditenung lagi. Dari satu jam ke satu jam waktu berjalan, Iqram masih juga belum pulang menampakkan bayang di rumah.

Dia tidak dapat menghubungi Kak Yah memandangkan kakak iparnya itu tidak mempunyai telefon bimbitnya sendiri. Hatinya terasa ragu-ragu pula hendak menghubungi Maryam sekeluarga malam-malam buta sebegitu.

Buku telefon di tangan, ditutup.

Jiwanya makin berserabut. Dia melangkah keluar menuju ke dapur. Melangkah perlahan menuruni anak tangga satu persatu. Faireen yang sudah terlelap di atas sofa di ruang tamu, cuba dikejutkan. Namun usianya itu hanya sia-sia belaka.

Faisal pula, tidak ubah seperti bapanya sendiri. Sejak siang tadi sehingga kini masih juga tidak kelihatan. Tubuh Faireen digerak-gerakkannya lagi. Tetap sia-sia. Dia termenung.

Dua tiga minit kemudian, bunyi pintu pagar di luar rumah, dibuka. Faisal akhirnya pulang, membawa masuk keretanya perlahan-lahan. Balqis merenung jam kecil di atas meja kecil di tepi sofa. Tiga pagi. Dia bengang.

"Awalnya anak Ibu balik? Kenapa tak balik masa subuh? Boleh solat sama-sama," sindirnya sebaik saja anak bujangnya itu muncul di muka pintu.

Faisal terkejut. "Tak tidur lagi, Bu?"

"Tak. Ibu kena kerja shif malam, malam ni. Kena jaga counter front desk kat hotel ni," Sindirnya semakin sinis.

Faisal ketawa, "So macamana business zaman-zaman gawat ni? Ramai ke yang check in?"

"Boleh lah tahan cuma ada seorang VVVVIP guest yang belum check in lagi ni ha!"

"Banyaknya V? Ayah?"



Balqis mengangguk. "Siapa lagi?! Sejak dia hantar Cik Yah kau balik tadi, sampai sekarang dia tak balik-balik. Sesat agaknya orang tua tu!"

"Dah call?"

"Banyak kali. Tak jawab."

"Dia pergi kelab dangdut lah tu, Bu. Muzik kuat, bising, mana nak dengar!" Faisal mengusik sambil mencubit pipi usang ibunya itu.

"Ke dia pergi tidur rumah perempuan lain?"

"Ish, ke situ pula. Tak kan lah!"

"Ibu ni dah lama jadi bini dia, Ibu dah kenal dia luar dalam pun. Ibu tahu dia memang ada perempuan lain!"

"Ibu ada bukti?"

"Tak ada tapi Ibu dapat rasa, Sal..."

"Rasa dengan nampak depan mata lain, Bu. Tak elok tuduh sebarangan kalau tak ada bukti. Boleh timbulkan fitnah tu. Fitnah tu dosa…"

"Pandai pula nak ajar orang dosa pahala sekarang?" Balqis menjeling. "Tak apa, Ibu tahu macamana nak cari bukti. Tupai tu bukannya pandai melompat sangat, Sal. Sampai masa jatuh jugak dia ke tanah!" Tambahnya lagi.

"Bagus lah kalau macam tu, Bu. Sudahlah, jom kita pergi tidur. Ayah ada kunci rumah, kan? Tak perlu tunggu dia,"

"Faireen?"

"Biarlah dia tidur kat situ!"

"Tak apa, Ibu nak tunggu kat sini. Ibu nak tengok dia reti ke tak balik rumah!"



Faisal menggaru-garu kepala. Ibunya dibiarkan sendirian di situ. Kakinya melangkah menaiki anak tangga untuk ke atas rumah dan terus ke bilik bujangnya. Setibanya di situ, tubuhnya direbahkan pula ke atas katil. Fikirannya mula melayang pada pertemuannya bersama Syafiq sebentar tadi.



"Faisal, awak tahu apa itu hidup?"

Dia memicit dagunya yang panjang itu. Otakya mula berfikir akan jawapan pada soalan yang diberi. "Hmmm… kompleks soalan tu. Bagi saya hidup itu satu perjalanan yang cuma kita tahu ke mana kita mahu tuju tapi sampai atau tidak ke destinasi semua itu terserah kepada tuhan," jawabnya mengikut firasatnya sendiri.

Syafiq waktu itu tersenyum saja.

Dia bertanya kembali, "kenapa?"

Dan jawapan yang diterima pula penuh dengan makna yang tersirat. "Kita sudah diberi kaki untuk melangkah. Kita sudah diberi mata untuk melihat arah perjalanan itu. Kita juga diberi otak untuk berfikir, jalan mana perlu diikut, lubang mana yang perlu dielak. Jadi kenapa kita mesti ada tuhan untuk menentukan perjalanan hidup kita sendiri?"

Dengan tersenyum kecil Faisal menjawab, "Kerana kita perlu ada sesuatu untuk membimbing arah kita. Otak kadang-kadang suka berfikir yang bukan-bukan bila kaki dah lenguh atau mata dah mengantuk..."

"Ya ke?"

"Ya, En. Syafiq. Kerajaan bina R and R tepi highway itu pun untuk orang yang mengantuk berhenti berehat, kan? Jangan berjalan ikut rasa hati, nanti mati."

Syafiq menunduk. "Mak saya suruh saya kahwin, Faisal. Saya keliru. Saya tak nak tapi saya pun tak nak kecewakan hati dia. Kenapa kita tak boleh kahwin sesama lelaki, ha?!"

"Sebab berdosa besar, Fiq. Dilaknat tuhan. Masa Nabi Adam minta pasangan kat syurga dulu, tuhan tak bagi dia Ali atau Abu. Tuhan bagi dia Hawa."

"Tapi!"

"Awak cuba je dulu, Fiq. Kahwin je dengan perempuan tu. Kalau bukan sekarang, mungkin esok lusa rasa cinta itu akan timbul. Kan?" Faisal cuba memberi kata-kata semangat.

"Kalau macam batu? Terus tenggelam?"

"Tak apa. Asalkan awak dah cuba. Dan awak dah buat apa yang mak awak suruh. Jangan melawan cakap orang tua. Dosa besar juga tu!"

"Habis kalau saya kahwin, apa yang jadi kat awak?"

Faisal tersenyum kelat, "jadi macam biasa. Macam dulu. Yang dah habis manis sepah dibuang merata-rata. Nak buat macam mana dah memang nasib saya macam ni…"

"Faisal, jangan cakap macam tu…"

Wajah Syafiq yang sayu ditenung. "Jangan kisahkan tentang sayalah, Syafiq. Saya pandailah jaga diri," sambungnya.



Bunyi alat penggera kereta ayahnya menyentakkan lamunan. Faisal membuka daun pintu biliknya sedikit apabila terdengar suara ibunya mula membebel di ruang tamu.

"Dah pukul berapa ni baru awak nak balik? Awak pergi disko ke lepas hantar Kak Yah?"

"Kan saya kata saya nak ambil angin malam?"

"Ini bukan angin malam lagi ni, Bang. Ni dah nak masuk subuh dah ni! Anak-anak kita pun pandai duduk rumah, awak orang tua pulak yang pergi berembun. Apa nak jadi awak ni?"

"Yang awak ni dah tau subuh, yang pergi membebel tu buat apa? Awak nak bagi semua jiran dengar?" Iqram mula meninggikan suara.

"Biarlah semua orang dengar! Kenapa? Awak malu?"

Iqram menggeleng-gelengkan kepala. Kakinya melangkah memanjat anak tangga meninggalkan Balqis tercegat berdiri di situ.

"Bila kita tanya sikit mula lah buat muka! Awak ada perempuan lain kan?"

"Saya nak tidur. Esok saya nak pergi out-station. Malam Isnin baru balik!" jawab Iqram menyimpang jauh dari soalan yang dihulur.

Dum! Daun pintu biliknya dihempas kuat.

Faisal tergamam. Cepat-cepat dia berlari mendapatkan ibunya yang sedang menangis di ruang tamu. Faireen yang tidur nyenyak sedari tadi terpinga-pinga dengan pergaduhan yang baru terjadi.

"Kenapa Faisal? Ibu? Kenapa, Bu?" Soalnya bertalu-talu.

"Ibu kata Ayah ada perempuan lain," bisik Faisal halus.

"Siapa?" Soalnya lagi.

Faisal hanya mengangkat bahu.

6 ulasan:

  1. next cekKKk!!


    AiLing

    BalasPadam
  2. huaaaa bestnyeee..
    tak pernah bace novel camni punya complicated..
    perghhhh fenin fenin..
    nak lagi nak lagi nak lagi..

    ~lonelylikehell~

    BalasPadam
  3. hey lonely... ada blog x?

    BalasPadam