** 1st day puasa... kita flashback kisah cinta lama kite yer.... ayuh!
Bab 14. Kisah cinta pertama.
Saktinya cinta pertama ialah pada kealpaan kita bahawa ianya juga akan berakhir ~ Benjamin Disraeli (1804-1881)
Semua orang mengalami cinta pertama. Cinta pertama Balqis dahulu bukan pada Iqram. Cintanya pada Husin, anak Abu, si ketua kampung. Dulu ketika sedang hangat bercinta, ke hulur hilir malah ke mana saja dia pergi pasti Husin ada bersama. Kata-kata nakal orang-orang tua di situ sibuk mengatakan yang dia bakal menjadi menantu orang yang paling dihormati di kampung.
Anak muda pula ramai yang memuji dan tidak kurang juga ada yang mengeji tentang perhubungan yang terjalin. Dia tidak kisah. Arwah ibu bapanya waktu itu juga tidak berapa ambil peduli dengan cinta monyet mereka.
Suatu hari dia mendapat satu berita yang agak mengejutkan. Husin bakal meninggalkan kampung itu untuk menyambung pelajaran ke luar negara. Jauh hingga ke Australia. Waktu itu, dia merasakan dunia seakan-akan zalim kepada dirinya.
Dalam keberatan, dia melepaskan juga kekasih tersayangnya itu pergi meneruskan impiannya sendiri. Dia menangis. Beberapa hari juga dia duduk termenung mengenangkan nasib yang menimpa. Mungkin atas alasan itu, ayahnya membenarkan juga dia berhijrah ke Kuala Lumpur.
Sehingga kini Balqis percaya ada hikmah di sebalik kehilangan Husin itu kerana bermula dari situ dia bertemu pula dengan cintanya yang baru. Iqram.
Iqram pula apabila diajukan dengan soalan yang sama, hanya meleretkan sebuah senyuman. Katanya cinta pertamanya dahulu kepada seorang wanita cantik bernama Azizah. Sama seperti lagu dendangan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, begitu juga dengan Azizah kekasihnya dahulu.
Orangnya bermata bulat, mempunyai senyuman yang manis serta gigi rata tersusun putih bersih. Baginya Azizah kekasih itu seorang wanita yang cukup sempurna. Tetapi sehingga kini Iqram masih merahsiakan mengapa cintanya pada wanita sesempurna Azizah itu kecundang di tengah jalan.
"Mungkin jodoh Ayah dah tertulis untuk Ibu kamu. Sebab tu Ayah dengan Ibu dapat lahirkan anak-anak yang bijak dan comel-comel macam Faisal dan Faireen. Tak gitu, Ibu?" Soalnya kembali.
Faireen punya cinta pertama kepada Boy ketika di bangku sekolah dahulu. Boy bukan budak Melayu. Dia berbangsa Cina Serani dan taat pula kepada ajaran Kristiannya. Setiap hujung minggu, dia dan keluarganya akan berkunjung ke gereja di bandar lain untuk bersembahyang di situ.
Selepas tamat waktu sembahyang dia akan menggunakan kesempatan yang ada untuk ke bandar besar seorang diri. Alasannya untuk ke mengulangkaji pelajaran di perpustakaan walhal dia menggunakan kesempatan yang ada itu untuk bertemu dengan Faireen di situ.
Faireen pula agak berbeza sedikit. Alasannya kepada kedua ibu bapanya sering bertukar ganti setiap kali mereka ingin bertemu. Jika minggu ini dia punyai tiusyen bersama rakan sekolah yang lain, minggu hadapannya dia terpaksa ke sekolah untuk menjalani kegiatan ko-kurikulum pula.
Suatu hari sewaktu mereka berdua sedang leka berkencan di taman bunga, ibu bapa Boy tiba-tiba datang menyergah. Faireen ketika itu sedang asyik berbaring berbantalkan peha sementara Boy pula sedang tekun mengusir lembut rambut kekasihnya itu.
Tanpa usul periksa, Uncle Johny bapa kandung Boy sendiri memukul anak bujangnya itu di hadapan orang ramai. Boy malu. Ibunya, Auntie Anne juga turut menengking sama. Faireen turut diherdik kasar dan disalahkan kerana membabitkan anaknya dengan perhubungan yang melibatkan dua agama yang berbeza itu.
Drama cinta ala P. Ramlee itu tidak habis begitu saja. Ketika ibu bapa Boy memulangkan Faireen di depan pintu rumah, keadaan menjadi agak huru-hara sedikit.
Balqis dan Iqram dimaki hamun dengan kata-kata kesat. Kata Johny, mereka berdua tidak pandai menjaga anak dara sendiri. Akibat terlalu berang dengan tuduhan yang dilemparkan itu, Iqram menghalau kedua ibu bapa Boy itu dari rumahnya. Kemudiannya, dia merampas telefon bimbit Faireen yang diberi sempena hadiah harijadinya dulu.
Undang-undang keras juga mula dikenakan. Segala aktiviti Faireen selepas waktu sekolah telah dibatalkan dengan serta merta. Semenjak dari itu, Faireen benar-benar merasakan dirinya terasing dari dunia luar.
Lebih menyedihkan lagi, seminggu dua selepas itu Faireen dikejutkan pula dengan berita bahawa Boy telah dipindahkan ke sekolah lain. Bermula dari saat itu, hubungan mereka berdua terputus begitu saja.
Kisah cinta pertama Faisal lebih unik. Lebih romantis dari kisah cinta Balqis dan Husin, lebih sempurna dari kisah cinta Iqram dan Azizah, dan lebih tragis dari kisah cinta Faireen dan pasangan bukan Islamnya, Boy.
Cintanya waktu itu pada pelajar senior di asrama. Namanya Gibran. Orangnya aktif bersukan dan cemerlang pula di dalam bidang akademik. Gibran punyai pakej yang lengkap sebagai pelajar atau lelaki yang digilai oleh pelajar wanita dan lelaki yang lain.
Faisal sendiri termasuk di dalam golongan pelajar lelaki yang lain itu.
Suatu petang selepas tamat waktu persekolahan, Faisal meluangkan masanya di perpustakaan untuk mengulangkaji pelajaran sambil membuat kerja rumah yang diberi. Tidak berapa lama dia tekun menatap buku di situ, tiba-tiba pandangannya beralih arah.
Entah kenapa, tanpa dipaksa bibirnya bijak saja tersenyum apabila melihat seorang pelajar lelaki berpakej lengkap yang bernama Gibran itu melangkah masuk. Dengan gayanya, dia melabuhkan punggungnya di satu sudut yang jauh.
Faisal mula tidak keruan. Senyuman yang terukir dengan sendirinya tadi makin meleret hingga ke cuping telinga.
Tiba-tiba Gibran membalas senyuman yang dihulur. Faisal tergamam seketika seakan-akan tidak mempercayai apa yang berlaku. Dia menundukkan wajahnya sedikit dan kembali menatap buku teks yang ditinggalkan.
Dalam diam-diam, Gibran tiba-tiba muncul betul-betul di depan matanya. Faisal tergamam sekali lagi. Dia menjadi keliru apakah suhu dingin dari dalam bilik itu yang menyentuh tulangnya atau mungkinkah dia gementar melihat Gibran sedang tekun menatap matanya kini. Nyatanya, serentak itu juga dia menggigil kesejukan.
"Buat homework?" Sapa Gibran lembut.
"Ya?" Faisal buat-buat terkejut.
"Saya tanya buat homework ke?"
"Ya," dia mengangguk.
"Saya Gibran"
"Tahu. Boleh baca kat name tag awak," Faisal menunjuk tag nama yang tersangkut di poket baju lelaki itu.
"Saya Faisal," dia memperkenalkan diri dengan menunjuk tag namanya juga.
"Ya tak ya juga. Tak perasan pula ada name tag."
"Tak apa. Buat homework juga?"
"Tak lah. Saja buang masa. Saya nampak awak datang sini. That’s why saya datang."
Faisal ketawa besar. "Pandai awak buat lawak kan? Saya teruja!"
"Saya tak main-main lah. Saya nampak awak masuk sini tadi, tu sebab saya pun masuk. Nak tengok awak. Boleh?"
Faisal menekup mulut. "Awak tak main-main?" Soalnya kembali dengan suara yang seakan-akan hilang.
Gibran menggeleng.
Ya, Gibran tidak berbohong. Dia akui, memang sudah agak lama dia memerhatikan Faisal dari jauh. Katanya Faisal tidak seperti pelajar lelaki yang lain.
"Itu saya tahu. Memang satu sekolah tahu saya ni lain dari yang lain," jawab Faisal sambil mematahkan tangannya.
Tapi bukan itu yang dimaksudkan oleh Gibran. Katanya ada ramai pelajar lelaki yang sama sejenis dengan Faisal di sekolah itu.
Dia mula menyebut nama mereka satu persatu. Ada jenis yang terang-terangan diketahui statusnya, malah ada juga yang jatuh di kategori orang yang sentiasa menggaburi mata pelajar lain dengan mendampingi ramai pelajar wanita yang lain tetapi dalam masa yang sama turut sama mendampingi pelajar lelaki yang lain juga.
Faisal terkejut apabila mendengar nama-nama yang dirahsiakan itu. "Kalau macam tu, apa bezanya saya dengan pelajar lain itu?" Soalnya mencari kepastian.
"Awak lain sebab awak sibuk dengan dunia awak. Saya tak pernah dengar pula yang awak ada bercinta-cinta dengan pelajar kat sekolah ini. Ada ke?"
"Oh, tak ada lah. Malas. Lagipun saya tak glamor kat sekolah ni, tu pasal lah saya tak bercinta-cinta dengan sesiapa, kot?" Jawabnya.
"Siapa kata Faisal tak glamor? Faisal tahu tak, nama-nama yang saya sebut tadi semua nak kawan dengan Faisal tau!"
"Ya ke?"
"Iya..."
Faisal mula menaruh minat untuk meneruskan perbualan. "Tak sangka pula saya ni boleh jadi bahan bualan kaum sejenis. Kalau macam tu, apa beza pulak awak dengan orang lain?"
"Beza saya dengan orang lain, saya berterus-terang nak kawan dengan awak. Tak macam diorang. Pengecut," balas Gibran selamba. "Itupun kalau awak sudi. Kalau tak, tak kan saya nak paksa pulak, kan?"
Betul juga, kata Faisal dalam hati. Bibirnya tersenyum simpul. Kalau boleh mahu saja dia menjerit keriangan waktu itu tetapi dia cuba mengawalnya agar tidak terlalu jelas menunjuk.
"Mak saya ada cakap, kalau orang nak berkawan, kita jangan menolak dan kalau orang nak bermusuh, kita jangan cari. Awak nak berkawan saja, apa salahnya kan?" jawapan secara neutral diberi.
Mulai dari saat itu, hubungan di antara mereka berdua telah terjalin dengan begitu akrab. Setiap petang mereka akan memastikan untuk meluangkan masa bertemu di dalam perpustakaan. Selain mengulangkaji pelajaran, masa yang ada itu juga digunakan utnuk mengenali hati budi masing-masing. Dari sehari ke sehari, hubungan akrab itu telah semakin lama semakin jauh melampaui batasan fitrah manusia.
Hubungan terlarang mereka terjalin hingga setahun. Faisal masih teringat saat pertama dia melakukan sesuatu di luar tabii bersama Gibran. Dia merasakan dirinya telah kotor dan berdosa kepada tuhan. Namun atas desakan syaitan, kotor dan dosa itu lama kelamaannya terpadam entah ke mana. Dia semakin alpa.
Sepanjang tempoh itu juga, tiada seorang pun di kalangan pelajar mahupun guru di sekolah itu yang mengetahui tentang perhubungan yang terjalin. Masing-masing telah berjanji untuk menyembunyikan kisah cinta terlarang itu dari diketahui umum.
Alasannya, Gibran pelajar yang dihormati di sekolah. Dia bimbang gara-gara hubungan terlarang itu nanti, kredibilitinya sebagai seorang bintang sukan yang disegani akan hancur.
Tambahan pula, memandangkan dia seorang pelajar miskin yang diambil dari rumah anak-anak yatim maka seluruh kos pembelajarannya dibiaya oleh pihak sekolah juga dan jika mereka mendapati pelajar harapan di sekolah itu tidak seperti mana yang diharapkan, namanya akan digugurkan untuk terus menuntut di situ.
Faisal akur dengan janji yang dimeterai itu.
Dipendekkan cerita, satu hari Faisal mula menghidu sesuatu yang memelikkan di dalam perhubungan mereka. Ianya bermula dengan suara-suara sumbang yang mengatakan Gibran seorang lelaki gay. Penuh nota-nota kecil mengatakan kekasih gelapnya itu telah membuat maksiat dengan seorang pelajar lelaki lain di sekolah itu tertulis di dinding.
Dia mula bingung memikirkan bagaimana hubungan rahsia mereka itu boleh diketahui umum dengan meluas sebegitu. Dan yang makin memelikkan lagi, mengapa hanya Gibran saja yang diperkatakan orang.
Akhirnya untuk mengetahui perkara yang sebenar, dia mula menyelidik dan setelah sekian lama membuat penyelidikan, dia mula mendapat jawapan yang sebenar.
Kisahnya, pada satu hari ada seorang pengawas senior telah menangkap Gibran yang sedang melakukan aksi panas di luar tabii bersama pelajar lelaki junior yang lain di dalam tandas sekolah.
Mereka berdua kemudiannya telah dibawa menghadap pengetua dan guru disiplin. Mungkin kerana Gibran telah dianggap sebagai "ayam tambatan" di sekolah itu, maka dia cuma diberi amaran untuk tidak melakukan perkara itu lagi.
Berbeza dengan pelajar junior itu pula, ibu bapanya dipanggil dan dia diarahkan untuk berpindah ke sekolah lain.
Sebaik saja mendengar berita itu, Faisal membuat keputusan untuk duduk bermurung di dalam bilik hampir sebulan lamanya. Pelajarannya terganggu malah keputusan peperiksaan penggal yang diambil juga tidak langsung memuaskan.
Balqis dan Iqram runsing melihat perubahan mendadak terhadap anak lelakinya itu. Apabila ditanya, jawapan tekanan pelajaran di sekolah, diberi namun setelah dia ditekan oleh ibu bapanya untuk menjelaskan perkara yang sebenar, akhirnya dia bernekad untuk berubah.
Bermula dari saat itu dia berjanji pada dirinya sendiri untuk tidak terus terjatuh cinta dengan mana-mana lelaki di sekolahnya itu lagi. Dia mahu kembali menjadi Faisal yang dahulu. Yang hanya menumpukan perhatian pada pelajaran dan menjauhkan diri dari cinta yang menyesatkan ini.
Gibran juga tidak langsung ditemuinya. Berbagai-bagai cara dan alasan digunakan untuk mengelakkan diri dari bertemu atau berbicara dengan lelaki itu sehinggalah cuti sekolah bermula.
Sebaik saja semester baru kembali dibuka, dia pulang dengan azam dan diri yang baru. Manakala Gibran pula langsung tidak kelihatan. Tiada siapa pun yang tahu ke mana dia menghilang. Ada khabar angin mengatakan dia sudah berhijrah ke negeri lain. Ada pula suara-suara keji yang berkata Gibran telah membunuh diri akibat tekanan yang diterima.
Wallahualam.
Faisal tidak bersedih malahan dia mengucap syukur kepada tuhan. Dia merelakan pemergian Gibran itu. Biarkan dia pergi sejauh mana yang dia mahu. Biarkan dia pergi dengan rahsia yang disimpan sehingga mati. Sekurang-kurangnya tiada siapa yang tahu tentang perhubungan yang pernah terjalin di antara mereka berdua dahulu.
Kata gurunya, manusia itu sentiasa belajar dari kesilapan dan kegagalan. Jika kita gagal sekali, bermakna kita sudah membuang satu kegagalan dalam perjalanan kita untuk menuju kejayaan. Faisal setuju. Dia percaya pada karma. Dia juga percaya pada hikmah. Ada sebab kenapa tuhan wujudkan sesuatu perkara itu.
Itu kisah cinta pertama. Ini pula kisah cinta yang baru.
Baru sebentar tadi dia menerima panggilan dari Syafiq. Lelaki itu mahu bertemu dengannya malam ini. Ingin makan malam bersama, katanya. Faisal tidak menolak. Padanya ini peluang keemasan yang ditunggu-tunggu. Mungkin dengan cara ini dia dapat mengenali lelaki yang bernama Syafiq itu dengan lebih dekat lagi.
Faireen pula pelik melihat adiknya itu kelihatan gembira sepanjang hari. "Eh, apa yang termenung jauh nih? Terkenangkan boyfriend lah tu!" Dia tersentak apabila Faisal tiba-tiba muncul di depan mata.
"Tak adalah. Aku tengah fikir nak masak apa malam nanti," jawab Faireen sambil membuka pintu peti sejuk. "Yang kau ni dari tadi aku tengok happy je. Kenapa?"
Makin lebar senyuman yang terukir di bibir adiknya itu. "Kau tak payah masak banyak-banyak. Malam ni aku nak keluar dinner dengan kawan," jawabnya riang.
"Dengan siapa?"
"Adalah! Biarlah rahsia…"
"Kau ni. Cik Yah nak datang rumah malam ni. Nak jumpa Ibu..."
"Cik Yah kepoh? Apasal dia datang? Ishhh!!!"
"Laaa. Kan Ayah kat hospital. Dia nak datang melawat lah agaknya. Sengal lah pula kau ni tetiba kan?"
"Kalau macam tu baik aku blah cepat-cepat. Malas aku nak dengar cerita anak beranak dia. Nanti kau tengok lah, dia mesti tanya kau bila nak kahwin!"
Faireen ketawa, "biarlah dia tanya, Sal. Aku dah lali dah dengan soalan dia tu!"
"Baguslah kalau macam tu. Aku rimas. Eh, OK lah, aku dah nak siap-siap ni. Kau kirim salam je lah kat dia, eh?"
"Eh, cakap lah siapa yang kau nak jumpa ni? Nanti Ibu tanya lah!"
"Syafiq!" Jerit Faisal sebelum menaiki tangga ke biliknya.
"Syafiq? Syafiq mana?" Faireen berlari ke ruang tamu. "Hey, Faisal! Syafiq mana?" Jeritnya sekali lagi.
Faisal keluar. Baju yang dipakainya tadi sudah terlucut dari badan. Seluar pendeknya juga telah berganti dengan tuala mandi. "Syafiqah lah!" Bohongnya.
"Oh, Syafiqah…" Faireen tersenyum lebar. Lega.
Dalam perjalanan pulang dari hospital semalam, mereka banyak bertukar cerita. Kata Faisal dia masih mencari calon yang sesuai untuk dijadikan isteri.
Waktu itu Faireen hanya mampu untuk tersenyum. Bukannya dia tak tahu yang adiknya itu berbohong. Satu keluarga tahu Faisal sukakan lelaki cuma mereka sengaja tidak mahu berbincang secara terbuka saja.
"Syafiqah? Ke Syafiq?" Faireen mula geli geleman.
ah!panjang gila!
BalasPadamni aku kena ambik cuti baca blog ko ni.haha
ala.... x reti2 nak amik cuti? ngular pun oke. cam x biasa....
BalasPadamcuti raya nanti sambung baca.
BalasPadamtak leh ponteng kuliah.
hehe
seri....
BalasPadameloklah tuh... nnt raya leh recap mana yg tertinggal ok....
tidak saya faham ini cerita ooooo. .
BalasPadamtaa faham sgt,, :)
BalasPadam