Selasa, 11 Ogos 2009

Bab 6. Pegangan hidup vs. pandangan hidup

1. eh shaz ko dah kurus la.... gi makan balik. x anggun dah!!!
2. shaz, umor ko dah masuk 30an kan... x elok kurus... biar berisi sket.....
3. shaz, kalo ko lepak CM mesti ko kene angkut ngan polis sebab dia orang ingat ko amik ice.
4. (dlm chatroom) ko dah balik KL? lama dah x jumpe ko ... mesti ko makin gemuk, kan?

***BUDUHLAH KENGKAWAN AKU NIH................








Hidup ibarat bahasa asing; semua orang tidak dapat menuturkannya dengan betul ~ Christopher Morley (1890 - 1957)



Bob terkejut apabila seluruh Maju Inc. bercerita tentang kisah setiausaha kesayangan mereka meninggalkan pejabat pagi itu di dalam keadaan tergesa-gesa. Kata mereka, wajah Nirina kelihatan pucat lesi, seolah-olah tiada setitik darahpun yang mengalir di dalam tubuh.

Hatinya mula merasa ralat sedikit. Jika tidak kerana melayan kerenah perutnya yang meragam pagi tadi, tentu dia dapat menahan Nirina dari pergi. Ataupun setidak-tidaknya tentu dia dapat tahu punca sebenar kenapa wanita cantik manis itu meninggalkan pejabat dengan wajah sugul sebegitu.

Matanya menjeling kepada paket Teh Tarik Ramping buatan Indonesia yang diminumnya sejak seminggu dua yang lalu. Elok saja tersusun di dalam laci meja beserta resit pembeliannya sekali. Kata Nirina, teh itu bagus untuk menjaga kesihatan lelaki selain terbukti juga berkesan membantu mengurangkan berat badan.

Dia mendengus sambil mengusap perut yang semakin membuak. Mengurangkan berat badan? Bagai nak mampus aku buat lawatan berkala ke toilet setiap hari, tak jugak kempis-kempis perut munggil aku ni? Rungutnya di dalam hati.

"Hmmm… gebu," tiba-tiba telinganya terngiang-iang kembali ayat pertama yang keluar dari bibir halus Nirina di saat kali pertama mereka bersua muka di pejabat satu ketika dahulu. Peliknya, walaupun berdesing telinganya mendengar waktu itu namun mulutnya bagaikan terkunci untuk membidas kembali kata-kata sinis itu.

Dia mula mencongak-congak mencari punca yang sebenar. Mungkin tubuh Nirina yang tinggi dan langsing itu membuatkan hatinya mudah untuk terjatuh cinta. Mungkin juga kulitnya yang putih kemerah-merahan yang telah berjaya membuatkan dirinya tertawan. Atau mungkin juga baris gigi putihnya nampak tersusun indah apabila dia menguntum senyum.

Hmmm… Bob keliru.

Kata ibunya dahulu, golongan lelaki itu terbahagi kepada dua pecahan. Golongan lelaki muda dan juga golongan lelaki tua. Selain itu, setiap golongan itu terbahagi kepada dua pecahan lagi. Golongan lelaki yang mencari pandangan hidup dan juga yang ingin turutkan pegangan hidup.

Pandangan hidup khususnya kepada golongan lelaki muda saja. Kerana lelaki muda kebiasaannya lebih terburu nafsu. Manakala lelaki yang sudah berumur pula lebih cenderung kepada pegangan hidup kerana mereka tidak lagi terlalu taksub dengan apa yang dipandang di hadapan mata.

"Orang lelaki muda macam kau ni, Bob. Kalau dah terpikat apa yang dipandang, terus hidup lah pucuknya, tu!"

Bob ketawa besar. Katanya falsafah ibunya itu karut belaka. "Lelaki tua zaman sekarang makin tua makin menjadi, Mak. Lagi hebat dari orang muda lah. Tak payah tunggu dipegang, angin tiup je dah menggeletar tulang lutut, dah! Jadikan saja Iqram tu sebagai contoh yang terdekat! Haha!"

Ibunya mengangguk setuju.

Sebelum Bob mula bekerja di Maju Inc., Kak Yah dan adik iparnya, Balqis sudahpun memberikan satu tugasan luar kepada anak lelakinya itu untuk dilaksanakan.

Mereka namakan jawatan tersebut, Pemerhati PBB dan tugas utama sebagai Pemerhati PBB ialah untuk memerhati segala gerak-geri Iqram yang mencurigakan. Mulanya Bob ingkar tidak mahu mengikut sama dengan pakatan yang dibuat tetapi setelah mereka berkeras memaksa, akhirnya dia terpaksa juga menurut.

Dalam masa yang sama, dia juga bingung memikirkan tindak tanduk isteri yang mencurigai suami sebegini. "Jika begini lah sudahnya hidup berumahtangga, si isteri sibuk mencurigai suami, dan suami pula sibuk membelakangkan isteri, lebih baik Bob tak payah kahwin je, Mak. Hidup membujang lagi bahagia…" Jawabnya ketika menerima jawatan baru yang dipikul itu.

Sambungnya lagi, "Bob nak cari seorang isteri yang setia. Seorang wanita yang jujur, yang pandai menjaga hati, dan yang penting dia tahu menghargai kasih sayang yang dicurahkan oleh suaminya sendiri. Bob juga nakkan wanita yang pandai diajak berbual, yang kelakar, yang suka bergurau senda. Jadi tak lah hidup Bob kebosanan…"

"Dan yang penting, Bob tak mahu isteri yang hanya cantik diluaran, je. Kata orang, kain putih jika dah lama dipakai akhirnya kepam juga warnanya kan, Mak? Bob tak nak isteri Bob nanti kepam warnanya!"

Kak Yah tergelak besar. "kalau macam tu kau tunggu je lah bidadari kat syurga nanti, Bob. Itupun kalau kau masuk syurga. Kat dunia ni kau jangan haraplah dapat perempuan yang sempurna macam tu…"

Tidak! Nirina cukup sempurna! Nirina putih bersih sampai bila-bila! Jerit hatinya kuat.

Kenangan sewaktu kali pertama hubungannya dan Nirina menjadi mesra kembali terimbas di ingatan. Malam itu malam minggu yang istimewa bersempena dengan sambutan ulangtahun syarikat milik Iqram yang ke sepuluh. Seperti yang telah dirancang, kesemua pekerja telah sebulat suara untuk menyambut ulangtahun bersejarah itu di salah sebuah pusat hiburan karaoke terkenal di ibukota.

Bob memang gemar menyanyi. Sebut saja nama lagu beserta penyanyinya, lancar saja bibirnya bergerak mengikut alunan lagu. Kebetulan, malam itu dia dipinta pula oleh pekerja lain untuk menyanyikan sebuah lagu duet bersama Nirina. Seperti orang mengantuk yang disorongkan bantal, dia tidak langsung membantah.

Selesai menyanyikan lagu cinta itu, Nirina tiba-tiba saja hilang entah ke mana. Kata Tan, ada beberapa orang rakan sekerja yang lain sudah mula beransur pulang. Sampuk Leon pula, Nirina mungkin ke tandas saja memandangkan dia tidak berkata apa-apa sebelum pergi.

Bob terus bingkas bangun meninggalkan bilik yang hiruk pikuk itu. Kakinya pantas meluru ke tandas. Hatinya bersemangat untuk terserempak dengan Nirina di situ. Belumpun sempat dia melangkah masuk ke tandas lelaki, kelibat Nirina yang baru keluar dari tandas wanita muncul di belakang. Niatnya untuk membuang air tadi terhenti. "Nirina!" Jeritnya.

Nirina menoleh. Matanya merah seperti baru menangis. "Saya kena balik dulu, saya ada hal," jawabnya pendek sebelum terus berlalu pergi.

Bob berlari mendapatkan perempuan itu semula. "Kenapa?" Soalnya kembali.

"Tak ada apa-apa."

Dia ditinggalkan tercegat berdiri di tengah-tengah lorong kecil di antara bilik-bilik karaoke di situ. Hatinya tertanya-tanya mengapa perempuan secantik Nirina itu boleh menangis sebegitu. Siapa yang telah menghancurkan hatinya?

Lama dia termenung, akhirnya dia mencapai satu keputusan. Untuk mengetahui jawapan pada persoalan itu Nirina harus aku ekori.

Keadaan Jalan Ampang malam itu sibuk seperti biasa. Kenderaan di kesemua laluan hanya mampu untuk bergerak perlahan. Bob yang menunggang motorsikal girang apabila dapat menyelit-nyelit di celah-celah kereta.

Sejak dari tadi dia membontoti kereta Nirina. Dia sedar tindakannya itu agak keterlaluan tapi nalurinya kuat ingin menyelesaikan masalah yang terpendam. Dia tidak peduli apa jua reaksi dari perempuan itu nanti apabila tahu dirinya diekori. Yang penting, dia mahu Nirina tahu apa jua yang berlaku, dan dalam apa jua keadaan sekalipun, dia akan sentiasa mahu membantu.

Tiba di simpang berdekatan dengan rumahnya, kereta yang dipandu diberhentikan di tepi jalan. Bob mula merasa bimbang. Diperhatikan keadaan sekeliling. Sunyi sepi. Tiada langsung kenderaan lain yang melalui jalan gelap itu kecuali mereka berdua saja.

Hatinya mula berdebar-debar. Takut jikalau tindakan bodohnya ini tidak direstui. Lima minit kemudian, Nirina keluar menunjukkan muka. Wajahnya semakin sembab mungkin kerana terlalu lama menangis. Dalam kebimbangan, Bob tetap melemparkan senyuman yang agak kelat.

"Kenapa awak ikut saya ni?" Tanya Nirina dengan wajah yang serius sambil memeluk tubuh.

"Maaf lah kalau awak marah. Saya cuma risaukan awak saja."

"Apa yang awak nak risaukan? Saya kan dah besar panjang?"

Bob tergaru-garu di belakang kepala yang tidak gatal. Betul juga kata perempuan itu. Dia sudah besar panjang, apa yang aku perlu risaukan sebenarnya? "Awak menangis kan tadi?"

"So?"

"So..." kali ini Bob tergaru-garu hidungnya yang tak berapa mancung itu pula. Otaknya mula mencari-cari jawapan yang sesuai. "So saya risau. Saya tak suka tengok awak menangis. Saya sukakan awak. Siapa yang buat awak menangis tu memang tak patut! Nanti saya kerjakan orang tu!"

Nirina tertawa kecil mendengar jawapan dari Bob itu. "Awak nak kerjakan siapa? Ayah saya? Orang tua tu tengah sakit dekat kampung. Pergilah kerjakan dia!"

Muka Bob mula bertukar menjadi merah padam akibat menahan malu. "Ayah awak sakit?" Soalnya kembali. Kepalanya digeleng-gelengkan, diikuti dengan hilaian tawa yang kecil. Lama dia menepuk dahi, menyesal. Akhirnya dia memohon maaf.

Wajah Nirina yang kelihatan sembab akibat bersedih tadi kemudiannya beransur ceria kembali. Entah kenapa hatinya turut tercuit dengan tindakan Bob yang keanak-anakan itu. Setelah beberapa minit mereka berbual di simpang jalan itu, Bob dipelawa untuk naik ke atas rumah kemudiannya.

Janji Nirina, perbualan mereka tamat apabila teh o panas segelas di tangan habis dihirup. Kononnya, dia tidak mahu sesuatu yang tidak diingini berlaku. Akan tetapi, tahu-tahu keesokan harinya, mereka berdua berada di atas katil yang sama.

Bob tersedar. Waktu itu dia cuma berseluar dalam putih yang dipakai sejak dari rumahnya semalam. Seluar jeans hitam lusuh yang tersarung di kaki kini sudah bersepah di atas lantai bilik. Baju kemeja T warna biru mudanya pula tersusup di bawah selimut.

Apabila ditarik selimut tebal itu, matanya tiba-tiba terjegil besar. Nirina sedang tidur mengiring di sebelah tanpa dibaluti seurat benang sehingga menampakkan susuk tubuhnya yang halus. Matanya yang erat terpejam kelihatan masih nyenyak walaupun jam menunjukkan lewat pukul sepuluh pagi.

Bob terpinga-pinga. Dia segera bangun. Apa yang aku dah buat ni? Serentak itu juga peluh jantannya mula jatuh bercucuran.





2 ulasan:

  1. cara cerita ni disampaikan ok la membuatkan pembaca x sabo ye nk tunggu ape jadik....nasib la x publish tro buku klu x mau aku x tido sbb nk baca spi abes..ekekeke...

    BalasPadam
  2. hehehe... bagusla kerana ada yg sudi follow....

    BalasPadam