Rabu, 19 Ogos 2009

Bab 11. Si jantung hati

** aku pergi klinik siang tadi. doktor cuma beri ubat demam, selsema, antibiotik. nampaknye demam aku nih bukannya tanda2 H1N1. alhamdulillah. harap2 tekaan doktor tuh betul. anyway, kakak aku dimasukkan hospital mlm tadi atas jangkitan yg sama. mulanya dia demam n sakit dada... tau2 doktor kata paru2nyer sudah dijangkiti kuman. takut tak.....

harap2 dia segera sembuh....





Bab 11. Si jantung hati






Pertemuan itu seringkali menyembuhkan hati yang lara akibat lama berpisah kerana tiada siapa yang bisa menahan keperitannya ~ Nicholas Rowe







Rancangan realiti TV yang bermain di kaca TV tak diendahkan langsung. Faisal mundar mandir di dalam bilik seperti orang yang hilang tumpuan. Sesekali dia ke bilik air untuk membetulkan rambutnya. Sudah tiga helai baju yang dipakainya ditukarganti.

Dari kemeja T berwarna merah ikut potongan badan, ditukar ke kemeja T putih kolar V, hinggalah ke kemeja hitam berlengan panjang namun masih juga dia tidak berpuas hati dengan penampilannya petang itu.

Cermin muka disudut tepi dinding lama ditenungnya pula. Jika cermin itu boleh berkata-kata, mahu saja diteriaknya Faisal waktu itu, "sudahlah! Sudah!" Tetapi dia tidak pernah ambil peduli.

Selesai memilih baju, parut-parut kecil di mukanya pula disapukan bedak sedikit. Biar nampak licin, kata hatinya. Dia berdiri. Berpusing 360 darjah sambil membelek diri di depan dan juga belakang. Puas. Sedang leka membelek wajah, telefon bimbitnya tiba-tiba berbunyi. Satu pesanan masuk diterima dari Ibu.

Katanya: JANGAN LUPA BAWA KAIN PELIKAT AYAH DUA TIGA HELAI.

Dia menelek jam di dinding. Ish, dah terlambat dah ni, rungutnya sendirian. Kain pelikat dan baju T Ayah yang telah siap disimpan di dalam beg plastik sejak malam tadi dijinjing.

Sebelum melangkah keluar, sempat lagi dia menyembur minyak wangi ke seluruh badan. Habis semerbak satu bilik harumnya.



Dalam kereta menuju ke destinasi, Faisal banyak terfikir tentang kejadian ayahnya jatuh rebah di dalam biliknya petang semalam. Ketika itu dia dan ibunya sedang rancak berbual sambil mengisi perut di meja makan. Mulanya mereka ketawa besar bila mendengar bunyi dentuman kuat dari atas rumah. Ibunya menjerit, "orang tua ni jatuh katil lagi lah ni… nangka mana yang jatuh tersembam tu?" Disambut dengan hilai ketawa mereka anak beranak.

Sesudah selesai menjamu selera, Ibu kemudiannya naik ke atas bilik untuk menunaikan solat asar. Syukur hatinya tergerak untuk tidak melengah-lengahkan solat, jika tidak tentu lebih lama lagi Ayah terbiar pengsan di situ.

Sebaik saja melangkah masuk, dia berleter apabila melihatkan Ayah sudah terbaring di atas lantai. "Tidur mati ke apa orang tua ni? Bangun lah! Orang nak sembahyang!" Herdiknya.

Mulanya dia tidak berhenti-henti merungut tetapi apabila keadaan Ayah masih juga begitu, dia mula panik. Akhirnya dia terus menjerit minta tolong.

Di dalam keadaan yang kelam kabut itu, Ayah kemudiannya dikejarkan ke hospital. Tiba di sana, dia terus dimasukkan ke wad sakit jantung. Waktu itu, pelbagai persoalan mula timbul di dalam kepala mereka berdua.

Lebih-lebih lagi pada persoalan mengapa Ayah boleh rebah di situ sedangkan mereka tahu orang tua itu memang tidak pernah tinggal mengambil ubat?

Doktor memberi tiga kemungkinan - Mungkin Ayah terlupa, mungkin juga dia runsing di tempat kerja., atau mungkin dia banyak berfikir.

Akhirnya sang doktor tadi menasihatkan Ayah supaya banyakkan berehat. Selain itu katanya, faktor usia juga sudah semakin menghalang diri dan minda Ayah untuk berfikir tentang perkara yang agak berat.

Faisal setuju.

Ibu pula sibuk menangis.



Hari ini kata Ibu, Ayah masih juga kelihatan lemah. Matanya masih terpejam erat. Sebaik saja dia tersedar dari tidurnya pagi tadi, dia meminta kain pelikat dan tuala kegemarannya dari rumah. Ibu pula mungkin dalam kecelaruan itu terlupa untuk menyiapkan dua barang kegemaran Ayah itu.

Akhirnya Ayah merungut panjang. Tubuhnya yang panas dijadikan alasan. Mahu tak mahu, terpaksa Ibu berpusing satu hospital untuk mencari tuala basah buat pengelap badan.

Setengah jam mencari, akhirnya dia terjumpa sehelai tuala yang dipinjam dari pihak hospital. Dibasah-basahkannya tuala keras itu dengan air yang seju beku. Dalam tangannya sibuk mengelap tubuh pejal ayah itu, tiba-tiba telinganya dihidang dengan satu nama yang jarang dia dengari.

"Nirina, basah kan kain tu sikit lagi, dah kering..."

Ibu pelik. "Nirina mana pula, ni Bang?" Soalnya semula namun Ayah mati-mati tidak mahu mengaku ada menyebut nama wanita itu.

"Ish, awak dah makin nyanyuk! Pergilah! Cukuplah tu. Saya nak tidur ni!" Arahnya keras.

Sekali lagi Ibu menitiskan airmata. Hatinya tiba-tiba merasa bimbang. Kata orang tua-tua, semakin dekat manusia itu dengan ajalnya, semakin mudah pula mulutnya untuk berkata yang bukan-bukan.

Tanda orang buang tabiat, kata neneknya dahulu.

Ibu takut. Dirinya belum bersedia untuk menghadapi saat-saat Ayah buang tabiat lagi.



Kemudian Ibu merungut pula kenangannya ketika seminggu dua sebelum abangnya, Bakri pergi dahulu. Kata Ibu, arwah mengeluarkan wang simpanannya sehingga habis hanya kerana ingin membeli pakaian baru untuk anak-anaknya yang masih kecil. Kak Yah mengamuk sakan waktu itu tetapi arwah cuma tersenyum. "Entahkan esok entahkan lusa aku tak dapat tengok anak-anak aku bergaya dengan baju baru lagi," jawabnya selamba.

Lain pula kisahnya dengan arwah datuk. Dibelinya kain putih empat lima meter untuk dijadikan selimut dan semakin hampir dengan masanya dijemput tuhan, arwah semakin suka pula dengan selimut barunya itu.

Arwah nenek pula meninggal dunia di tanah suci Mekah. Dia menangis teruk sebelum berangkat ke sana dulu. Diberinya cincin perkahwinannya kepada Ibu untuk dijaga. Sebelum pergi juga dia berpesan agar Ibu menjaga keluarga dengan sebaik mungkin. Sehingga kini cincin pemberian nenek itu masih lagi terlekat di jari.









Jam dipergelangan tangan ditelek lagi. Keadaan lalulintas di Jalan Ampang petang itu tidak langsung membantunya melancarkan pemaduan. Ibu baru saja membuat panggilannya yang ke empat sekejap tadi. Bising menanyakan ke mana anak bujangnya itu pergi. Faisal bingit. Lagi dia menjawab, lagi panjang leteran ibunya. Akhirnya dia diberi masa sepuluh minit saja untuk tiba di situ. Faisal tidak membantah. Dia muncul di perkarangan hospital swasta itu sembilan minit kemudiannya.

Turun dari kereta, dia berlari masuk untuk ke tingkat lima wad pesakit jantung. Dari pintu depan hospital itu ke lif pelawat jaraknya dalam dua ratus meter. Dia bengang. Penat dia bertawaf satu tingkat, pintu lif langsung tidak terbuka pula.

Lama juga dia menunggu di situ. Orang lain makin lama makin ramai berhimpun. Dia mula rimas. Hendak didaki tangga kecemasan, kakinya terasa berat. Air yang ditahan di dalam pundi kencing sewaktu dalam kereta tadipun makin lama makin diminta untuk ditumpahkan. Akhirnya dia menukar destinasi. Langkahnya laju berlari ke tandas berdekatan.

Perutnya terasa lega apabila tugasnya di dalam tandas itu selesai. Sebelum melangkah keluar, wajib baginya untuk menatap cermin dahulu. Sedang dia leka membelek diri, tiba-tiba kelibat seseorang yang dikenalinya jelas berjalan masuk di belakang.

Dia berpaling tetapi lelaki itu menguncikan dirinya di dalam bilik jamban pula. Betulkah apa yang baru dilihatnya tadi? Dia tertanya sendiri. Lama termenung akhirnya dia mengambil keputusan untuk menunggu saja di situ.

Lima minit, lelaki itu tidak keluar juga. Selepas sepuluh minit pun begitu, masih juga tidak nampak bayang. Dalam masa yang sama, telefonnya terus-terusan berdering namun dia mengambil keputusan untuk tidak menjawabnya. Dia menelek jam tangan sekali lagi. Sudah lima belas minit dia berdiri di situ tetapi lelaki yang ditunggu tetap tidak menampakkan wajah. Dia ketawa di dalam hati. Besar sangat "tanggungjawab" lelaki itu nampaknya.

Dua puluh minit kemudian, Ibu menelefon lagi. Mahu tak mahu panggilan itu dijawab juga. "Ya, dah sampai. Ada kat toilet ground floor ni, sekejap lah." Jawabnya sebelum menamatkan perbualan. Kemudian kedengaran bunyi air dipam dari bilik jamban yang ditunggu.

Dia tersenyum lebar. Wajahnya dipalingkan semula ke cermin. Air di sinki dibukanya besar-besar. Sengaja berpura-pura seperti membasuh tangan. Sebaik pintu bilik kecil itu dibuka, dia menaikkan wajahnya sedikit.



Matanya terus terbeliak besar. "Syafiq?!!" Dia tergamam.

"Hey you! Faisal kan?" Soal Syafiq kembali terkejut juga. "Awak buat apa kat sini?"

"Nak lawat ayah saya. Dia kena sakit jantung. Awak?"

"Saya hantar kawan. Ayah dia kena sakit jantung juga…"

Tanpa dipaksa berderai tawa besar terkeluar dari mulut masing-masing.

"Kebetulan pula kita berjumpa kat sini kan?"

"Dunia ni memang kecil lah!"

"Ya, lah. Saya pun pelik sebenarnya. Lepas turun kat KLIA hari itu awak hilang. Awak ke mana?"

Syafiq tersenyum lebar. "Tak ada pelik lah. Tak ada apa yang misteri pun. Saya ada connecting flight ke Medan lepas tu, itu yang awak tak nampak saya kot?"

"Oh, ada connecting flight rupanya. Eh, tapi sekejapnya awak ke Medan? Urusan kerja ke?"

"Errr..." berkerut dahi Syafiq mencari jawapan yang sesuai. Betul kata Faisal memang sekejap benar dia ke sana. Tak sampai sehari pun. "Ya. Kerja," sambungnya berbohong. "Eh, oklah saya balik dulu. Awak dah jumpa ayah awak ke belum?" Soalnya lagi sebelum meminta diri.

"Saya baru sampai. OK lah kalau macam tu. Kita jumpa lagi."

"Bila?"

Faisal tersenyum.

"Apa nombor telefon awak?"

Ibarat pucuk dicita ulam pula yang mendatang, soalan yang baru didengarinya tadi diterima dengan hati yang luas terbuka. "0192319171".

"OK, nanti saya call. Awak take care, ya?" Jawab Syafiq selepas menyalin nombor yang diberi.

"Ya. You too," balas Faisal gembira.

Sebaik saja lelaki itu hilang dari penglihatan dia mula jadi tak tentu arah. Terlompat-lompat keriangan bagaikan budak kecil mendapat duit raya yang berguni-guni banyaknya. Hatinya gembira. Buat kedua kalinya doanya dimakbul tuhan. Betul lah kata pepatah, ikan di laut, asam di darat, dalam tandas pun boleh juga bertemu. Nampaknya aku ada jodoh dengan dia! Hatinya menjerit kuat.

Tidak lama kemudian, telefonnya berdering sekali lagi.

"Mana kau? Ayah dah bising nak kain pelikat dia..."

"Faireen? Bila kau sampai?" lompatannya yang tinggi tadi terhenti.

Sekali lagi dia tergamam.

4 ulasan:

  1. aha!gotcha!pasnie berebut la adik beradik...rasa2nya si adik akan menang...faisal tu adik kan??

    BalasPadam
  2. wah sungguh pjg....

    sgt rajin!!!!!

    telah bjaya curi 8 min karl

    BalasPadam
  3. buyui;
    hahah... mari kite lihat sapa yg kena!!!!!

    karl;
    ye ker... tahniah!!

    BalasPadam
  4. semoga cepat sembuh ek!! kang tergendala pulak ler citer ni nak abih. minum air bebanyak .. orang kata juice apple hijau sangat mujarab! cubalah .. buat utk sister u sekali .. serious ni bukan memain.

    n selamat berpuasa .. hah! jgn abihkan masa kat bazaar ramadhan pulak!

    AiLing.

    BalasPadam