** 2nd day puasa. mengidam kuih muih melayu n tau fu fa panas. cukup buka puasa dgn tuh jer rasanyer.... anyway, aku perasan ada silent reader dlm novel pucuk nih rupanyer... best ker citer nih u ol???
Bab 15. Makan malam
Ada waktunya aku terjaga di waktu malam dan bertanya, "di manakah kesilapanku?" Lalu ada suara yang menjawab, "aku memerlukan beberapa malam untuk menjelaskan kesemuanya," ~ Charles M. Schulz (1922-2000)
"Kau ni bila nak kahwin, Faireen?" Itu soalan pertama yang terpacul dari mulut Kak Yah sewaktu mereka duduk untuk makan malam bersama malam itu. Faireen yang sedang meneguk air waktu itu rasa seperti tercekik sedikit. Matanya sengaja ditumpukan kepada ibunya yang sedari tadi kelihatan semacam bingung.
"Anak dara jangan sorok lama-lama sangat dara tu, Reen. Keras nanti," sambung Kak Yah lagi dengan mulutnya yang penuh.
"Keras tang mana nya, Cik Yah?" Soalnya semula.
"Tang mana-mana yang tak sepatutnya lah!" Jawabnya. Pucuk rebung masak lemak dalam piring kecil di depan mata disenduk. "Macam pucuk rebung ni, kalau dah tua kan dah keras? Dah jadi buluh. Mana sedap lagi?"
Ya tak ya juga, jawab Faireen dalam hati. Dia tersenyum.
"Yang kau ni dari tadi sepi je kenapa, Qis?" Kak Yah mula beralih arah. Balqis yang sedari tadi tidak menjamah langsung nasi di pinggannya ditegur.
"Ya lah, Bu. Nanti sejuk pula nasi tu. Lauk-lauk ni kalau sejuk, dah tak sedap dah nak makan, kan Cik Yah kan?" sampuk Faireen pula.
"Bukan tak nak makan. Tak ada selera," jawab Balqis cuba memasukkan sesuap dua nasi ke dalam mulut. Perlahan-lahan dikunyahnya nasi kering di dalam mulutnya itu tetapi apabila ditelan entah kenapa rasa enaknya seakan-akan telah hilang di tekak. Perutnya yang minta diisi tadi juga tiba-tiba terasa mual apabila melihat gulai rebung masak lemak dengan sambal ikan selar di depan mata. Fikirannya mula jauh melayang terkenangkan suami di hospital.
*******
Iqram menanti dengan penuh sabar. Petang tadi doktor yang selama ini merawatnya telah menghadiahkannya dengan satu berita gembira. Kata doktor itu, penyakit yang dialaminya selama ini sudah semakin sembuh dan dia telah dibenarkan untuk pulang ke rumah esok.
Iqram mengucap panjang. Setakat ini dia belumpun memberitahu sesiapa lagi termasuk anak isterinya di rumah akan berita yang baru diterimanya itu. Dia sengaja merahsiakannya dari semua. Sengaja ingin mengelakkan diri dari keluarga buat seketika.
Cadangnya, dia mahu merehatkan diri sambil menenangkan fikiran jauh dari kekusutan yang berlaku sejak akhir-akhir ini. Lama duduk termenung, akhirnya dia mengambil keputusan untuk menghubungi Nirina.
Katanya dia mahu mereka berdua berjumpa di situ malam itu. Mahu meluangkan masa untuk berbincang tentang masa depan, alasannya.
Nirina setuju.
Jam di tangan menunjukkan tepat pada pukul lapan setengah malam. Faisal masih lagi keseorangan menunggu Syafiq yang tidak kunjung tiba. Teh tarik yang dipesannya tadi sudah hampir kosong segelas. Dia bosan. Matanya liar memerhati sekeliling. Bermacam-macam gelagat yang dilihatnya di gerai mamak malam itu.
Ada sekeluarga yang berseloroh bercerita tentang kisah hidup masing-masing, ada pula anak lelaki muda, golongan rempit mungkin bercerita tentang malam yang masih muda, dan yang paling mencuit hati tentang dua tiga anak gadis belasan umur yang menjeling manja sambil tersengih-sengih seperti kerang busuk menanti dicelur, ke arahnya.
Faisal mula berpura-pura bermain-main dengan telefon bimbit. Sudah sepuluh kali dia menghantar pesanan baki kepada rangkaian telefon yang digunakan. Sengaja. Kononnya biarlah nampak seperti dia sedang berbalas-balas SMS dengan seseorang walhal tiada siapaun yang mengetahui bahawa kredit yang tersimpan di dalam telefon itu tidak mencukupi.
Tiba-tiba dia disapa. Faisal mendongak. Syafiq. Dia tersenyum. "Kata pukul lapan. Dah setengah jam lambat ni," tegurnya keras sambil menunjuk jam bulat besar di pergelangan tangan.
"Sorry lah. Tadi saya pergi surau, sembahyang maghrib. Seronok pula bila terdengar cerita ustaz tu. Sampai terlajak," jawab Syafiq sambil menyusun sepuluh jari.
Faisal terkedu apabila mendengar alasan lelaki itu. "Alhamdulillah," ucapnya dengan menadah tangan bersyukur. Sekurang-kurangnya masih ada juga insan yang dia kenali sudi mengadap tuhan yang maha esa. Seingatnya, sudah lama juga dia tidak ke surau. Sembahyang memang jauh sekali. Al quran langsung tidak disentuhnya. Peliknya dia tidak sedikit pun merasa berdosa. Barangkali hatinya sudah hitam kini. Barangkali juga tuhan belum menemukannya dengan hidayah yang sebenar.
"Apa cerita ustaz tu?" Soalnya kembali.
"Cerita pasal poligami. Itu yang menarik nak dengar tu!"
Faisal mula berkerut dahi. "Sebab awak nak pasang lagi satu ke?"
"Nak pasang lagi satu macamana. Yang pertama pun tak pasang-pasang lagi!"
Faisal ketawa.
*********
"Kenapa tak bawa Iqram tu berubat cara kampung saja, Qis?" Kak Yah mula memberi cadangan. "Dulu ada budak perempuan kat kampung tu, anak si Limah Ayam. Dia kena sakit buah pinggang. Dah teruk benar sampai doktor nak buang buah pinggang dia satu tapi lepas dia jumpa Abang Uda, buah pinggang dia bersih balik!"
"Abang Uda? Hidup lagi orang tua tu?"
"Ish, kau ni. Panjang lagi umur dia. Masih lagi berbakti pada orang kampung," jawab Kak Yah dengan mulut yang masih lagi belum berhenti mengunyah.
"Mungkin itu dah nasib dia agaknya, Cik Yah. Tuhan dah pulihkan dia," sampuk Faireen dari dapur.
"Memanglah itu semua kerja tuhan tapi kita yang manusia ni kenalah berusaha. Kalau nak berserah je kat tuhan dua puluh empat jam sampai bilapun manusia tak kan maju, sayang!" Sindirnya tajam.
Balqis tertawa kecil.
Faireen kembali ke ruang makan dengan sedulang air teh di tangan. Dituangnya air teh yang masih panas itu perlahan ke dalam tiga cawan kecil di atas meja.
Dia mencebik. Ada juga yang kena jirus dengan teh ni karang, sumpahnya di dalam hati.
"Dulupun kalau tak kerana Abang Uda tu entah kahwin entah tak kau dengan laki kau, kan?" Kak Yah mula membuka rahsia.
"Ya ke, Bu?" Faireen menunjuk minat ingin tahu dengan lebih lanjut.
Tetapi Balqis menjegil marah. "Ish, cerita lama lah semua tu!"
"Ayah kau tu lah, banyak sangat songeh. Perempuan keliling pinggang. Dah jumpa Abang Uda tu, baru lah tak ada orang kacau!"
"Ya ke? Kalau macam tu hebatlah kira-kiranya Abang Uda tu, ek?"
"Dah pangkat Pak Uda dah untuk kau tu! Apa-apa pun, dia memang hebat. Kalau tak, tak kan mak bapak kau ni kekal sampai sekarang..."
"Tapi rasanya penangan Abang Uda dulu tu dah tak sekuat dulu lagilah, Kak Yah!"
"Kenapa kau cakap macam tu?"
Balqis meneguk air teh panas yang baru dihidang. Dia menarik nafas sedalam-dalamnya. Mulutnya berat untuk bercerita tentang masalah suami isteri yang dihidapinya di hadapan Faireen. "Entah lah," jawabnya malu-malu.
"Kenapa, Bu? Ayah ada perempuan lain ke?"
Balqis mengangguk.
Mata kecil Faireen terbeliak besar, "Ayah ada perempuan lain? Mana Ibu tahu? Kenapa tak cakap dengan Reen? Biar Reen ajar betina tu!"
"Ibu kau ni main agak je. Jumpa tak, tapi bau-bau tu ada. Macam durian. Sorok kat celah mana pun, berbau jugak, kan?!"
"Memang tak boleh dibiarkan perkara ni. Tak apa, Reen ada. Reen ni harimau lah. Reen tahulah macamana nak cari durian tu," jawab Faireen penuh yakin.
Bau durian kuat terkepung dalam bilik kecil itu. Nirina membuka tingkap seluas-luasnya sambil memandang Iqram yang masih lagi tekun menjilat-jilat jari. Sekali-sekala dia menjeling ke arah pintu. Bimbang jika ada jururawat atau doktor yang menjengah masuk ke situ. Doktor yang merawat ada berpesan bahawa buat sementara waktu ini Iqram tidak boleh memakan benda-benda yang agak memanaskan.
"Makan tu elok-elok sikit, Iqram. Jangan sampai tertelan pula biji tu," tegurnya melihatkan Iqram asyik mengulum biji durian dengan begitu lahap sekali. "Isteri you yang lemah lembut tu tak datang ke hari ni? I tak nak pula kita berdua main tarik-tarik rambut, nanti!"
"I halau dia hari tu, I cakap jangan datang lagi sampai I suruh..."
"So bila you nak suruh dia datang?"
"Esok. I keluar esok."
Nirina tersenyum lega. Rambutnya yang jatuh mengurai tadi disuakkan kembali ke atas. "Eloklah tu. Kalau dah keluar bolehlah you balik ke kampung I. Hantar pinangan," cadangnya lembut.
"Pinang?"
"Ya. Pinang," dia menggosok perut yang masih kecil. "I bagi you masa seminggu je, Iqram. Lupa? Ni dah berapa hari dah ni?"
Iqram mendengus, "apa pula kata parents you, dia orang tak terkejut ke? Kan I ni laki orang? Tua pulak tu!"
"Iqram, kalau anak perempuan you datang bawa laki orang kenalkan dekat you dan dia beria-ia nak kahwin dengan lelaki tu, you sebagai bapa apa yang you akan buat?" Soalnya kembali.
"Nak halang? Nak biarkan dia orang terus buat maksiat? Nak suruh dia orang kahwin lari? Ini dah masuk 2009, tau. Mentaliti orang tua zaman sekarang dah tak macam orang tua dulu-dulu lagi!" Tambahnya.
Iqram terdiam mendengar hujah Nirina yang panjang lebar itu. Dia memeluk tubuh. Tingkap yang terbuka luas ditenung. Sedikit demi sedikit fikirannya mula memikirkan tentang masa hadapan yang menanti. "Kalau I berkahwin dengan you, you janji you akan terus biarkan kehidupan kita macam sekarang?"
"Meaning?"
"Meaning, I ada isteri. I tak boleh luangkan masa dua puluh empat jam dengan you. I kena balik ke rumah isteri pertama macam biasa. I akan duduk di sana dua tiga hari. I kena berlaku adil pada dia juga dan yang paling penting I tak nak sesiapa pun tahu pasal perkahwinan kita kecuali you dan family you, saja. OK?"
Nirina meletakkan punggungnya ke atas peha lelaki itu. Diusapnya rambut Iqram yang beruban sedikit itu perlahan-lahan. "Sayang, I faham. Yang I mahu you sebagai suami yang ada dua isteri ni kena juga berlaku adil. Kalau you berlaku adil pada isteri-isteri you, I tak ada hak nak marah sesiapa kan?" Soalnya kembali.
Iqram melepaskan nafas yang panjang. "Baiklah. Bila you nak I jumpa keluarga you?"
Sepantas kilat itu juga Nirina mencium dahi kilat kekasihnya itu bertalu-talu. Dia gembira. Sungguh tak disangka akhirnya lembut juga hati Iqram untuk mengambilnya sebagai isteri. Air matanya menitis sedikit tanda kegembiraan.
Tidak lama kemudian telefon bimbitnya berbunyi. Dia menerima satu pesanan masuk.
SAYA DAH FIKIR MASAK2. SAYA AKAN JUMPA DENGAN FAMILY AWAK. SAYA TAK NAK KEHILANGAN AWAK, RINA.
I LOVE YOU.
Bob? Nirina menggigit jari. Keliru.
sape ckp cerita ni x best..best ape???
BalasPadampadan muka nirina sudah fenin....
buyui;
BalasPadamjgn puji ai lebih2...
malu ai...
Ada ek perempuan cam Nirina ni? Ikram ni pun sama gatai tak abih2 ..
BalasPadamNext!!
AiLing
apa plak xder nyer....
BalasPadambersepah2....
masyarakat yang pincang
BalasPadamOH EM JI!!it´s getting complicated..cant wait 4 d next chapter..huhu
BalasPadamjahatla nirina tuh!!!
BalasPadamahaks.....
BalasPadamsemua karekter jahat dlm ini cherita sebenarnya!!!!