Jumaat, 7 Ogos 2009

Bab 2. Jatuh cinta.

** tak sangka plak ada jugak org yg rajin baca citer yg hampeh nih. baru jer nak abaikan bab kedua tadik tp sebab korang memintak, aku bagi jerlah bab yg kedua oke. bagi yg miss bab satu tuh, or nak remind bab satu tuh caner.. click jer labels under PUCUK. thanx for your support.





Bab 2. Jatuh cinta.




Jatuh cinta bukanlah kesinambungan pada satu had atau sempadan dalam hidup seseorang, tetapi pada hakikatnya ianya adalah sebahagian dari runtuhan sempadan itu sendiri ~ M Scott Peck.



Faireen termenung jauh sepanjang perjalanannya ke lapangan terbang di Sepang. Bas yang baru bergerak dari stesen KL Sentral itu hampir penuh diisi oleh manusia yang ingin ke destinasi yang tidak diketahui. Dia mula berteka-teki.

Barangkali pasangan orang putih yang duduk di kerusi hadapan itu hendak ke Bali. Wanita Indo dan rakannya di kerusi belakang pula mungkin hendak pulang ke kampung. Peramugari berseragam merah yang sibuk menyapu bedak di muka sambil memeriksa jam tangannya selang lima minit ini berkemungkinan besar telah lambat ke tempat kerja. Dan lelaki Cina yang tidur di sebelahnya ini tidak pula diketahui ke mana hala tujunya dan mengapa dia memilih untuk duduk di situ. Faireen menggigit jari.

Matanya menjeling memerhatikan saja lelaki Cina yang lena di sebelahnya itu. Sekali-sekala apabila bas semakin bergerak laju, tengkuk lelaki itu bagai patah terlentok ke bahunya. Faireen rimas lalu menggeliatkan tubuhnya sedikit.

Hendak dikejutkan lelaki itu, dia seperti malu-malu pula. Hatinya geram. Bagaikan bayi yang baru didodoi, makin jauh perjalanan, makin enak pula lelaki itu dibuai mimpi. Sesekali terdengar dengkuran halus di telinga. Jauh dia terlena nampaknya, entah ke manalah dia merantau dalam mimpinya itu, katanya di dalam hati.

Dalam kebosanan, dia mencapai MP3 kecil jenama Sony yang terselit dalam poket seluar jeans hadiah harijadi dari kekasih tersayang dimainkan. Lagu "Aku dan Dirimu" dendangan Ari Lasso dan Bunga Citra Lestari mula berputar lembut.

Tiba-tiba saja bibir halusnya mengukir sebuah senyuman. Itu lagu kiriman kekasihnya sebulan selepas mereka bertemu dahulu. Sebentar lagi dia akan ke Medan untuk berjumpa dengan jejaka bertuah itu.

Faireen girang kerana sudah seminggu mereka tidak bersua. Alasan kekasihnya seminggu yang lalu, dia terpaksa keluar negara atas urusan kerja yang tidak dapat dielakkan. Sama dengan alasan Faireen kepada ibunya sebelum dia melangkah keluar rumah awal pagi tadi.

Ibunya berleter panjang lebar. Orang tuanya itu mengingatkan bahawa adiknya Faisal bakal pulang dari luar negara petang yang sama tetapi Faireen berpura-pura tidak tahu. Dia bukan sengaja untuk mengelak dari berjumpa dengan adik lelakinya itu. Dia juga bukannya tidak setuju dengan cadangan ibunya supaya mereka duduk berkumpul sekeluarga semula, tetapi nalurinya wanitanya lebih kuat ingin bertemu dan duduk berdua dengan kekasihnya sendiri.

Dulu kata Rozi, rakan baiknya di pejabat, dia dan adiknya itu tidak ubah seperti sepasang burung. Ke hulu ke hilir mereka tidak pernah lekang bersama. Tetapi semenjak adiknya itu pergi merantau jauh untuk bekerja, pasangan yang ada itu seakan pincang tidak berseri. Lama dia termenung kerinduan, mujurlah sebulan dua selepas itu dia berjumpa pula dengan pasangan yang baru. Orangnya kacak, bernama Syafiq.


Faireen ingat lagi kali pertama dia bersua muka dengan lelaki bernama Syafiq itu. Hari itu hari Sabtu, bersamaan minggu terakhir umat Islam berpuasa. Kebetulan, petang itu dia tidak bekerja dan masa yang ada diluangkan untuk bersantai sambil membeli-belah sedikit. Kononnya untuk persiapan akhir menyambut perayaan satu syawal.

Rozi yang beria-ia setuju untuk bertemu di situ di dalam telefon tadi masih juga belum menampakkan wajah. Faireen sudah sebati dengan janji yang lahir dari mulut rakannya itu yang pada hakikatnya tiada banyak bezanya dengan janji orang Melayu yang lain. Akhirnya lama menunggu, dia membuat keputusan untuk berjalan sendirian. Keluar masuk satu kedai ke kedai yang lain mencari-cari jika ada pakaian yang berkenan di hati.

Sambil berjalan, fikirannya jauh terkenangkan Faisal di luar negara. Jika adiknya itu ada bersama, sudah pasti waktu itu dia sibuk memilih baju-baju yang ada dijual sambil menjinjing dua tiga keping beg kertas berisi pakaian penuh di tangan.

Mereka dua beradik ibarat langit dengan bumi. Berbeza sungguh. Faisal memang gila berbelanja, dan sering mementingkan penampilan diri. Rambutnya yang terpacak sentiasa dipastikan rapi walau ditiup angin sekencang manapun. Pakaiannya yang berjenama kemas tersusun penuh satu almari di rumah.

Faireen pula hanyalah gadis-gadis biasa. Cukup dengan hanya berbaju T dan berseluar panjang. Mekap jarang-jarang sekali dicalit ke wajah. Dek kerana tidak terlalu menjaga ketrampilan diri itulah, dia sering saja ditegur Faisal. "Orang perempuan kalau pemalas, lambat laku, " katanya berbisa.

Faireen tersenyum. Walaupun pedih telinganya mendengar namun ada benarnya juga teguran adiknya itu.

Usianya kini sudah mencecah 29 tahun. Setahun lagi dia bakal melangkah ke alam tiga puluhan. Kata Mak Yah di kampung, anak dara jika dibiarkan tidak berlaki, boleh keras segala isi yang ada.

Faireen tahu ibu saudaranya itu menyindir tetapi dia kuat mengatakan wanita moden tidak perlukan lelaki untuk hidup lagi di zaman ini. Lagipun dia belum puas hidup bersendirian.

"Opps!" dalam sibuk mengelamun, kakinya tersadung satu benda yang agak keras. Tanpa semena-mena mudah saja tubuhnya tersembam ke tengah jalan.

"Are you okay?" Tegur anak muda tinggi lampai berkulit cerah sambil menghulurkan tangan untuk menyambut. "I am so sorry, I shouldn’t put it there," sambungnya. Kotak besar berisi set pinggan mangkuk yang diletakkan di depannya itu ditarik ke tepi.

"It's okay, I am fine!" Faireen bingkas bangun. Spontan itu juga wajah ayunya tadi bertukar kemerahan. Rasa malunya waktu itu hanya tuhan saja yang tahu.

Melihat keadaan sekeliling yang seakan-akan sepi untuk beberapa ketika membuatkannya mula terasa bahawa dirinya baru saja bergelar pelakon stunt bergenre komedi. Rata-rata keseluruhan penghuni yang ada membanjiri kompleks membeli belah petang itu cuma mengambil masa beberapa saat untuk merenung gaya aksi stunt yang tidak berapa menjadi itu sebelum diikuti dengan deraian hilai ketawa.

Faireen semakin berang apabila mendapati tiada seorang pun yang menunjukkan tanda-tanda bersimpati. Setiap tawa halus dan senyuman yang singgah ke telinganya itu dirasakan ibarat ditusuk dengan pisau yang tajam. Dia mengutip isi kandungan beg tangan yang jatuh bertaburan. Wajahnya berat menunduk, enggan untuk melihat wajah lelaki yang tercegat berdiri di depannya itu. Selesai mengemas diri, dia terus beredar. "Bye!" Ucapnya sebelum pergi.




Faireen mengerut dahi. Bye? Soalnya semula. Bas yang bergerak laju kini memasuki daerah Dengkil. Tidak lama lagi sampailah dia ke terminal tambang murah di Sepang itu. Lelaki Cina di sebelahnya kini sudahpun membuka mata. Entah bila agaknya dia terjaga dari tidur tidak pula Faireen sedari. Jam di pergelangan tangan kanannya ditilik namun kesan parut di celah jari hantu yang menarik perhatian.

Sekali lagi dia terimbas pada kejadian aksi stunt yang berlaku di kompleks membeli belah pada bulan puasa yang lalu itu. Kepalanya bingung memikirkan sehingga kini mengapa dengan mudah dia mengucapkan perkataan bye selepas kotak besar lelaki itu menghalang laluannya.

Kerana kotak itulah jarinya terluka bergeser di lantai simen. Begitu juga lutut keringnya, habis bengkak dua tiga hari. Segala sendi-sendi di keseluruhan badan juga lemah kesakitan. Itu belum lagi dengan telefon bimbit yang baru dibeli telah habis pecah berderai dan minyak wangi yang diberi Faisal yang entah ke mana pergi penutupnya. Mujur botolnya keras jika tidak habis satu beg berbau harum.

Peliknya dia langsung tidak marah waktu itu. Mulutnya cuma terucap perkataan bye walaupun hakikatnya di dalam hati menyembur-nyembur sumpah seranah. Lelaki tinggi lampai berkulit cerah itu ditinggalkan saja di belakang. Kalau boleh dia tidak mahu menoleh lagi. Suara-suara yang semakin hebat bergelak ketawa dirasakan makin menyesakkan dada. Dia terus berlari.


Dua tiga hari selepas insiden itu, telefon bimbitnya yang masih bercalar kesan jatuh tempohari telah berdering. Sambil mengurut-urut lutut yang masih bengkak, dia menjawab panggilan yang diterima.

"Hello, Faireen Iqram?" suara parau lelaki memberi salam.
"Ya?"
"I am Syafiq. We met by accident," lelaki itu memperkenalkan diri.
"Accident?" Faireen makin bingung. Mat saleh mana pula yang berspeaking malam-malam ni? "Syafiq who?" Soalnya berspeaking juga.
"You tripped and fell in front of me three days ago in Pavilion, remember?"

"Ha!" Faireen terkejut. Masakan dia boleh melupakan kejadian itu. Langsung tidak terlintas di fikirannya bahawa mereka berdua akan berjumpa atau berbicara sekali lagi. Bertukar nombor telefon? Tidak! Bomoh manakah yang lelaki ini jumpa? Dia tertanya-tanya.

Dahi yang semakin berkerut dipicit. Lutut yang masih bengkak juga diurut perlahan. Jika diikutkan hati, mahu saja dia menamatkan perbualan yang tak diingini itu tapi entah kenapa makin lama mereka berbicara, dia makin terleka.

Ada sesuatu pada perbualan yang sedang berlangsung waktu itu yang berjaya mencuri hatinya. Dibiarkan saja dirinya terus terpukau.

Sepanjang perbualan, Syafiq tidak putus-putus meminta maaf. Faireen pula tidak lekang dengan senyuman. Katanya waktu itu dia kepenatan berpusing seluruh bangunan pusat membeli belah itu untuk mencari set pinggan mangkuk yang diminta oleh ibunya.

Pesan ibunya lagi, set yang dibeli harus sama dengan katalog yang dikirim. Syafiq akui, ibunya agak cerewet sedikit. "Pinggan mangkuk itu untuk ditayang kepada tetamu yang datang beraya nanti. Mak saya kan bekas isteri ADUN. Kalau tak berlainan dari orang lain kat kampung tu, tak bercerita lah orang kat sana nanti pasal pinggan mangkuk barunya," ulasnya ringkas. "Maaf ya, kerana kotak besar tuh awak terjatuh…"

Faireen yang tetap kekal dengan senyuman membiarkan saja lelaki itu membuka pekung di dadanya sendiri. Dia peduli apa dengan kisah perempuan tua dengan set pinggan mangkuk itu. Setahunya, set pinggan mangkuk itu jugalah yang menjadi punca pertemuan mereka.

Kata Syafiq lagi, sejurus selepas Faireen pergi, dia terjumpa sekeping kad nama yang terpelanting di hujung kaki. Dia mencuba nasib. Jika benar ketentuan tuhan kad itu kepunyaan gadis yang terjatuh akibat tersandung kotak set pinggan mangkuk ibunya itu, dia tidak teragak-agak ingin menebus kesilapan yang berlaku.

"Mungkin dah jodoh kita agaknya," balas Faireen.
"Mungkin. Kalau awak rasa nak makan ayam masak merah dengan set pinggan mangkuk baru, datanglah beraya di kampung saya nanti," pelawa Syafiq pula.

Alat MP3 yang masih berputar dimatikan sejurus selepas bas berhenti. Dia bergegas turun terus ke balai berlepas. Pesawat Air Asia akan berlepas ke Medan dalam masa dua jam lagi. Cukup untuknya bersarapan dan berpusing-pusing di dalam terminal tambang murah itu.

Faireen sudah semakin hilang sabar. Kerana Syafiq dia ke sana. Dari sana nanti, mereka berdua akan bercuti bersama ke Danau Toba. Kata orang tasik besar itu cantik. Sangat sesuai untuk pasangan yang ingin berbulan madu.

Bulan madu? Aku belumpun kahwin dengan lelaki itu lagi! Dia menghela nafas panjang. Kalau ibu bapanya tahu dia ke sana dengan lelaki yang bukan muhrim, tentu kepalanya habis dicantas kali ini. Apa nak jadi dengan aku ni? Apa ilmu yang lelaki ni pakai? Apa tak takutkah aku pada dosa jika bersedudukan dengan dia nanti?

Satu demi satu persoalan timbul di dalam kepala. Memang benar dia belum arif dengan lelaki bernama Syafiq itu. Sering terlintas di fikiran, bagaimana insan yang bernama Syafiq itu sebenarnya dan apa benarkah juga dia masih lagi belum berpunya.

Ah, aku wanita moden! Mungkin percutian tiga hari ini dapat digunakan untuk mengenali hati budi masing-masing. Aku pasti, jika ada jodoh tak akan ke mana…

Dan semudah itu juga fikirannya berubah.

2 ulasan:

  1. I pun dah jatuh cinta nih !!! copek upload bab 3 ..



    -AiLing-

    BalasPadam
  2. wah cepat betul baca nih.....

    bab ketiga esok yer. den nak buek kojo sikit ni ha!!!!


    ps: dah la online kat starbuck!!

    BalasPadam