Rabu, 12 Ogos 2009

Bab 7. Milik siapa bayi ini

** ada orang kata citer aku nih menarik n memang best untuk difollow? yer ker you all? malu ai.....








What's that on the telly? It's an angel sent from God...
Growing in my belly.... Like a sweet pea in a pod! ~ Melissa Hatcher



Bunyi cerek di atas dapur menjerit minta diangkat. Nirina yang sedari tadi keresahan, bingkas bangun untuk mendapatkannya. Dituangkannya air yang masih menggelegak itu ke dalam mug kecil. Tuala tangan dalam laci kabinet ditarik lalu dibasahkannya sedikit. Kakinya perlahan melangkah semula ke ruang tamu.

Dia mendapatkan Iqram yang masih terjelepok di atas sofa. Tubuh lelaki itu nampaknya basah kuyup bermandikan peluh. Tali leher yang dipakai di pejabat tadi entah ke mana dicampaknya. Begitu juga dengan butang baju kemeja yang dipakai. Terbuka luas menampakkan dada yang berbulu.

"Minum air ni sikit. Hati-hati. Panas," hulurnya sebelum melabuhkan punggung. Dia duduk memerhati Iqram yang bagaikan cacing kepanasan. Bibirnya tersenyum kecil sambil mengusap tuala lembap ke wajah lelaki itu.

Nasib baik Iqram pengsan tidak lama di dalam kereta tadi jika tidak jenuh juga dia memapah lelaki itu naik ke atas rumah, bisik hatinya yang menahan geram.

Iqram meneguk air panas yang diberi perlahan-lahan. Wajah Nirina yang masih sugul, ditenung sedalam-dalamnya. Tubuhnya kuyu. Tubuh Iqram pula layu. Tiba-tiba dia jadi serba tak kena. Otaknya yang selalu berfikir, bagaikan suis yang terpadam kini. Tiba-tiba saja mati tidak berfungsi. Kepalanya juga begitu. Buntu dan kematu.

"So apa yang kita nak buat sekarang?"

Soalan Nirina itu dijawabnya sepatah, "entah!"

"Entah? Senangnya you jawab?!" Nirina mula meninggikan suara. "Ini kali kedua, Iqram. Dulu you boleh suruh I buang, tak kan sekarang you nak suruh I buang lagi!"

"Anak I dah besar-besar, Rina. I tak rasa diorang nak adik lagi!" jawabnya dengan menengking juga.

Nirina mula naik hantu. Tuala lembab buat pengelap muka Iqram tadi dilepukkan ke bahu lelaki itu. Iqram sempat menepis tapi air panas di tangannya tertumpah sedikit ke atas badan. Dia terkinja-kinja dan terus berdiri.

"You jangan kurang ajar tau, Iqram!" Sambung Nirina kembali. "Berani you bagi jawapan macam tu, you ingat I ni apa senang-senang je you nak lepaskan tanggungjawab macam tu?"

Iqram kembali duduk. "Habis apa lagi yang kita nak buat sekarang?" jawabnya sambil menggaru kepalanya yang tidak berapa gatal.

"Guna otak sikit, Iqram. I dah buat dosa besar dengan you, you nak suruh I tambah lagi dosa bunuh anak dalam perut ni pulak. You gila ke Iqram?" Sejurus itu juga air mata Nirina meleleh perlahan. Diusapnya perut yang masih kecil. Bagaikan ternampak dimatanya, keadaan dirinya mengusung perut yang bakal membesar.

Hatinya bimbangkan pada tanggapan orang ramai jika mereka tahu yang bayi dalam kandungan itu tidak berbapa. Apa pula kata ibu bapanya di kampung apabila mereka tahu yang anak daranya itu telah bertebuk-tebuk dikerjakan tupai. Dan di mana pula harus diletakkan wajahnya yang semakin pucat lesi itu apabila seluruh dunia mengeji dirinya dan anak yang bakal lahir itu nanti.

"I tak tahu, Nirina. Tolong jangan buat I macam ni..."

"Jangan minta tolong dengan I, Iqram. Sekarang lebih baik kita minta tolong dengan tuhan."

Iqram menegakkan kepalanya sedikit, "tapi I ada anak bini, Nirina..."

"Dan I ada mak bapak, Iqram. Tolong jangan fikir pasal diri sendiri boleh tak?!"

Masing-masing terdiam.



Iqram menarik nafas yang dalam. Kedengaran batuk-batuk kecil keluar dari kerongkong yang tersekat-sekat itu. Dahi yang makin berkerut dipicit-picit. Hatinya juga runsing memikirkan segala kemungkinan yang bakal terjadi.

Dia tertanya sendiri. Apakah dia harus membiarkan dirinya terus dibelenggu dengan masalah itu? Ataupun dia harus mencuba sedaya upaya mencari jalan penyelesaian untuk berlari keluar saja? Ah, makin kusut kepala aku ni, kata jiwanya yang kacau.

"Mana you tahu itu anak I?" Tiba-tiba kata-kata itu terpacul dari bibir.

"Iqram!" Nirina menekup mulut, terkejut. "Kalau bukan anak you, anak siapa lagi ni?"

"Manalah I tahu dengan siapa you tidur lagi selain I. Entah-entah anak Borhan. Kecoh satu office you ada buat affair dengan dia kan?"

Nirina terus menangis. Hatinya ranap. Tidak menyangka lelaki yang didampinginya selama ini sanggup mengeluarkan kata-kata tuduhan sebegitu. Dia memalingkan wajahnya jauh ke arah lain. Matanya tiba-tiba merasa jijik. Telinganya juga panas mendengar suara-suara kelat lelaki itu.

Dahulu Iqram menggunakan nama isterinya sebagai alasan. Katanya dia belum bersedia untuk beristeri lagi. Dia juga tidak mahu kehilangan isteri yang telah lama dikahwininya itu. Bodohnya Nirina waktu itu, dia hanya mampu bersetuju saja.

Bagaikan kulit yang disiat-siat begitulah pedihnya dirasakan bila anak yang dikandung dibuang dari dagingnya sendiri. Waktu itu hatinya hancur. Luluh. Tubuhnya juga terasa amat kotor dengan dosa-dosa yang tidak terampun.

Kini dia tidak mahu mengharungi sakit perit itu sekali lagi. "Tergamak you tuduh I curang semata-mata you nak lepaskan diri sendiri... I ingat you lain dengan jantan lain yang I kenal, Iqram," kata-katanya terhenti di situ saja. Dia sebak. Air mata yang mengalir makin jatuh bercucuran.

Iqram terdiam. Kepalanya terus ligat berfikir mencari-cari jawapan. Padanya apa yang terkeluar dari mulutnya tadi bukan sekadar satu alasan. Dia tahu. Jika Nirina dengan mudah menyerah harga dirinya untuk diratah, apakah pula buktinya bukan dia seorang saja lelaki yang meratah harga dirinya itu.

Mungkin Borhan turut mendapat bahagian yang sama. Mungkin juga dia mempunyai hubungan dengan lelaki lain selain mereka berdua. Tidak, Iqram! Nirina bukan begitu! Tiba-tiba sangkaan buruknya itu disangkal oleh hatinya yang telus. Dia makin keliru.

"Tapi I tak tahu apa yang you buat belakang I, Rina. Kenapa mesti I seorang yang kena bertanggungjawab?"

"Sebab you seorang saja, Iqram!" Nirina menjerit memberi jawapan yang pasti. "Jangan samakan I dengan perempuan-perempuan lain yang pernah you main! I bukan macam tu!"

"Tapi Rina..."

"Tak ada tapi-tapi lagi, Iqram. Kalau you tak nak keluarga you tahu, baik you datang jumpa keluarga I. Kita selesaikan benda ni secepat mungkin."



Peluh jantan Iqram kembali menitik. Jumpa keluarga? Keluarga aku? keluarga dia? Ah! Soalan itu kembali berulang-ulang di dalam fikiran.

Dia bingkas bangun menuju ke dapur. Daun pintu peti sejuk dibuka. Dituangnya air kosong penuh segelas. Bagaikan orang yang sudah lama terdampar di gurun, dia meneguk rakus air sejuk itu.

Tetapi tekaknya masih lagi terasa kering. Dadanya juga masih lagi kencang berdegup. Dia mengusap dada yang menakung darah yang semakin meninggi. Tangan kirinya tiba-tiba menjadi lemah. Jantungnya spontan itu juga kepedihan. Dituangkannya air sejuk ke dalam gelas kaca itu sekali lagi. "Aduh!" Belum pun penuh air yang dituang, gelas yang dipegang terlucut dari tangan.

Nirina berlari mendapatkan Iqram yang terduduk di sisi peti sejuk tinggi itu. Serpihan kaca yang bersepah di lantai dibiarkan saja. Belakang badan lelaki itu yang basah berpeluh diurutnya perlahan. Digagahinya juga kudrat yang ada untuk mengangkat tubuh besar Iqram itu perlahan-lahan kembali ke sofa.

Tidak cukup dengan penghawa dingin yang terpasang, majalah nipis di atas meja pula dikipas-kipaskan. "Are you okay?" Soalnya tetapi tiada tanda-tanda Iqram bakal memberi sebarang jawapan. Dia mula bimbang.

"Ubat ada bawa?" Soalnya sekali lagi sambil mengelap peluh yang keluar di dahi. Dia makin tidak keruan. "Bangun Iqram. I hantar you pergi hospital sekarang juga!" Arahnya.

"Jangan! Biar I rehat sekejap, ubat ada kat rumah I," sambung Iqram tiba-tiba.

"You jangan nak mati pula kat sini, ya! Kisah kita ni belum selesai lagi!" Melihat lelaki itu yang kembali bersuara, Nirina kembali mengherdik kasar.

Dia berlari masuk ke dalam bilik sejurus selepas itu. Iqram yang masih terpinga-pinga, dibiarkannya sendirian di ruang tamu. Tubuhnya dihempaskan ke atas katil lalu mencapai kembali telefon bimbit yang sedari tadi dibiarkan tidak berusik.

"10 missed calls" tertera di skrin. Bila diperiksa siapakah gerangan yang memanggil, Sembilan daripadanya datang dari Bob atau nama samarannya B sepertimana yang tersimpan di dalam telefon itu. Dia menekan butang call. Lama menunggu akhirnya panggilannya dijawab.

"Sayang, awak kenapa?"

Sebaik saja telinganya menangkap jelas nada suara Bob yang kerisauan, dia mula menangis teresak-esak. "Awak, saya tak tahu macamana nak bagitahu…" jawabnya.

"Kenapa ni? Awak tak apa-apa ke?"

Dia mendiamkan diri.

"Awak sakit ke? Dah pergi jumpa doktor?"

Dia masih juga enggan bersuara.

"Awak…jangan buat saya macam ni. Cakap apa masalah awak. Nak saya pergi sana ke? Iqram pun tak ada kat office ni. Boleh saya lari ke sana sekejap"

Dia membalikkan tubuh, "jangan! Tak payah susah-susahkan diri. Lagipun saya tak nak jumpa sesiapa buat masa sekarang"

"Sejak bila masalah awak bukan masalah saya ni?"

"Bob, please!"

"Sayang, please... beritahu saya apa masalah awak!"

"I am pregnant."

Bob terdiam.

"Hello?"

Bob pula yang membisu.

"Bob, are you there?"

Masih lagi tiada jawapan.

Butang end terus ditekan. Telefon bimbit yang dipegangnya tadi dicampak ke tepi. Darahnya kembali menyirap marah apabila mengenangkan semua lelaki yang pernah bersamanya dahulu kini telah menyepikan diri sebaik saja mendapat tahu bahawa dirinya sudah berbadan dua.

"Aaaaahhhhh!!!!" Dia menjerit kuat untuk melepaskan geram.

Tidak lama kemudian, telefon bimbitnya kembali berdering.

"Kenapa? Terkejut? Nak larikan diri?"

"Anak siapa Nirina?" balas Bob tenang.

"Anak awak, Bob..."

"Astaghfirullahalazim," Bob mengucap panjang.

5 ulasan:

  1. sambung lagi cite tu....

    karl nk tau d next episode plak

    huhu

    jejaka anggun leh wat compilation cerpen la.. cerpen ke novel nih.haha

    BalasPadam
  2. aiyooo la nirina ni.....suka suki jew..apsal x pi btau org giler tu anak dia ke....nyampesh lak aku ngn pompuan ni...ke aku ni x prihatin atas ape dia rasa erk??em....sbg2...

    BalasPadam
  3. karl;
    nih novel la.... bukan cerpen....

    buyui;
    heheheh... wujud oke pompuan jenis2 gini....

    BalasPadam
  4. gatai ini pompuan!! pandai dia ... siap spare tyres plak .. tapi itulah reality dunia zaman kini kan?

    adehHhh ... next!

    AiLing.

    BalasPadam