Ahad, 27 September 2009

seminggu beraya di kampung...


aku baru tiba dari kampung siang tadik. penat rupanyer beraya di kampung nih ek? bukan penat apa pun. penat melayan sedara (yg mostly mmg aku x berape kenal) tanya biodata lengkap diri aku. maklum jer lah jejaka anggun la plak kan. tambah lagik, mak aku suke plak promosi aku secara besar2an kat diorang semua lagilah riak masing2 mengajukan soalan kak michelle ngan abg ketak kat aku kan?

tapi xper. nasib baik lah aku nih berjiwa professional so selain dari menghulurkan senyuman aku yg anggun ketika diterjah, aku juga buat2 lah makan kuih batang buruk so x bole jawab masa diorang tanya tuh. kang tersembur lak kuih tuh kat muke diorang kan? so pada abg2 dan kakak2 yg dah rimas melayan soalan2 dari mak som, mak jah, mak su timah yg berbau keji spt ini ikut jer petua di atas yer...

yg paling best, ada plak yg nak jodohkan aku ngan anak dara diorang. hahahahahahahaha. bukan aku yg gelak besar tuh. tuh gelakan mak aku disertai oleh kakak, abang serta adik2 aku yg lain. nampak sangat diorang tau adik/abang diorang nih akan terus membujang sampai kertu.

heheh... okelah. den dah ponek nih ha. nak masuk tido lah. nih gambar2 raya pertama aku dgn baju melayu merah saga aku yg aku gembar gemburkan kat blog yg lepas. so korang amati la betul2 wajah anggun nih oke?

bye....




Jumaat, 18 September 2009

PUCUK dah abis. Raya dah dekat.


Hi guys,



PUCUK dah abis. So macam mana? Suke dengan jalan ceritanya? Ada ciri2 jejaka anggun bakal mendapat tempat dlm anugerah sayembara penulis tak? Ataupun standing tak dengan jalan cerita filem-filem hebat arwah Kak Min yang sentiasa menang kat anugerah antarabangsa tuh?



Ahaks. Lepas raya ni, insya allah kalo ada masa aku akan mula menulis cerita baru berjudul - 4 Dara. Baca tajuk jer dah tahu la, cerita pasal orang perempuan lah kan. So, aku nak korang komen bagus ke tak citer PUCUK nih. Manalah tau kalo ada apa2 yang perlu aku tukar or repair ker supaya penghasilan cerita 4 Dara tuh nanti lebih ummphh.



Anyway, aku nak ambil kesempatan yang ada ini utk mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI kepada semua yang berpuasa di bulan Ramadhan dan sebelum aku mengundur diri, aku nak menyusun dua puluh jari tangan dan kaki memohon seribu kemaafan andai ada tersalah kata sepanjang menulis (kot2 ada mencetuskan kesentapan di hati pembaca semua).



Bak kata orang, mata pena lagi tajam dari mata pedang, ini kan pula mata aku yang sepet nih…. Hik hik…





10 tanda-tanda puasa bakal habis….



1. Orang dah tak buka TV1 time azan maghrib. Orang dah malas dah nak dengar azan langsung pun.



2. Dah takder lagi citer masakan melayu atau kuih raya kat TV petang-petang.





3. Rashid Sibir punyer drama yg sedih2 pun dah makin kurang dah. Kalo ada pun stok ulang tayang.



4. Kedai baju melayu/kurung especially kat Masjid India yang sales agak2 ada ngan xder tuh sama jer dulu skang dah kembali meriah.





5. Citer kanak-kanak cedera parah main mercun digantikan pulak dgn kemalangan jalan raya.



6. Lagu raya tak habis2 kedengaran mengalahkan lagu Michael Jackson masa dia mati dulu.





7. Setiap shopping complex mesti decorate theme raya tuh ngan set rumah kampung. Cam org bandar tak beraya plak kan?



8. Org dah start antar kad raya atau e-greeting card. Yg terkini kad raya, kuih raya, baju raya kat Facebook. Apa jadah?





9. Orang beli kuih raya berbalang-balang padahal kalo budak2 dtg bukan nak makan pun. Dia orang nak duit jer. Orang tua pun sama. Dia orang aim rendang dengan ketupat lemang jer la kan. Yang lain2 tuh berbulan-bulan terletak lah kat situ x terusik langsung.



10. Last but not least, orang minta maaf zahir dan batin. Time frame rasa berdosa ni pagi raya jer. Tengahari dah expired dah. Masing2 dah start mengumpat dah balik kan?





*Fakta di atas nih rekaan aku sendiri. Tapi ideanya aku cilok dr blog ceritakuduniaku. Makasih.
** HP aku hilang siang tadi. NIAMAH!!!

Bab 38. Yang Akhir

Aku mahukan penamat yang sempurna. Kini aku telah pelajari bahawa sajak tu tidak selalunya seirama, dan sebuah kisah itu tidak jelas pembayang, isi dan penghujungnya. Hidup adalah tentang tidak mengetahui, perlu peralihan, penuhi saat, dan lakukan yang terbaik daripadanya walaupun tanpa mengetahui ke mana hala tuju selepas itu. Satu kesamaran yang indah, bukan? ~ Gilda Radner










siapa sebenarnya aku padamu

mungkin sama dengan teman lain

yang bisa kau buat begitu

dan bila

tiada lagi teman bermain

kau pulang mendapatkan aku

itulah aku padamu



Radio dimatikan sebaik saja lagu Coba nyanyian Faizal Tahir itu telah habis berputar. Hujan di luar masih lagi turun dengan lebat sama lebatnya dengan hujan airmatanya waktu itu. Sesekali apabila angin bertiup, pintu almari di depan mata terbuka sedikit hingga jelas menampakkan baju kurung putih yang ditempah untuk majlis pertunangan minggu lalu. Seperti baru, baju kurung keramat itu masih lagi elok tergantung.

Faireen waktu itu seperti sudah tidak bermaya untuk meneruskan hidup. Dia kembali menatap telefon bimbitnya yang hampir retak. Fikirannya bingung, kusut dan bercelaru memikirkan apa kesalahan yang telah dilakukan sehinggakan Syafiq sekeluarga tergamak memalukan diri dan keluarganya sebegitu rupa.

Bantal empuk yang hampir kuyup itu ditarik ke muka. Telefon yang hampir pecah akibat dilemparkan ke dinding tempohari juga dicapai kembali. Nombor telefon Syafiq tertera di peti simpanan sebagai pemanggil yang terakhir.

Panggilan yang dibuat tepat pada pukul enam petang, sehari selepas majlis pertunangan mereka sepatutnya diadakan. Dalam panggilan itu, dia lebih banyak memohon maaf dari menjelaskan perkara yang sebenar.

"I menyesal semua ni terjadi, Faireen. I terlalu mengikut kata Mak I, agaknya."

"You menyesal kenal I?"

"Tidak. I tak menyesal kenal you. Malah I nak berterima kasih pada you lagi sebab you yang telah membuka mata dan hati I selama ini."

"Jadi apa dosa I sampai you dan keluarga you tergamak malukan I dan keluarga I macam ni? Mana I nak letak muka ni sekarang, Fiq?"

"Tak ada apa yang I boleh kata lagi Faireen selain meminta maaf berjuta-juta kemaafan kat you. I tersilap, I belum bersedia…"

"Tapi kenapa baru sekarang tak sedia? Kenapa baru hari nak bertunang tu you tiba-tiba tersedar? Dulu you dengan mak you yang beria-ia nak kan I, kan? Apa sebenarnya yang you dah buat ni, Fiq? Explain to me! I tak faham!"

Syafiq hanya mendiamkan diri selepas itu. tidak berapa lama kemudian, talian telefon tiba-tiba saja mati. Faireen termanggu.

Dua hari kemudian, dia menerima satu bungkusan pos dari pengirim yang tidak dikenali. Sebaik saja dia melihat isi kandungan pos yang diterima, hatinya berkata-kata sama ada ingin terus menangis atau berhenti, termenung, dan mengetawakan dirinya sendiri.

Dia benar-benar terkesima. Terkejut dengan apa yang terpampang di depan matanya. Lama termenung, akhirnya baru dia sedari mengapa tuhan menjadikan sesuatu qada dan qadar pada sesuatu kejadian itu. Dalam kesedihan itu, dia menadah tangan, bersyukur. Sekurang-kurangnya tuhan itu telah membuka hati Syafiq untuk tidak terus bersandiwara di hadapannya lagi.

Apabila diberitahu kepada Ibu dan Ayah, mereka berdua mengucap panjang. Lidah mereka kelu tidak terkata ketika menatap gambar-gambar yang penuh aksi panas itu satu persatu.

Faisal pula ketika diberitahu hanya mendiamkan diri. Entah kenapa, airmatanya turut bergenang sedikit. Mungkin dia turut sama menumpang simpati atau mungkin juga dia merasai keperitan yang Faireen alami kini.

Tapi apa yang pastinya, tangisan itu sedikit sebanyak lahir atas dasar kesyukuran terhadap kemenangan yang dimiliki juga. Dia bangga lelaki itu mengambil langkah bijak menjauhkan dirinya sendiri.

Tubuh Faireen dipeluk erat. "Sabarlah, setiap kejadian itu ada hikmahnya. Nasib baik tak jadi bertunang. Kalau dah jadi laki kau, macamana?"

Faireen terdiam. Termenung. Lalu berterima kasih.









Syafiq kini sudah berada jauh di Borneo. Angin yang meniup sesepoi bahasa begitu meredupkan pemandangan di depan matanya. Dia membentangkan tikar mengkuang yang dibawa dari bilik hotel di bawah sepohon pokok. Nafasnya ditarik sedalam-dalamnya. Puas. Sedikit demi sedikit fikirannya kembali terbuai-buai menerawang jauh ke semenanjung. Kembali ke tarikh keramat, hari bersejarah, hari pertunangannya seminggu yang lalu.

Hari itu tepat jam satu petang, mereka sekeluarga bergerak keluar dari rumah. Syafiq mengetuai rombongan itu dengan memandu keretanya sendiri. Sepanjang perjalanan, otaknya asyik memikirkan sebarang kejadian buruk yang tidak diingini yang mungkin bakal berlaku di sepanjang majlis pertunangan itu nanti.

Bagaikan seperti yang diduga, dalam termenung panjang itu dia dikejutkan pula dengan satu pesanan video yang masuk ke telefon bimbitnya. Video rakaman peribadi antara dia dengan salah sorang "teman sepermainannya" dahulu sedang bermadu kasih di dalam sebuah bilik.

Kemudian, di balik video itu ada tertulis nota ringkas berbunyi, "still wanna play the game?"

Syafiq terkesima. Kenderaan yang dipandu waktu itu hampir saja melanggar kereta di hadapan. Fikirannya makin bercelaru. Tanpa teragak-agak dia terus membuat panggilan.

"Mana kau dapat video ni, ha?" Soalnya sebaik saja panggilan yang dibuat berjawab.

"Dunia ni tak lah sebesar mana, Syafiq. Kalau kau boleh kenal dengan aku kat US dan dalam masa yang sama kau boleh jugak kenal dengan kakak aku kat sini, tak kan lah aku yang dah ada kat sini tak boleh dapat benda-benda yang kau dah buat kat sini dulu. Faham?" Soal Faisal kembali.

"Tapi ini hak peribadi aku!"

"Faireen tu kakak aku. Dia hak peribadi kami sekeluarga. Kalau kau rasa kau boleh ceroboh keluarga aku, hak peribadi aku, aku rasa aku tak salah nak canang satu dunia pasal hak peribadi kau jugak. Lagipun kenapa kau nak takut semua orang tahu siapa diri kau tu yang sebenar?"

"Faisal, this is unfair!"

"Kau yang nak ajak bermain, Syafiq. Ini baru intro, tau! Ada banyak lagi yang akan aku tunjuk sebaik saja kau dan suku sakat kau jejak rumah aku nanti!"

Talian terputus. Mungkin dimatikan.

Otaknya makin ligat berfikir. Matanya liar memerhatikan sekeliling. Jika ini bentuk permainan yang cuba dibawa oleh Faisal, dia harus mengundurkan diri sebelum kecundang dengan teruknya. Mak, Fiq minta maaf! Jeritnya di dalam hati.

Minyak ditekan kuat. Dalam kesibukan di tengah-tengah jalan raya itu, dia berjaya mencelah di balik kenderaan lain meninggalkan rombongan yang membontotinya jauh di belakang. Hatinya sudah nekad mahu melarikan diri saja. Dia tidak sanggup dimalukan oleh Faisal di hadapan keluarganya sendiri nanti. Biarkan Ibu kecewa. Biarkan Faireen terluka.

Dia percaya hati dan perasaan manusia itu akan berubah pada bila-bila masa tetapi maruah diri yang bakal tergadai sebentar lagi berkemungkinan akan terus kekal tergadai sehingga ke akhir hayatnya sendiri.

Tidak. Dia tidak akan membiarkan orang lain sewenang-wenangnya menggadai maruah dirinya sebegitu. Tidak. Dia menukar haluan. Memecut laju menuju ke arah bertentangan. Terus ke lapangan terbang.

"Massage, Bang?" Tegur anak kecil yang sudah hampir rentung warnanya dengan muka yang sedih. Syafiq cuma menggeleng-gelengkan kepala. Matanya kembali merenung buih-buih ombak yang menghempas ke pantai.

Langit terang nampak indah warna kebiruannya tanpa diganggu awan yang kelam petang itu. Dia masih lagi terdampar di atas pasir beralaskan tikar mengkuang. Air kelapa muda yang diteguk perlahan berjaya menghilangkan dahaganya sedikit.

Tangannya kembali mencapai telefon bimbit yang telah lama dimatikan. 53 missed calls and 20 unread messages tertera di skrin sebaik saja telefon itu dinyalakan kembali. Bibirnya yang sedikit kering itu menguntum senyum. Dia mencampakkan telefon itu jauh. "Biarlah," ucapnya sebelum kembali menghirup air kelapa muda segar itu.



MP3 yang baru dibeli diselitkan kembali ke corong telinga.



Andaikan Kau Datang - Ruth Sahanaya



Terlalu indah dilupakan

Terlalu sedih dikenangkan

Setelah aku jauh berjalan

Dan kau ku tinggalkan



Betapa hatiku bersedih

Mengenang kasih dan sayangmu

Setulus pesanmu kepadaku

Engkau kan menunggu



Andaikan kau datang kembali

Jawaban apa yang kan ku beri

Adakah jalan yang kau temui

Untuk kita kembali lagi



Bersinarlah bulan purnama

Seindah serta tulus cintanya

Bersinarlah terus sampai nanti

Lagu ini…ku…akhiri





Kebetulan pula lagu dari diva Indonesia itu tiba-tiba berkumandang.

Dia tertawa kecil.












TAMAT

Bab 37. Tamu yang diundang.

Aku sentiasa merasakan bahawa aku mempunyai dua tanggungjawab terhadap tetamu yang berangkat pulang. Pertama, aku akan pastikan bahawa mereka tidak akan melupakan barangan mereka sendiri, dan yang kedua, aku juga mahu pastikan mereka tidak akan membawa pulang barangan milik aku juga ~ Alfred North Whitehead










Dan hari itu benar-benar menjadi hari bersejarah kepada semua…



Langit nampak sedikit mendung petang itu. Masing-masing di rumah sibuk dengan hal mereka sendiri. Iqram baru saja pulang dari menunaikan solat zuhur di surau di belakang rumah. Balqis pula sedang leka menyiapkan makanan di dapur. Ayam masak merah, sayur kailan ikan masin, sambal ikan bilis dan tempe, paru goreng, dan masak lemak pucuk paku jadi hidangan tetamu yang bakal tiba sebentar lagi.

Kak Yah di dalam bilik mandi sedang membasahkan diri setelah berpeluh-peluh berhempas-pulas membantu di dapur sejak pagi tadi. Rozi dan Faireen pula masih lagi sibuk bergurau senda sambil menghiaskan diri masing-masing di depan cermin.

Manakala Faisal masih juga terperap di dalam bilik. Duduk menyendiri sambil leka bermain dengan telefon bimbitnya.

Malam tadi buat kali terakhir dia menghantar tiga pesanan kepada Syafiq. Dalam pesanan itu dia bertanya sama ada Syafiq masih juga ingin meneruskan niat sucinya untuk datang meminang kakaknya. Dia juga memberi amaran bahawa perkara yang tidak diingini bakal berlaku jika niat suci murninya itu tetap juga mahu diteruskan.

Tiga pesanan dihantar namun satu pun tiada yang berjawab. Faisal mula jadi tak tentu arah hinggakan dia tidak mampu untuk melelapkan matanya. Tepat jam tiga pagi, tidurnya yang tidak berapa lena itu terganggu. Dia menerima satu jawapan pada tiga pesanan yang dikirim.



SAYA AKAN TETAP DATANG DENGAN FAMILY SAYA. TOLONG JANGAN HALANG KAMI.



Faisal terkedu seketika membaca kata-kata pesanan itu. Matanya yang mengantuk telah kembali menjadi segar bugar. Hatinya yang suam sedikit juga telah kembali mendidih kepanasan. Rasanya mahu saja dicampak telefon bimbitnya itu ke dinding.

Dia kembali menatap bulan yang penuh di balik awan yang gelap. Di tangannya waktu itu memegang dua keping sampul berisi barangan peribadi kepunyaan Syafiq yang diterima dari Gibran pada pertemuan mereka tempohari.

Di dalam sampul itu mengandungi beberapa keping gambar dan rakaman video Syafiq dan bekas kekasih Gibran waktu itu yang sedang beraksi panas di atas katil. Selain itu Gibran juga ada memberi beberapa keping salinan dialog perbualan mereka berdua di internet yang tersimpan di dalam komputer ribanya.

Kata Gibran, "saya jumpa ni semua masa saya nak pinjam kamera ni dulu. Tup-tup terjumpa pulak benda tak senonoh ni. Memang dari dulu saya dapat rasakan yang boyfriend saya ni ada affair dengan orang lain tapi tak sangka pulak dengan mangkuk hayun ni!"

"Tapi tak apa. Saya break up dengan dia tapi saya transfer jugak semua bukti yang saya ada ni dalam komputer. Saya nak simpan…."

"Untuk apa?" Soal Faisal..

"Semua yang terjadi dalam hidup kita ni ada hikmahnya. Mungkin ini yang dikatakan karma dari tuhan. Atau mungkin juga ini jalan kebenaran yang bulan awak tu, maksudkan?" Jawab Gibran ringkas tanpa ragu-ragu.

Faisal kembali merebahkan diri ke dada katil. Jendela yang terbuka luas membenarkan matanya memandang tepat ke arah bulan yang sedang mengambang waktu itu. Setelah berfikir panjang, dia membalas pesanan yang diterima sebelum kembali mencuba untuk melelapkan mata.



OK. IF THAT’S WHAT YOU WANT. LET THE GAMES BEGIN.







Syafiq mula tak keruan. Pesanan yang diterima malam tadi menimbulkan seribu satu tanda tanya dalam dirinya. "Let the games begin" kata pesanan itu. Mari mulakan permainan? Permainan apa yang dimaksudkan? Dia ingat aku main-main? Soalnya bertalu-talu kepada dirinya sendiri. Aku bermain-mainkah? Tidak! Aku serius ni! Jawabnya kembali.

Jarum jam di dinding diperhatikan lagi. Setengah jam lagi dia akan menghantar rombongan meminang ke rumah Faireen. Keluarga terdekat mahupun yang jauh sudahpun semakin ramai bertandang ke rumah. Ibunya semalam telah juga memberitahu seluruh kampung tentang niat murninya untuk mengetuai rombongan ke Kuala Lumpur itu. Syafiq tidak tahu sama ada apakah perlu ibunya berbuat demikian kerana dia sendiri masih keliru dengan keputusan yang bakal dibuat sebentar lagi.

Sepanjang malam semalam juga dia berfikir tentang kata-kata Faisal dalam pesanan yang diterima. Mungkin ada kebenarannya. Mungkin aku memang sengaja bermain. Mungkin aku sengaja mahu mendirikan rumah di tepi pantai. Mahu menduga setenang mana laut yang tenang itu.

"Kalau aku teruskan juga, apa mungkinkah akan berlaku tsunami sekali lagi?" Soalnya pada diri sendiri.







Puan Khatijah riuh rendah menyambut kedatangan tetamu yang semakin ramai memenuhi ruang tamu rumahnya. Pak Long dan Mak Long baru saja tiba seisi keluarga, Pak Ngah dan Mak Ngah anak beranak pula sudah lama menunggu sejak awal pagi tadi. Tak lupa juga jiran-jiran terdekat dan rakan-rakan dari seluruh kampung, masing-masing sudah tidak sabar untuk mengikuti rombongan besar itu.

Barang hantaran yang bakal dibawa telah tersusun di depan pintu. Tujuh dulang kesemuanya. Semuanya indah-indah belaka tambahan pula apabila dihias di dalam bekas berwarna merah jambu, warna kegemaran Faireen sendiri.

Janji mereka sekeluarga, rombongan akan tiba selepas waktu zuhur nanti tetapi sehingga kini bayang-bayang Syafiq masih lagi tidak kelihatan. Masing-masing yang sudah kepenatan menunggu mula bertanya tentang dirinya. Puan Khatijah bergegas ke bilik anak bujangnya itu.

Perlahan-lahan pintu bilik diketuk, namun salam yang dihulur beberapa kali itu tidak juga berjawab. Dia mula bimbang. "Syafiq!" Jeritnya sekuat hati sekali lagi.

"Ya, Mak…" Jawab anak bujangnya itu sayup-sayup kedengaran dari luar.

"Bagi Mak masuk! Kenapa ni?"

Tak lama kemudian daun pintu terbuka. Syafiq ketika itu masih lagi dengan baju T lusuh dan seluar pendek yang sama dipakainya sebelum masuk tidur malam tadi. Tubuhnya nampak tidak terurus. Dia merebahkan diri kembali ke atas katil.

"Kenapa kau? Kenapa tak siap lagi?"

Syafiq hanya mendiamkan diri.

"Kau sakit?"

Dia menggeleng.

"Kenapa ni, Fiq? Kau takut?"

Dia menangis.

"Fiq, kau tak perlu takutlah," jawab Puan Khatijah dengan hilai ketawa. "Yang nak pergi meminangnya, Mak dengan pakcik makcik tu semua. Kau hantar je kami lepas tu kau pergilah tunggu kat mana-mana. Sekejap je, lepas tu sah lah kau jadi tunang orang…"

"Fiq tak tahu Fiq dah bersedia ke belum, Mak. Fiq takut kita terburu-buru. Menyesal nanti."

"Ah! Jangan kau nak mengada-ngadalah! Kau bangun sekarang! Pergi siap sekarang kita dah lambat ni, tau tak?! Semua orang dah tunggu kau kat luar tu!" Arah Puan Khatijah dengan nada yang garang.

Namun Syafiq masih juga tidak berganjak. Dia termenung.







Sudah tiga kali Faireen menelek jam di dinding. Kali pertama apabila jarumnya tepat di pukul dua petang, kedua pada tiga puluh minit kemudiannya, dan beberapa saat yang lalu sekali lagi dia memerhati jarum yang sama. Tepat jam tiga namun tetamu yang bakal datang bertandang masih lagi tidak kelihatan.

Selendang yang dipakainya sudah lama tercampak ke atas katil. Tubuhnya terasa miang bagaikan digigit-gigit oleh kerawang dan manik yang terjahit pada baju kurung itu.

Rozi pula sudah mengipas kepanasan. Alat solek dimukanya hampir cair terbakar dek cahaya matahari yang menyinar masuk ke dalam bilik.

Barang hantaran yang diatur di atas katil juga telah hampir layu kelihatannya kini. Dia kemudiannya menangis.

Pagi tadi bertalu-talu dia menerima panggilan telefon dari Puan Khatijah. Suaranya kedengaran seperti teruja sekali untuk menyambut kedatangannya ke dalam keluarga tetapi peliknya semakin hari berganjak ke petang, telefon di tangan mahupun di rumah semakin sunyi.

Syafiq pula hanya menghubunginya sekali saja sepanjang hari ini. "Walau apa jua yang terjadi nanti, maafkan saya," katanya dalam panggilan itu dengan butir kata yang tidak berapa jelas.

Faireen keliru. Apabila dia cuba menghubungi nombor itu kembali, taliannya mati serta-merta.

Balqis dan Kak Yah di ruang tamu, sudah lama duduk termenung. Iqram sendiri kini telah tersandar di sofa. Wajahnya nampak benar-benar keletihan.

"Apa dah jadi ni? Janji nak datang lepas zuhur ke asar?" Soal Kak Yah tiba-tiba.

Balqis menggeleng-gelengkan kepala.

"Dah call ke belum?" Soalnya lagi.

"Dah banyak kali dah tapi tak diangkatnya. Penat dah jari ni nak tekan nombor tu, Kak Yah oi!"

"Jangan-jangan dia orang accident tengah jalan tak? Tak kan tak ada nombor orang lain? Nombor rumah? Handphone? Nombor kawan-kawan? Sedara mara? Adik beradik? Semua tak ada?"

"Nombor rumah pun dah, nombor handphone pun sudah. Tak ada berjawab semuanya."

Kak Yah termanggu.

Balqis mengeluh.

Faisal di dalam bilik duduk bertafakur. Jam menunjukkan hampir ke pukul empat petang. Dia masih lagi mengira waktu. Menunggu kedatangan rombongan dari keluarga Syafiq seperti yang dijanji.

Di tangannya masih tergenggam dua sampul yang diberi oleh Gibran itu. Satu bakal diberi kepada kakaknya dan satu lagi akan diselitkan pula ke dalam hantaran yang akan diberi kepada Syafiq

Telefon bimbitnya tiba-tiba berbunyi. Panggilan masuk dari Gibran.

"Helo, macamana?"

Faisal ketawa besar, "nampaknya tak menjadi, kot?"

"Kenapa?"

"Sampai sudah batang hidung pun tak nampak."

"Tak datang lagi?"

"Tak datang langsung, kot?"

"Cis! Tau pulak takut!" Gibran menahan geram. Hatinya kesakitan.

Khamis, 17 September 2009

Bab 36. Satu kemenangan

Walau bagaimana kecundang sekalipun perasaan yang anda alami di dalam diri, sentiasa tunjukkan wajah kemenangan di luar kerana wajah yang terkawal dan yakin itu sentiasa menipu minda yang akan membawa kita pada kemenangan jua akhirnya ~ Arthur Ash







Kepulangannya ke rumah semalam memberi tanda satu kemenangan kepada keluarga Iqram. Dia sendiri telah berjanji tidak akan mengulangi kesilapan yang sama itu lagi. Dia juga bersumpah di depan isteri dan anak-anak mahu melupakan saja kenangan-kenangan buruk yang telah meragut kepercayaan keluarga terhadapnya.

Baginya, pengalamannya mengahwini Nirina dahulu merupakan satu pengalaman yang banyak mengajarnya erti kematangan. Kerana Nirina, dia kini lebih arif tentang peranan dan tanggungjawabnya sebagai seorang suami dan bapa.

Kerana Nirina juga, dia dapat mengenal erti kuatnya kasih sayang isteri dan anak-anak yang masih lagi mahu menerima dirinya seadanya.

Malam tadi dia menunaikan solat jemaah bersama-sama keluarga. Solatnya penuh kusyuk waktu itu. Sesudah solat, dia membaca kembali isi kandungan di dalam Al Quran yang sudah agak lama tidak disentuh.

Hatinya sayu. Dulu semasa kecil, ustaznya selalu memberi perangsang kepada anak muridnya untuk membaca kalam Allah itu. Katanya, "jika kamu membaca satu huruf di dalam Al Quran, maka Allah akan memberi kamu seorang bidadari di syurga kelak."

Bidadari. Dia tersenyum kecil. Isteri yang masih lagi duduk bersila di sebelah, ditenung. Matanya terpejam. Kusyuk menghafal surah yasin yang dibaca juga nampaknya. Dia merapati isterinya itu lalu ringan saja bibirnya mengucup lembut dahinya yang berkedut.

Suci. Itu cintanya pada Balqis kini. Tanpa dia sedari, tuhan itu sudahpun mengurniakan dirinya dengan seorang bidadari di dunia ini. Selama ini syaitan yang telah mengaburkan matanya. Syaitan juga yang telah membutakan hatinya.

Ya Allah, bimbinglah aku untuk melawan hasutan syaitan itu dan berikanlah aku bidadari di syurga nanti secantik Balqis ini, doanya di dalam hati. Iqram yakin kini dia perlu berubah. Berubah ke arah yang lebih baik. Insya Allah.









Faireen mula menyusun hantaran pertunangan yang semakin berselerak di dalam bilik. Dua tiga hari lagi, rombongan meminang dari keluarga Syafiq bakal tiba. Dia bersyukur, bapanya yang selama ini membawa haluan sendiri telahpun kembali kepada keluarga. Sekurang-kurangnya ibunya tidak keseorangan lagi menjadi tunggak dalam mengendalikan majlis pertunangan itu nanti.

Kata Balqis, dia teruja kini untuk menguruskan majlis pertunangan anaknya itu. Pengalaman yang ada sepanjang membantu Kak Yah menyambut menantunya dahulu akan digunakan untuk menyambut tunang anaknya sendiri pula. Dia gembira.

Berbeza pula dengan adiknya Faisal. Sehingga kini dia masih lagi tidak menghulurkan sebarang bantuan. Usahkan bantuan fizikal, sedikit cadanganpun tidak diberi. Faireen kurang pasti mengapa adiknya berubah dengan mendadak seperti itu kerana setahunya dahulu jika ada majlis keramaian sebegini, pasti Faisal yang akan mendahului persiapannya lebih dari orang lain.

Tetapi kini dia sudah semakin menjauhkan diri. Lebih banyak meluangkan masa di luar berbanding duduk di rumah seperti dahulu. Ibu sudah mengambil keputusan tidak akan bertanya lagi kerana alasannya sentiasa berubah-ubah. Kata Ayah pula, anak bujangnya itu mungkin masih memberontak dengan perbuatan jahatnya dulu.

Faireen keliru. Bekas-bekas hantaran berisi baju kemeja, cincin perak, sirih junjung, kek, buah-buahan, cokelat, kain, kasut, dan minyak wangi ditelek. Baju kurung putih dan selendang yang ditempah juga sudah tergantung di dalam almari. Siang tadi barang hantaran itu diterima dari kedai andaman yang ditempah oleh ibunya. Hatinya semakin berdebar-debar apabila menatap barang hantaran yang bakal diberi kepada pihak lelaki itu.

Berdebar di atas dua sebab. Yang pertama, dua tiga hari lagi dia bakal bergelar tunangan orang. Kata orang tua-tua, dugaannya separuh berat dari bergelar seorang isteri.

Dan yang kedua, hampir tiga ke empat ribu ringgit duit simpanannya telah dihabiskan demi menjayakan majlis yang kononnya ringkas dan serba sederhana itu nanti.

Mujur ada Rozi, teman baiknya itu menenangkan keadaan.

Katanya, "tak salah jika kita berhabis sikit demi memuaskan hati semua pihak, Reen. Kau anggap saja ini satu kemenangan bukan pembaziran. Yang penting, majlis itu nanti dapat berjalan dengan sempurna. Tak gitu?"

Faireen termenung. "Ya, kemenangan. Bukan pembaziran," dalam keberatan, dia akhirnya terpaksa bersetuju juga.








Menang? Jika ada trofi kemenangan waktu itu mahu saja Puan Khatijah meletakkannya di atas rak di dalam rumah. Setiap hari dia akan memastikan bahawa trofi itu digilap agar berkilau warna emasnya. Dia juga dengan bangganya akan menayangkan trofi itu kepada semua tetamu yang hadir. Biar mereka semua tahu betapa hatinya gembira menyambut kemenangan yang baru dinobat itu.

Bibirnya tidak putus-putus menguntum senyum. Matanya juga tidak berkelip-kelip memandang kalendar kicap yang tergantung di dinding.

Lusa anak tunggalnya bakal menjadi tunangan orang. Dua tiga bulan selepas itu, dia bakal bergelar suami pula. Tahun hadapan, jika dimurahkan rezeki, akan bertambah seorang lagi di dalam keluarganya.

Semangatnya makin berkobar-kobar kini. Bangga dan terharu apatah lagi apabila mendapat tahu Datin Rohana sudah terhidu berita pertunangan itu dari teman-temannya.

Menang! Menang! Menang! Bagaikan cakera padat yang rosak, perkataan itu asyik berputar di dalam kepalanya tanpa henti. Kembang hatinya apabila Datin Rohana telah tahu bahawa wang sejuta ringgit seperti mana yang dijanji oleh arwah bekas suami mereka dahulu sudahpun berjaya dirampas.

Tidak.

Makin berjaya dirampas.

"Termenung jauh nampak, Mak? Ke mana tu?" Tegur Syafiq tiba-tiba.

Puan Khatijah mengurut dada, terkejut. "Mak dah tak sabar nak meminang Balqis, Fiq. Lepas kahwin je nanti, cepat-cepat dapat cucu tau!"

"Sebab Mak memang nak cucu ke atau Mak nak duit arwah Ayah?"

"Dua-dua sekali lah! Lagipun lagi cepat Mak dapat cucu, lagi cepatlah Mak dapat duit arwah ayah kau, kan? Yang penting kita dah menang, Syafiq. Padan dengan muka si Rohana tu!"

"Mak… Mak… Menang apanya, Mak? Bertunang pun belum lagi…"

"Mak tahu tapi masa tu dah makin dekat. Ah, kau tak payah risau pasal hal ni lah. Yang kau perlu tahu hujung minggu ni kau akan jadi tunangan orang, tu saja!"

Syafiq mengetap bibir sedikit. Tunangan orang? Dia tergaru-garu.

Bukan itu yang mahu difikirkannya waktu ini. Dia sendiri tidak pasti sama ada keputusan yang dibuat ini benar. Bapa dan suami? Sudah layakkah aku bergelar seorang bapa dan suami? Soal hatinya lagi. Dia makin ketakutan.

"Kalau ayah kau masih hidup sekarang tentu dia gembira nak pergi meminang anak dara orang, kan? Yang pertama pulak tu. Mesti dia yang terlebih teruja!" Tambah Puan Khatijah lagi dengan bibir yang masih tidak lekang dengan senyuman.

"Entahlah, Mak. Kalau dia kisahkan keluarga kita, dia tak akan kahwin lain rasanya," jawab Syafiq pula dalam nada kesal sedikit.

Puan Khatijah terkedu. Dia menghela nafas panjang. Kakinya dilangkah mendapatkan Syafiq yang kembali ke ruang tamu menghadap kaca TV. Dia duduk di bangku sebelah.

"Kalau dia tak kisahkan kita, dia tak tinggalkan harta untuk kita anak-beranak. Dia tak akan terfikir pun nak bagi duit sejuta tu kat cucu pertama dia," balasnya.

"Harta yang dia tinggalkan tu memang dah harta sepencarian masa Mak jadi isteri dia dulu. Duit sejuta tu pulak dia nak bagi kat cucu dia, bukan cucu Mak. Nampak beza tak?"

"Habis kau ni bukan anak dia? Anak kau bukan cucu dia? Apa yang kau merepek ni?"

"Kalau Syafiq ni anak dia, kenapa dia ceraikan Mak dulu?"

Puan Khatijah ketawa, "kau ni dah makin menyimpang jauh dah ni. Dia ceraikan Mak dulu sebab Mak tak nak bermadu dengan Rohana tu lah!"

"Bukan sebab dia nak zuriat dia sendiri? Mak tak boleh beri dia zuriat kan, Mak?" Soal Syafiq semula.

Puan Khatijah tergamam.

"Walaupun waktu tu Syafiq masih kecil, tapi Syafiq dengar apa yang Mak dengan Ayah gaduhkan. Syafiq masih ingat apa yang berlaku…"

"Kau masih anak dia walaupun bukan lahir dari darah daging kami sendiri. Kami sama-sama pelihara kau sejak kecil. Sejak bayi lagi, Fiq!"

"Mak, kalau Datin Rohana tu tahu, Mak tak akan menang apa-apa rasanya…"

Puan Khatijah mengurut dadanya kembali. Darah yang mengalir di dalam tubuh entah ke mana perginya kini. "Jangan kau buka mulut kau tu pasal hal ni depan dia, Fiq! Nahas kau!" Dia memberi amaran.









Faisal menonton filem hebat dari Afghanistan itu sendirian di pawagam. Walaupun filem itu dikatakan telah mengaut banyak anugerah di festival filem antarabangsa baru-baru ini namun keadaan di dalam panggung waktu itu lengang saja.

Ratusan kerusi yang berderet di depan matanya langsung tidak berpenghuni. Dia menoleh ke belakang. Termasuk dirinya, hanya ada dua lelaki dan tiga perempuan yang memenuhi ruang panggung yang besar itu.

Bertih jagung yang dibeli di luar tadi, dikunyah. Sudah lemau sedikit rasanya. Suara-suara penonton perempuan di belakang berbisik memuji pelakon yang berjaya memainkan wataknya dengan baik, jelas kedengaran di telinganya.

Dia meneka. Mungkin mereka-mereka yang hadir di dalam panggung itu pengkritik filem. Mungkin juga penggiat seni ataupun orang yang terlibat di dalam bidang perfileman.

Tapi aku? Apa yang aku buat di sini? Ah. Aku tak tahu. Dia menghela nafas panjang.

Sepanjang satu jam filem itu bermain di layar lebar, hatinya tidak dapat menghayati jalan ceritanya yang sebenar. Mindanya kosong waktu itu. Otaknya bagaikan berat untuk berfikir lagi.

Dia menatap jam di pergelangan tangan. Hari hampir mencecah senja. Selepas ini dia bakal pulang ke rumah. Ibu pasti bertanya lagi ke mana hilangnya. Ayah pula tetap selesa bersama kerusi empuknya duduk menatap berita di kaca TV tanpa memperdulikan sesiapapun di sisi. Manakala Faireen akan sekali lagi ghairah bercerita tentang majlis pertunangan yang bakal berlangsung.

Tunang. Faireen. Syafiq. Ah! Hati Faisal kembali menjerit-jerit.

Nafasnya sesak dengan sandiwara yang berlaku. Kata bulan tempohari dia perlu bertindak mengikut rasa hati. Dia perlu gunakan akal yang diberi tuhan dengan sewajarnya. Yang penting katanya, tujuan melakukan sesuatu itu bukan untuk memusnahkan sesiapa melainkan hanya ingin menegakkan sesuatu yang benar.

Jenuh dia berfikir bagaimanakah caranya untuk tidak memusnahkan atau mengaibkan sesiapa selain berterus terang demi menegakkan kebenaran. Dalam kekusutan itu dia membuat keputusan untuk beredar keluar.

Sebaik saja dia membuka pintu, tubuhnya bertembung dengan lelaki yang baru pula ingin melangkah masuk.

Masing-masing terkesima waktu itu. Air coke dan bertih jagung di tangan tertumpah ke lantai.

"Opps! Sorry! Sorry!" Pantas saja bibir kedua-dua manusia yang berlaga itu meminta maaf.

"It's OK. Hari ni memang hari malang saya agaknya. Tadi kereta saya berlanggar dengan kereta orang lain, sekarang kat sini pun berlaga dengan orang lain lagi. Suwey betul!" Sambung lelaki itu pula.

Faisal rasa bersalah, "bukan. Saya yang berangan. Tak apa saya beli yang baru…"

"Tak payahlah, saya tak ada mood dah nak tengok. Terima kasih." Balas lelaki itu kembali sebelum berlalu pergi.

Faisal mengurut dahi.

Kemudian lelaki itu kembali memalingkan wajah, "muka awak ni familiar lah. Awak Faisal, kan?"

"Ya. Awak siapa? Maaf saya tak cam pulak…"

"Saya Gibran. Senior kat sekolah dulu. Lupa?"

"Gibran?" Matanya terjegil besar apabila mendengar nama itu. "Gibran?!!" Soalnya sekali lagi.

"Ya, Gibran," jawabnya dengan senyum yang seindah suria.








Petang itu mereka berdua mengambil keputusan untuk menghabiskan masa dengan duduk berbual di salah sebuah restoran mamak terkenal di ibukota. Dengan Nescafe tarik panas dan roti canai sekeping, masing-masing mula membuka kisah silam yang telah lama ditinggalkan jauh di belakang.

"Satu sekolah kecoh yang awak bunuh diri dulu," kata Faisal membuka kembali sejarah hitam yang pernah berlaku di antara mereka berdua satu ketika dahulu.

Gibran tersenyum, "actually, saya minta dengan pihak sekolah untuk tempatkan saya di sekolah lain. Saya nak buka buku baru," alasannya.

"Buku baru tu terbuka ke tak? Ke buku lama tu awak balut ngan plastik baru je?"

"Entahlah. Tak tahu nak cakap. Kat sekolah baru tu pun ada jugak dua tiga orang budak junior yang "kawan" dengan saya…"

"Kawan yang paling istimewa masa tu?" Usik Faisal sekali lagi.

"Kawan yang special macam awak masa kita sekolah sama-sama dulu?"

"Ah, jangan nak bohonglah, Gib. Kalau saya ni special tak ada maknanya awak nak bertenet dengan budak lain dalam toilet, kan?"

Gibran tersenyum lebar. "Alah, awak ni. Biasalah, tengah waktu puncak masa tu, kan? Maaflah kalau saya duakan awak, eh?"

"Tak kisah. Dah lama dah saya lupakan pun. Awak tak jawab lagi soalan saya ni. Siapa kawan yang paling istimewa kat sekolah baru tu?"

"Kawan yang paling istimewa masa tu…. siapa ek?" Gibran mula menggosok dagu, berfikir. "Mungkin Romi. Eh, bukan. Syafiq!"

"Syafiq?!"

"Kenapa?"

"Tak ada apa-apalah. Nama tu kerap sangat muncul dalam kepala saya lately ni…"

"Boyfriend ke? Ke skandal? Selingkuh? Tak pun suami, ni?"

"Situasi…"

"Situasi? Situasi yang macamana pulak ni?"

"Panjanglah. Malas nak cerita…"

Gibran menyeluk saku seluar. Dia mengambil telefon bimbit lalu bermain dengan punat mencari-cari sesuatu. "Syafiq yang ni?" Tunjuknya.

Degupan jantung bagaikan terhenti tiba-tiba apabila dia menatap wajah yang tertera di skrin telefon canggih itu. "Mana awak kenal dia ni?"

"Syafiq yang ni ke?"

"Ye lah, Syafiq yang ni, lah. Mana awak kenal dia ni?"

Berdekah-dekah ketawa tersembur dari bibir manisnya waktu itu. "Mamat ni memang tak boleh pakai. Selagi ada jantan muka jambu sikit, semua dia nak redah. Kat sekolah dulu, dia jadi boyfriend saya. Setahun dua lepas tu, lepas kita orang break up, dia rampas pulak boyfriend saya yang baru. Dunia lelaki gay kat Malaysia ni tak ke mana-mana kan? Balik-balik ke situ juga!"

Gibran menyambung lagi, "awak pun dah terpedaya dengan dia ke?"

Faisal mengangguk perlahan, menahan malu.

"Alah, lupakan je lah dia ni. Kumbang bukan seekor. Lagi-lagi kumbang taik macam ni. Buang je lah. Busuk!"

"Dah cuba buang dah tapi makin dibuang makin datang dekat pula. Itu yang saya dalam dilema ni..."

"Alahai jiwanglah pulak. Tak boleh lupakan dia ke? Best sangat ke?"

"Bukan macam tu lah. Ish. Susah nak explain. Senang cerita, lusa ni dia nak jadi tunang kakak saya pulak! Reti?"

"Ha?!"

"Ya! Ha! So apa erti sebenarnya tu? Faham ke tak faham? Tolong cerita sikit!"

"Ha!!" Gibran masih lagi tergamam. "Tunang kakak awak?"

"Ya. Adik dah sapu dua tiga kali, turn kakaklah pulak. Kalau saya ada adik lelaki ke, abang ke, sure dia rembat juga kan? Yang saya tak faham, bukannya dia tak tahu itu kakak saya. Entah apa motif dia yang sebenarnya saya tak tahulah. Kusut tau fikiran saya ni, Gib…"

"Habis apa yang awak nak buat? Awak nak dia jadi tunang kakak awak? Lepas tu jadi abang ipar awak?"

"Awak gila? Nanti malam-malam, saya yang kena himpit bukan kakak saya. Ikut hati saya masa family dia tu datang meminang, saya nak buat drama je nanti. Nak canang depan keluarga yang dia tu jantan dua alam. Tapi fikir-fikir balik nanti keluarga saya pun malu jugak, dengan saya, saya pun malu sekali nanti…"

Gibran ketawa.

"Awak ni saya serius dia ketawa pulak!"

"Saya bukan ketawakan awak lah! Saya tahu macamana nak malukan dia tanpa malukan diri dan keluarga awak sendiri."

"Macamana?"

"Jom ikut saya balik rumah!"

"Ha?! Nak kena balik rumah ke?"

"Ya, lah. Saya tak rogol awak lah. Jom ikut saya cepat!"

Kunci kereta yang terletak di atas meja, dicekup. Wang not sepuluh ringgit diletakkan saja di situ. Masing-masing berlari mendapatkan kereta masing-masing. Gibran terus-terusan dengan ketawa besarnya manakala Faisal masih lagi di dalam kekeliruan.

"Follow kereta saya!" Jerit Gibran sebaik dia memulakan enjin.

Faisal setuju. Dalam ketakutan, dia masih lagi mampu untuk tersenyum. Sepanjang jalan mulutnya terkumat-kamit membaca berdoa. Meminta kepada tuhan semoga hari esok benar-benar memberikan kemenangan yang bersejarah dalam hidupnya.

Rabu, 16 September 2009

Bab 35. Tegak.

Siri kehidupan itu menyatakan setiap detik yang sering kita lalui melewati masa. Gunakanlah detik itu sebaik mungkin kerana bukan detik itu yang menentukan siapa kita tetapi kita sendiri yang perlu menentukan detik kehidupan kita sendiri ~ Jill Pendley








Faireen duduk merenung kalendar yang tergantung di dalam bilik. Beberapa hari lagi majlis pertunangannya bakal berlangsung. Ibu yang selama ini bekerja keras untuk menjayakan majlis itu tidak dapat membantu. Dia sudah dua tiga hari menemani ibu saudaranya di kampung.

Adiknya pula sudah awal-awal lagi memberitahu bahawa dia tidak akan dapat menghulurkan bantuan juga. Alasannya, mudah dan ringkas. Sibuk dengan kerja-kerja yang bertimbun di pejabat.

Mahu tidak mahu Faireen terpaksa terkontang-kanting membuat semua persiapan terakhir seorang diri. Sembilan dulang hantaran. Itu yang dipersetujui dalam perbincangannya bersama Iqram dahulu.

Majlis pertunangan pula akan diadakan sekaligus dengan majlis merisik. Segala-galanya harus dilakukan dengan segera. Itu juga syarat utama dari pihak lelaki.

Dia tidak membantah.





Tetapi bagi Faisal, majlis pertunangan yang ditunggu-tunggu itu bukan sesuatu perkara yang baik bagi dirinya. Hatinya masih lagi tercalar dengan keputusan yang dibuat. Syafiq seakan-akan menjauhkan diri daripadanya sejak kebelakangan ini. Apabila dia cuba membuat panggilan untuk mendapatkan kepastian, Syafiq bagaikan sengaja tidak mahu dihubungi.

Faisal berang diperlakukan sebegitu. Makin dekat dengan tarikh keramat itu, dia makin sukar untuk mendapatkan tidur yang lena. Setiap malam, dia duduk termenung mendongak ke langit dan berbicara bersama bulan. Satu-satunya teman rapatnya sejak akhir-akhir ini.

Dia bertanya, "arwah Bob masih terlalu muda untuk mengambil keputusan mencabut nyawanya sendiri. Jika tidak kerana dia terlalu mengikut kehendak dan naluri darah mudanya, tak mungkin dia akan tergamak untuk melakukan semua ini, kan Bulan?"

Bulan tersenyum kecil, lalu menjawab, " Syafiq juga terlalu mengikutkan darah mudanya. Jika tidak kerana dia yang terlalu tertekan dengan tuntutan ibu dan agama, mana mungkin dia akan mengahwini kakak kau sendiri? Dan kau? Mana mungkin dia boleh menduakan kau jika hatinya tidak terdetik langsung kepada Faireen?"

Faisal bertanya lagi, "jadi perlukah aku juga mengikut darah muda aku sendiri juga? Perlukah aku mencetuskan kekecohan di hari pertunangan itu nanti? Di depan sanak saudara, di depan ibu bapa, perlukah aku memaklumkan kepada semua tentang hubungan kami berdua? Perlukah dunia itu diberitahu tentang jenis apa lelaki yang bernama Syafiq itu? Perlukah alam mengerti mengapa aku lakukan semua ini? Perlukah? Perlu?"

Bulan diam membisu tanpa jawapan.

"Perlukah, Bulan? Perlu?" Soalnya sekali lagi.

"Tuhan menciptakan sesuatu kejadian itu dengan hikmah yang tersembunyi. Jika Syafiq boleh mengikut kata hatinya, mengapa tidak kau juga mengikut kata hati kau sendiri? Mengapa kau harus bermurung? Kau sendiri perlu bertindak!"

"Kau nak suruh aku canang depan semua yang kami pernah bersedudukan? Aku belum seberani itu lagi, Bulan! Aku yang malu nanti!"

"Siapa suruh kau malukan diri kau sendiri? Tuhan beri kau akal untuk berfikir. Kau boleh bertindak dengan cara yang tidak memalukan sesiapa, kan?"

Faisal terdiam.

"Walau apa pun cara yang kau akan buat, fikirlah semasak-masaknya dahulu. Yang penting, tujuan kita melakukan sesuatu itu bukan kerana ingin memusnahkan sesiapa tetapi kerana kita ingin menegakkan sesuatu yang benar. Renung-renungkan…"

"Dan selamat beramal?"

"Dan selamat beramal…" Sambung bulan dengan melirik manja.

Huh! Faisal mengerut dahi. Menegakkan sesuatu yang benar? Soalnya pada diri. Bagaimana aku nak menegakkan sesuatu yang benar?







"Dulu Bob tak padan dengan kecil sibuk nak tolong ayahnya tegakkan rumah ni," kata Kak Yah mengimbau kenangan silam sambil menghirup teh O panas di anjung rumah.

Dia ketawa kecil. Bagaikan terlihat di matanya, Bob yang ketika itu hanya berseluar pendek yang ditarik hingga ke paras dada berlari-lari menarik papan dan paku-paku kecil untuk membantu Abang Bakri dan pekerja yang lain mendirikan rumah kampungnya itu.

Mulutnya bingit menjerit keriangan apabila serpihan-serpihan kecil dari papan yang dipotong itu disusunnya di atas tanah satu persatu. Pasir dan simen dikaut lalu dijadikan tambak pula pada papan-papan kecil yang disusun.

Kak Yah penat berleter memarahinya bermain di situ namun leterannya langsung tidak diendahkan. Dia bimbang jika anak kecilnya itu tercedera tapi Abang Bakri tidak langsung membantah. Malah dia turut menumpang gembira melihat anak bujangnya sudi membantu.

"Abang Bakri kau kata, orang lelaki dari kecil harus diajar bertukang. Anak dara pula harus rajin turun ke dapur. Kalau dia hidup lagi sekarang, mesti dia tahu orang kita sekarang dah tak pandai lagi bertukang. Dah jadi kerja orang indon dah kat sini."

Balqis mengangguk, "betul tu, Kak. Kat KL tu pun yang bina bangunan tinggi-tinggi tu semua orang luar. Orang kita lagi senang duduk kat office. Bawah aircond."

"Ish, bawah aircond. Buat sakit tulang duduk sejuk-sejuk ni…"

"Ya, ya. Betul…" jawab Balqis sambil mengurut sendi-sendi yang sakit.

"Iqram?" Tiba-tiba perbualan mereka terganggu. Dari jauh Kak Yah terlihat ada cebisan cahaya kecil yang memancar masuk ke perkarangan rumah kampungnya itu. Dia menjenguk sedikit.

Balqis menoleh ke belakang. "Iqram?" Soalnya kembali.

"Tu kereta dia tu kan?"
"Apa dia buat kat sini, Kak Yah? Akak panggil dia datang ke?" Soal Balqis semula.

Kak Yah mengangkat bahu. Iqram yang melangkah keluar dari kereta menuju ke depan rumahnya diperhatikan dengan tajam. "Kau nak apa kat sini?"

"Kalau ya pun, tak kan tak nak bagi saya masuk dulu, Kak?"

Dia mendengus, "naiklah! Siapa suruh kau datang sini?"

"Saya nak jumpa Balqis," jawabnya menuding ke arah Balqis yang duduk diam membisu di atas kerusi.

"Duduklah. Kak Yah pergi ambil cawan," balas Kak Yah pula sebelum beredar ke dapur.

Balqis menjeling tajam. Mulutnya rapat terkunci dengan anak matanya sengaja tertumpu memandang siling kayu yang penuh berselawang di rumah kampung itu.

Perasaannya bercampur-baur antara jijik pada lelaki yang pernah mengaku untuk sehidup semati bersamanya dulu, marah kerana janji-janji yang pernah dilafaz dulu hanya sekadar manis di bibir saja, malu pada anak-anak yang turut sama melalui saat-saat duka begini, dan sedih apabila kepercayaan yang selama ini ditatang kepada suami sendiri sudahpun hilang dengan sekelip mata.

"Abang tahu awak masih marah. Abang banyak buat silap. Qis tolong maafkan Abang?"

"Kalau perempuan tu masih hidup, ada Abang nak bersujud macam ni?"

Iqram tertunduk. Airmatanya yang bertakung sedikit, dikesatnya.

"Perempuan macam tu Abang buat bini? Qis malu depan anak-anak tau, Bang! Apa dosa Qis selama ni sampai Abang sanggup menduakan Qis macam tu? Buruk sangat ke Qis ni, Bang?"

"Abang dah insaf sekarang Qis, maafkan Abang. Abang janji Abang tak akan buat lagi…"

Balqis ketawa besar, "janji ye, Bang? Dulu masa kahwin pun Abang janji macam tu juga. Yang ni sampai bila pula Abang nak pegang janji ni? Sampai jumpa perempuan lain?"

"Abang dah taubat, Qis… Abang dah cukup malu dengan apa yang Abang dah buat selama ni. Abang nak kita kembali macam dulu. Abang nak balik ke pangkuan awak, ke pangkuan anak-anak. Tolonglah terima Abang seadanya semula, Qis…"

"Abang ni sama je lah macam anjing dengan tulang, tau! Tamak. Anjing tu kalau tak dapat makan taik, bau-bau pun jadi, Bang!"

"Abang bukan anjing, Qis. Ini suami awak, Balqis. Bawak mengucap…"

Balqis terdiam. Airmatanya yang ditahan gugur juga akhirnya. "Suami? Kenapa baru sekarang awak nak mengaku saya ni isteri? Kenapa awak tak fikir semua tu masa awak kahwin dengan perempuan gatal tu dulu? Awak tahu tak Bob tu bunuh diri pasal dia? Awak tahu tak yang anak dalam perut dia tu mati sebab dosa yang awak dah buat? Anak tu anak siapa pun awak tak tahu, kan? Awak sedar tak apa yang awak dah buat? Faireen sampai sekarang tak nak mengaku awak bapa dia lagi! Faisal sampai sudah tak nak bercakap dengan sesiapa!"

Iqram memotong, "sudahlah tu, Qis. Abang tahu semua tu. Marilah kita balik. Kita buka buku baru. Kita mulakan bab baru dalam keluarga kita," pujuknya.

Balqis berdiri. Mencekak pinggang.

Iqram turut sama berdiri.

Kak Yah yang memasang telinga dari tadi tiba-tiba muncul dari dapur, "sudahlah tu Balqis. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Bob dah tak ada. Nirina pun dah tak ada. Yang dah lepas tu kita jadikan tauladan. Yang buruk tu jadikan sempadan. Lagipun tak elok runtuhkan masjid yang dah lama tegak berdiri…"

"Boleh ke saya percaya balik dengan Abang lepas apa yang Abang buat? Sampai hati Abang buat macam ni kat saya. Saya sedih tau, Bang…"

Iqram meramas lembut jari-jemari isterinya itu. Dahinya dikucup. Hangat hembusan nafas isteri yang tercungap menahan kemarahan tadi sedikit demi sedikit terasa kembali reda. "Ampunkan Abang, Qis," dia menangis kekesalan.

Balqis juga tidak dapat menahan sebak. Tubuh suaminya didakap erat. "Ampunkan Balqis juga, Bang," ucapnya di telinga lelaki itu.

Kak Yah tersenyum. Punggungnya dilabuhkan ke atas kerusi malas. Air teh O yang hampir sejuk di dalam teko dituang ke dalam gelas kaca di tangan. Hatinya menjadi lapang sedikit apabila melihat hubungan yang keruh dahulu telah kembali jernih warnanya.

"Sudahlah tu. Buruklah orang tua menangis. Mari minum sama-sama! Kita celebrate satu kemenangan!"

Selasa, 15 September 2009

RIP Patrick Swayze


rakan aku dari Associated Press memaklumkan aktor lama Patrick Swayze, yg popular dgn filem spt Dirty Dancing, Ghost, n Too Wong Foo telahpun disahkan meninggal dunia semalam setelah lama (20 bulan) bertarung dengan penyakit pancreatic cancer yg dialami. mendiang berusia 57 tahun.

semoga rohnye dicucuri rahmat oleh tuhan dia.

(hik hik. tuhan kita dah sah2 buat donno jer ngan dia. bukan islam pun kan?)




ps: teringat dia, Wesley Snipes, John Leguizamo drag dlm filem hebat To Wong Foo, Thanks for Everything! Julie Newmar masa zaman aku sekolah2 dulu. best citer tuh... ahaks!

Bab 34. Mati.

** guys, utk mempercepatkan masa... jejaka anggun ada masukkan few bab in a day. so mana2 bab yg terlepas tuh, cariklah kat label PUCUK eh.... kalo x jumpe, cube carik kat masjid india. musim2 raya nih manalah tau ada bab yg dijual di sana.....

*** thx to Karl yg promote blog yg x seberapa nih. terharu tau!!!


Bab 34. Mati.





Terlalu ramai manusia memikirkan tentang keselamatan dari kesempatan. Nampaknya mereka terlalu takut dengan hidup dari mati ~ James F. Bymes







Kematian. Satu-satunya perkara yang ditakuti dalam hidup manusia. Ketika menghampiri saat-saat kematian itu tentu ramai yang tertanya, apa yang sudah kita kecapi selama hidup ini? Apakah sudah cukup bekalan di dunia ini yang akan kita bawa bersama ke akhirat?

Apa pula yang bakal kita tinggalkan di dunia untuk menyokong amalan kita menuju ke pintu syurga nanti? Bagaimana dengan roh kita sendiri, akan sepikah roh kita itu apabila bersendirian di alam barzakh?

Dapatkah kita menjawab segala soalan yang dihulur oleh Munkar dan Nakir? Apakah benar azab kubur yang diturunkan oleh Allah itu? Dan bagaimana rasanya mati itu sendiri?

Iqram mengurut dada. Bacaan talkin yang sedang dibaca di hadapan kubur isteri didengar dengan tekun.

Siapakah Tuhan kamu?

Siapakah Nabi kamu?

Apakah agama kamu?

Apakah kiblat kamu?

Siapakah saudara kamu?

Apakah pegangan iktikad kamu?

Dan apakah kalimah yang kamu bawa bersama-sama kamu?

Airmatanya jatuh bercucuran bagaikan air yang tidak putus-putus mengalir. Dia termenung mengenangkan amalan yang terlalu cetek di dalam diri. Aku sudah lama menduakan Allah. Aku lupa Muhammad itu pesuruhNya. Islam dalam diri aku hanya sekadar pada nama saja. Arah kiblat tidak langsung aku ketahui. Al Quran juga sudah lama tidak aku sentuh. Saudara Islam mana yang mahu mengaku aku saudara mereka nanti? Mengucap? Ya Allah…

La ila ha illallah Muhammaddur rasulullah… Iqram mengucap panjang. Aku berdosa, ya Allah. Dia memohon ampun. Tangannya tinggi memanjat doa. Arwah Nirina yang baru dikahwini sudahpun kembali ke rahmatullah. Dia membawa bersama bayi yang belumpun sempat untuk mengenal betapa hodohnya dunia ini.

Dia berdosa. Bayi yang terlalu kecil itu juga telah pergi membawa bersama dosa yang ditinggalkan oleh bapanya. Bodoh! Bodoh! Bodoh! Hatinya menjerit-jerit memarahkan diri sendiri. Jika bukan kerana dia yang terlalu mengikut hati meninggalkan isteri sendirian di rumah tempohari, kemungkinan besar perkara buruk ini dapat dielakkan.

Kata jiran, malam itu mereka ada terdengar pergelutan yang berlaku tapi sangkaan mereka hanya sekadar pergaduhan kecil di dalam keluarga. Iqram mengerti. Memang sudah lumrah hidup berjiran di bandar besar, kebanyakan daripada mereka jarang ingin mengambil tahu hal ehwal jiran tetangga yang lain.

Kata pihak pengurusan kondo pula, kejadian yang berlaku sememangnya di luar kawalan mereka sendiri. Kedatangan Bob ke situ bagi mereka adalah perkara biasa memandangkan arwah memang sentiasa berurusan di situ. Setelah mendapat laporan doktor, polis juga akhirnya menutup kes dengan mengklasifikasikan kejadian ini sebagai homisid yang bermotifkan cemburu semata-mata.

Iqram pasrah dengan apa yang telah terjadi. Ibu dan bapa mertua, Haji Leman dan Mak Royah dijeling dari jauh. Mereka berdua duduk bertafakur berteduhkan pohon kemboja. Sesekali kelihatan Mak Royah tersedu-sedan meratap dan memeluk sanak saudara yang hadir mengucapkan takziah.

Haji Leman lebih tenang. Wajahnya serius. Mulutnya langsung tidak berkata apa-apa. Sejak semalam dia memendam perasaan marah di dalam hati. Marah pada Iqram akibat kecuaiannya dan marah pada takdir kerana terlalu awal menjemput anaknya itu pulang.

"Sampai aku mati aku tak akan maafkan kau, Iqram!" Itu kata-kata yang terpacul dari mulut Mak Royah sewaktu hadir untuk menjemput jenazah di hospital semalam.

Iqram tidak mampu untuk berkata apa-apa selain meminta maaf atas segala yang telah terjadi waktu itu. Sempat juga dia berlari ke bilik sebelah di mana jenazah Bob diletakkan sebaik saja Balqis dan anak-anaknya tiba di situ. Kaki isterinya itu dicium sambil memohon maaf atas segala keterlanjuran yang telah dibuat.

Balqis waktu itu tidak dapat untuk berkata apa-apa. Tubuhnya menggigil akibat masih terkejut dengan segala yang terjadi. Air matanya juga bagaikan enggan mengalir. Anak-anaknya, Faisal dan Faireen hanya berdiri di satu sudut. Seperti berada di muka pengadilan, mereka ketakutan.








Di satu kampung yang lain, kelihatan talkin turut dibaca di pusara anak bongsu tersayang. Kak Yah sedari tadi tidak dapat menahan sebak di dada. Semalaman tubuhnya lemah sebaik saja menerima berita kematian Bob. Dia dipapah oleh anak-anaknya yang lain untuk mengenalpasti jenazah di Hospital Kuala Lumpur sebelum membawa arwah pulang untuk disemadikan di kampung halaman, bersebelahan kubur arwah bapanya.

Kata doktor, arwah telah membunuh diri dengan mengelar lehernya selepas dia membunuh Nirina. Juga ada beberapa kesan calar balar ditubuhnya menandakan berlakunya pergelutan di antara kedua-dua mangsa semasa kejadian.

"Kalau Bob tak gila kenapa Bob ada kat sini? Semua orang dalam ni semua gila. Lama-lama kat sini Bob pun boleh jadi gila macam dia orang! Mak saja letak Bob kat sini sebab Mak pun ingat Bob dah gila kan, Mak?"

Kata-kata itu terngiang-iang lagi di telinga. Kak Yah bagaikan sudah mendapat berita ini terlebih dahulu di dalam mimpinya malam itu.

Entah kenapa, malam itu selepas dia pulang dari rumah Abang Uda, tubuhnya terasa agak lain sedikit. Selesai menunaikan solat isyak, dia tertidur di dalam bilik. Di dalam tidurnya itu dia mengalami mimpi yang agak aneh. Mimpi tentang Bob datang bersujud dan meminta ampun kepadanya.

Di belakangnya pula, kelihatan arwah Abang Bakri berdiri lalu membawa anak bongsunya itu pergi ke satu tempat yang terasing. Satu tempat yang jauh dari pandangan mata.

Dia tidak berkata apa-apa waktu itu. Cukup hanya dengan sebuah senyuman manis yang terukir. Kak Yah menangis. Sudah lama dia menantikan senyuman manis itu.

Kata Abang Bakri, "kami tak akan lama pergi dari sini. Tunggu…" Sebelum satu cahaya terang, menarik tubuhnya hilang dari pandangan.

Kak Yah tidak mengerti dengan maksud kata-kata dari arwah bekas suaminya itu. Puas dia cuba untuk menahan kedua-duanya pergi, tetapi tangannya tidak berdaya untuk menghalang.

Apabila tersedar jam sudah menunjukkan tepat pukul tiga pagi. Tubuhnya berpeluh-peluh. Seluruh rumah waktu itu hanya bertemankan bunyi cengkerik dengan berselang-seli suara siulan pungguk yang rindukan bulan.

Dalam kegelapan itu, dia bangun ke bilik air. Mengambil wudhuk dan mula bersolat tahajud untuk mencari jawapan pada mimpi yang tersirat.



Di depan pusara itu dia masih menangis lagi. Buku yasin yang dipegang hampir lembap dengan airmatanya yang gugur. Ramai sanak saudara terdekat yang hadir untuk memberi penghormatan terakhir di situ. Termasuk Balqis dan anak-anaknya juga. Mereka sekeluarga bergegas ke hospital selepas menerima berita yang mengejutkan itu awal pagi semalam dari Maryam, anak sulung Kak Yah sendiri.

Sebaik saja tiba di sana, Kak Yah terus meraung meminta maaf di atas segala dosa-dosa yang telah dilakukannya. "Ini balasan tuhan! Balasan tuhan! Ya Allah!" Katanya berulangkali sambil bersujud di kaki adik iparnya itu.

Balqis tumpang simpati. Balasan tuhan? Karma? Dia tertanya. Ya, mungkin ini balasan tuhan terhadap apa jua yang kita telah lakukan. Mungkin juga ini sudah suratan takdir. Kita perlu pasrah kerana memang sudah tertulis di dalam bukuNya bahawa Bob akan pergi dengan cara begini.

"Sabarlah, Kak. Yang dah lepas tu, biarlah lepas. Sebaik-baiknya kita doakan dia. Semoga tuhan tempatkan dia di sisi orang-orang yang beriman," jawabnya untuk menenangkan keadaan.

Bacaan talkin dari imam masjid itu diamati.

Ketika itu hendaklah kamu menjawab soalan-soalan mereka dengan cermat dan sehabis-habis terang, tepat, dan betul. Janganlah berasa gementar atau tergopoh-gapah.

Jawablah dengan tenang dan berhati-hati.

Allah Taala Tuhanku,

Muhammad nabiku,

Islam agamaku,

Baitullah itu kiblatku,

Orang Islam itu saudaraku,

Kitab suci Al-Quran ikutanku,

Dari hidup hingga aku mati aku mengucap, La ila ha illallah Muhammaddur rasulullah.

"Inna lillah wa inna 'ilayhi raji'un," bisik Balqis perlahan ke telinga anak-anaknya. "Daripada Dia kita datang, kepada Dia juga kita kembali," sambungnya lagi.

Faireen dan Faisal menundukkan kepala. Insaf.

Lima belas minit kemudian, Pak Imam mula beransur pulang sebaik bacaan talkin habis dibaca. Kak Yah dan anak beranaknya mengambil giliran untuk menyiram air dan menabur bunga-bungaan di kubur arwah.

Sanak saudara yang lain makin lama makin berkurangan di situ. Kak Yah mencium batu nisan sebelum pergi. "Insya allah, kita jumpa di syurga ya, Nak," bisiknya lembut.

Dalam doa Pak Imam tadi ada mengatakan sebaik saja kaki-kaki mereka ini melangkah tujuh tapak meninggalkan kawasan perkuburan itu, arwah akan didatangi oleh dua malaikat yang ditugaskan oleh Allah swt. Semoga bekalannya di dunia dapat membantunya di alam barzakh nanti.

Kullu nafsin dzaikatul maut. Semua yang hidup pasti akan menemui ajal. Dunia hanyalah sementara manakala akhirat itu yang kekal abadi.

Isnin, 14 September 2009

Bab 33. Berita 2.

Musuh dan rakan sering berkaitrapat membantu mengecewakan hati anda; seorang mengeluarkan kata-kata kesat manakala seorang lagi menyampaikan kata-kata tersebut ke telinga anda sendiri ~ Mark Twain.







Pagi itu bukan pagi yang menggembirakan bagi Datin Rohana. Sewaktu dia sedang mencari barang dapur di pasaraya tadi, dia secara tidak sengaja telah terserempak dengan seorang rakan wanita dari kelab komuniti yang pernah dianggotainya satu ketika dahulu.

Ada dua perkara yang membuatkan Datin Rohana tidak senang dengan pertemuan yang tidak dijangka itu.

Pertama, walaupun dari luaran mereka kelihatan tidak ubah seperti rakan lama yang lain, yang sering bertepuk tampar dan bertanya khabar apabila sudah sekian lama tidak bersua muka, tetapi hakikatnya masing-masing sejak dahulu masih lagi menyimpan perasaan iri di dalam diri masing-masing.

Dan yang kedua, berita yang baru disogokkan ke telinganya oleh rakan wanitanya itu pagi tadi telah berjaya membuatkan anggota tubuhnya lumpuh serta merta.

Setiba saja di rumah, fikirannya tidak habis-habis kembali menerawang pada kenangan sewaktu kali pertama mereka berdua bertemu dahulu.

Ianya bermula ketika dia baru saja menganggotai kelab komuniti yang ditubuhkan oleh arwah Datuk Johari. Waktu itu mereka berdua belum berumahtangga dan kelab yang baru ditubuhkan itu dikelolakan sendiri oleh Puan Khatijah, isteri Datuk Johari waktu itu.

Datin Rohana dan rakan wanita tadi memegang jawatan yang sama. Mereka berdua ditugaskan untuk membawa masuk projek-projek baru selain mencari dana bagi menampung kos-kos yang bakal dikeluarkan.

Ketika berita Datuk Johari dan Puan Khatijah berpisah, keadaan di dalam kelab menjadi agak kucar kacir sedikit terutamanya apabila arwah Datuk mengambil keputusan untuk mengambil Datin Rohana pula menjadi isteri yang baru.

Sebaik saja bergelar isteri, Datin Rohana telah mengambil alih jawatan Puan Khatijah tadi sementara rakan wanitanya tadi, yang sewaktu itu sering menjadi orang kuat Puan Khatijah, merasa dirinya dipinggirkan walaupun dia di antara ahli yang telah lama berkhidmat di situ.

Pelbagai kata-kata tohmahan dan caci maki yang dihidangkan ke halwa telinga datgin Rohana sehinggakan pada satu hari, dia telah membuat keputusan untuk menarik diri dari terus menyandang jawatan tersebut.

Semenjak dari saat itu, mereka berdua hanya bertemu di majlis-majlis tertentu saja. Seingat Datin Rohana, kali terakhir mereka berdua bertemu muka sebelum ini ialah pada hari pengebumian arwah Dato Johari sendiri.

Kedatangannya waktu itu disertai oleh rakan-rakan dari kelab yang pernah dianggotainya dahulu. Diketuai pula oleh Puan Khatijah dengan anak tunggalnya, Syafiq.

Mungkin tekaannya silap, tetapi Datin Rohana merasakan kedatangan mereka semua ke situ bukannya untuk memberi penghormatan terakhir kepada arwah suami tetapi semata-mata hanya untuk mentertawakan dirinya yang waktu itu terkontang-kanting sendirian.

Setelah lama peristiwa itu berlaku, tadi sekali lagi dia bertemu dengan rakan wanita itu. Pada Datin Rohana perjumpaan yang terjadi itu hanya sekadar ingin menyampaikan satu berita yang langsung tidak ingin didengarinya.

Berita yang datang dari Puan Khatijah sendiri. Berita yang menyatakan minggu hadapan dia bakal menghantar satu rombongan pertunangan untuk anak tunggalnya Syafiq.

Datin Rohana mengibaratkan berita yang baru diterimanya itu merupakan satu tamparan yang hebat. Berita yang secara tidak langsung menyatakan bahawa wang sejuta ringgit milik arwah suami telahpun makin hampir jatuh ke tangan orang lain.









Berbeza dengan Datin Rohana, Puan Khatijah menerima berita yang didengari dari Syafiq tadi dengan rasa berbesar hati. Makin dekat dengan hari pertunangan, makin gatal terasa tangan kanannya. Kata orang tua-tua, itu tanda bakal menerima rezeki. Kata hatinya pula, itu tanda bakal menerima wang yang ditinggalkan oleh arwah bekas suami sendiri.

Hari bersejarah itu dijadualkan akan berlangsung pada minggu hadapan. Semalam dia sudah menempah tujuh dulang di salah satu salun andaman berdekatan untuk dijadikan barang hantaran.

Antaranya, tepak sirih, sirih junjung, pulut kuning, sebiji kek, senaskah Al Quran, dua bentuk cicin dan gelang, dan buah-buahan sebagai pemanis mulut. Katanya, angka tujuh itu angka bertuah. Harapannya juga agar tujuh dulang yang dihulur bakal memberikan tuah kepada anaknya dan keluarga baru mereka nanti.

Menurut kata Faireen di dalam perbualan mereka di telefon semalam, majlis pertunangan bakal diadakan secara kecil-kecilan saja di rumahnya memandangkan keluarganya masih lagi bermurung dengan apa yang berlaku baru-baru ini.

Puan Khatijah agak keliru. Antara ingin menundakan saja majlis yang bakal dibuat atau meneruskan seperti mana yang sudah dirancang. Hatinya sudah tidak mahu menunggu terlalu lama lagi. Jika dilengahkan, wang yang bakal tersalur ke dalam akaun cucunya itu berkemungkinan akan dirampas oleh Datin Rohana dan anak-anaknya pula nanti.

Syafiq dengan kasar menuduhnya berdarah sejuk. Tidak langsung memikirkan hati dan perasaan orang lain semata-mata kerana wang ringgit. Dia hanya mampu tersenyum.

Balasnya, wang ringgit itulah yang bakal memberikan kesenangan kepada mereka sekeluarga nanti. Pesannya lagi, anggap saja perkahwinan itu sebagai satu kontrak. Kontrak yang perlu diikat sehingga kelahiran cucu pertama.

Selepas itu, jika Syafiq merasakan bahawa segala apa yang telah berlaku ini hanya sekadar satu permainan semata-mata, dia tidak akan membantah jika anaknya itu mengambil keputusan untuk menceraikan isterinya itu.

Cucu. Itu yang penting. Wasiat yang ditinggalkan bukan untuk isteri. Ataupun tunang. Ataupun Faireen. Wasiat itu untuk cucu pertama.









"Cucu?" Soal Balqis pada anaknya Faireen yang sedang tekun membelek majalah pengantin yang baru dibeli.

Dia mengangguk. "Ya, Ibu. Cucu. Itu yang Reen tanya kenapa Mak si Syafiq ni beria-ia nak kami kahwin cepat. Katanya dia dah tak sabar nak menimang cucu," jawabnya.

"Ibu bimbang kau orang ni macam terburu-buru. Jangan ikut sangat darah muda tu, Reen. Fikir masak-masak," pesan Balqis lagi. "Cucu?" Dia tertanya lagi.

"Ibu tak nak cucu?"

Balqis mengeluh."Siapa yang tak nak cucu, Reen. Nanti kau dah ada anak, kau pun nak cucu jugak. Dulu masa Ibu baru-baru kahwin dengan ayah kau pun, nenek kau minta kami cepat-cepat dapat anak supaya dia pun cepat-cepat dapat cucu jugak. Katanya anak cucu itu pengikat kasih sayang suami isteri…"

"Tapi ada tak nenek kata bila anak cucu tu dah besar panjang, ikatan kasih sayang suami isteri tu boleh terlerai?"

Balqis terdiam. Tajam sindiran yang keluar dari mulut anaknya itu. Dia mula bermain dengan jari. Kepalanya tertunduk terkenangkan saat-saat pertunangannya bersama Iqram dahulu.

Ingatannya merantau jauh kembali ke era tujuh puluhan. Hari pertunangannya hari itu merupakan sebuah majlis yang serba sederhana. Dia hanya mengenakan baju kebaya ketat warna putih dan kain songket warna perak serta selendang jarang halus untuk menutup sedikit sanggul yang melintang.

Namun begitu, hari itu dia merasakan dirinya sungguh anggun sekali.

Bibir Kak Yah tidak putus-putus memuji. Sepanjang majlis, dia sibuk menemani Balqis di dalam bilik. Sesekali mereka berdua mengintip, memasang telinga tentang apa yang dibualkan oleh orang tua kedua-dua belah pihak.

Pinta ibu bapa Iqram, pertunangan hendaklah diikat sekurang-kurangnya setahun. Setidak-tidaknya mereka dapat meluangkan masa untuk mengenali hati budi masing-masing terlebih dahulu. Ibu bapa Balqis setuju. Kebetulan pula, ayahnya berpendapatan rendah. Dia sendiri perlu bekerja lebih masa untuk mengumpulkan wang bagi mengahwinkan anak daranya.

Setahun kemudian, mereka terikat sebagai sepasang suami isteri. Meriah juga hari perkahwinannya hari itu. Pelamin warna kuning diraja tersergam indah di laman rumah. Manakala pasangan raja sehari pula sengaja memilih songket warna biji kundang sebagai baju persalinan.

Itu warna kegemaran mereka berdua. Janji Iqram padanya waktu itu, biarpun apa jua yang terjadi sekalipun, ikatan yang termeterai di antara mereka berdua tetap akan kekal sepanjang hayat.

Balqis tersenyum kecil.

"Apa yang mencuit hati sangat tu, Bu?" Tegur Faireen mematikan lamunan.

"Ayah kau janji pada Ibu masa hari kahwin kami dulu yang dia akan jaga ikatan ni sampai ke akhir hayat," jawabnya dengan tersenyum lebar.

Faireen mengurut bahu ibunya perlahan lalu didakapnya tubuh yang hangat itu. "Lupakan je dia, Ibu. Dia dah tak penting lagi dalam hidup kita. Biarkan dia bahagia dengan bini baru dia, tu."

"Dia masih ayah kau, Faireen. Dia masih suami Ibu. Kau dah beritahu dia pasal hal ni?"

Faireen mengangguk. "SMS. Tapi dia tak reply," jawabnya.

"Call dia, suruh dia balik."

"Tapi Ibu…"

"Call dia. Suruh dia balik!" Balqis meninggikan suara. "Apa yang dia dah buat tu pandai-pandailah Ibu selesaikan nanti. Ibu mahukan kita semua berkumpul satu keluarga."

"Kalau macam tu, Ibu lah call dia dan suruh dia balik. Reen malas!"

"Inikan berita gembira, Reen. Reen! Reen!"

Faireen berlalu pergi meninggalkan ibunya sendirian di situ. Mulutnya terkumat-kamit merungutkan sesuatu.

Balqis tercengang. Sedih.









Malam tadi tidur Iqram tidak berapa lena. Dia sering didatangi oleh Bob dan Nirina di dalam mimpinya itu. Mereka berdua kelihatan tenang, hanya diam membisu tetapi seakan-akan cuba untuk memberitahu sesuatu kepadanya. Di sisi Nirina kelihatan seorang bayi lelaki.

Putih. Sihat. Tak ubah seperti Faisal sewaktu kecil. Iqram tidak pasti siapakah bayi yang didukung oleh isterinya itu. Lama kelamaan bayi itu sayup dari pandangan. Nirina juga semakin hilang sedikit demi sedikit. Bob pula berjalan perlahan-lahan meninggalkan kedua-duanya.

Iqram cuba untuk mengejar tetapi tangannya tidak dapat untuk menghalang. Makin kuat dia cuba berlari makin cepat ketiga-tiganya pergi jauh meninggalkan dirinya waktu itu. Dia menjerit. Meraung sekuat hati namun dunianya waktu itu bertukar gelap gelita. Tiada siapapun yang datang membantu. Bahkan tiada sesiapapun yang berada di situ selain dirinya seorang.

Iqram memandang sekeliling. Bunyi cengkerik dan burung-burung liar yang pulang ke sarang memecah kesunyian. Akhirnya dia kepenatan. Terduduk, termenung lalu terus mendongak ke langit apabila kedengaran satu suara berkata, "sabarlah… Sabarlah…"

Tin! Tin! Bunyi hon dari kenderaan belakang membuka matanya yang hampir kemerahan. Iqram teraba-raba gear kereta untuk memulakan semula enjinnya yang sudah mati di tengah jalan. "Sabarlah!" Jeritnya pada pemandu belakang yang semakin tidak sabar menunggu.

Dia kembali mencelah di tengah-tengah kesesakan jalanraya untuk pulang ke Kuala Lumpur. Sesekali keretanya terhenti apabila dia dihimpit kenderaan lain yang tidak bertimbangrasa. Dia kebosanan. Panas terik di luar seakan-akan membakar tubuhnya kini. Suhu penghawa dingin ditambah. Radio dinyalakan. Lagu Indonesia, Hingga Akhir Waktu dari kumpulan Nineball sedang bermain waktu itu.



takkan pernah ada yang lain di sisi

segenap jiwa hanya untukmu

dan takkan mungkin ada yang lain di sisi

ku ingin kau di sini tepiskan sepiku bersamamu

hingga akhir waktu



Sejuk juga hatinya melayan lagu cinta itu. Telefon bimbit dicapai. Niatnya hendak menghubungi Nirina terhenti apabila melihat satu pesanan yang diterima dari anaknya.



AYAH, NEXT WEEK REEN NAK BERTUNANG. KALAU ADA MASA DATANGLAH. KALAU BUSY DENGAN WIFE BARU, TAK APA. KAMI SEKELUARGA FAHAM.



Walaupun pedas kata-kata dalam mesej itu, tetapi dia tetap gembira. Baginya ini merupakan berita gembira kedua selepas dia mendapat tahu minyak pemberian Abang Uda terbukti berkesan sebaik saja dia terjaga dari tidur awal pagi tadi.

"Hidup! Hidup Kak Yah! Hidup!" Jeritnya kuat pada Kak Yah yang ketika itu sedang sibuk menyediakan sarapan di dapur.

"Aku memanglah masih hidup! Aku belum mati lagi! Mengigau ke apa orang tua ni?" Tanya Kak Yah semula.

"Pucuk, Kak Yah. Dia dah hidup!"

Kak Yah ketawa besar melihat Iqram terlompat keriangan seolah-olah seperti anak bujang yang baru masuk jawi. "Kau nak ke mana pulak tu? Sarapan dah siap ni!" Soalnya lagi.

"Saya nak mandi lepas tu nak sembahyang kesyukuran," jawabnya.

Kak Yah menyindir, "hai lah Iqram… kenal ke tidak dengan sejadah tu?" Dan terus ketawa besar.

Selesai solat, Iqram sudah mula memasang cita-cita. Setibanya di rumah nanti, dia akan memastikan segala apa yang masih tertunggak di antara dirinya dan isteri akan dilangsaikan dengan segera. Dia gembira, dengan bantuan Abang Uda akhirnya tanggungjawab batinnnya sebagai suami bakal dilaksanakan juga sebentar nanti.

Fikirannya mula berwarna-warni. Dari putih bersih kini bertukar kepada biru kekuningan. Jam di tangan ditenung. Semakin tinggi matahari meningkat naik, semakin tidak sabar rasanya dia ingin tiba ke destinasi.

Tepat jam empat petang dia tiba di depan pintu kondo yang didiami. Darahnya berderau melihat keadaan rumahnya waktu itu. Pintu utama terbuka sedikit. Apabila kakinya melangkah masuk ke dalam, didapati ruang tamunya berselerak. Barang perhiasan yang tersusun di atas meja dan rak TV habis bergelimpangan di lantai.

Di dapur pula, segala pinggan mangkuknya pecah berderai. Fikirannya terus teringatkan Nirina. Dia terus berlari ke bilik utama. Tiada sesiapa di situ. Berlari ke bilik kedua, ketiga, dan ke empat. Kesemuanya kosong.

Iqram mula ketakutan. Dia melangkah masuk pula ke dalam bilik air. Kakinya tiba-tiba kaku apabila terpijak lantai yang melekit.

Tubuhnya bagaikan tidak bermaya lagi. Nirina dan Bob dilihat terlentang tidak berpakaian dengan berlumuran darah di dalam tab mandi. Dia termuntah. Tidak lama kemudian pandangannya menjadi gelap dengan tiba-tiba.

Ahad, 13 September 2009

shopping raya


semalam aku telah berjaya meracuni pemikiran dua sahabat baik aku - cik shaidan & daniel farel utk menjelajah ke masjid india mencari baju melayu warna merah cili yg ada kerawang kat kolar. kewat x request? tuh semua gara2 aku nampak ashraf muslim (kot?) pakai dlm majalah mangga yg aku tgk ari tuh. dia pakai warna hijau. nampak cun kat dia sebab dia putih, cube kalo aku pakai warna tuh, haraaamm....

anyway, setelah penat aku bergeser bahu dan peluh dan bau (yg ba'eng) aku pun berjaya membeli blah barang yg aku carik. aduhai.... dah lima tahun asik pakai busana yg sama di pagi raya beb... apa salahnya aku berbelanja sikit. kalo aku raya kat oversea, jgn harap la aku nak pakai baju melayu. penah aku pakai kat umah, family mat saleh aku ingat aku pakai pajama. sapa nak jawab?

so okelah. saja nak bgtau korang yg thn nih aku pakai baju baru. nnt aku amik pic lawa2 untuk tatapan korang semua, eh? korang jangan dengki plak tau?! buat donno jer kalo muke aku riak dlm pic tuh. ahaks!

ps: tgh tgk citer titian siratulmustaqim. sedihla... teringat kat mak aku. dlm sakit2 pun sempat gak gagahkan diri buat kuih raya. alahai...

Sabtu, 12 September 2009

pisau cukur



tengah aku sibuk2 fikir nak beli shaver baru (sebab shaver lama tertinggal umah kawan), sudahnyer aku terjumpa plak trailer filem baru tajuk "Pisau Cukur".

aku tengok cam cute jer citer nih (director filem nih Bernard Chauly - org yg sama buat filem Gol & Gincu dulu.) ... teringat filem2 romantik bersahaja Othman Hafsham dulu2 (mcm Mekanik or Ujang) or zaman skang ala2 filem komedi style Kabir Bhatia or Afdlin Shauki.

okelah guys, tonton trailer kat bawah n kalo rajin gi la tonton movie nih kat wayang. nak tau best ke x best, ko tunggu jer la si adam arjuna punye review. sure dia bagi 3.5 bintang! ahaks!